Showing posts with label akuakultur. Show all posts
Showing posts with label akuakultur. Show all posts

Wednesday, September 22, 2010

Pembangunan akuakultur di Pulau Ketam




Pulau Ketam merupakan sebuah kampung nelayan yang terletak di negeri Selangor. Dengan menaiki feri kira-kira 30 minit dari Pelabuhan Klang, kita boleh sampai ke pulau ini.

Hanya 20 peratus daripada keluasan Pulau Ketam didiami oleh penghuni yang kebanyakan terdiri daripada nelayan.

Kira-kira 80 peratus daripada kawasan tersebut adalah kawasan perhutanan paya bakau.

Basikal merupakan kenderaan utama yang digunakan oleh penghuninya.

Bekalan air untuk pulau ini disalurkan dari bandar Klang di tanah besar melalui paip bawah tanah.

Pelbagai aktiviti dijalankan oleh penghuni untuk menampung kehidupan mereka.

Antaranya ialah membuat bot nelayan, menangkap ikan, menjalankan perniagaan kecil (yang diwarisi secara turun-temurun) dan akuakultur.

Aktiviti membuat bot nelayan di Pulau Ketam adalah satu perniagaan yang penting di mana bot yang dihasilkan akan dijualkan kepada nelayan-nelayan tempatan dan luar.

Lain-lain aktiviti seperti perniagaan restoran dan kedai runcit biasanya diusahakan untuk kemudahan pelancongan.

Bagaimanapun, aktiviti menangkap ikan dan akuakultur merupakan sumber pendapatan utama bagi kebanyakan penghuni di Pulau Ketam. Aktiviti ini menyediakan sumber protein utama kepada penduduk tempatan di samping menjadi daya tarikan kepada pelancong-pelancong.

Akuakultur di Pulau Ketam biasanya dijalankan di pinggir laut.

Pengusaha terlebih dahulu perlu mendapat kelulusan perlesenan.

Rumah rakit juga perlu dibina, dimana rumah rakit perlu diapungkan di atas permukaan laut dengan menggunakan bekas-bekas plastik kosong.

Sauh digunakan untuk menetapkan rumah rakit supaya ia tidak digerakkan oleh ombak atau angin kencang.

Kawasan untuk membina rumah rakit adalah bergantung kepada kedalaman laut dan jenis ikan yang akan dipelihara.

Jenis ikan yang biasa dipelihara seperti kerapu dan sebagainya.

Rumah rakit yang dibina di kawasan laut mempunyai sangkar-sangkar untuk menempatkan ikan ternakan.

Baka ikan biasanya diimport dari Taiwan, negara yang maju dengan aktiviti nelayan.

Kedalaman laut akan mempengaruhi kederasan aliran air laut.

Kedalaman laut sedalam 10 hingga 12 meter merupakan kawasan berarus sederhana, manakala 15 hingga 20 meter merupakan kawasan berarus deras.

Kederasan aliran air adalah penting kerana ia akan mempengaruhi jenis ikan yang akan diternak. Ikan yang lebih aktif umpamanya memerlukan kederasan aliran yang deras berbanding ikan yang kurang aktif.

Terdapat banyak jenis infrastruktur di dalam rumah rakit dan mereka masing-masing mempunyai fungsinya yang tertentu.

Antaranya adalah lampu yang dipasang sekeliling rumah rakit dan jala-jala yang menutup kawasan penternakan anak-anak ikan.

Fungsi lampu-lampu tersebut adalah untuk menerangi kawasan rumah rakit untuk mengelakkan pencurian ikan.

Pada masa sama, jala yang menutup kawasan anak ikan pula berfungsi untuk melindungi anak-anak ikan daripada sinaran matahari terik serta melindungi ikan-ikan daripada serangan helang.

Sumber:Utusan MAlaysia

Tuesday, November 3, 2009

Johor: Sungai Sedili pusat udang

Lokasi sesuai program aktiviti akuakultur secara komersial

TANJUNG SEDILI: Kawasan lembah tepian Sungai Sedili Kecil di sini yang menerima bekalan air laut masin dan payau berpotensi diperluaskan untuk aktiviti akuakultur terutama penternakan udang yang akan mewujudkan peluang pekerjaan.

Johor Corporation (JCorp) melalui Skim Pemilikan Ekuiti Pengurus-Usahawan (Spepu) yang diperkenalkan pada 2000 menawarkan 36 peratus saham kepada pekerja dengan tertubuhnya syarikat Aquapreneur Sdn Bhd (AQSB).

Konsep keusahawanan itu berjaya menjurus kepada penubuhan sebuah lagi syarikat pengusaha akuakultur iaitu Rajaudang Aquaculture Sdn Bhd (RASB).

Pengurus Besar RASB, Zulman Shariff berkata, di bawah naungan SPEPU JCorp, AQSB dan RASB, sejumlah 172 kolam udang diusahakan iaitu 60 buah di pinggir Kampung Sedili Kecil dan 112 kolam di Kampung Belukar Durian di sini.

Katanya, pada awalnya, pihaknya mengusahakan ternakan udang harimau tetapi kemudian beralih kepada penternakan udang putih.

Beliau berkata, syarikat akuakultur di bawah naungan JCorp ini mampu menghasilkan pengeluaran sebanyak 950 tan metrik udang putih pada tahun ini dengan jualan melebihi RM12 juta.

Katanya, hasil pengeluaran itu dijual bagi pasaran tempatan dan eksport terutama Singapura dan Eropah.

“Permintaan yang agak konsisten buat masa ini memberikan keyakinan kepada syarikat ini untuk meluaskan operasinya untuk membina lagi sebanyak 50 buah kolam penternakan pada tahun hadapan dan menjadikan keseluruhan jumlahnya 222 buah kolam,” katanya.

Beliau berkata, industri akuakultur di pinggir dua kampung tradisional di situ juga menawarkan peluang perniagaan dan kerja kepada penduduk tempatan.

Katanya, sebahagian keuntungan yang diperoleh syarikat diagihkan dalam bentuk sumbangan kebajikan dan aktiviti penduduk kampung, surau dan sekolah di situ.

Menjelang Aidilfitri lalu, seramai 51 orang penduduk dari golongan keluarga kurang mampu di sini menerima hamper barangan makanan dan duit raya manakala tiga ekor lembu disembelih dengan dagingnya diagihkan kepada penduduk sekitar.

Friday, June 12, 2009

Timur: Berbekal semangat ternak ikan keli

Mohd Fadlie dapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga

KUALA TERENGGANU: Pengalaman tersungkur dalam bidang perniagaan ketika kegawatan ekonomi pada 1997 dijadikan batas sempadan oleh Mohd Fadlie Hamzah, 42, dari Kampung Batu Hampar, Manir, di sini supaya lebih berhati-hati dalam gerak kerja pengurusan perniagaan, tambahan pula apabila menceburi bidang baru iaitu penternakan ikan keli dan hiasan.

Tanpa sebarang pengalaman khusus kaedah pengendalian dan penternakan ikan keli, namun berbekalkan semangat yang cekal dan tidak mudah mengalah, Mohd Fadlie meneruskan usahanya.



"Pada awalnya memang perit kerana saya langsung tiada pengalaman dalam bidang ini, namun selepas beberapa kali mengikuti kursus dan belajar daripada pengalaman, perusahaan ini kini menjadi sumber pendapatan utama saya untuk menyara keluarga," katanya yang ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menceritakan pembabitan awalnya, Mohd Fadlie berkata, dia mula bergiat secara serius pada 2006 selepas mendapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sebanyak RM3,000 selepas bancian rakyat termiskin yang dibuat badan itu mendapati dia tergolong daripada kalangan miskin.

Katanya, sebelum itu selepas perniagaan produk tenusu yang diusahakannya selama kira-kira empat tahun terpaksa `gulung tikar' pada 1997, berikutan kegawatan ekonomi negara, dia hampir putus asa dan melakukan pelbagai kerja bagi memastikan semua anak dan isterinya tidak kelaparan di rumah.

Mohd Fadlie berkata, selepas tidak berniaga dia melakukan pelbagai kerja dan usaha mencari benih ikan dan anak ikan untuk dijadikan umpan memancing serta ternakan keli secara kecil-kecilan akhirnya berjaya dibesarkan hasil bantuan dan bimbingan daripada beberapa agensi kerajaan.

Kini dia mampu memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM5,000 sebulan melalui jualan hasil ternakan keli dalam 18 unit kanvas yang diusahakan, selain menjadi pembekal benih haruan dan keli serta menjadi pembekal ikan umpan kepada pemancing di sekitar Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Mohd Fadlie juga mengusahakan ternakan ikan hiasan di halaman rumah yang turut memberikannya pendapatan tambahan dan antara yang diternak adalah ikan dari spesies guppy, molly, ikan laga siam dan ikan pedang.

Katanya, ketika ini dia sedang dalam peringkat percubaan menghasilkan keropok keli dalam mempelbagaikan lagi produk hasil ternakan keli sangkar yang diusahakannya selain merancang untuk membuka kedai ikan hiasan sendiri di kawasan rumah.

Sumber:Berita Harian

Wednesday, June 10, 2009

Galak ceburi ternakan air tawar


SEREMBAN 9 Jun – Masyarakat di negeri ini disarankan untuk menceburi bidang ternakan air tawar kerana ia lihat mempunyai potensi yang cukup luas untuk diterokai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, ia berikutan permintaan yang tinggi terutama di kawasan bandar yang sememangnya menggemari hasil ikan air tawar.

Katanya, masyarakat khususnya di kawasan luar bandar digalakkan untuk mengambil peluang untuk menternak ikan air tawar kerana ia mampu memberikan pulangan yang besar kepada mereka.

‘‘Jika kita lihat pasaran ternakan air tawar ini masih belum diterokai seluas-luasnya oleh masyarakat kerana ia mempunyai permintaan yang cukup besar oleh pengguna terutamanya di negeri ini.

‘‘Antara spesis yang dilihat mampu untuk mendapat pulangan yang baik termasuk ikan jenis tilapia dan keli kerana ia bukan sahaja murah untuk didapati anak benihnya malah mudah untuk dijaga,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya kecenderungan penternak ikan air tawar kini mula menular di kawasan luar bandar termasuk kawasan rancangan Felda seperti di Jempol serta beberapa tempat lain di negeri ini.

Tambah beliau, saranan itu selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu sektor penternakan air tawar dianjakkan dari 25 peratus kepada 40 peratus hingga 60 peratus menjelang tahun 2012.

‘‘Kita mahu supaya apabila dasar ini dilaksanakan, Negeri Sembilan mampu menjadi kawasan hub makanan bagi Lembah Klang selain memenuhi permintaan dari penduduk setempat,’’ ujar beliau.

Saturday, May 16, 2009

Akuakultur, ladang getah mini atasi kemiskinan

KUCHING - Peserta program bagi projek akuakultur secara komersial dan ladang getah mini di luar bandar Sarawak mampu meningkatkan tahap pendapatan mereka sebanyak 80 peratus.

Timbalan Ketua Menteri dan juga Menteri Permodenan Pertanian, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, menerusi kajian yang dilakukan kementeriannya mendapati kedua-dua projek berkenaan mampu meningkatkan pendapatan peserta melepasi garis kemiskinan.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan program-program berkenaan dalam meningkatkan pendapatan dan mengurangkan masalah kemiskinan masyarakat luar bandar masih dalam peringkat penilaian.

''Sehubungan itu, kementerian akan meneruskan usaha untuk mengkaji penilaian kesan terhadap program-program lain yang dilakukan pada masa hadapan,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan asal Rosey Yunus (BN-Bekenu) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.

Hong Nam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian memberitahu, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Jabatan Pertanian meluluskan peruntukan kira-kira RM24.6 juta untuk melaksanakan program pembangunan infrastruktur pertanian.

Katanya, selain itu, sebanyak RM28.8 juta diperuntukkan Jabatan Pertanian untuk mengendalikan kursus latihan usahawan dan pertanian, lanjutan pertanian serta pembangunan organisasi pertanian.

''Pelaksanaan projek dan program berkenaan diadakan bagi meningkatkan pendapatan golongan sasaran,'' katanya.

Sementara itu, Hong Nam berkata, Program Sejahtera Task Force (STF) iaitu inisiatif membasmi kemiskinan di 14 kampung di Pulau Bruit, Daro, Matu dan Mukah yang dikenal pasti sebagai kawasan kemiskinan tegar berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah peserta berkenaan.

Tambah beliau, program itu juga berjaya meningkatkan pencapaian akademik dan mengurangkan masalah pemakanan tidak seimbang di kalangan kanak-kanak prasekolah.

Sumber:Utusan MAlaysia

Thursday, May 7, 2009

Ribuan ikan mati, tujuh penternak rugi RM150,000

Kejadian dikatakan berpunca air sungai dicemari racun


SUNGAI PETANI: Tujuh penternak ikan dalam sangkar di Sungai Batu Lintang di sini mengalami kerugian lebih RM150,000 apabila ribuan ikan yang diternak ditemui mati, pagi kelmarin.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pencemaran air sungai berkenaan berikutan air mengandungi racun yang dilepaskan dari sawah padi di sekitar kawasan itu.Kematian pelbagai jenis ikan, termasuk siakap putih dan merah, jenahak, kerapu, gerut-gerut dan timun itu disedari kira-kira jam 11 pagi apabila penternak terbabit yang pergi ke sangkar ikan mendapati ternakan mereka mati dan terapung.

Kebanyakan ikan terbabit yang sudah mencecah berat antara 300 gram dan enam kilogram setiap seekor itu sudah sedia untuk dipasarkan.

Penternak, Mohd Farizal Anuar, 19, berkata apabila tiba di sangkar, dia terkejut apabila mendapati ribuan ikan dalam 15 sangkarnya yang sudah matang mati dan berbau busuk.

"Setiap sangkar ada kira-kira 300 ekor ikan dan hanya menunggu masa untuk dijual dan ada sangkar lain pula mempunyai anak yang baru diternak beberapa bulan lalu.

"Semua ternakan saya mati dan kerugian lebih RM80,000," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Farizal berkata, ada antara ikan itu sudah ditempah oleh beberapa pengusaha restoran di negeri ini.

Seorang lagi penternak, Sobri Mohamad, 52, berkata ini kali pertama mereka menghadapi masalah itu sejak menjalankan kegiatan di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Sebelum ini kami terjejas sedikit saja ketika dilanda tsunami pada 2004 tetapi kejadian keracunan kali ini lebih buruk.

"Kami berharap pihak yang berkaitan dapat membantu mengatasi masalah ini bagi memastikan ia tidak berulang kerana ia merugikan penternak," katanya.

Sobri berkata, beliau percaya kejadian itu berpunca daripada masalah keracunan dari air sawah yang dilepaskan petani di kawasan sekitar menyebabkan air sungai tercemar.

Katanya, beliau sudah melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan lanjut.

Beliau juga berharap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atau Jabatan Perikanan dapat membantu membekalkan benih ikan bagi membolehkan mereka meneruskan kegiatan itu.

Sumber: Berita Harian

Borhan buru impian jadi pengeluar benih ikan berjaya

Bekas kakitangan awam pernah rugi kerana cetek pengetahuan


KUALA LIPIS: Pepatah Melayu 'kalau tidak dipecahkan ruyung, bagaimana hendak dapatkan sagunya' menjadi pegangan kepada kepada bekas kakitangan awam untuk menceburi bidang penternakan ikan kelisa emas (Scleropages Formosus) dan kelah merah ( Tor Tambroides) bagi menghasil benih ikan.

Minat Borhan Sulong, 45, untuk menyertai bidang berkenaan timbul selepas mengikuti kursus menternak ikan kelisa anjuran Jabatan Perikanan termasuk melawat kolam ikan berkenaan di Perak, tahun lalu.


Malah, beliau berkata, ternakan itu yang berpotensi memberi pulangan pendapatan lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit turut mendorong beliau untuk berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Walaupun masih dianggap baru dengan pengalaman tidak sampai setahun bukan menjadi penghalang kepada bapa kepada tiga anak itu yang bercita-cita mahu mahu menjadi pengeluar benih ikan kelisa dan kelah terbesar dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Dengan bantuan pegawai Jabatan Perikanan negeri, saya mula mengorak langkah dengan menimba ilmu pengetahuan menerusi bengkel, kursus, membaca daripada buku, internet dan mendapatkan input daripada rakan-rakan yang lebih berpengalaman.

"Selepas melihat kejayaan dengan pendapatan yang lumayan yang diperoleh rakan lain yang sudah bergiat dalam ternakan ikan ini, saya menanam nekad dan bercita-cita menceburi sektor tersebut untuk berkongsi kejayaan dengan mereka," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Borhan berkata, beliau memulakan perniagaannya secara berperingkat dengan membeli 20 ekor induk dua ikan berkenaan dan lebih 60 ekor anak ikan berumur antara dua bulan hingga tiga tahun.

Katanya, harga induk dan anak kelisa bergantung kepada spesies, induk berharga antara RM5,000 hingga RM8,000 seekor, sementara anak harganya antara RM450 hingga RM1,500 seekor.

"Kerana cetek pengalaman, pada peringkat awal pembabitan dalam bidang ini saya terpaksa menanggung kerugian apabila lebih 50 ekor anak kelisa mati disebabkan faktor kebersihan dan suhu air termasuk kecuaian.

"Namun, ia tidak melunturkan semangat dan menganggap ia sebagai cabaran dan pengalaman paling berharga yang tidak mungkin dapat dinilai dengan wang ringgit," katanya yang menetap di Taman Desa Kenari, di sini.

Berkat kesungguhannya, beliau kini menyewa tanah berkeluasan 1.21 hektar yang menempatkan satu kolam ternakan di Kuala Kangsar, Perak.

Katanya, kolam itu boleh memuatkan 20 induk kelisa dan berjaya memiliki 20 anak ikan yang sama selepas tiga bulan memeliharanya.

"Semua anak kelisa berkenaan ditempatkan dalam satu akuarium di bilik khas di rumahnya, sementara 45 ekor induk kelah pelbagai saiz diletakkan dalam kolam simen.

Borhan berkata, kos menguruskan ikan kelisa dan kelah tidak terlalu membebankan, dia hanya mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1,200 sebulan untuk membeli makanan.

"Kos membeli ikan kelisa dan kelah dewasa yang mencecah sehingga RM50,000 seekor menyebabkan tidak semua yang mampu memilikinya.

"Untuk mengelak ikan mati, saya kini menggunakan dua pekerja tetap bagi melakukan tugas menukar air kolam, memastikan suhu yang betul, kadar kepekatan dan keasidan air dan kebersihan persekitaran kolam," katanya yang kini dalam proses membina 15 kolam induk di tanah yang disewanya bagi tujuan itu di Kuala Kangsar.

Sumber: Berita Harian

Thursday, April 23, 2009

Pakar Bidang IT terjun Ke Kolam Ternakan


Ikan keli yang diternak oleh syarikat Dimensi Rebana sentiasa mendapat permintaan.
Bukan mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimpung dengan bidang yang diminati, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk beralih arah.

Berkecimpung dalam perniagaan komputer sejak 1986 dengan memiliki ijazah sarjana muda dalam sistem pengurusan maklumat dan pemasaran serta ijazah sarjana bidang perniagaan (MBA) dari Amerika Syarikat, sepatutnya sudah memberi jaminan hidup tetapi empunya diri enggan meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

''Saya sudah bosan," katanya ringkas ketika ditanya sebab meninggal bidang glamor itu. Bagi Hanafiah Abdul Rahman, 47, usahawan akuakultur yang ditemui Mega di ladangnya di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini, beliau menceburi bidang penternakan ikan adalah kerana minat semata-mata..

Hanafiah, anak kelahiran Kampung Sri Terubok, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, meskipun tidak mempunyai kemahiran dalam industri akuakultur tetapi usaha gigih memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai sumber.

Antara sumber rujukannya ialah kajian universiti, rakan penternak Kampuchea di Pekan Pahang dan di Cheroh, Raub, serta penternak bangsa Cina di Malaysia dan di Thailand, selain Internet.
Selepas ilmu penuh di dada, Hanafiah dengan yakin menubuhkan syarikat Dimensi Rebana Sdn Bhd. yang memulakan operasi pada 2006.

Ketika itu, tujuan asal perniagaannnya ialah menjual ikan air tawar ke restoran makanan laut Cina di sekitar Lembah Klang, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi dan Karak, Pahang. Ketika inilah beliau mula memahami selok belok perniagaan dan pasaran ikan termasuk cara menghantar, kaedah penyimpanan, putaran perniagaan, kerenah pembeli, orang tengah dan pelbagai aspek lain. Dengan beroperasi dari sebuah rumah kedai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, perniagaan pembekalan ikan air tawar Hanafiah semakin hari semakin semakin dikenali. Namun beliau tidak berpuas hati kerana selalu menghadapi masalah bekalan yang berterusan, lantas memberi idea untuk mengembangkan sayap perniagaan kepada aktiviti baru iaitu menternak sendiri ikan tersebut.

Hanafiah mengambil keputusan menternak pelbagai spesies ikan iaitu ketutu, krai, tengalan dan haruan. ''Banyak masalah kami hadapi kerana kurang ilmu pengetahuan dalam teknologi penternakan serta makanan dan paling membelenggu ialah kesukaran mendapat benih, '' katanya.
Sebab itu, keputusannya untuk mengusahakan sendiri ternakan tepat pada masanya memandangkan bekalan benih menjadi masalah besar kepada penternak.

Beliau menganggarkan pelaburan membina infrastruktur menghampiri angka RM500,000 dan ia boleh dianggap berbaloi kerana melibatkan banyak spesies ikan untuk dibiakkan.

Pada masa ini, Dimensi Rebana memiliki ladang di Kampung Bukit Kecil, Simpor, Tikam Batu Sungai Petani yang dilengkapi dengan 17 buah kolam konkrit bersaiz 20 kaki x 100 kaki x 2 kaki.
Selain itu, ladang terbabit juga mempunyai enam unit kolam bersaiz 10 kaki x 20 kaki x empat kaki yang semuanya digunakan untuk ternakan ikan ketutu.

Tiga unit daripada kolam digunakan untuk penetasan ikan sepat siam. Ladang tersebut kini memiliki hampir 1,200 ikan ketutu seberat antara 200 gram dan 1.2 kilogram (kg). Meskipun menternak ketutu sangat penting kepada ladang tersebut, infrastruktur juga ditambah untuk menternak spesies lain.

Terdapat 20 buah kolam konkrit (ukuran 20 kaki x 25 kaki x 4 kaki) dan dua buah kolam (ukuran 20 kaki x 50 kaki x 4 kaki) untuk ternakan kira-kira ikan tengalan, Krai, ikan jelawat, induk tilapia, puyu siam, sepat siam dan ikan patin buah selain 12 unit kolam tanah yang pembenihan ikan keli dan zooplankton (Moina sp).

Apa yang menarik, kemudahan tersebut dibina oleh syarikat terbabit tanpa membabitkan pihak luar. Ladang dan pusat pembenihan ini di uruskan oleh adik ipar Hanafiah iaitu Suhaimi Md. Isa sejak 2003 lagi.

Syarikat terbabit kini boleh berbangga memandangkan hasrat untuk menjadi pembekal benih berjaya disempurnakan. Malah, permintaan sentiasa ada dan untuk tujuan itu pembenihan aruhan dijalankan untuk meningkatkan jumlah benih ikan yang diternak. Menurut Hanafiah, pasaran ikan sungai sentiasa ada kerana semakin ramai meminatinya tetapi bekalan agak terhad. Katanya, hampir 70 peratus benih ikan air adalah di import dari luar terutamanya Thailand dan Indonesia.
Tambahan pula, ikan sungai menjadi hidangan istimewa di kalangan penggemarnya. Beliau kini mampu menghasilkan anak keli pada jumlah 500,000 ekor sebulan ikan ketutu pada kadar 20,000 ekor sebulan manakala ikan sepat 200,000 ekor sebulan.

Selain membekalkan benih, Dimensi Rebana pada mulanya hanya tertumpu kepada perniagaan pemborong ikan air tawar dan air laut juga mula berjinak-jinak menceburi bidang pemakanan ikan. Selain itu syarikat juga menjual ubat ubatan dan peralatan akuakultur.

Hanafiah berkata, beliau berjaya dalam usahanya menghasilkan sendiri pelet untuk makanan air tawar termasuk ketutu.

Rumusan makanan ikan itu agak menarik kerana dihasilkan daripada bahan yang mudah diperoleh dan sesuai untuk diberi makan kepada ketutu, keli dan puyu.

''Ikan ketutu ini tidak makan pelet tetapi ada cara bagaimana menjadikannya penggemar pelet iaitu mengajarnya berpuasa terlebih dahulu sebelum memberi makan,"ujarnya.

Pelet tersebut dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi sebagai binder.

Jika semuanya berjalan lancar, selain mengeluarkan anak benih, formula makanan ikan itu menjadi teras kekuatan kepada syarikat tersebut yang dibangunkan dengan bantuan rakannya. Ikan ketutu yang biasanya berharga kira-kira RM100 seekor seakan menjadi ternakan emas dan dianggarkan nilainya sangat tinggi.

''Malah di Hong Kong, pasaran ketutu sangat lumayan," ujar Hanafiah.
Dengan kejayaan dan kemampuan sedemikian, Dimensi Rebana kian menampakkan kemampuannya dan kini menawarkan kursus ternakan ketutu selain pemprosesan makanan ikan.
Kepakaran dalam pembenihan aruhan ikan ketutu, puyu, krai, tengalan sepat, ketam dan pelbagai spesies lagi menunjukkan kemampuan syarikat terbabit tidak boleh dipertikaikan.

Tanpa bantuan daripada agensi perbankan, syarikat terbabit yang mempunyai jaringan hubungan rapat dengan penternak ikan di Pekan, Maran, Temerloh, Cheroh di Pahang serta Sungai Petani, Kuala Sanglang dan Tanjung Dawai di Kedah, membuktikan potensi industri akuakultur untuk dimajukan.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03- 77833111 ( pejabat jualan di 53, PJS 1/48, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya) atau emel : puntius@streamyx.com atau layari http://dimensirebana.blogspot.com atau http://oxymarmoratus.blogspot.com. Mereka juga boleh datang terus ke pusat pembenihan di Kg. Bukit Kecil, Jalan Sg Pasir-Batu LIntang, Sg Petani Selatan.

Teknologi Pemakanan untuk Ternakan Ikan Keli


Ikan keli diberikan makanan tambahan seperti lebihan roti dan nasi yang telah ditambah dengan probiotik bagi meningkatkan tumbesaran.

Bidang pertanian kini semakin menarik perhatian golongan profesional yang mendapati pertanian boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan.


Seorang pengamal undang-undang, Mohammad Hifdzi Hamzah yang mempunyai firma guamannya sendiri telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu. "Saya menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu kerana minat yang mendalam," katanya semasa ditemui di tempat ternakan ikan keli di Batu Caves, Selangor.


Sebagai seorang peguam, beliau sentiasa menjalankan penyelidikan dan kajian bagi meningkatkan lagi bidang pertanian. Justeru beliau menubuhkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan yang dinamakan Perintis Agrotech Centre.


Selama bergiat dalam bidang pertanian, beliau telah menjadi mentor atau pakar rujuk bagi mereka yang berminat dalam pertanian. Walaupun sibuk dengan kerjaya dan pertanian, Mohammad Hifdzi berkata, dalam dunia yang canggih, seseorang memerlukan beberapa kemahiran dan boleh melakukan beberapa kerja dalam satu masa. "Itulah yang saya amalkan selama ini," katanya. Justeru pemerhatian dan kajian yang dilakukan selama tiga tahun ke atas dalam ternakan ikan keli membawa kepada makanan ikan keli yang dinamakan pro asli.


Kajian yang dijalankan memberikan tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu:
1. Kos makanan palet yang terlalu tinggi dan membebankan
2. Tumbesaran ikan keli yang lambat dan tak sekata
3. Kualiti ikan keli tidak asli


Mohammad Hifdzi menambah, makanan ikan keli atau pro asli lebih dikenali sebagai magic grow dalam kalangan pengguna memandangkan ikan mendapat makanan setiap masa dengan penjimatan kos.


Beliau mendapat idea menghasilkan magic grow bagi mengurangkan kos makanan dan operasi antara 80 hingga 90 peratus. Justeru beliau menggabungkan teknologi dua negara iaitu Jepun dan Thailand.


Teknologi probiotik dari Jepun dapat mempercepatkan tumbesaran dan tempoh tuaian ikan selain mengawal kualiti air.


Manakala kaedah asli diadaptasi dari Thailand bagi menjimatkan kos melalui makanan semula jadi di dalam air seperti mineral, lumut, plankton, alga, dan protein bagi menghasilkan kualiti dan rasa seperti ikan sungai.


"Kit lengkap Pro Asli terdiri daripada tiga produk iaitu permulaan Bio-Mineral, Bio-Vita digunakan seminggu sekali dan Bio-Aqua diletakkan dua minggu sekali," katanya.


Bio-Mineral yang digunakan pada permulaan akan mengaktifkan perkembangan makanan asli untuk ikan seperti zooplankton, fitoplankton, protin dan alga.


Makanan tambahan seperti vitamin diberikan bersama-sama makanan lain seperti roti, lebihan nasi atau hampas kelapa seminggu sekali bagi mempercepatkan tumbesaran dan tuaian. "Ini bagi memastikan tumbesaran sesuai untuk tujuan komersial iaitu 75 hingga 100 hari," katanya.


Bagi mengawal bau, kualiti air dan paling penting menukarkan najis ikan kepada lumut bagi makanan ikan, Bio-Aqua digunakan dua hingga tiga minggu sekali.


Hifdzi berkata, penggunaan magic grow amat sesuai bagi mereka yang bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan ternakannya.


"Penternak hanya perlu memantau kolam ternakannya seminggu sekali dan pengredan hanya dilakukan pada peringkat awal.


"Ia amat sesuai digunakan bagi semua kolam ternakan seperti kolam tanah, simen, kanvas, gentian kaca, tangki poli dan HDPE," katanya.


Mohammad Hifdzi berkata, produk yang diciptanya bagi memberikan peluang kepada penternak mendapatkan keuntungan maksimum walaupun harga ikan tidak meningkat. Produk ini juga bakal memberikan nafas baru kepada usahawan tani atau penternak yang telah putus asa disebabkan kos makanan terlalu tinggi.


"Saya juga berharap dalam melahirkan lebih ramai pengusaha atau penternak secara kecil-kecilan atau komersial melalui kaedah ternakan mudah dan menjimatkan.


"Produk ini juga dapat menghasilkan ikan super organik kualiti tinggi dan sedap, selain memperkenalkan sistem ternakan yang mudah dan mesra sebagai aktiviti sekeluarga dan sara diri," katanya.


Justeru, Mohammad Hifdzi berkata, pihaknya percaya magic grow merupakan salah satu projek dalam konsep Bumi Hijau yang boleh dijalankan oleh sesiapa saja. Beliau menjelaskan dengan kos yang rendah, semua orang berpeluang menternak ikan keli sebagai aktiviti sekeluarga. Buat masa ini jelas Hifdzi berkata, konsep ini lebih berpusat di Lembah Kelang tetapi beliau bercadang untuk memperkenalkan magic grow ke seluruh negara. "Saya percaya program ini dapat menambah unsur positif kepada penternak selain menambah pendapatan.


"Ini merupakan suatu peluang yang baik lebih-lebih lagi semasa keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya. Hifdzi menambah, pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat Perintis Dagang Sdn. Bhd. untuk memasarkan Pro-Asli atau Kit Pro-Asli.


Pro Asli disasarkan bagi penternak baru manakala Kit Pro Asli pula bagi penternak sedia ada. Ditanya mengenai perbezaan antara makanan organik, keli makan tanah, protein keli dan Pro Asli, Hifdzi berkata, Pro Asli merupakan satu kaedah makanan baru di negara ini tetapi telah lama digunakan di negara jiran, Thailand.


"Di sana mereka memberikan campuran tanah liat, tahi lembu kering, tanah hitam dan baja cacing sebelum ditambah ke dalam air.


"Ini dapat memastikan ikan mendapat makanan dan terus hidup tanpa makanan lain dan tidak mengambil kira jangka masa tuaian komersial 75 hingga 100 hari," katanya.


Bagaimanapun magic grow telah melangkah lebih jauh kerana bukan saja membuat makanan asli tetapi mengambil kira faktor tumbesaran yang menepati standard komersial. Selain itu pengurusan kualiti air dan najis ikan, vitamin untuk tumbesaran dan antibodi, memperbaiki kualiti dan mutu ikan ke arah standard super organik iaitu 100 peratus makanan asli, bersih dan berteknologi tinggi pada harga yang rendah.


Bagi mengiktirafkan produk magic grow, Mohammad Hifdzi senang memohon Sijil Amalan Organik dan mendapatkan status bioteknologi. Selain magic grow, Hifdzi telah menghasilkan empat produk lain:
1. Sistem akuakultur kitar semula (RAS) dan gabungan tujuh unsur alam.
2. Rawatan kolam takungan dan pelupusan sampah menggunakan rawatan 100 peratus organik dan mesra alam.
3. Rawatan sisa makanan menjadi baja organik.
4. Ternakan cacing bioteknologi.

Sunday, December 14, 2008

TERNAKAN UDANG HARIMAU






UDANG HARIMAU







Ternakan udang di Malaysia telah bermula di dalam tahun 30-an dengan menggunakan cara tradisional iaitu dengan memerangkap benih udang di dalam kolam yang dibina di persisiran pantai yang mempunyai julat pasang surut yang bersesuaian serta bekalan benih udang semula jadi yang banyak.

Industri ternakan udang laut khasnya udang harimau di negara ini telah berkembang dalam tahun 1980-an. Udang laut ini, kini telah menjadi hasil ternakan akuakultur yang penting dalam menyumbang nilai pendaratan akuakultur. Terdapat lebih daripada 10 spesies udang laut yang diternak secara komersial di dalam kolam diseluruh dunia tetapi udang harimau (Panaeus monodon) adalah salah satu dari spesies yang paling popular. Udang harimau diternak di negara-negara Asia yang beriklim tropika dan mewakili 60%–70% daripada jumlah pengeluaran udang ternakan diseluruh dunia, meningkat dari 52% pada tahun 1998. Udang P. Vannamei atau Pacific White menyumbang 24%. Penaeus monodon atau Black Tiger dan P. orientalis atau White Faisho merupakan ternakan utama Asia manakala P. Vannamei atau Pacific White Shrimp di Amerika Latin. Pada keseluruhannya, udang harimau mewakili hampir 20% dari jumlah pengeluaran dunia.

Udang harimau merupakan spesies udang laut utama diternak oleh kebanyakan penternak udang di Malaysia. Ianya memainkan peranan penting dalam ekonomi industri akuakultur negara ini. Walaupun begitu Malaysia bukanlah pengeluar utama, kerana keluasan kolam ternakan udang harimau hanyalah sekitar 6,000 hektar. Sebagai perbandingan, Thailand mempunyai 80,000 hektar kolam udang, 40,000 hektar di Indonesia dan 80,000 hektar di India. Walau bagaimanapun, purata pengeluaran (tan metrik per hektar) di Malaysia adalah tinggi, selepas Taiwan dan Thailand. Ini menunjukkan bahawa teknologi ternakan udang di Malaysia telah maju dan setanding dengan negara-negara tersebut.

Di Malaysia, ternakan udang harimau telah menjadi satu aktiviti ekonomi yang penting sejak kejayaan mengeluarkan benih secara besar-besaran dan penggunaan teknologi ternakan yang moden. Majoriti ternakan udang atau 70% udang terhasil di kawasan timur. Dari awal 1980-an dan pertengahan 1990-an, pengeluaran udang ternakan telah meningkat sebanyak tujuh kali ganda.
Dalam tahun 2000, sebanyak lebih kurang 12,000 MT udang akuakultur (>95% udang harimau) bernilai RM400 juta telah dikeluarkan daripada 6,000 ha. Kawasan kolam air payau yang melibatkan lebih kurang 950 penternak. Pengeluaran daripada ternakan udang akuakultur mewakili cuma 10% daripada 111,900 MT daripada udang tangkapan.

Perusahaan udang bagi pelbagai spesies akan terus digalakkan di mana dianggarkan sebanyak 150,000 tan metrik udang bernilai RM2.7 bilion mampu dihasilkan pada tahun 2010 (Jabatan Perikanan).











  • TERNAKAN UDANG HARIMAU SECARA INTENSIF
    PENGENALAN
    Udang Harimau (Penaeus Monodon)Adalah salah satu jenis udang air payau / laut yang sesuai diternak di kolam kerana ianya mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan kadar tumbesaran yang cepat.
  • Di Malaysia akhir-akhir ini, usaha menternak udang harimau sedang berkembang pesat dengan semakin bertambahnya penglibatan dari pihak swasta, agensi kerajaan dan juga orang perseorangan.
  • Antara faktor yang menggalakkan penternakan udang harimau adalah :-
    Terdapatnya banyak kawasan yang berpotensi.Permintaan yang tinggiJaminan harga pasaran yang baik di dalam negeri mahupun di luar Negara Contoh:Pada masa ini harga pasaran bagi udang yang bersaiz dalam lingkungan 25-35 ekor/kg ialah diantara RM 20 –RM 30/kg.
  • Penglibatan pihak kerajaan dan swasta dalam membangunkan ternakan udang harimau seperti LKIMPenggunaan teknologi tinggi dalam ternakan.

  • KRITERIA YANG SESUAI UNTUK PEMILIHAN TAPAK
    Kriteria-kriteria asas yang perlu diambilkira sebelum kolam dibina adalah seperti berikut:-
    Berhampiran dengan punca air payau/laut yang mempunyai kadar kemasinan 15-30ppt. Dan ianya mestilah juga bebas dari pencemaran (seperti bahan buangan industri dan pertanian).Mempunyai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan sebagainya.Berhampiran dengan pusat penetasan.Keadaan tanah yang berupaya menakung air seperti liat berpasir ataupun liat dimana kemasaman pH 6.5-8.5 (basah)Mempunyai modal yang mencukupi mengikut keperluan sistem ternakan yang akan dijalankan.Mempunyai strategi pemasaran yang baik.


  • PEMBINAAN KOLAM
    1. Kolam boleh dibina antara saiz 0.3 – 1.0 hektar luas permukaannya dan kedalaman antara 1.5m – 2.0 m. Pembinaan kolam hendaklah berhampiran dengan punca air.
    2. Saluran air masuk dan keluar perlu dibina untuk kemudahan pertukaran air semasa pemeliharaan udang dan ia juga perlu untuk pengeringan air selepas hasil dikutip. Penggunaan pam untuk memasuk dan mengeluarkan air boleh digunakan tetapi melibatkan tambahan kos.
    3.Untuk ternakan secara intensif susun atur, reka bentuk dan pembinaan kolam mestilah dibuat dengan bijak dan berhati-hati, terutamanya aspek asas yang penting iaitu ban, pintu air masuk dan keluar. Jika pembinaannya betul dan mematuhi kehendak, kejayaan berterusan operasi akan dapat dicapai bagi kaedah ternakan secara intensif.
    4. Sistem air kolam intensif.
    a. Punca air
    b. Sistem pam
    c. Kolam takungan
    d. Pintu air masuk/keluar
    5. Reka Bentuk Kolam Intensif
    a. Kedalaman 1.3m-1.5m
    b. Lerengan ikut jenis tanah 1:2, 1:1, 2:1
    c. Kecerunan dasar 1: 200
    d. Saiz kolam 0.5 – Iha.
    e. Pintu air masuk dan keluar.





  • PENYEDIAAN KOLAM
    Sebelum ternakan dijalankan, kerja-kerja penyediaan kolam perlu dilakukan. Tempoh penyediaan kolam berbeza mengikut cuaca, keadaam kolam dan masalah setempat.
    1. Pembuangan Lumpur:
    -Lumpur hitam perlu dirawat atau dibuang setiap kali selepas sesuatu pusingan ternakan dijalankan samada secara mekanikal, biologikal atau menggunakan bahan kimia.
    - Cara mekanikal boleh dibuat dengan menggunakan jentera, pam atau mengalirkan melalui pintu air.
    - Cara biologikal iaitu menggunakan bakteria yang boleh mengeluarkan enzim untuk menghalang pembentukan lumpur hitam.
    - Cara kimia pula adalah dengan menggunakan bahan seperti Calcium peroxide, Potassium permanganate, Zeolite, Iron oxide dan Ozone.
    Penjemuran :
    Penjemuran dibuat sehingga dasarnya retak, biasanya 1 hingga 2 minggu bergantung pada cuaca. Tujuannya untuk mengoksidakan bahan organan atau lumpur hitam.
    Membaiki Sturuktur Kolam
    Pemeriksaan rapi perlu dibuat agar sebarang kerosakan boleh diatasi/baiki segera sebelum ternakan diteruskan termasuk memasang jaring pada pintu air.
    Mengapur
    Kapur adalah untuk meneutralkan kandungan asid tanah dan mengurai bahan organan serta mengurangkan pengumpulan bahan kimia yang toksik pada udang.
    5. Kawalan Perosak/Pemangsa :
    Pengeringan sepenuhnya serta menggunakan penapis yang sesuai boleh mengawal ikan-ikan pemangsa. Bagi kolam yang tak boleh dikeringkan sepenuhnya maka penggunaan racun perlu digunakan.
    6. Pemberian Makanan :
    Makanan biasanya diberi 3- 4 kali sehari. Jenis makanan pellet yang diberi mengikut saiz udang.

  • PENGGUNAAN PERALATAN MEKANIKAL
    ‘Automatik Feeder’–Tidak memerlukan tenaga buruh
    -Jimat kos.
    - Mengelak pembaziran
    - Waktu pemberian makanan lebih tepat.
    Sludge Pump.-Kaedah mekanikal untuk mencuci dasar kolam.
    Kolam HDPE
    -Dasar kolam lebih bersih.
    -Ruang untuk udang makan lebih luas.
    -Mengelak kebocoran kolam.


  • PARAMETER YANG SESUAI UNTUK TERNAKAN UDANG HARIMAU SECARA INTENSIF
    -Oksigen Terlarut – 5 ppm
    -pH – 7.5-8.5
    -Hardness – 70 ppm (masalah warna air jika kurang 50 ppm)
    -Suhu – 27-32?C
    -Karbon Dioksida - <2>

  • CIRI-CIRI RINGKAS UNTUK MEMILIH BENIH UDANG YANG BERKUALITI
    Bentuk dan Sifat:Keadaan benih yang aktif, saiz sekata, warna dari coklat muda ke coklat, badan yang tidak melengkung, uropod (sirip ekor) sentiasa kembang.
    Analisis Mikroskopik:
    Benih bebas dari organisma seperti Zootharnnium, Epistylis dan Detritus Antenanya (sesungut) panjang lurus dan rapat.Badan mesti bersih dari kotoran, licin dan jernih.Rostrall spines 6-7Otot dalam segmen abdominal ke 6 cukup lengkap penuh dengan kulit.

  • KUALITI AIR
    Oksigen Terlarut (D.O):Air dapat menampung oksigen yang rendah pada suhu yang tinggi. D.O. akan lebih tinggi pada suhu yang rendah. Perkara yang sama berlaku pada siliniti. D.O. rendah pada siliniti tinggi dan D.O. tinggi pada siliniti rendah.
    2. Bagaimana D.O. Memasuki Air:
    a. Air yang mempunyai D.O yang rendah perlu diganti dengan air baru yang mempunyai D.O yang tinggi.
    b. Bloom (plankton) dan alga di dasar kolam menambah D.O. semasa siang (Fotosintisis).
    c. Udara diserapkan kedalam air melalui ombak, hujan, pam dan kincir angin.
    Apabila D.O<3.0>

  • SALINITI
    Udang membesar dengan baik pada saliniti air yang rendah. (10-20 ppt). Saliniti dalam tahap biasa adalah diantara 12-15ppt. Apabila saliniti melebihi 15ppt, air dalam badan udang akan meresap keluar. Untuk mengganti kehilangan air, udang mestilah mengepam air dari luar badan ke dalam badan. Tenaga pam ini menggunakan makanan yang sepatutnya digunakan untuk tumbesaran udang. FCR akan bertambah kerana lebih makanan akan digunakan untuk menjalankan pam tersebut.

  • SUHU
    Pada suhu tinggi( >35 C ) banyak kejadian berlaku dengan cepat. Udang mengalami tekanan, mudah dijangkiti penyakit serta D.O. dan pH berubah dengan cepat.Suhu yang tinggi menyebabkan :Air kolam akan menampung D.O yang sedikit.Udang membesar dengan cepat dan memerlukan lebih makanan.Bloom dan komuniti dasar cepat membesar.Pengurusan kolam menjadi lebih sukar apabila suhu meningkat.

  • PUNGUTAN HASIL
    Selepas 3-5 bulan udang sudah sampai ke saiz pasaran. Udang boleh dipungut dengan cara:
    i.. Tangkapan sebahagian, iaitu menggunakan pukat, tangkul, pukat perangkap, jala dan pukat permindahan terbuka.
    ii. Tangkapan semua, iaitu menggunakan pukat keroncong dan pukat tarik.

  • ANALISA PENDAPATAN & PERBELANJAAN UNTUK 1 PUSINGAN
    -Pendapatan: Jualan (RM 17.00/kg ) RM 76,500
    -Kos Operasi : Penyediaan Kolam – 1,000
    Benih 5,400
    Makanan 31,500
    Letrik 12,000
    Buruh 2,000
    Pelbagai 2,000
    Jumlah = 53900
    Lain-lain kos: Pengurusan 1,500
    Penyelenggaraan 2,000
    Jumlah 3,500
    JUMLAH BESAR 57,400
    UNTUNG BERSIH 19,100

  • NOTA
    Saiz kolam – 1 hektar
    Kepadatan – 30 ekor/m2
    Tempoh Ternakan - 120 hari
    Kadar Hidup – 60%
    Saiz pasaran – 40 ekor/kg
    FCR – 2.0
    Tuaian – 4.5 mt
  • Kaedah ternakan secara intensif adalah satu perniagaan yang memberi pulangan yang lumayan tetapi ianya berisiko tinggi, dimana ia memerlukan kawalan dan pengurusan yang berpengalaman luas. Banyak pengurusan kolam gagal kerana tiada dan kurang berpengalaman awal dalam industri ini. Masalah ini biasanya berkaitan dengan perngurusan air yang tidak baik berpunca dari kelemahan pengurusan, reka bentuk kolam, aspek teknikal, hatchery dan sistem kolam pembesaran tersebut.

Wednesday, October 29, 2008

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.

Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.

Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.

''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.

''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.

Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.

''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.

''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.

Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.

Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.

Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.

Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.

''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Sunday, September 7, 2008

Pelajari teknik pembenihan keli


Peserta berpeluang mendalami teknik pembenihan ikan keli secara aruhan pada kursus yang diadakan pada 13 dan 14 September ini.


AgroHUB 2008 - 2010 meneruskan agenda pertanian negara dengan menganjurkan satu Kursus Pembenihan Keli Aruhan bagi melahirkan lebih ramai usahawan benih keli berilmu.

Kursus ini dianjurkan selaras dengan konsep ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ yang memerlukan program pembangunan pertanian berterusan dan konsisten diteruskan oleh pelbagai pihak dalam usaha menjadikan pertanian sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara.

Kursus Pembenihan Ikan Keli Aruhan tersebut akan diadakan pada 13 dan 14 September ini di Pusat Latihan Belia Bukit Lagong, Selayang, Selangor.

Menurut Ketua Pengarah Projek AgroHUB Norzana Rafie, kursus tersebut diteruskan memandangkan permintaan tinggi terhadap latihan seumpamanya daripada pelbagai pihak khususnya golongan belia yang ingin menceburi industri berpotensi itu.

‘‘Selain itu, permintaan terhadap benih keli meningkat berkali ganda dan pengeluaran benih keli pada masa ini tidak dapat menampung permintaan yang begitu tinggi,’’ katanya.

Anak benih keli yang bermutu tinggi mendapat permintaan di luar jangkaan dengan harga seekor anak benih bersaiz tiga inci semakin meningkat daripada 0.08 sen kepada 0.15 sen seekor mengikut kuantiti yang diminta.

Dalam erti kata yang lain, masa depan terhadap ikan air tawar ini dilihat semakin cerah jika dilihat kepada trend permintaan ikan keli mentah dipasaran.

Kursus pembenihan ikan keli ini akan mendedahkan kepada peserta tentang kemahiran untuk menghasilkan benih ikan keli menggunakan teknik aruhan.

Teknik aruhan merujuk kepada suntikan hormon kepada induk-induk keli di mana telur yang diperah daripada induk betina dan sperma yang dibedah dari induk jantan akan disenyawakan untuk mendapatkan benih yang maksimum dan pensenyawaan yang lebih sekata.

Menurut Norzana, bagi meningkatkan kualiti dan tumbesaran rega dan anak benih, penggunaan Bio-Aqua akan digunakan bagi tujuan tersebut.

‘‘Bio-Aqua akan bertindak balas dengan oksigen dan sebatian air untuk meningkatkan tahap imunisasi dan sistem pencernaan dan pemakanan benih ikan.

‘‘Hasilnya, tempoh tumbesaran dapat dipercepatkan dan tahap penjagaan rega dan benih ikan dapat diminimumkan,’’ ujar beliau.

Peserta juga turut didedahkan cara ternakan benih sehingga usia matang iaitu bersaiz antara dua dan tiga inci yang sedia dijual dipasaran.

Makanan rega dan benih keli bermula hari keempat sehingga tempoh satu bulan setengah turut diajar kepada peserta.

Kursus kemahiran ini menarik kerana ramai peserta-peserta lepas telah memulakan industri ini, sama ada secara kecil-kecilan atau komersial dan telah mendapat pendapatan yang lumayan dari industri ini.

Ini membuktikan industri benih keli bertepatan dengan slogan Pertanian Adalah Masa Depan yang juga merupakan moto Projek AgroHUB.

Rangkaian usahawan benih ikan air tawar di bawah Projek Ketiga AgroHUB bakal dilancarkan November ini .

Di bawah projek itu , sebanyak 300 usahawan benih keli dan lain-lain ikan air tawar bakal dibentuk secara sistematik dan berkelompok dan dapat menyumbang ke arah pembangunan industri ikan air tawar negara yang masih kekurangan benih-benih ikan air tawar untuk menampung permintaan yang tinggi dalam negara.

Paling utama, usahawan-usahawan ini perlu menjalani proses latihan kemahiran dan menandatangani kontrak sebagai peserta Projek AgroHUB 2008-2010 agar kualiti ikan yang dihasilkan dapat dipantau dan diselaraskan.

Bagi mereka yang berminat mendalami kemahiran pembenihan keli aruhan boleh mendaftar diri sebagai peserta di talian 03-6187 3796.

(Petikan dari Utusan Online

Monday, August 25, 2008

Tidak kesal ceburi akuakultur - Utusan Online


KOLAM gentian kaca lengkap dengan 12 lapisan penapis membolehkan ikan diselenggara dengan mudah.


Mengambil keputusan untuk berhenti secara sukarela dua tahun lalu sebagai jurutera di sebuah syarikat penerbangan negara, Mansor Abu Bakar tidak pernah menyesal.

Malah beliau berasa bertuah kerana dapat berbakti dalam bidang akuakultur yang telah menjadi minatnya sejak dulu.

“Saya rasa lebih elok saya meletakkan jawatan bagi memberikan peluang kepada generasi muda seperti siswazah menganggur,” katanya yang telah makan gaji selama 30 tahun.

Sebelum mengambil keputusan mengenai bidang akuakultur yang menjadi pilihannya, Mansor menjalankan banyak penyelidikan mengenai ternakan ikan.

Beliau banyak menjalankan kajian mengenai potensi pertanian termasuk, keli, lintah dan cacing sebelum memilih ikan ketutu.

“Saya melayari Internet mengenai ternakan ikan bukan saja mengenai penjagaan, kelakuan, pemakanan tetapi juga pasaran serta potensi industri hiliran.

“Tinjauan permintaan dan pasaran ikan amat penting bagi mengelakkan lambakan ikan yang boleh menyebabkan penternak gulung tikar,” katanya.

Terpikat dengan permintaan dan harga ikan ketutu yang begitu tinggi serta kos pengeluaran yang rendah, Mansor mula mengikuti kursus anjuran VCA Aquafarm Sdn Bhd di Shah Alam Selangor.

Memelihara ikan ketutu tidak memerlukan kos yang tinggi memandangkan ikan pemangsa akan memakan anak ikan yang berada di dalam kolam gentian kaca.

“Penternak boleh menjimatkan kos dengan menangkap anak-anak ikan di parit, kolam atau lombong.

“Anak ikan akan dilepaskan dalam kolam gentian kaca dan hanya perlu ditambah jika bilangannya berkurangan,” katanya.

Mansor berkata, ini boleh mengurangkan kos makanan seperti palet ikan yang semakin tinggi setiap hari.

Beliau juga tidak meninjau ikannya setiap hari kerana makanan ikan dalam bentuk anak ikan telah tersedia.

Terpesona dengan kaedah moden dan rekaan bentuk terkini kolam ikan ketutu yang dihasilkan oleh Pengarahnya Adrian Yeoh, Mansor mula mengikat perjanjian perladangan kontrak dengan mereka.

Memulakan penternakan ikan ketutu sejak April lalu, kini Mansor telah menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsinya Amirulhadi Zubir.

Buat masa ini Mansor menyewa sebuah rumah kedai dengan keluasan 22 kaki x 50 kaki bagi menempatkan 21 kolam gentian kaca.

“Setiap kolam yang lengkap dengan 12 sistem penapis dan kondo ikan boleh memuatkan sehingga 300 ekor ikan ketutu.

“Setelah melihat kepada potensi pasaran, saya akan membesarkan lagi usaha penternakan ikan ketutu,” katanya.

Mansor menambah mereka yang berminat dengan industri pertanian, ternakan mahu pun akuakultur agar berusaha bersungguh-sungguh.

Pada masa yang sama, Mansor dengan kerjasama VCA Aquafarm menganjurkan beberapa siri kursus ternakan pelbagai jenis ikan bermula dengan kursus asas sehingga pembiakan dan rawatan penyakit.

“Kami telah mula sejak Jun dan akan meneruskan usaha bergantung kepada permintaan,” katanya sambil mengharapkan penglibatan generasi muda.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ikan ketutu atau mengikuti kursus ternakan ikan ketutu boleh menghubungi Mansor Abu Bakar di talian 019-2329800 atau e-mel: abman_rover@yahoo.com

(Petikan dari Utusan Online)

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails