Jika 12 tahun lepas mata pena menjadi ‘senjata’ utamanya untuk mencari rezeki dan bidang pertanian pula sumber pendapatan sampingan, kini lain pula ceritanya apabila Mohamad Feisal Mohamad Norawi bertekad menjadikan penanaman vanila sebagai punca utama pendapatan.
Pengusaha berusia 37 tahun itu yang pernah bertugas sebagai wartawan sebuah akhbar tempatan memutuskan untuk menukar kerjaya pada tahun lepas setelah lelah melayan kerenah manusia sekali pun terpaksa berjemur di bawah panas terik matahari dan `berperang’ dengan nyamuk serta haiwan liar lain.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dan Diploma Pembangunan Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, minatnya untuk menanam vanila tercetus selepas menamatkan pengajian pada 2006.
“Semasa itu saya menyenaraikan beberapa jenis tanaman yang boleh diusahakan di atas sebidang tanah milik keluarga berkeluasan 1.2 hektar di Kampung Bangau Parit, Temerloh.
“Saya mendapati tanaman vanila berpotensi tinggi untuk diusahakan memandangkan masih belum ada sesiapa mengusahakannya secara komersial di negara ini,” katanya.
Berbekalkan modal RM20,000 hasil simpanan semasa bekerja sambilan di sebuah hotel ketika belajar serta pinjaman daripada keluarga, Mohamad Feisal memulakan projek penanaman vanila dengan bantuan sebuah syarikat swasta.
Walau bagaimanapun katanya, dia diuji apabila syarikat yang menjanjikan 1,000 anak benih vanila lari selepas membekalkan hanya 400 anak benih. Masalah tersebut menyebabkan dia hampir berputus asa dan mendorongnya memohon pekerjaan di sebuah syarikat penerbitan akhbar di ibu negara.
Namun katanya, dia tetap mengkaji potensi vanila yang merupakan spesies keluarga orkid dari Mexico dan memulakan semula projek pada 2010 secara sambilan. Sebelum itu dia mencari ilmu mengenai penanaman vanila menerusi Internet selepas mendapati potensi tinggi tumbuhan tersebut yang mendapat permintaan dari luar negara.
Usahanya tidak sia-sia apabila pokok yang ditanam mengeluarkan hasil pada 2014 dan pembeli dari luar termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan Jerman mula menghubunginya untuk mendapatkan bekalan bahan berkenaan.
Katanya, walaupun negara seperti Indonesia, Papua New Guinea dan Madagascar merupakan negara pengeluar utama, tanaman itu tidak dapat diusahakan secara komersial kerana faktor kepakaran, tiada sokongan kerajaan selain sering menghadapi bencana alam.
Berikutan itu, dia nekad berhenti kerja pada awal tahun lepas dan memberi sepenuh perhatian kepada tanaman vanila yang dikomersialkan di bawah jenama Amani Vanilla Temerloh.
“Kini saya mempunyai 2,500 pokok vanila di kebun pertama yang diusahakan secara konvensional.
“ Saya merancang menambah 1,500 pokok dalam masa terdekat yang akan ditanam menggunakan kaedah moden iaitu menggunakan jaring pelindung,” katanya yang menambah ladangnya turut menjadi rujukan agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi.
Mohamad Feisal berkata, pokok vanila hanya memerlukan 30 hingga 40 peratus cahaya matahari dan kelembapan 60 hingga 80 peratus, menjadikannya tanaman yang sesuai di negara ini.
Tempoh matangnya juga singkat dan biasanya pod vanila mula boleh dituai dalam tempoh lapan bulan selepas berbunga dan perlu dikeringkan selama sebulan sebelum boleh dijual.
Walaupun tanamannya belum lagi memberikan hasil penuh, Mohamad Feisal kini boleh tersenyum kerana pulangan jangka panjang yang lumayan berikutan harga vanila di pasaran dunia semakin meningkat dan boleh mencecah RM2,000 sekilogram. – BERNAMA