Thursday, December 12, 2013

Anak beranak saudagar puyuh

Oleh Roselan Abd Malek
Jamaluddin Ali, 57, dari Kampung Baharu, Jerantut, Pahang bukan nama asing dalam industri ternakan burung puyuh di daerah itu.
Bapa lima anak itu me­ngusahakan ternakan puyuh sejak 20 tahun lalu di tanah miliknya seluas 0.8 hektar dan kini pengeluar anak puyuh terbesar di Pahang. 
Dia mengusahakan anak puyuh melalui lima reban induk puyuh yang dibina di sekeliling rumah dan mampu me­ngeluarkan 120,000 anak puyuh sebulan. 

Katanya, jumlah itu belum mencukupi kerana permintaan terhadap anak puyuh kira-kira 300,000 sebulan.
Foto
ANAK dan ayah mengusahakan burung puyuh.

“Saya bukan saja membekalkan anak puyuh kepada pe­ngusaha di Pahang tetapi Johor, Melaka dan Terengganu,” katanya.

Menurut­nya, ketika awal pembabitan, dia bermula secara kecil-kecilan pada 1993 apabila dipilih sebagai peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) daerah Jerantut. 

“Ketika itu saya mendapat ­bantuan 500 anak puyuh dari ­pejabat daerah untuk diternak sebagai puyuh pedaging selepas berkursus selama seminggu di Institut Kemajuan Ternakan Ayam (IKTA) di Johor Bahru,” katanya 

Selepas itu, ternakan puyuhnya mendapat ­permintaan tinggi pelanggan dan berkembang maju. 

Pada 1997, dia dikeluarkan daripada peserta PPRT kerana pendapatannya yang lumayan, malah mampu membesar dan memberikan pendidikan sempurna kepada lima anaknya itu hasil ternakan puyuh. 

Katanya, kesukaran mendapatkan bekalan anak puyuh menyebab­kan dia mengeluarkan anak puyuh sendiri. 

Dia mempelajari dari beberapa usahawan ­puyuh lain. 

“Akhirnya pada 2001, saya membuat pinjaman bank sebanyak RM30,000 untuk membeli ­sebuah ­mesin penetas telur ­terpakai dan mengeluarkan 20,000 anak puyuh 
sebulan untuk kegunaan sendiri. 

“Namun, berikutan ­permintaan tinggi daripada pe­ngusaha daging puyuh, saya hanya mengeluarkan anak puyuh dan tidak lagi menternak puyuh untuk daging,” kata­nya. 

Dia kini mengusahakan projek ternakan itu ­bersama anak sulung­nya, ­Mohammad ­Fahmi, 30, dan menubuhkan Syarikat Jafah.­ 

Mohammad Fahmi yang mendapat latihan di IKTA mempunyai visi ­mengeluarkan baka puyuh dalam kadar lebih banyak bagi menampung permintaan yang semakin mening­kat. 

Dua beranak itu memberanikan diri membeli sebuah mesin penetas terpakai buatan Belanda berharga RM200,000 yang mampu mengeluarkan 200,000 anak puyuh sebulan. 

Katanya, melalui mesin penetas baru ini kadar penetasannya lebih tinggi iaitu 80 hingga 90 peratus. 

Menurutnya, sebaik menetas, anak puyuh boleh dijual dengan harga 60 sen seekor. 

“Dari segi pasaran, kami tidak ada sebarang masalah kerana ramai pengusaha ternakan daging puyuh memerlukan kira-kira 300,000 anak puyuh sebulan. 

“Bagaimanapun, apa yang bimbangkan adalah kami tidak dapat ­menampung permintaan yang semakin tinggi kerana 5,000 induk sedia ada tidak mencukupi,” kata­nya.
Sumber:harian metro online

HijauPlastMAP: Beg semaian mesra alam

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Tidak ramai yang ambil peduli kesan penggunaan beg plastik kepada alam sekitar, meskipun sedar ia mengambil masa beratus-ratus tahun untuk lupus.

Bukan hanya mencemarkan alam, beg plastik terpakai juga mengandungi bahan kimia seperti ‘metalic salt’ yang boleh menyebabkan kanser. 
Biarpun penciptaan plastik mempermudahkan urusan seharian, namun kesan buruk daripada penggunaannya perlu dielakkan. 

Pembakaran sampah mungkin menjadi kaedah pelupusan paling mudah, bagaimanapun ia mencemarkan alam sekitar.
Foto
NURNABILAH menunjukkan dua produk plastik HijauPlastMAP.

Sekumpulan penyelidik muda Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menemui formula dalam menyelesaikan masalah pencemaran sisa buangan beg plastik kepada persekitaran.

Dikenali HijauPlastMAP atau singkatan ‘Hijau Plastik from UniMAP,’ produk inovasi berkenaan hasil ciptaan pelajar Kejuruteraan Polimer, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP. 

Pelajar tahun pertama yang terbabit dalam projek itu ialah Ku Nur Salsabila Ku Osman, Nurnabilah Ibrahim, Nor Diana Rafie, Lokman Hakim Ibrahim dan Ahmad Azrem Azmi. 

Antara keunikan produk plastik berkenaan adalah proses penguraian mengambil masa singkat antara tiga hingga enam bulan. 

Projek itu diselia pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Pusat Kejuruteraan dan Inovasi universiti itu, Dr Nik Noriman Zulkepli. 

Nurnabilah berkata, plastik HijauPlastMAP adalah produk semula jadi pro-oksida yang menggunakan bahan seperti lalang, kunyit dan serai. 

“Ia adalah produk inovasi baru berasaskan bahan semula jadi dengan setiap satunya mempunyai fungsi sendiri, selain berpotensi menggantikan plastik konvensional terdapat di pasaran ketika ini. 

“Kunyit dan serai umpamanya adalah bahan pestisid untuk pertanian yang dapat menghalang serangga daripada merosak tanaman, sementara lalang pula berfungsi untuk menstabil dan meneutralkan tanah,” katanya. 

Kumpulan pelajar berkenaan ditemui selepas menyertai Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2013) di Pusat Konvensyen KLCC di sini, baru-baru ini. 

Menurutnya, selain tiga bahan berkenaan, tambahan lusi (lumpur) yang mengandungi ziolite dan mikro nutrien dapat meningkatkan kesuburan tanah, selain menjadikan tanaman lebih sihat. 

“Ia dapat mengelak akar mereput. Pada musim panas pula, ia membekalkan air kepada tumbuhan. 

“Ziolite itu sendiri boleh membebaskan nitrogen dalam tanah sekali gus menjadikan bahagian berkenaan lebih subur,” katanya projek penyelidikan berkenaan mengambil masa dua bulan bermula Ogos lalu. 

Metodologi yang digunakan dalam penghasilan plastik berkenaan juga amat mudah menggunakan formulasi berdasarkan sukatan diperlukan. 

“Semua bahan semula jadi seperti kunyit, serai dan lalang dikeringkan terlebih dulu. Ia kemudian dimasukkan ke dalam ketuhar dengan suhu antara 150 hingga 160 darjah celsius. 

“Bagaimanapun pada skala pengeluaran kilang, suhu boleh ditingkatkan hingga 200 darjah celsius,” katanya. 

Semua bahan dikisar menggunakan mesin extruder bagi mendapatkan material dikehendaki. 

“Bahan berkenaan kemudian dimampatkan menggunakan mesin blown bagi menghasilkan plastik semula jadi HijauPlastMAP. 

“Penambahan lusi pula sesuai untuk kegunaan pertanian terutama menggantikan beg semaian pokok dan plastik ‘silver shine’ yang tidak mesra alam,” katanya. 

Katanya, kerja pemindahan pokok ke tapak semaian juga lebih mudah dengan penggunaan plastik berkenaan. 

“Beg semaian tidak perlu dibuka sebaliknya dimasukkan terus ke dalam tanah bersama pokok kerana ia boleh lupus dengan sendirinya dalam tempoh singkat. 

“Berbanding kaedah biasa, ia sudah tentu mengambil masa dan tenaga terutama ketika proses menanggalkan plastik dari medium tanaman,” katanya. 

Plastik kitar semula itu amat menarik untuk diketengahkan sebagai produk yang berpotensi untuk menggantikan produk sedia ada di pasaran. 

“Bahan yang digunakan juga memberi banyak faedah kepada manusia kerana ia adalah biologi mudah terurai dan menghasilkan bahan mesra alam, selamat serta kos lebih rendah. 

“Harga plastik ini amat berpatutan iaitu RM5.50 sekilogram, berbanding plastik biasa RM6.20,” katanya. 

Inovasi berkenaan juga amat menjimatkan berbanding penggunaan bahan cobalt stearate yang dianggarkan bernilai RM1,000 hingga RM1,400 sekilogram. 

“Lalang boleh diperoleh di mana-mana kerana tumbuh meliar, sementara kunyit dan serai pula banyak terdapat di kawasan kampung,” katanya. 

Nurnabilah berkata plastik yang terdapat di pasaran ketika ini mengandungi bahan kimia merbahaya seperti metalic salt. 

“Ia (metalic salt) berbahaya kepada kesihatan manusia kerana menyebabkan kanser dan bertoksik. 

“Banyak plastik-plastik yang tidak lupus di laut dan mengakibatkan pencemaran laut, selain terdapat di persekitaran kediaman,” katanya. 

Katanya, haiwan ternakan seperti kambing dan lembu boleh memindahkan toksik berkenaan kepada manusia. 

“Plastik yang mengandungi cobalt stearate tersimpan di dalam tanah. Ia kemudian meresap ke dalam rumput sebelum dimakan kambing dan lembu. 

“Ia kemudian dipindahkan kepada manusia menyebabkan badan kita menjadi pra radikal kepada sisa berkenaan dan pada jangka panjang mengakibatkan kanser,” kata­nya.
Sumber:harian metro online

Wednesday, November 6, 2013

Biak tiram asuhan

TIRAM perlu disterilkan untuk mengelakkan pencemaran.
Demikian luahan pengusaha ternakan benih tiram Allan Wong, 51, yang di temui di kolam asuhan tiram di Balik Pulau,Pulau Pinang baru-baru ini.

Memiliki pengalaman 22 tahun dalam penternakan tiram, uniknya, syarikat mereka dikatakan satu-satunya yang memasarkan tiram menggunakan teknik pembenihan asuhan.

Jelasnya, ternakan tiram dilihat berpotensi untuk dikembangkan memandangkan negara seperti Australia, New Zealand dan negara Eropah mempunyai suatu industri yang besar berbanding Malaysia yang baru berada di peringkat permulaan.

"Kami melihat pembenihan tiram secara asuhan ini dapat membantu pengusaha yang berminat untuk mendapatkan benih tiram berkualiti.

"Kenapa kita tidak boleh bersaing dengan pasaran luar sedangkan kita boleh mengeluarkan hasil tiram hanya dalam masa setahun berbanding mereka empat tahun sekali.

"Lebih-lebih lagi kita mempunyai cuaca yang lebih baik untuk mendapatkan hasil tiram yang cepat dan berkualiti," katanya.

Kolam asuhan tiram yang dikendalikan oleh syarikat SeaHarvest Aquamarine Malaysia itu turut mempunyai keluasan kolam sebanyak lima ekar yang mampu mengeluarkan lima juta benih tiram setahun.

Oleh itu, pemantauan terperinci perlu dilakukan pada setiap hari bagi memastikan proses pembesaran berjalan lancar

"Sebelum ini tiram yang hidup berkelompok perlu dikorek isinya untuk dijual secara dalam kiraan berat (isi sahaja) hanya kerana struktur cangkerang yang tidak menarik,"katanya.

Pembenihan secara asuhan berbeza dengan pembenihan semulajadi kerana tiram semulajadi hanya membiak dua kali setahun pada pertengahan dan akhir tahun.

Jelasnya, bagi mengembangkan industri ternakan tiram, proses pembenihan secara asuhan diperlukan bagi mendapatkan pembekalan benih yang lebih teratur dan kualiti yang terjamin.

Selain itu, proses kacukan benih juga perlu dilakukan bagi mendapatkan benih yang tahan lasak di samping proses tumbesaran tiram yang lebih cepat dengan kualiti yang lebih bagus.

Menurutnya lagi, kaedah pembenihan itu diperkenalkan berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang pertanian dimana pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 1989 lagi.

Mengenai rasa tiram, katanya, rasa tiram Malaysia mempunyai rasa yang lebih lemak dan sedap berbeza berbanding tiram di import dari pasaran luar kerana ia lebih lembut dan nipis.

"Rasanya yang lebih lemak dan tebal mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan pelanggan terutamanya chef daripada restoran mewah sekitar kawasan Pulau pinang," katanya.

Wong turut memberitahu, perniagaan yang diusahakan itu juga telah memperoleh status BioNexus daripada Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) sebagai syarikat bioteknologi yang berpotensi di samping mendapat bantuan mesin-mesin berteknologi tinggi.

Ditanya mengenai perancangannya, kita mula mencari syarikat yang mahu bekerjasama di dalam memperkembangkan lagi indutri tiram di Malaysia di samping mahu mencari pasaran untuk menjual hasil ini.

"Setakat ini salah satu syarikat yang akan bekerjasama dengan kami ialah Kejora dan Jcorp.

"Jcorp yang berpangkalan di Johor mempunyai keluasan kawasan sebanyak 1,000 ekar untuk projek pembenihan tiram ini," katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya juga mengharapkan kerajaan dapat memberikan lebih banyak lagi benih kepada orang kampung supaya dapat membuka peluang untuk menambah pendapatan mereka.

"Tiram hanya tidak mengunakan kos yang tinggi malah kurang risiko tetapi dapat hasilkan hasil yang lumayan.

"Ramai orang yang berminat tetapi hanya tidak tahu bagaimana cara untuk mendapatkan benih sebab itulah kami menjadi pengeluar benih kepada mereka.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Inovasi tempe


Dr. Kamariah long, menunjukkan sebahagian produk berasaskan tempe kacang hijau kajiannya.
TEMPE merupakan antara makanan popular di kalangan orang Melayu terutamanya etnik Jawa.
Rata-rata tempe yang terdapat dipasaran dihasilkan daripada kacang soya yang diperam (fermentasi) sehingga terbentuknya produk makanan tersebut.
Di Indonesia, tempe boleh dikatakan antara makanan wajib bagi penduduknya, malah dijadikan sebagai makanan ruji.
Produk makanan tersebut diambil oleh sebahagian besar penduduk Indonesia sebagai pengganti kepada sumber protein yang diperolehi daripada daging dan ikan.
Oleh kerana tempe mudah untuk dihasilkan selain boleh dimasak dengan pelbagai resipi, makanan tradisi tersebut terus menjadi pilihan sebahagian besar masyarakat Melayu.
Menurut penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Dr. Kamariah Long, tempe kacang soya memiliki pelbagai kelebihan serta khasiat buat penggemar makanan tersebut, namun untuk mempelbagaikan produk berasaskan tempe agak sukar dilakukan.
Beliau menyedari jika tempe tidak dipelbagaikan menerusi penghasilan produk sampingan dan hiliran, makanan tersebut tidak akan ke mana dan tidak dapat dikembangkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Sebagai penggemar tempe, saya merasakan sudah sampai masanya makanan tersebut dipelbagaikan selain hanya dimakan begitu sahaja.
"Jika tempe boleh dipelbagaikan penggunaannya, bukan sahaja penguna malah sepanjang rantaian bermula daripada pengeluar, penjual dan pengguna akan menikmati manfaatnya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di MARDI, Serdang, Selangor baru-baru ini.
Jelas Dr. Kamariah yang juga Penolong Pengarah Program Bio-pemperosesan, Pusat Penyelidikan Bioteknologi MARDI, menyedari potensi tempe untuk diketengahkan sebagai produk makanan amat luas beliau telah membangunkan teknologi baharu untuk tujuan tersebut.
Lebih menarik, Dr. Kamariah tidak menggunakan kacang soya sebagai bahan utama pembuatan tempe baharu tersebut sebaliknya menggunakan kacang hijau.
Antara alasan Dr. Kamariah tempe kacang soya sudah dikenali ramai selain sukar untuk mempatenkan produk-produk sampingan baharu daripada tempe kacang soya sedia ada.
"Oleh yang demikian, saya menukar daripada menggunakan kacang soya kepada kacang hijau agar tiada siapa yang akan mengatakan saya 'ciplak' idea orang lain.
"Kita semua tahu, tempe kacang soya sinonim dengan Indonesia, malah menjadi sebahagian daripada kebudayaan mereka, jadi sebarang pembangunan serta penyelidikan ke atas produk ini akan menyebabkan kita menghadapi kesukaran untuk mempatenkannya," katanya.
Pemilihan kacang hijau dilakukan selepas beberapa ujian dan penyelidikan dilakukan mendapati kacang tersebut sesuai untuk dijadikan tempe.
Selain itu, penggunaan kacang hijau sebagai pengganti kacang soya juga mampu meningkatkan khasiat selain menjadikan tempe tersebut lebih sedap serta berbau wangi.
Generasi baru tempe yang dikenali sebagai MyG-Mung Bean dikatakan mengandungi asid GAMA (Gamma Aminobutyric Acid) yang tinggi di samping memiliki pelbagai kelebihan untuk kesihatan.
Pemeraman atau fermentasi tempe MyG-Mung Bean dilakukan menerusi proses inokulasi strain terpilih iaitu Rhizopus 5351 sebagai pengganti agen pemeraman sedia ada.
Penggunaan 'strain' khas bagi menggantikan agen pemeraman biasa itu dilakukan setelah kajian mendapati penggunaannya mampu meningkatkan kandungan antioksidan, memiliki ciri-ciri anti-diabetik, anti-pigmentasi, anti-stress dan juga bahan yang boleh melindungi hati.
Sebagai inovasi baharu, kajian menyeluruh turut dijalankan meliputi ujian kesihatan dan in-vitro terhadap tikus makmal terhadap produk-produk sampingan yang dihasilkan daripada tempe kacang hijau.
Malah, menerusi kajian in-vitro yang dijalanakan mendapati komposisi tempe kacang hijau yang terhasil mampu merangsang sistem penambahan sel imunisasi dan kesan sitotoksik terhadap sel kanser manusia.
Kajian selama tiga tahun tersebut dijalankan olehnya bersama beberapa lagi ahli kumpulan iaitu Dr. Koh Soo Peng, Anisah Jamaluddin, Ainaa Abdul Kahar, penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Noorjahan Banu Alitheen, Dr. Yeap Swee Keong (UPM), Norlalily Mohd. Ali (pelajar master), Hamidah Mohd. Yusof (pelajar master) dan juga kakitangan beliau Beh Boon Kee turut mendapat kerjasama daripada pihak UPM.
Tambah Dr. Kamariah, kajian terhadap tempe versi baharu itu juga mendapati produk makanan tersebut mengandungi kandungan asid protocathechuic, asid vanilik, asid syringic yang mana lebih tinggi berbanding tempe kacang soya.
Penemuan tersebut menunjukkan produk daripada MyG-Mung Bean memiliki potensi untuk digunakan sebagai makanan tambahan bagi melindungi hati dan sebagai pencegahan awal kepada penyakit kanser.
Selain dimakan begitu sahaja, penyelidikan terhadap tempe itu juga membolehkan MARDI meneroka pelbagai potensi pembangunan produk berasaskan tempe kacang hijau kepada beberapa produk sampingan bagi menggantikan tempe kacang soya.
Dalam pada itu, tempe kacang hijau juga boleh diekstrak secara bioaktif kepada bentuk kapsul, serbuk untuk bancuhan minuman, agen anti-pigmentasi serta bahan berfungsi yang boleh ditambah ke dalam pelbagai jenis makanan.
Akses terhadap produk makanan yang kaya dengan nutrisi menjadi satu keperluan bagi manusia masa kini bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan.
Ujar Dr. Kamariah, makanan tambahan untuk kesihatan yang terdapat di pasaran masa kini amat mahal dan hanya mampu dibeli oleh mereka yang berkemampuan.
Namun, menerusi produk sampingan yang diekstrak daripada tempe kacang hijau dapat dimanfaatkan oleh hampir segenap lapisan masyarakat kerana produk tersebut dapat dihasilkan dengan kos yang rendah.
"Sebagai contoh warga emas yang kekurangan protein akibat kawalan pengambilan makanan seperti daging dan ikan bagi mengelakkan peningkatan kadar kolestrol dalam darah boleh mendapatkan ekstrak protein tempe kacang hijau.
"Ekstrak protein daripada tempe kacang hijau adalah lebih murah kosnya berbanding ekstrak protein yang dihasilkan menerusi kacang soya," katanya.
Selain ekstrak, pengguna juga boleh menggantikan pengambilan daging dan ikan dengan menjadikan tempe kacang hijau sebagai hidangan utama setiap hari.
Pengambilan kacang hijau atau produk kekacang semata-mata di dalam kuantiti yang banyak bagi menggantikan sumber protein juga tidak digalakkan kerana amalan tersebut akan mengakibatkan kesan negatif seperti kembung perut (gluten) atau lebih mudah dikenali sebagai angin.
Untuk mengelakkannya, produk kekacang perlu diperam (contoh dijadikan tempe) terlebih dahulu sebelum dijadikan hidangan.
MyG-Mung Bean bukan sahaja merupakan makanan bernutrisi tinggi dan mudah untuk dibeli oleh rakyat biasa, malah kewujudan satu produk baharu tersebut boleh diketengahkan oleh pihak-pihak yang berminat di sektor pembuatan makanan.
Antaranya adalah seperti usahawan industri kecil sederhana (IKS) bagi menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan peningkatan dari segi ekonomi.
Penghasilan tempe kacang hijau tidak melibatkan sebarang pembaziran kerana keseluruhan kacang (kecuali kulit) akan digunakan sepenuhnya menjadikannya lebih mesra alam dan berteraskan teknologi hijau kerana tiada bahan buangan industri.
Buat masa ini, produk MyG-Mung Bean masih belum dikomersialkan kerana masih tiada syarikat mahupun individu yang berminat untuk berbuat demikian.
Bagi mereka yang berminat untuk mengkomersialkan produk tersebut anda boleh menghubungi Dr. Kamariah di alamat email amai@mardi.gov.my.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, October 16, 2013

Bisnes nangka madu


Proses pemilihan nangka dilakukan dengan teliti bagi mematuhi piawaian yang ditetapkan.

SEPERTI kebanyakan pengusaha lain yang bermula sekadar hobi tidak terkecuali bagi Abdul Halek yang berminat menceburi bidang pertanian dan seterusnya memberi dorongan kepadanya untuk terus membabitkan diri dalam sektor itu.
Oleh kerana ladang yang berada di kawasan berisiko mudah dilanda banjir, bukan mudah bagi Abdul Halek untuk menjaga dan memastikan projek tanaman nangka varieti CJ3 yang diusahakan di atas tanah seluas tujuh hektar (ha) itu berjaya.
Namun, cabaran itu tidak pernah mematahkan semangatnya, malah dia dianggap sebagai pemangkin untuknya supaya berusaha lebih gigih.
Berkat usaha yang tidak kenal putus asa, bekas kontraktor itu kini mampu berbangga dengan pencapaian muncul pengeluar utama buah berkenaan di TKPM Bera.
Tambahan pula, ladang yang telah berjaya mengeluarkan hasil selama empat tahun ini turut berjaya memasarkan hasilnya ke seluruh daerah Bera dan Pahang.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Bera, Noor Iliana Anour, 33, berkata projek TKPM ini adalah untuk membangunkan kawasan yang kekal bagi pengeluaran buah buahan dan sayur sayuran.
Jelasnya, fokus utama yang akan diberikan melalui program ini adalah penglibatan sektor swasta yang bertindak sebagai syarikat peneraju dan usahawan tani yang berminat dalam pengeluaran bahan makanan yang selamat dan berkualiti untuk pasaran domestik dan eksport.
Seramai 13 peserta dipilih bagi membangunkan TKPM ini yang mendapat tanah yang diperuntukkan daripada pihak kerajaan negeri di samping mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan dari segi infrastruktur.
"Pemilihan peserta yang memenuhi kriteria akan dipilih bagi memastikan peserta yang benar-benar layak sahaja menyertai projek tersebut.
"Kami hanya menyediakan kemudahan dan infrastruktur untuk peningkatan kualiti projek sedia ada," katanya ketika sesi taklimat dan lawatan Agrochallenge ke tapak projek TKPM, di Bera baru-baru ini.
Jelasnya lagi, projek yang dibangunkan sejak 2006 itu mempunyai keluasan keseluruhan sebanyak 80 ha yang mana 50 ha diperuntukkan untuk tanaman nangka, mangga (10 ha) manakala 12 ha untuk tanaman sayur-sayuran.
Selain itu, setiap peserta turut dikenakan bayaran sewa sebanyak RM100 setiap satu ekar selama setahun.
Melihat kepada permintaan nangka madu yang yang meningkat secara mendadak terutama nangka madu jenis Mastura dan CJ33, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Abu Hanipah Majid berkata pihaknya memerlukan lebih ramai lagi pengusaha untuk diketengahkan bagi menampung permintaan yang semakin tinggi.
"Nangka madu semakin mendapat permintaan yang tinggi, jadi kita perlukan lebih ramai pengusaha bagi meningkatkan pengeluaran.
Jelasnya, dengan adanya penyelidikan berkenaan teknik pembungkusan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menjamin kualiti produk terpelihara, pengusaha sepatutnya tidak perlu bimbang untuk mengeluarkan hasil dalam jumlah yang besar.
"Eksport nangka madu sedang berkembang dan mengorak langkahnya untuk ke pasaran luar negara.
"Kami telah bersedia untuk memasarkan nangka madu ini ke Hong Kong dan Macau," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat kepada peserta Agrochallenge di Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Nangka madu bakal menjadi produk pertanian terbaharu negara yang berpotensi untuk menembusi pasaran luar.
Melihat potensi itu, pihaknya juga telah membantu ahli-ahli PPK Temerloh untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan membekalkan anak benih nangka madu untuk digantikan tanaman pokok machang, dimana tidak mendapat pasaran.
Jelasnya, pokok yang lama akan ditebang dan digantikan dengan pokok nangka yang mana tanaman nangka ini boleh menghasilkan pendapatan sekurangnya RM300 sehingga RM400 sebulan.
"Saya menggalakkan lebih ramai pengusaha ladang terutamanya kawasan Temerloh untuk menanam pokok nangka.
"Kita akan bekalkan setiap ahli sebanyak lima anak pokok untuk ditanam di samping saya ada memohon peruntukkan sebanyak RM100 ribu anak pokok untuk diberikan kepada pengusaha yang berminat," katanya.- MASZUREEN HADZMAN

Wednesday, October 2, 2013

Memulihkan industri berasaskan kelapa

 


Ahmad Ngalim tertarik melihat sabut kelapa yang merupakan bahan mentah industri hiliran berasaskan tanaman tersebut.
MENJELANG musim perayaan, antara masalah yang sering timbul ialah bekalan kelapa tidak cukup. Ini memaksa kerajaan mengimport kelapa dari negara jiran terutama Indonesia dan Thailand.
Masalah tersebut yang berlarutan membuktikan pengeluaran kelapa tidak dapat memenuhi keperluan tempatan.
Industri penanaman kelapa tempatan berdepan masalah tersebut sejak sekian lama sejak zaman kegemilangan industri tersebut di Bagan Datoh, Perak beberapa dekad lepas.
Persoalannya, kenapa berlaku masalah tersebut sedangkan industri tanaman n permintaan yang berterusan, industri berasaskan kelapa tidak boleh dibiarkan berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan.
Antara sebab kekurangan bekalan ialah kawasan penanaman semakin berkurangan disebabkan beberapa faktor. Antaranya persaingan dengan tanaman komoditi lain yang lebih menguntungkan seperti sawit.
Berdasarkan statisitik, kawasan penanaman kelapa pada 1969 ialah 304,300 hektar (ha) dan meningkat kepada 354,300 ha pada 1979.
Bagaimanapun apabila penanam memilih untuk menebang kelapa dan menggantikannya dengan sawit, kawasan ladang atau estet menurun pada 22,000 ha pada 1967 kepada 17,000 ha 10 tahun kemudian.
Ketika ini, 70 peratus keluasan penanaman adalah di Semenanjung, Sabah (14 peratus) dan Sarawak 16 (peratus) dan berlaku tren penurunan 2.8 peratus setahun.
Berdasarkan statistik industri tersebut yang dinyatakan dalam Dasar Agro Makanan Negara ( 2011-2020) kebanyakan milikan ladang ialah pekebun kecil (98 peratus) melibatkan 80,000 keluarga dengan purata keluasan 1.9 ha.
Berdasarkan statistik tersebut, pengeluaran kelapa dijangka meningkat daripada 530,000 tan pada 2010 kepada 1.2 juta tan metrik pada 2020.
Dalam pada itu, rekod sebelum ini menyatakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diperuntukkan RM17.9 juta di bawah Projek Pembangunan Tanaman Industri Kelapa sebagai sebahagian rancangan memajukan semula industri kelapa di negara ini.
Itu cerita dahulu. Industri kelapa ketika ini berkedudukan di tangga keempat terpenting daripada segi keluasan kawasan penanam selepas kelapa sawit, getah dan padi.
Industri kelapa ketika ini menyumbang 0.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).
Seorang penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Azmi Man berkata, kajian awal mendapati, kerajaan pernah memperkenalkan Skim Pemulihan dan Penanaman Semula Kelapa pada 1963 dan hasilnya pada 1970 dan 1980 sejumlah 8,554 ha berjaya ditanam semula manakala 35,750 ha dipulihkan.
Pada masa sama, sejumlah 8,387 ha keluasan tanah ditanam melibatkan perladangan integrasi bersama koko. manakala 1,493 ha ditanam bersama kopi.
"Dianggarkan kawasan pokok kelapa tua seluas 3,600 hektar akan ditanam semula dengan jenis Matag yang boleh menghasilkan sehingga 25,000 biji setahun," ujarnya.
Membincangkan secara lanjut mengenai tanaman kelapa di negara ini, Dr. Azmi yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri MARDI berkata, tanaman ini menghadapi era yang suram jika tidak ada usaha menanganinya.
Hari ini ladang kelapa dianggap tidak lagi menguntungkan di samping kos buruh tinggi berbanding sawit dan harga rendah. Sebab itu tidak ramai yang sanggup mengusahakannya.
''Lazimnya (ladang kelapa) tidak diurus dengan baik, potensi hasil tidak terserlah," kata beliau.
Yang turut hadir ialah Pengurus Stesen MARDI Hilir Perak yang juga Penyelidik Biak baka MARDI, Ahmad Ngalim.
Beliau berkata, pengurusan ladang yang baik harus bermula di peringkat awal melibatkan aspek bahan tanaman, pembajaan, pengawalan rumpai dan perosak

Baka ayam kampung terbaik


Azlina Azma Ismail Affendee menunjukkan seekor ayam kampung hasil penyelidikannya di Stesen MARDI Muadzam Shah, Pahang.

 


MARDI bercadang mengeluarkan 10,000 ekor ayam kampung seminggu bagi menampung permintaan.
Gallus gallus adalah nama saintifik bagi ayam hutan merah, Gallus varius untuk ayam hutan hijau, Gallus sonneratii untuk ayam hutan kelabu dan Gallus lafatetii untuk ayam hutan Ceylon atau Sri Lanka.
Namun bagi kebanyakan daripada kita semuanya ialah ayam kampung yang secara mudahnya baka ayam tempatan berwarna perang balung merah, badan tegap dan dibiar berkeliaran atau lepas bebas.
Ayam pedaging dan penelur yang diternak secara komersial serta besar-besaran kini adalah berasal daripada spesies ayam hutan merah.
Berbanding ayam pedaging dan penelur komersial, ayam kampung tidak menjalani proses pembiakbakaan yang sistematik walaupun berasal dari ayam hutan merah.
 
Proses pembiakbakaan yang tidak terkawal serta sistematik telah menghasilkan ayam kampung pada hari ini yang mempunyai pelbagai ciri fizikal yang berbeza dari seekor ke seekor walaupun dalam kelompok reban yang sama.
Industri penternakan ayam sama ada untuk pedaging atau penelur telah pun mencapai tahap sara diri (SSL), tetapi bilangan ternakan ayam kampung masih lagi dalam jumlah yang kecil iaitu kurang dari lima peratus sahaja.
Bilangan yang terhad, berserta tempoh penternakan yang lama (12 minggu minimum), ditambah dengan prestasi pertumbuhan yang kurang memuaskan menyumbang kepada harganya agak mahal di pasaran.
Ayam kampung bukan sahaja diternak sebagai sumber pendapatan penternak, tetapi juga untuk sajian-sajian istimewa selain untuk memenuhi masa lapang atau hobi.
Permintaan yang tidak pernah putus terhadap daging ayam kampung menyebabkan bekalan berkurangan.
Ini mendorong orang ramai untuk melibatkan diri dalam penternakan ayam kampung secara komersial.
Namun masalah bekalan anak ayam kampung berumur sehari menjadi penghalang kepada usaha-usaha penternak itu.
Menyedari permasalahan tersebut, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung.
Usaha menambakbaik baka ayam kampung telah dimulakan seawal tahun 2000 di Ibupejabat MARDI, Serdang, Selangor.
Ayam kampung jantan telah dikahwinkan dengan ayam Sasso betina yang dibawa masuk dari Perancis untuk menghasilkan ayam kampung terpilih MARDI.
 
Kemudahan inkubator untuk penetasan telur yang terdapat di Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI Muadzam Shah.
Ayam kampung terpilih itu mempunyai ciri-ciri seperti ayam kampung.
Tetapi dengan prestasi pertumbuhan mirip kepada ayam pedaging menyebabkan ia kurang diterima ramai sebagai ayam kampung.
Projek pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung telah diteruskan pada 2008 di bawah geran penyelidikan Sciencefund Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM200,000.
Itu untuk menghasilkan ayam kampung yang seragam daripada segi saiz badan, bulu, rupa dan pertumbuhan serta peneluran yang lebih baik berbanding ayam kampung asli.
Pegawai Penyelidik MARDI di Stesen MARDI Muadzam Shah, Pahang, Azlina Azma Ismail Affendee berkata, untuk tujuan tersebut, pasukan beliau telah mendapatkan kumpulan ayam kampung daripada beberapa kawasan iaitu di utara, selatan dan tengah tanah Semenanjung Malaysia.
Berat ayam kampung MARDI yang diternak secara teratur dengan pemberian makanan komersial yang seimbang mampu mencapai 1.5 kilogram (kg) bagi jantan dan 1.3 kg bagi ayam betina pada umur 12 minggu dan telurnya menetas selepas 21 hari.

Anggur pemangkin pelancongan Perlis

 


BERADA di ladang anggur dan memetik sendiri buahnya bagaikan berada di negara beriklim subtropika atau sederhana sejuk merupakan pengalaman yang sungguh menyeronokkan.
Anda mahukan pengalaman mengujakan itu? Taman Anggur Perlis merupakan destinasi yang tepat untuk dikunjungi bersama-sama keluarga.
Taman yang berlatar belakangkan banjaran Nakawan itu terletak di Pusat Pertanian Bukit Bintang II, iaitu kira-kira 10 kilometer dari bandar Kangar.
Taman itu merupakan lawatan sambil belajar yang sesuai untuk di kunjungi bersama ahli keluarga.
Dibangunkan pada tahun 2005 secara perladangan berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar (ha), pada mulanya dan sehingga tahun 2012 Taman Anggur Perlis telah mencapai keluasan kira-kira 10 hektar.
Pada mulanya, anggur ditanam di Pusat Pertanian Bukit Temiang sebagai plot kajian antara Jabatan Pertanian melalui Projek Pertanian Bersepadu (IADP) Negeri Perlis dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1987.
Antara jenis yang telah dikenalpasti sesuai ditanam di Perlis adalah IAC, black queen, black opal, dan new white malaga.
Di Malaysia, Perlis merupakan antara negeri yang terkehadapan dalam penanaman anggur kerana keadaan cuaca yang sesuai dengan sifat semulajadi pokok anggur iaitu memerlukan musim kemarau yang panjang antara tiga hingga empat bulan untuk menggalakkannya berbunga dan berbuah.
Taman Anggur Perlis mula di buka kepada pengunjung pada Julai 2011. Sehingga Disember tahun lalu telah menerima 35,000 pengunjung dari dalam dan luar negara seperti kedutaan Bangladesh dan Indonesia.
Taman itu telah berjaya menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Perlis yang mana Jabatan Pertanian telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menyelia dan menguruskannya.
Sebaik melangkah ke taman itu, pengunjung akan diberikan penerangan oleh pegawai bertugas mengenai kaedah penanaman anggur, penjagaan, jenis-jenis anggur yang ditanam sehingga proses penuaian dilaksanakan.
Pelbagai maklumat menarik berkenaan anggur seperti khasiat dan jenis anggur yang ditanam turut disediakan untuk rujukan pengunjung.
Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri peringkat pengeluaran buah anggur. Dari peringkat pembungaan, peringkat matang, hingga tempoh penuaian iaitu selepas 120 hari dari tempoh berbunga.
Bagi mereka yang ingin mencuba menanam sendiri anggur di laman rumah sebagai landskap kediaman, boleh mendapatkan anak pokok anggur dengan harga RM15 bagi setiap pokok.
Di samping itu, pengunjung juga dapat bergambar bersama-sama keluarga seolah-olah berada di negara Eropah tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk ke sana.
Taman Anggur Perlis merupakan destinasi pelancongan bersama keluarga yang menarik kerana berhampiran dengan pusat-pusat rekreasi lain seperti Taman Ular, Taman Herba dan kawasan reksreasi Bukit Ayer.
Taman anggur berkenaan dibuka pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali pada hari Isnin.
Pengunjung dikenakan bayaran serendah RM1 bagi kanak-kanak dan RM3 bagi orang dewasa.
Pengunjung juga boleh membeli buah anggur segar yang di jual dengan harga RM20 sekilogram.
Bagi yang berminat ke Taman Anggur Perlis ini boleh berhubung terus dengan Jabatan Pertanian Negeri Perlis menerusi talian 04-9770433.

Khasiat madu lebah kelulut

 


Norlezah Baharom menyedut madu kelulut dari sarang dengan mengunakan mesin penyedut di ladang di Lanchang, Pahang,
Ramai yang menganggap lebah kelulut tidak mampu mengeluarkan madu dengan banyak menerusi kaedah penternakan biasa.
Bagaimanapun, teknologi penternakan lebah kelulut yang diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya meningkatkan pengeluaran madu spesies lebah tersebut.
Kelulut merupakan antara spesies lebah yang tidak menyengat, menjadikan serangga tersebut mudah dikendalikan berbanding lebah madu biasa.
Hal demikian turut diakui pengusaha madu kelulut, Trigona Bee, Norlezah Baharom yang berjaya menternak lebah kelulut untuk mendapatkan madu serta propolis serangga tersebut.
Jelasnya, madu serta propolis lebah kelulut memiliki khasiat yang lebih baik berbanding lebah biasa.
"Sebelum ini saya mengusahakan ternakan lebah madu, namun setelah mendapati khasiat madu kelulut lebih baik maka saya bertukar kepada penternakan lebah jenis ini.
"Hasil daripada kerjasama, teknologi serta khidmat nasihat MARDI saya mampu memperolehi hampir dua kilogram (kg) madu daripada satu-satu koloni lebah kelulut," katanya.
Ujar Norlezah, jika menggunakan kaedah biasa adalah amat sukar untuk memperolehi madu kelulut sebanyak itu.
Norlezah mula berjinak-jinak dengan perusahaan madu kelulut hanyalah sebagai hobi. Namun setelah menerima permintaan yang tinggi dari kalangan ahli keluarga serta rakan-rakan akhirnya beliau mula mengusahakan madu lebah kelulut dengan lebih serius.
Berbekalkan pengalaman menternak lebah madu juga sebagai hobi sejak tahun 1997, akhirnya pada tahun 2005 Norlezah mendaftarkan perniagaannya menerusi bantuan serta khidmat nasihat MARDI.
Kini, permintaan madu lebah kelulut yang diternak olehnya mampu mencecah 100 botol sebulan menjadikan Norlezah tidak 'menang tangan'.
Bercerita mengenai lebah kelulut, katanya menerusi maklumat yang diperoleh daripada MARDI, sehingga kini hampir 33 spesies serangga tersebut telah dikenal pasti terdapat di Malaysia.
Lebah kelulut merupakan agen penting untuk proses pendebungaan di kawasan tropika, sub-tropika dan di bahagian-bahagian tertentu dunia.
Menurut kajian yang dijalankan di seluruh dunia, terdapat hampir 150 spesies lebah kelulut antaranya Trigona scaptotrigona, Trigona laeviceps, Trigona apicalis, Trigona thorasica, Trigona itama dan pelbagai lagi.
Antara negara yang dikenal pasti mempunyai lebah kelulut adalah Indonesia (37 spesies), Thailand (20 spesis), Myanmar (9 spesies), Vietnam (8 spesies), India (3 spesies), Taiwan (1 spesies) dan di Malaysia.
Lebah kelulut memiliki koloni yang besar dengan organisasi sosial yang sangat kompleks berbanding dengan lebah madu.
Senibina sarang lebah kelulut juga berbeza-beza mengikut spesies tertentu di mana ada sesetengahnya suka bersarang di dalam tanah, di dalam kayu sehinggalah di celah-celah belahan batu.
Sikap tersebut menunjukkan bahawa lebah kelulut memiliki perilaku yang kompleks menjadikan serangga tersebut sukar untuk diternak.
Malah, artikel ilmiah mahupun kajian mengenai lebah kelulut jarang ditemui kerana masih ramai yang tidak berminat untuk mengkajinya.
Kajian MARDI juga menunjukkan madu lebah kelulut mengandungi pelbagai jenis asid fenolik yang berguna untuk manusia.
Asid p-coumaric sebagai contoh mengandungi bahan antioksidan yang tertinggi dan dipercayai mampu mengurangkan risiko kanser perut dengan mengurangkan pembentukan bahan nitrosamin (karsinogen) diikuti asid protokatechuik dan asid vanilik.
Manakala asid fenilpropionik, sejenis bahan utama madu kelulut juga dikatakan mampu mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2) yang menyebabkan pembentukan radang semasa perkembangan kanser usus besar.
Bahan tersebut juga berkesan dalam menurunkan tahap kolestrol dalam plasma darah, hati juga mengurangkan trigliserida dalam darah.
Jelas Norlezah, kesedaran masyarakat mengenai kebaikan madu kelulut telah menyebabkan permintaan terhadapnya meningkat naik.
"Jika di peringkat awal masyarakat masih kurang tertarik kerana produk ini juga kurang di pasaran.
"Kini, permintaan madu kelulut diterima dari seluruh negara malah tidak ketinggalan pengguna dari luar negara seperti Timur Tengah," katanya.
Selain menghasilkan madu, lebah kelulut juga turut digunakan untuk meningkatkan hasil produk pertanian berasaskan buah kerana lebah kelulut merupakan agen pendebungaan utama kepada tumbuh-tumbuhan.

Wednesday, August 14, 2013

Tauke Musang King

Teks dan gambar Ramli Ibrahim
Kebiasaannya hanya golo­ngan lelaki mengusahakan dusun durian tetapi Tina Chong, 47, dari Kampung Pulai, dekat Gua Musang, Kelantan, membuktikan mampu mengusahakan dusun durian Musang King hingga memperoleh hasil lumayan.
Musang King atau durian Kunyit bukan saja terkenal di pasaran tempatan tetapi menembusi pasaran luar negara termasuk Singapura, Hong Kong dan China.

Ketika berusia 20 tahun, Tina mengusahakan dusun durian di kawasan seluas lapan hektar selepas gagal dalam bidang lain yang diusahakan.

Dia tekad pulang ke kampung untuk melupakan kisah pahit dan usahanya membuahkan hasil apabila dusun durian Musang King yang diusahakannya menjadi sebutan ramai.

Dia banyak menimba ilmu mengenai tanaman itu daripada rakan petani di Raub, Pahang dan Jabatan Pertanian Gua Musang sehingga muncul pengusaha wanita Kelantan pertama mengeluarkan durian Musang King.

“Pada mulanya saya hanya menanam beberapa jenis durian termasuk benih Bangkok dari Thailand selain durian kunyit. Apabila mengeluarkan jenama baru durian Musang King, saya terus melakukan pe­nyatuan benih kepada semua pokok.

“Kini, saya menanam 600 pokok durian sejak ia dimulakan pada 1987 dan mengeluarkan hasil 10 tahun kemudian,” katanya.

Menurutnya, jika 15 tahun lalu hasil duriannya sekitar 10,000 biji semusim, kini pengeluarannya bertambah kepada 30,000 biji dan berbuah dua kali setahun.

Tina terus menimba ilmu mempelajari teknik penanaman durian Musang King dan hasilnya tanaman itu berbuah dua kali setahun.

Pernah pokok duriannya tumbang dilanda ribut, mati dan diserang penyakit, namun dia tetap tabah.

“Dalam apa saja pekerjaan, pasti ada cabaran tetapi saya sudah biasa, malah menganggap durian Musang King mempunyai peminatnya tersendiri,” katanya.

Tina berkata, 300 daripada 600 pokok durian Musang King miliknya itu mula mengeluarkan hasil.

Setiap pokok durian itu berbuah antara 100 hingga 200 biji dan sejak akhir bulan lalu, dia dapat mengutip 200 biji sehari atau 1,000 biji sehari dalam tempoh sebulan lagi.

Dia mengakui terpaksa berada di dusun durian siang dan malam untuk mengawasi pokok miliknya termasuk memanjat pokok bagi mengikat buah durian.

“Ia bagi mengelak durian rosak apabila jatuh ke tanah hingga harganya jatuh akibat tidak bermutu.

“Pada saya kualiti buah perlu dijaga untuk memastikan pengguna mendapat apa yang dibayar,” katanya.

Harga durian terbabit masih kekal RM25 ­sekilogram dan lebih tinggi jika dieksport ke negara luar.

“Tidak sangka durian Musang King yang saya cipta itu terkenal hingga ke merata tempat, selain ada juga pengusaha cuba meniru apa yang saya lakukan itu,” katanya.

­Setiap musim durian, dia tidak menang tangan menerima tempahan daripada pemborong luar Kelantan.

Dia turut menerima dua anugerah wanita pertama menghasilkan durian Musang King di negara ini iaitu sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) dan MAHA 2012.

Bubu beri pulangan lumayan

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Pengalaman menyertai kumpulan nelayan menangkap udang kara menggunakan bubu berdekatan Sungai Musoh, Pengerang, Johor, begitu terkesan kepada penulis.
Betapa tabahnya mereka mencari rezeki menangkap udang bernilai tinggi di persekitaran perairan Johor. Inilah pengalaman penulis ketika menyertai Kembara Media 2013 anjuran Jabatan Perikanan, baru-baru ini.
Program itu meng­insafkan penulis kerana mereka mencari rezeki yang kadangkala tanpa memikirkan diri sendiri.

Perjalanan dari Hotel JA Resident, Johor Bahru, ke Jeti Sungai Rengit mengambil masa kira-kira sejam sebelum disambut pegawai dan kakitangan Pejabat Perikanan Daerah Pengerang.
FotoBUBU yang digunakan untuk menangkap udang kara.

Berbekalkan sebotol air mineral, roti sandwich dan sebuah topi, kami menaiki bot kecil sebelum dipindahkan ke bot nelayan lebih besar.

Ketika kami tiba, air surut dan bot yang memuat­kan 10 penumpang bergerak perlahan-lahan ke lokasi penangkapan udang kara di tengah laut.

Aktiviti mencari udang kara bukan tugas mudah kerana nelayan perlu mencari lokasi strategik, lubuk hidupan laut itu.

Udang kara gemar ikan, justeru, umpan ikan segar akan disang­kutkan pada mata kail dalam bubu.

Jika ada udang kara tersangkut, maka pendapatan nelayan pasti lumayan.

Ada masa-masa tertentu setiap nelayan mampu mendaratkan kira-kira tiga hing­ga empat kilogram udang kara yang boleh dijual kepada orang tengah sekitar RM80 sekilogram.

Tidak hairan jika pendapatan nelayan udang kara mencecah ribuan ringgit jika tangkapan mereka banyak.

Udang kara atau lobster atau nama saintifik­nya, panulirus versicolor mendapat permintaan tinggi terutama dalam kala­ngan pe­ngusaha hotel dan restoran makanan laut.

Setiap set hidangan udang kara boleh mencecah antara RM250 hingga RM300 berikutan permintaan yang tinggi berbanding penawarannya yang rendah.

Nelayan akan mening­galkan bubu untuk tempoh masa tertentu sebelum ditenggelamkan ke dasar laut. Ia ditandakan dengan pelampung me­ngikut warna.

Projek membina bubu ini dimulakan pada 2003 sebelum peralatan itu diperbaharui untuk memudahkan penangkapan udang kara dengan lebih efektif, selektif dan mesra sumber.

Hasil percubaan dilaksanakan di Kampung Su­ngai Musoh mendapati bubu dapat menangkap udang dengan kuantiti lebih tinggi berbanding peng­gunaan peralatan tradisional dikenali bintoh.

Dengan kos pembuatan­nya sekitar RM80 hingga RM90 se­unit, bubu udang kara dapat memberikan pulangan tinggi, selain menjimatkan masa operasi, kawasan operasi lebih luas dan nelayan boleh mengusahakan perkakas perikanan lain.

Secara purata, nelayan boleh memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Pengenalan inovasi ini menarik minat 50 bot yang membabitkan 100 nelayan berpangkalan di jeti nelayan Sungai Musoh menggunakan teknik ini.

Terdapat dua teknik penggunaan bubu iaitu tek­nik hanyut dengan bubu diletak tanpa menggunakan sauh dan diangkat apabila air laut pasang penuh.

Teknik kedua menggunakan sauh iaitu bubu diperam dan diangkat setiap kali air laut pasang penuh.

Kedua-dua teknik itu menggunakan umpan dan setiap bot mempunyai sehingga 30 unit bubu dengan kawasan penang­kapan sekitar lima batu nautika.

Harga udang kara dijual mengikut kualiti. Gred A membabitkan 200 gram ke atas berharga RM80 hingga RM100 sekilogram, Gred B pula 190 gram hingga 100 gram (RM60 hingga RM80 sekilogram) dan Gred C dengan 100 gram ke bawah (RM30 hingga RM50).

Setiap bot nelayan boleh mendaratkan tiga hing­ga 20 udang kara sehari.

Di Malaysia, nelayan masih bergantung kepada benih daripada sumber liar berbanding pembiakan di pusat penternakan.

Namun, Taiwan, Singapura, India dan Vietnam sudah lama mengamalkan kaedah pembangunan akuakultur.
Sumber:Harian Metro

Semuanya kudrat manusia

Oleh Noorazura Abdul Rahman
Terkenal dengan jolokan negeri jelapang padi, petani di Kedah kini mengambil inisiatif baru meningkatkan hasil dan kualiti padi menggunakan kaedah penanaman lebih baik.
Mereka menanam padi organik yang diusahakan Koperasi Agro Belantek Sik Berhad di sawah seluas 10 hektar di Lembah Organik Lentang di Sri Lovely, Kampung Lintang, Belantek, di sini.

Lembah itu mampu mengeluarkan hasil tiga kali setahun dengan kos yang murah serta beras berkualiti.

Padi yang dihasilkan bukan saja untuk menampung keperluan penduduk negara ini, malah mampu menjadi makanan ruji lebih sihat.
FotoPETANI sedang menanam padi organik.

Lebih membanggakan, padi organik mampu dihasilkan dengan lebih mudah menggunakan kaedah baja yang bebas daripada unsur racun, sekali gus menyihatkan.

Penggunaan bahan kimia mengakibatkan kerosakan pada struktur tanah hingga tidak subur, malah tanah sawah akan cepat kering kontang ketika ketiadaan air dan hujan.

Dengan menggunakan Sistem Intensifikasi Padi (SRI) iaitu setiap benih di dalam satu lubang ditanam antara jarak 30 sentimeter (sm) x 30sm, hasil pengeluaran padi melalui kaedah ini amat memberangsangkan.

Ini kerana ia mengeluarkan hasil sehingga 14 tan sehektar berbanding sekitar empat tan sehektar melalui kaedah lama.

Pengerusi Koperasi Agro Belantek Sik Berhad, Zakaria Kamantasha berkata, projek hasil bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) itu turut diselia Jabatan Pertanian.

Ia mendapat usaha sama daripada beberapa universiti tempatan seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, projek itu bermula pada Oktober 2010 daripada idea KEDA melalui Pengurusan Semula Kawasan (PSK) bagi membangunkan tanah terbiar sebagai kawasan penanaman padi organik.

“Penanaman padi itu tidak mengikut musim dan petani boleh mendapatkan hasil dengan lebih cepat.

“Kami hanya menggunakan baja dan racun organik.

“Selain baja kompos, kami menggunakan buah-buahan sebagai baja manakala racun menggunakan tumbuhan seperti akar tebu dan ubi gadung,” katanya.

Ubi gadung mempunyai racun alkaloid dioscorine yang larut dalam air dan juga diserap ke dalam tanaman padi.

Ia menyebabkan ulat batang tidak sempat membesar akibat keracunan hasil racun dikeluarkan ubi berkenaan.

Lebih menarik, makhluk perosak yang menjadi musuh utama pengeluaran padi sebelum ini seperti siput kundang dan gondang emas digunakan sebagai baja dalam meningkatkan pengeluaran padi ini.

Penanaman padi secara organik melalui kaedah SRI ternyata mempunyai sedikit cabaran apabila petani terpaksa menanam benih padi secara manual, selain menggunakan alat tradisional yang dipanggil landak untuk menggembur tanah.

Justeru, ia memerlukan tenaga kerja manusia untuk menggembur.

Menurutnya, kerja itu dilakukan oleh beberapa penduduk kampung yang juga ahli koperasi untuk memastikan pokok padi dapat tumbuh dengan sempurna.

“Kami menggunakan sistem landak dan ia adalah alat untuk memisahkan anak benih bagi membantu jumlah pengeluaran padi. Sistem itu digunakan selepas 10 hari dan sebutir benih padi ditanam akan dicambah menjadi 45 pokok anak padi.

“Inilah kelebihan sistem landak dalam penanaman padi organik. Anak padi yang dicambah daripada sebutir padi akan dipisahkan dengan alat sistem landak secara lebih mudah dan akarnya akan diputuskan melalui alat itu,” katanya.

Katanya, ia akan membantu pertumbuhan akar bagi penyerapan nutrien dengan lebih berkesan supaya semua daun dapat menjalankan proses fotosintesis dengan lebih aktif.

“Pada masa yang sama, ia digunakan untuk menarik dan membenam rumput kecil yang boleh mengganggu pembesaran pokok padi.

“Secara tepat jumlah pengeluaran hasil padi berjaya tingkatkan pengeluaran apabila ia mampu menghasilkan sehingga 14 tan metrik untuk satu hektar seperti yang pernah dihasilkan pada tahun lalu,” katanya.

Selain itu, beras organik juga mempunyai permintaan yang amat baik kerana saiznya lebih panjang dan bersih hingga ia mampu dijual dengan harga setinggi antara RM12 hingga RM20 sekilogram di pasaran tempatan.

Petani boleh melihat cara penanaman padi organik di Lembah Organik Lentang di Kampung Lintang, Belantek Sik.
Sumber:HArian Metro

Mangga ditanam cara pembiakan tampang

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Nama saintifiknya MurrMangifera indica L berasal daripada keluarga Anacardiaceae.
Foto
  • Mangga dipercayai berasal dari kawasan Indo-Burma dan berkemungkinan juga dari Asia Tenggara.
  • Kawasan utama tanaman di Malaysia adalah di Perak, Perlis dan Kedah, namun terdapat tanaman secara kecil-kecilan di negeri lain.
  • Mangga mendapat permintaan yang tinggi di pasaran dan ia sebagai makanan pencuci mulut yang sangat popular didalam kalangan rakyat Malaysia.
  • Buah mangga mengandungi khasiat tenaga, karbohidrat, kalsium, potasium, besi, Magnesium, Vitamin B1, B2 dan C, lemak, protein dan niacin.
  • Pokok mangga sederhana besar mencapai ketinggian sehingga 10 hingga 40 meter manakala dahan tumbuh secara bebas dan membentuk kanopi yang menyeluruh.
  • Daun mangga berbentuk eliptik mudah terus membujur, tersusun secara spiral, 10 hingga 40 sentimeter (cm) panjang dan 3 hingga 10 cm lebar.
  • Berdaun lebat berwarna merah ke coklat hingga ke hijau terang bergantung kepada klon.
  • Mangga mengeluarkan dua jenis bunga iaitu bunga hermoprodite dan bunga jantan di hujung tangkai yang dewasa.
  • Bunga hermoprodite biasanya mengandungi satu hingga 40 peratus daripada jumlah (200 hingga (10,000) bunga pada setiap tangkai.
  • Buah mangga terdapat dalam pelbagai saiz dan bentuk mengikut klon.
  • Kulitnya berwarna hijau ke kuningan atau merah ketika masak manakala isinya berwarna kuning pucat hingga ke warna oren.
  • Setiap buah mengandungi biji yang dilitupi endokap bersabut keras.
  • Kebanyakan jenis mangga di Asia Tenggara terdiri daripada poliembryonik iaitu mengeluarkan beberapa biji daripada satu buah.
  • Buah yang belum masak boleh dibuat rojak atau jeruk, ini termasuk dikeringkan, diproses menjadi jus, jam dan sebagainya.
  • Kebiasaannya biji berbentuk ovat dan keadaan biji lazimnya penuh dan separuh penuh, selain terdapat juga biji yang kesep.
  • Sehingga kini hanya empat klon saja yang disyorkan untuk penanaman secara komersial di Semenanjung Malaysia. Antara klon yang disyorkan adalah MA 162, MA 165, MA 204 dan MA 224.
  • Tanaman mangga sesuai dalam keadaan kering agak panjang (antara 2 hingga 4 bulan) dan ketika suhu berada sekitar 24 hingga 30 darjah Celsius.
  • Hujan diperlukan ketika berbunga dan pembentukan buah.
  • Mangga boleh ditanam di pelbagai jenis tanah, terutama tanah daripada jenis liat berpasir dengan pH 5 hingga 7.
  • Di Malaysia jenis tanah yang sesuai adalah daripada siri chuping, dampar, gajah mati, Kangar, Penambang, Rasam dan Telemong.
  • Mangga juga boleh ditanam di tanah bekas lombong, tetapi persediaan dan penjagaan rapi perlu dititikberat.
  • Mangga pada kebiasaannya ditanam secara pembiakan tampang, tut atau kaedah klip (cleft method) supaya pokok yang ditanam akan menyerupai pokok asal dan mengeluarkan hasil dengan cepat.
  • Jarak tanaman yang biasa digunakan adalah sistem empat segi dari 7.5 meter X 7.7 (178/pokok/hektar) hingga 10 m X 10 m (100/pokok/hektar) bergantung kepada klon.
  • MA 224 biasanya ditanam rapat jika dibandingkan dengan MA 165, MA 162 dan MA 204.
  • Cantasan dilakukan dengan kerap di semua peringkat pertumbuhannya.
  • Di peringkat permulaan, cantasan membentuk w dilakukan supaya dapat mengawal ketinggian pokok ke tahap yang dikehendaki dan untuk mendapatkan dahan yang kuat dan pengeluaran yang baik.
  • Pokok yang matang juga dicantas selalu supaya dapat mengurangkan pertumbuhan yang keterlaluan dan memastikan pembungaan yang maksimum.
  • Membungkus buah dilakukan sebagai prosedur biasa dan boleh dilakukan menggunakan kertas surat khabar lama ketika buah sebesar ibu jari untuk mengurangkan penggunaan bahan kimia dan untuk mendapatkan kualiti buah yang baik.
  • Program secara koktail penyemburan racun serangga, kulat dan foliar boleh dipraktikkan.
  • Pengairan sangat penting pada musim kemarau pada tahun pertama pertumbuhan (juvenile phase) dan ketika pembesaran buah.
  • Mangga mengambil masa 13 hingga 16 minggu untuk matang dari masa pembentukan buah bergantung pada klon.
  • Panduan peringkat memungut hasil adalah pertamanya buah mencapai umur yang ditetapkan untuk beberapa klon dan isi berwarna kuning.
  • Bahagian atas buah membengkak dan bulat dan leper dan hujungnya seakan-akan berisi dan buah yang sudah dipetik tenggelam dalam air (cara apungan).
  • Mengutip hasil hendaklah dijalankan dengan cermat dan jika boleh gunakan galah yang berjaring untuk mengelak daripada mencederakan buah.
  • Mangga yang dipetik boleh disimpan selama 4 hingga 9 minggu pada suhu 9 hingga 10 darjah Celsius, manakala buah yang masak boleh disimpan 4 hingga 7 hari dalam suhu 18 hingga 21 darjah celsius.Sumber:Harian Metro
  • Burung unta haiwan unik

    Oleh Suliati Asri
    Peluang menunggang dan melihat sendiri perlumbaan burung unta sesuatu yang cukup berharga.
    Melengkapkan lagi kunjungan, merasai sendiri keenakan sate burung unta yang jarang didapati membuatkan peserta Negeri Sembilan Food Trail 2013 pulang dengan senyuman.
    Tersenarai sebagai lokasi kedua program anjuran Tourism Malaysia Negeri Sembilan itu, lawatan ke pusat burung unta di Jelita Ostrich Farm dekat Jalan Pantai, Seremban membawa seribu erti buat kami.

    Dibuka pada 1997, Jelita Ostrich Farm ini memberi peluang pengunjung melihat sendiri antara burung terbesar di dunia ini serta mengenali lebih dekat haiwan unik ini.
    FotoJELITA Ostrich Farm tawar pengalaman penuh bermakna.

    Walaupun sudah 16 tahun beroperasi, masih ramai yang tidak mengetahui kewujudannya termasuklah warga tempatan.

    Pengurus Haiwan Jelita Ostrich Farm, Syed Azlan Syed Abdul–lah berkata, masih ramai yang tidak tahu kewujudan Jelita Ostrich Farm ini yang dikomersialkan untuk pelancong dalam dan luar negara.

    “Penduduk di Seremban sendiri tidak tahu mengenai ladang ini yang menyediakan pelbagai aktiviti pembelajaran mengenai burung unta,” katanya.

    Menurutnya, pe­ngunjung bukan saja dapat melihat dan memegang sendiri haiwan unik ini, malah menonton perlumbaan burung unta yang ditunggang kakitangan ladang ini.

    “Burung unta adalah haiwan unik yang sangat sensitif. Ia suka dibelai, tetapi bertindak agresif jika berasa dirinya diganggu.

    “Selain burung unta, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai haiwan lain termasuk rusa dan kuda.

    Selesai sesi penerangan daripada Syed Azlan, kami memulakan penerokaan di ladang yang cukup tenang ini.

    Peluang berdiri di atas telur burung unta memang mengujakan. Saat itu, masing-masing kagum melihat ketahanan telur burung unta dan sibuk meminta mengambil gambar.

    Mahu merasai sesuatu yang berbeza? Menunggang burung unta antara aktiviti yang cukup menyeronokkan.

    Sebelum sesi menunggang burung unta, pengunjung perlu mendengar taklimat bagaimana cara yang betul untuk duduk di atas burung unta.

    Ini kerana jika tersalah teknik, pengunjung boleh jatuh.

    Sebagai bukti keberanian pengunjung menunggangnya, pengurusan ladang itu memberi sijil penghargaan sebagai kenang-kenangan.

    Perasaan takut, tetapi ingin mencuba memberi kekuatan kepada penulis menunggang burung gergasi ini. Dengan cara yang betul, akhirnya penulis menamat­kan tiga pusingan di kandang yang kecil itu.

    Secara jujur, penulis amat teruja dan bertuah mendapat peluang itu, malah riuh rendah peserta melihat perlumbaan itu yang menceriakan suasana.

    Selesai aktiviti, kami dijamu sate burung unta yang jarang dijumpai. Rasanya memang unik dan sedap.
    Sumber:harian metro

    Monday, July 22, 2013

    Durian belanda rawat kanser

    Foto
    Durian belanda atau nama botaninya Annona muricata L daripada famili Annonaceae dipercayai berasal dari Amerika Selatan.
  • Hidup subur di atas tanah jenis lom liat berpasir, pH tanah antara lima hing­ga tujuh dan bersaliran baik.
  • Ia jenis tanaman bermusim dengan kemuncak pengeluaran pada November, Disember dan Januari.
  • Negara pengeluar utama ialah Filipina, Indonesia, Malaysia dan Vietnam.
  • Kawasan tanaman utama di Malaysia ialah Perlis, Johor, Pahang, Perak dan Sabah.
  • Durian belanda me­ngandungi fosforus, kalsium, vitamin B dan C yang baik untuk rawatan demam panas dan bengkak hati.
  • Kebiasaannya dimakan segar dan dibuat jus minuman.
  • Durian belanda mempu­nyai saiz sederhana besar, kulitnya berduri lembut, isi buah berwarna putih dan rasanya masam-masam manis.
  • Ia biasanya dimakan segar ataupun boleh diproses untuk dijadikan jus.
  • Jarak tanaman yang di­syorkan di ladang adalah 6 meter x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama.
  • Ia boleh dibiak menggunakan biji benih atau kaedah pembiakan tut atau pembiakan secara aseks.
  • Kajian Universiti Hawaii dan Universiti Purdue mendapati durian belanda yang buahnya berkulit lembut, durinya jarang dan tidak tajam, mampu merawat dan mengelakkan seseorang daripada mendapat kanser dan menyuburkan pasa­ngan inginkan zuriat.
  • Dari segi perubatan moden, kajian mendapati, bahan yang terkandung di dalam buah durian belanda ini boleh digunakan sebagai aktibakteria, antikanser, antitumor, astrigen dan penyakit saraf.
  • Durian belanda mengandungi bahan amyloid, asid sitrik, fruktosa, manganese, sukrosa, reticuline dan tannin.
  • Durian belanda perlu di­kendalikan dengan sebaik­nya bermula daripada amalan ladang, pengendalian lepas tuai hingga ke peringkat pemasaran.
  • Penuaian dilakukan apabila buah mencapai kematangan optimum yang kebiasaannya dua hingga tiga bulan selepas berbunga dan akan masak dua hingga tiga hari selepas dipetik.
  • Durian belanda yang disimpan pada suhu 15 darjah celsius dengan kadar kelembapan relatif 85 hing­ga 95 peratus boleh mengekalkan kualiti dan memanjangkan jangka hayat sehingga satu hingga dua minggu.
  • Penguatkuasaan Peraturan (Penggredan, Pembung­kusan dan Pelabelan hasil keluaran pertanian) 2008 atau GPL oleh FAMA adalah untuk memastikan semua keluaran pertanian perlu digred, dibungkus dan dilabel sebelum dipasarkan.
  • Objektif peraturan ialah untuk memastikan semua hasil berkualiti dan selamat dimakan.
  • Dikelaskan kepada tiga gred bergantung kepada spesifikasi dan kelonggaran merangkumi Premium, Gred 1 dan Gred 2.
  • Spesifikasi untuk Gred Premium adalah ia hendaklah daripada varieti yang sama, segar dan bersih, mempunyai saiz dan kematangan seragam.
  • Selain itu ia juga hendaklah bebas daripada kecacatan atau kerosakan.
  • Gred 1 pula hendaklah daripada varieti sama, segar dan bersih, mempu­nyai saiz dan kematangan seragam serta hendaklah hampir bebas daripada kecacatan atau kerosakan.
  • Gred 2, ia hendaklah daripada varieti sama, segar dan bersih, mempunyai saiz dan kematangan seragam dan agak bebas daripada kecacatan atau kerosakan. 
  • Sumber: harian metro online 23/7/13
  • Hidangan ala Thai, Cina

    Oleh Mohd Sabran Md Sani
    Di suatu sudut kolam memancing tertera beberapa spesies ikan air tawar yang menjadi daya tarikan pengunjung Fish Valley Semenyih Sdn Bhd.
    Kolam memancing di Sri Haneco Industrial Park, Jalan Kachau, Semenyih itu menempat­kan pelbagai spesies ikan seperti tilapia, kap rumput, tongsan hitam, kap kepala besar, rohu, haruan, likoh, baung dan belida.
    Turut terdapat dalam kolam seluas 18 hektar itu adalah ikan jelawat, lampam jawa, pacu dan ikan hantu.

    Penulis berpeluang melihat proses pembersihan ikan tilapia daripada pemilik kolam itu, Hanim Raduan, baru-baru ini.
    FotoSEORANG pemancing, Teoh Pick Loong, 27, bersama ikan patin diperoleh dari kolam tangkap dan lepas.

    Kaedah mematikan ikan tilapia cukup unik kerana bahagian kepala dan insang ikan dicucuk menggunakan pisau kecil.

    Ini bagi menyelamatkan struktur ikan segar supaya daging ikan sedap apabila dimasak.

    Hanim memberi petua punca ikan hanyir, antaranya masalah air, lumpur berlebihan, faktor makanan dan cuaca.

    Tidak sampai 10 minit, ikan tilapia merah yang diternak dalam kolam itu siap dibersihkan dengan setiap seekor mempunyai berat antara 800 gram hing­ga satu kilogram.

    Rombongan kami disajikan dengan 10 jenis masakan ala Thai dan Cina.

    Antara hidangan pembuka selera ialah ikan goreng tiga rasa, ikan goreng ‘Pat Cha’, ikan goreng masam kacang, ikan goreng sos pekat (labu), ikan baung Keng Song, telur goreng gaya Thai dan sotong goreng telur masin.

    Selain itu, kami turut dihidangkan ikan goreng serai, ikan goreng ‘Lap’ dan air sirap.

    Aktiviti itu antara disediakan di kolam memancing berkonsepkan Agro Pelancongan diusahakan pemenang Anugerah Penternak Ikan Jaya Kebangsaan 2011.

    Bermodalkan kira-kira RM800,000, bekas kakitangan kerajaan itu tidak menyesal berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada perniagaan baru itu.

    Melihat kepada gaya berpakaian, tidak siapa menyangka pemegang lesen ‘flying fox’ itu pernah menjadi tenaga pengajar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kini usahawan berjaya.

    Konsep agro pelancongan mula diperkenalkan Selangor Tourism dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor, dua tahun lalu.

    Pembukaan kolam restoran juga adalah usaha jabatan berkenaan mempromosikan produk ikan air tawar kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

    Ia sekali gus menjadikan Fish Valley pusat pengumpulan dan makanan air tawar merangkumi tiga kolam memancing, 16 kolam ternak dan sebuah restoran ikan air tawar.

    Hanim berkata, pembabitannya dalam dua program kerajaan termasuk Biro Tata Negara (BTN) dan PLKN mencetuskan minatnya membuka kolam memancing Fish Valley berkonsep­kan agro pelancongan.

    “Pada awal pembabitan, saya hanya memiliki beberapa kolam ikan. Perniagaan kemudian dikembangkan kepada skala lebih besar termasuk me­nyediakan aktiviti lasak dan berkhemah.

    “Kalau dulu hanya ada aktiviti memancing ikan, kini sebuah restoran berkonsepkan masakan ‘Thailand Food dan Chinese Food’ juga sedia menerima tempahan pengunjung,” katanya.

    Selain memancing, pe­ngunjung juga berpeluang menjaring ikan secara berkumpulan menerusi pakej disediakan bernilai RM400 untuk lima orang termasuk makan tengah hari.

    “Pakej ini sangat istimewa kerana pengunjung dapat merasai pengalaman menjaring ikan di dalam kolam.

    “Kami akan mempraktikkan cara menjaring dan menarik ikan dan ada yang bernasib baik akan melalui pengalaman dilanggar ikan,” katanya memberitahu, pakej itu sangat digemari pelancong Jepun dan Singapura.

    Katanya, konsep pancing dan lepas yang dilaksanakan dalam kolam memancing itu untuk memastikan bekalan ikan mencukupi.

    “Ada ikan mempunyai berat antara 10 hingga 90 kg seekor. Jika bernasib baik, mereka dapat memancing ikan arapaima atau ikan keli Mekong.

    “Biasanya tempoh 40 minit memancing, barulah umpan mengena,” katanya memberitahu, pakej itu berharga RM35 bermula dari jam 7 pagi hingga 7 petang setiap hari.

    Bagi yang berminat untuk membawa pulang ikan dipancing, kolam khas juga disediakan untuk pengunjung.

    “Ikan ini akan ditimbang berdasarkan harga dan beratnya dan jika ada yang mahu kami masak untuk mereka, perkhidmatan itu juga disediakan,” katanya.

    Menurutnya, aktiviti ‘jungle trekking’ dan tapak aktiviti keluarga ditawarkan menerusi pakej bermalam dalam hutan.

    “Untuk pakej perkhemahan, bayaran dikenakan mengikut jumlah peserta, biasanya RM60 seorang.

    “Harga masih boleh dirunding asalkan pe­ngunjung bersetuju. Jika ada yang mahu membuat aktiviti memanggang ikan atau kambing, semua kemudahan akan disediakan,” katanya.

    Katanya, bagi mengelak pengunjung bosan, mereka menyediakan pakej dalam hutan 24 jam, jungle trekking dan pelbagai aktiviti lain.

    “Jika mahu memancing pada waktu malam, Fish Valley Sdn Bhd me­nyediakan kemudahan itu,” katanya.

    Untuk menunggang kenderaan ATV, acara sukan itu disediakan di sekitar kolam memancing termasuk meredah hutan.

    Hanim berkata, restorannya mempunyai tukang masak berpengalaman untuk menyediakan pelbagai hidangan berkonsepkan Thai dan Cina.

    “Kami mempunyai 27 menu ikan air tawar yang menyelerakan. Berbanding spesies ikan air tawar lain, ikan tilapia merah paling mendapat permintaan.

    “Setiap minggu ada saja menu baru dicipta tukang masak untuk memenuhi cita rasa pelanggan,” katanya.

    Perancangan masa depan, Fish Valley Sdn Bhd berhasrat membina 60 chalet di atas bukit berdekatan kolam memancing.

    Menyentuh mengenai industri penternakan ikan air tawar, katanya, dia menggunakan konsep pulangkan yang lama dan gantikan yang baru jika ada ikan tilapia dijual berbau hanyir.

    Bagaimanapun, keadaan itu katanya jarang berlaku kerana konsep penternakan ikan tilapia sangat istimewa. Ia menggunakan air bukit.

    “Ini bagi memastikan ikan tilapia kami lebih bersih dan sihat,” katanya.

    Hanim berkata, syarikatnya mengeluarkan kira-kira 11 tan ikan tilapia merah sebulan selain ikan baung dan jelawat.

    “Permintaan terhadap ikan tilapia banyak diterima daripada restoran Cina.

    “Untuk memastikan bekalan mencukupi, saya memperkenalkan konsep ladang kontrak ikan tilapia merah,” katanya.

    Seekor ikan tilapia seberat 800 gram boleh dinikmati seramai empat orang dengan satu sajian mencecah RM60.

    Dia juga membekal­kan dua tan ikan tilapia merah sebulan untuk pasaran Singa­ pura.

    Cari Maklumat anda di sini

    Google
     
    Related Posts with Thumbnails