Showing posts with label Teknologi. Show all posts
Showing posts with label Teknologi. Show all posts

Wednesday, March 3, 2010

Saintis rayu Najib selamatkan hasil kajian pertanian RM16 juta

TASEK GELUGOR - Seorang penyelidik yang pernah menghasilkan nangka madu terbesar di dunia merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelamatkan hasil kajian buah-buahan tropika yang dianggarkan bernilai RM16 juta daripada dimusnahkan.

Prof. Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz berkata, penyelidikan ke atas pelbagai jenis buah-buahan antaranya nangka, roselle, durian belanda dan pulasan itu dijalankan di atas tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), seluas kira-kira 12 hektar di Kampung Paya Tok Akil di sini sejak 2003.

Katanya, bagaimanapun Perda telah meminta tanah itu dikosongkan dengan notis 14 hari daripada mahkamah yang berakhir hari ini dengan alasan untuk memajukan kawasan tersebut.

Kawasan itu tambahnya, jika dimajukan hanya memberi manfaat kepada penduduk sekitar sedangkan benih baru buah-buahan itu boleh dinikmati oleh rakyat seluruh negara.

''Sudahlah selama ini saya tidak mendapat sebarang bantuan sewajarnya untuk menjalankan kajian yang hasilnya telah pun dimanfaatkan apabila ramai pengusaha tanaman nangka madu berjaya menjana pendapatan dan ada juga yang dieksport.

''Secara kebetulan pula, belum ada lagi saintis di negara ini yang berpengalaman seperti saya dalam mengendalikan kacukan buah-buahan tropika serta menghasilkan benih baru seperti yang mampu memberi faedah kepada industri buah-buahan baik untuk pasaran tempatan dan luar negara.

''Saya merayu kepada kerajaan dan Perda untuk membantu dalam hal ini dan fikirkan manfaat yang diperoleh daripada kajian ini dan saya juga tidak mahu mengaut apa-apa keuntungan, saya hanya mahu tempat ini dikekalkan. Jika Perda nak ambil hasilnya pun saya tidak kisah," katanya di sini hari ini.

Bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu telah menghasilkan kultivar nangka madu Mastura CJ-USM 2000 yang boleh menghasilkan buah pertama dalam tempoh 18 bulan dengan berat boleh mencecah sehingga 25 kilogram dengan kerjasama syarikat swasta sebelum ini.

Nangka madu Mastura itu dihasilkan melalui proses kacukan dan ia boleh menghasilkan buah yang terbaik seperti saiz buah yang besar, warna isi kuning keemasan, keharuman aroma, rasa rangup, saiz ulas yang besar dan isi yang tebal.

Menurut Zainal Abidin, sepanjang tempoh berkenaan, lebih 20 jenis benih baru telah berjaya dihasilkan daripada buah-buahan tersebut dan kajian baru yang terkumpul itu tidak ternilai harganya dengan wang ringgit dari segi biodiversiti dan ia boleh dikelaskan sebagai harta negara.

Jelasnya, usaha yang dijalankan di atas tanah dengan bayaran sewa bulanan itu bertujuan memajukan pertanian kerana negara mempunyai potensi besar dalam bidang tersebut sekali gus tidak perlu lagi mengimport benih dari negara luar.

Sementara itu, wakil Pusat Penasihat Undang-undang Majlis Peguam Pulau Pinang yang mewakili Zainal Abidin, Harryzan Yaakub berkata, pihaknya berjaya mendapatkan permohonan mengetepikan kehakiman ingkar dan penangguhan pelaksanaan kehakiman daripada Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

''Mahkamah Sesyen telah menetapkan 17 Mac ini untuk mendengar permohonan kami dan pada masa sama Mahkamah Tinggi juga telah menerima permohonan writ saman dan injunksi pihak kami dan mereka memberi tempoh lapan hari kepada Perda untuk memfailkan notis kehakiman," ujarnya.

Saturday, November 28, 2009

'Transformasi sektor pertanian'


Latihan kemahiran, program jana pendapatan tangani miskin tegar: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, satu transformasi ketara dalam sektor pertanian perlu dilaksanakan berikutan keupayaan sektor itu untuk menjana ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin bahawa sektor itu berupaya dimantapkan dan diperkukuhkan untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menjana ekonomi negara, sekali gus menjadi paksi ketiga pertumbuhan ekonomi atau 'Third Engine of Growth'.

"Sektor pertanian adalah antara sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, satu transformasi ketara dalam sektor ini perlu dilaksanakan dan ia perlu bermula daripada peringkat tanaman hingga ke pemasaran hasil pertanian," katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kebangsaan kali ke-36 di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Najib yakin transformasi sektor pertanian dapat dilaksanakan dengan adanya Dasar Agro Makanan Baru yang sudah digubal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memajukan lagi sektor agro makanan supaya negara boleh mencapai Imbangan Dagangan Makanan yang positif menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, dengan sokongan peladang, penternak dan nelayan serta komitmen kerajaan yang ada sekarang, tidak mustahil transformasi sektor pertanian ini boleh dilaksanakan dengan jayanya.

"Menyedari pentingnya sektor pertanian maka dalam Bajet 2010, sektor ini diberi peruntukan yang besar, iaitu sebanyak RM6 bilion dengan tujuan meningkatkan sumbangan pertanian kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Katanya lagi, antara lain peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf dan membaik pulih sistem infrastruktur pengairan dan saliran di dalam dan di luar jelapang padi yang akan dinikmati lebih 180,000 petani dengan peruntukkan sebanyak RM137 juta.

Selain itu, katanya, melaksanakan projek Empangan Paya Peda di Terengganu untuk Skim Pengairan Padi di Besut yang memberi kemudahan kepada ramai pesawah dengan peruntukkan sebanyak RM70 juta.

Najib berkata, kerajaan akan menyediakan lebih banyak premis perniagaan di lokasi yang strategik bagi meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar.

"Bagi tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan kepada UDA Holdings Berhad sebanyak RM30 juta ringgit untuk membina kedai desa di seluruh negara," katanya.

Selain daripada membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup peladang, penternak dan nelayan, beliau berkata, kerajaan juga prihatin terhadap kesukaran rakyat, terutama kos sara hidup yang kian meningkat.

Justeru, katanya, kerajaan komited untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar pada 2010 dengan menyediakan peluang latihan kemahiran dan program penjanaan pendapatan bagi menangani kemiskinan tegar.

"Antara langkah utama yang akan dilaksanakan adalah mengagihkan bantuan kebajikan Persekutuan pada hari pertama setiap bulan serta meneruskan Skim Program Lonjakan Mega. Program ini akan dapat mengeluarkan 5,600 keluarga daripada kemiskinan
tegar," katanya.

Sunday, September 7, 2008

Galah sambung untuk pemilik dusun


pelbagai jenis pisau yang dijual di syarikat ReachAll bagi memenuhi permintaan petani.


Ramai pekebun tidak kira sama ada yang menanam komoditi seperti kelapa sawit, kopi, koko atau dusun seperti rambutan, petai atau manggis memang menghadapi masalah mengait buah.

Mereka memerlukan galah yang panjang, biasanya diperbuat daripada buluh dan berbahaya semasa menggunakannya.

Justeru sebuah syarikat ReachAll ASDePro Enterprise telah berjaya menghasilkan galah yang bukan saja ringan tetapi juga boleh disambung sehingga mencecah 15 meter (45 kaki).

Pegawai ReachAll, Jefri Ishak berkata, galah itu mendapat permintaan yang amat menggalakkan daripada pekebun dan pemilik dusun.

“Galah sambung serbaguna ini sesuai digunakan oleh pekebun-pekebun kecil yang mempunyai kebun yang jauh dari rumah.

“Tentu saja mereka sukar membawa galah yang panjang di belakang motosikal dan juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya semasa ditemui pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2008 di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Setiap set galah sepanjang lima kali boleh disambung sehingga mencapai 15 meter mengikut keperluan pengguna.

Malah galah daripada campuran aluminium aloi yang berkualiti tinggi ini dapat dimuatkan dalam beg bagi memudahkannya dibawa dan disimpan.

Jefri menambah, set galah yang lengkap dengan getah pemegang dan beg bagi memudahkannya dibawa serta simpan malah mengelakkannya daripada kecurian.

“Set galah ini memudahkan kerja-kerja mengait bermula dengan ketinggian lima kaki dan boleh dipanjangkan dengan mudah dan cepat kerana lebih ringan.

“Galah sambung serbaguna ini boleh digunakan dalam pelbagai keadaan dengan menyambung di penghujungnya," katanya.

Sekiranya salah satu daripada galah rosak, pengguna hanya perlu membukanya dan pasang dengan yang lain dan kerja-kerja boleh diteruskan.

Pemasangan galah berkenaan juga amat mudah iaitu anda hanya perlu sisip, pusing dan klik. Begitu juga untuk membukanya.

“Selain galah, ReachAll juga memasarkan pisau sawit, pisau bunga sawit, pisau pinang, penyapu sawang, kacip rambutan, pisau kelapa dan gergaji dahan,” katanya.

Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat mengenai galah serbaguna ini bolehlah menghubungi ReachAll di 05-8914134 atau e-mel: asdepro@ spptsb.com atau laman web http://galahsambung.blogspot.com

(Petikan Utusan Online Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN)

Thursday, July 31, 2008

Sistem Peribact untuk ternakan udang


Ujian dalam makmal menunjukkan air yang dipenuhi Peribact (kiri) berbanding tanpa Peribact.


Keperluan sumber perikanan negara perlu dipertingkatkan lagi sesuai dengan fungsinya sebagai antara pembekal utama sumber protein.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pengeluaran perikanan disasarkan sebanyak 2 juta tan metrik dengan tumpuan kepada bidang akuakultur dengan sasaran sebanyak 600,000 tan metrik.

Menjelang tahun tersebut, sasaran pengeluaran beberapa komoditi utama akuakultur ialah air tawar sebanyak 200,000 tan metrik, udang laut (150,000), ikan laut (120,000), kerang-kerangan (130,000).

Selain itu, beberapa komoditi lain seperti ikan hiasan disasarkan pengeluarannya sebanyak 860 juta ekor dan rumpai laut sebanyak 128,100 tan metrik.

Dengan tumpuan tersebut, industri pengeluaran akuakultur berdepan dengan cabaran besar untuk meningkatkan pengeluaran, apatah lagi adanya masalah baru, stok sumber laut akan kehabisan kerana masalah lain antaranya pencemaran dan habitat yang diganggu.

Industri akuakultur bagaimanapun menghadapi masalah antaranya, kekurangan benih yang berkualiti, kemerosotan mutu air dan pemakanan di samping pengurusan yang tidak mementingkan penjagaan alam sekitar.

Seorang penyelidik dalam bidang akuakultur tempatan, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff menawarkan satu kaedah yang boleh dimanfaatkan oleh pengusaha akuakultur.

Kaedah tersebut diperkenalkan dalam satu sistem penjagaan kualiti air terutama tangki untuk penetasan udang iaitu membersihkan air daripada masalah keracunan kandungan ammonia dan nitrit yang tinggi.

“Kita dapati masalah di kolam penetasan udang disebabkan oleh benih udang berkualiti rendah, penyakit dan dan kadar hidup juga rendah antara 30 dan 40 peratus.

“Mengapakah ini berlaku,?'' soalnya yang juga pakar dalam penyelidikan ekologi akuatik, kualiti air dan pengurusan sistem akuakultur.

Masalah tersebut menurut beliau disebabkan antaranya air yang tercemar disebabkan bahan beracun seperti ammonia, pemakanan bermutu rendah dan penggunaan antibiotik

Oleh itu, bagi mengatasinya, ia memerlukan pendekatan baru yang mementingkan pengurusan sistem yang mapan dan mementingkan penggunaan bahan organik.

Justeru, menerusi penyelidikan yang dijalankan melibatkan beliau dan beberapa saintis serta pelajar sejak enam tahu lalu melibatkan geran dari Tumpuan Penyelidikan dalam Bidang Keutamaan (IRPA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ketika itu, dan juga Direktorat Bioteknologi Kebangsaan (NBD) hampir RM1 juta.

Fatimah yang juga Pengarah Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata, penyelidikan tersebut dinamakan Kompleks Peribact memanfaatkan perifiton sejenis mikroalga yang digabungkan dengan bakteria kompleks yang dipencilkan di negara ini.

Mikroalga tersebut yang menjadikan makanan anak udang selain menyingkirkan ammonia daripada air ternakan tangki.

Bakteria dan mikroalga tersebut pula kaya dengan kandungan protein dan Omega- 3 yang tinggi untuk dijadikan makanan udang.

Kelebihan-kelebihan tersebut memberikan harapan baru kepada bidang akuakultur atau ternak air, yang diharap dapat mendorong lebih ramai pengusaha menceburkan diri.

Ini kerana, penggunaan sistem tersebut tidak semestinya memerlukan pengusaha yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang sains dan teknikal sebaliknya mereka hanya perlu mematuhi kaedah penggunaan yang disyorkan.

Oleh itu, pengusaha tidak perlu menukar air ternakan di pusat penetasan setiap hari untuk membuang sumber pencemaran seperti ammonia dan nitrit dan ini mengurangkan kos tenaga buruh.

Selain itu, penukaran air yang terlalu kerap mendedahkan ternakan kolam kepada pencemaran dan penyakit yang dibawa oleh air berkenaan.

Satu set Peribact mempunyai set botol Peribact Osci, Peribact -Diat, campuran bakteria and medium kultur

Kaedah penggunaan:
- Kulturkan Peribact -Ocsi (guna panel sebagai substrat) dan Perbact Diat (guna rings sebagai substrat ) di dalam bekas yang berlainan dengan menggunakan medium kultur yang disediakan sehingga perifiton tumbuh di atas panel dan 'rings (mengambil masa lebih kurang tujuh hari).
- Masukkan penal dalam tangki Peribact Osci dan rings dalam Peribact Diat. Masukkan air untuk kultur, bakteria dan stok larva udang. Pasangkan lampu dan pam untuk mula operasi kultur.

Peribact tersebut bukan sahaja mudah digunakan tetapi juga berkesan untuk membersihkan air.

Tambahan pula menurut Fatimah, penggunaan alga berkenaan dapat mengurangkan pergantungan kepada artemia iaitu sejenis makanan hidup yang diimport untuk makanan larva atau anak ikan.

Tambahan pula katanya, artemia dianggap tidak sesuai kerana saiznya agak besar untuk makanan larva udang yang kecil.

“Dengan menggunakan Kompleks Peribact ini, kita dapati kepekatan ammonia dalam air ternakan larva rendah hampir sifar,” ujarnya.

Malah, kadar kematian larva udang juga berkurangan dengan kadar hidup ditingkatkan.

Dengan ujian kepada stres iaitu menggunakan saliniti (kemasinan) air yang berbeza, anak udang dapat bertahan menunjukkan ia kuat, sekali gus mengelakkan kematian apabila dipindahkan ke dalam kolam pembesaran.

“Inilah penemuan kita dan saya percaya teknologi yang menggunakan bahan organik untuk pengurusan mutu air dan meningkatkan hasil udang merupakan yang pertama di dunia,” ujar Fatimah lagi.

Beliau berkata, produk tersebut sedang proses untuk dipasarkan kepada pengusaha akuakultur yang berminat untuk meningkatkan pengeluaran udang.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails