Ketua Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Mohd. Hisham Mulyoto berkata, langkah itu selaras dengan arahan Kerajaan Pusat yang melarang pengusaha gerai ayam melakukan aktiviti penyembelihan dan pemprosesan di kawasan pasar awam.
Menurutnya, ketiadaan aktiviti tersebut akan dapat meningkatkan lagi tahap kebersihan di kawasan pasar di samping menghindarkan penularan wabak termasuk selesema burung.
‘‘Sudah sampai masanya para pengusaha perlu bersatu dan mewujudkan sebuah konsortium pusat penyembelihan yang terletak berjauhan dari pasar demi kepentingan bersama,” katanya pada perjumpaan dengan 30 pengusaha gerai ayam berkenaan di sini semalam.
Perjumpaan itu diadakan ekoran kegagalan mereka mematuhi arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dikeluarkan pada April 2006 agar menghentikan aktiviti penyembelihan dan pemerosesan ayam di pasar tersebut.
Akibat kegagalan itu, setiap pengusaha telah dikenakan kompaun RM500 oleh MPK pada 24 Disember tahun lalu selepas beberapa arahan yang dikeluarkan sejak 7 Julai tahun berkenaan tidak dipatuhi.