Showing posts with label ketam. Show all posts
Showing posts with label ketam. Show all posts

Wednesday, June 1, 2011

Teknologi ternak ketam nipah


Teknologi penternakan ketam nipah kini semakin dipertingkatkan.


Scylla serrata atau ketam nipah adalah haiwan dari jenis krustacea iaitu bercangkerang seperti udang. Ia juga dikenali sebagai ketam bakau atau ketam lumpur dari keluarga Portunidae.

Secara semulajadi ketam hidup serta membiak di sekitar paya bakau, kuala sungai, tepi pantai atau laut, dalam air payau atau air masin mengikut masa air pasang dan surut.

Menternak ketam menggunakan kolam atau 'membintur' begitu popular terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Kolam-kolam dibuat sekitar paya bakau atau berdekatan dengan laut kerana memerlukan air payau atau air masin.

Namun teknik ini memerlukan kawasan yang luas.

Proses menggemukkan memerlukan bekas khas untuk mengisi benih ketam secara berasingan kerana ketam adalah dari spesies yang ganas, karnivor dan tahan lasak serta akan memakan sesama sendiri apabila lapar.

Ketam nipah membiak secara bertelur dan boleh membesar sehingga karapasnya mencapai 20 sentimeter atau lebih iaitu dengan berat badan melebihi satu kg (kilogram) hingga empat kg seekor.

Ketam nipah boleh diperolehi dalam tiga warna iaitu hijau, coklat dan merah.

Ketam tersebut mempunyai potensi dalam bidang industri perikanan terutamanya kegiatan separa kultur.

Ketam ini mengandungi sejenis protein yang tinggi serta merupakan penawar denggi yang sangat mujarab.

Ia didapati boleh membantu pembinaan semula platelet darah yang hilang akibat virus denggi. Pengambilan sup ketam sebagai terapi oral iaitu dimasak sebagai sup (500ml hingga 1 liter) akan meningkatkan bacaan platelet dengan kadar yang sangat cepat.

Kenali ketam nipah

Lazimnya sepit ketam jantan adalah lebih besar dari saiz badannya berbeza pula dengan ketam betina yang mana saiz badannya lebih besar dari sepit.

Ketam warna merah selalunya mendapat permintaan yang lebih tinggi disebabkan isinya lebih padat dibandingkan dengan ketam yang berlainan warna.

Kebanyakan haiwan krustasea memerlukan proses bersalin kulit bagi pembesaran dan melengkapkan kitar hidupnya.

Proses bersalin kulit dari kulit lembut kepada keras memerlukan lebih kurang 24 jam.

Teknik merangsang ketam bersalin kulit memerlukan masa ternakan antara tiga dan empat minggu bagi setiap kali bersalin kulit.

Ia dilakukan dengan mengerat semua kaki dan sepit ketam atau dikenali sebagai teknik limb autotomy.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180gm dan ia menjadi cabaran utama sebelum cengkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.

Ketam yang bersalin kulit perlu diasing bagi mengelakkan ia dimakan ketam lain memandangkan kulitnya yang lembut. Ketam aktif dan agresif pada waktu malam dan ketam betina lebih sensitif dari ketam jantan.

Cara baru ternak ketam

Cara terkini untuk menternak ketam adalah dengan menggunakan sistem akuarium fiber secara tertutup.

Sistem ini amat ringkas dan sesuai kerana kadar asid, alkali serta ammonia dalam air mudah dikawal.

Ia boleh ditempatkan di mana-mana saja asalkan ada kawasan yang bertutup iaitu beratap, berdinding dan mempunyai punca elektrik.

Ukuran bagi satu set sistem ini adalah tiga kaki (lebar) x 13 kaki (panjang) x 5 kaki (tinggi) mengandungi tiga kotak fiber.

Kotak-kotak fiber disusun bertingkat melalui rak besi serta saluran paip bagi air masuk dan keluar. tiga kotak fiber yang teratas adalah bekas yang mempunyai petak-petak untuk diisi dengan benih ketam. Sekotak kotak fiber boleh memuatkan 40 ekor benih ketam.

Ini bermakna satu set sistem ini boleh memuatkan 120 ekor ketam. Sekotak kotak fiber yang di bawah sekali adalah digunakan sebagai sistem penapis bagi keseluruhan set sistem ini.

Selain air laut, air paip yang telah diproses bagi menggantikan air masin atau air payau juga sesuai untuk ketam nipah.

Sistem ternakan ketam dalam tangki ini tidak memerlukan pengorekan kolam-kolam seperti ternakan lain.

Salah satu kebaikan sistem ini iaitu penggunaan sistem tertutup recirculating water system dimana air paip yang digunakan untuk ternakan ini dikitar semula setelah melalui proses pembersihan/penapisan air mengunakan biofilters.

Sistem ini didapati sangat hygienic dan dapat memenuhi piawaian antarabangsa berbanding dengan sistem ternakan ketam secara konvensional.

Air

Proses penyalinan kulit hanya akan berlaku sekiranya air kolam benar - benar bersih dan air yang kotor boleh menyebabkan ketam mudah dijangkiti bakteria. Kawalan kualiti air dilakukan dari masa ke semasa dengan memastikan parameter air pada saliniti 30 bahagian perseribu (ppt), oksigen terlarut lebih 5 ppm, suhu antara 28-30 °C dan pH (kemasaman) antara 6.5 hingga 7.5.

Penggunaan efektif mikrob (EM) atau probiotik boleh digunakan untuk mengawal mutu air. EM aktif juga berkebolehan meneutralkan air (neutralizesalts) dimana bertindak sebagai klorinator semulajadi dan menghalang pembentukan lapisan kristal di permukaan air.

Kadar dos adalah 1:10000, iaitu satu bahagian EM (probac) bagi setiap 10000 bahagian air. Dos ini disaran untuk diberikan bagi setiap minggu.

Makanan

Manakala dari segi pemakanan untuk ternakan ketam, penggunaan ikan baja antara yang paling sesuai untuk memenuhi diet pemakanan ketam di mana sebanyak antara lima dan enam peratus daripada berat badannya diberikan setiap hari.

Disiplin pemberian makanan perlu dititikberatkan kerana ketam yang lapar boleh menyerang antara satu sama lain.

Selain ikan baja, ikan yang disiang (buang kepala, ekor dan isi perut dan dihiris atau dipotong dan dibasuh) diberikan satu atau dua atau hari hari sekali (mengikut kesesuaian dan bacaan air dalam set sistem akuarium ini).

Ketam nipah memerlukan lebih kurang 52 kg ikan (untuk 120 ekor ketam kulit keras) sebulan dan 96.43 kg ikan (untuk 360 ekor ketam kulit lembut) sebulan.

Penyakit

Ternakan secara sistem tangki tertutup ini mempunyai risiko penyakit yang rendah dan jarang dijangkiti penyakit.

Kebanyakan penyakit berpunca dari kebersihan dan kualiti air yang kurang baik. Oleh itu pengawalan mutu dan kualiti air sangat dititikberatkan.

Kematian juga berlaku semasa dan selepas proses bersalin cengkerang, pemantauan perlu dilakukan pada waktu tengah malam hingga awal pagi antara pukul 11 malam hingga 3 pagi secara lebih teliti.

Sumber:utusan malaysia

Monday, January 24, 2011

Menternak ketam berkulit lembut







inilah cangkerang ketam selepas proses bersalin kulit. Pengguna tidak perlu lagi membuang kulit ketam kerana ia lembut dan boleh dimakan.



KUANTAN - Ketam, sinonim dengan cangkerang yang kulitnya keras. Berikutan itu ada di antara kita yang tidak gemar memakan ketam.

Jika tersilap langkah, sudah pasti akan tertelan kulitnya dan boleh menyebabkan kecederaan pada tekak.

Namun seorang usahawan di Seberang Balok di sini telah menternak ketam berkulit lembut dan memasarkan ke pasaran domestik.

Penternak ketam tersebut, Dr. Syed Badaruddin Syed Ali berkata, beliau telah membuat kajian mengenai kulit (cangkerang) lembut ketam itu sejak 2007 secara sendirian.

"Ketam tanpa cangkerang ini agak asing di Malaysia. Tetapi di Thailand dan Vietnam, ia menjadi hidangan popular di restoran-restoran dan diternak secara tradisional.

"Teknik pembiakan dan penjagaan ketam itu dipelajari daripada kaedah tradisional. Hasil daripada itu, saya gabungkan dengan kaedah moden untuk meningkatkan kecekapan penjagaan kualiti air dan daya pengeluaran.

"Dalam tempoh tiga tahun melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) itu juga, saya banyak belajar membangunkan sistem kitaran air dan penyesuaian kadar tahap pH air dengan ketam-ketam yang kebiasaannya hidup dalam air payau masin," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, ketam dari spesies scylla olivacea (ketam nipah) dan scylla serrata (ketam laut) yang tidak mempunyai kulit keras tersebut melalui proses bersalin cangkerang sebelum dikumpul untuk dipasarkan.

"Ramai tidak tahu bahawa ketam juga melalui proses bersalin kulit cangkerang. Ketam yang dipasarkan Ternak Unggul Sdn. Bhd., itu dikumpulkan selepas proses tersebut selesai.

"Ia merupakan projek pertama seumpama di Malaysia yang memasarkan ketam tanpa cangkerang," kata beliau semasa ditemui di pusat ternakan ketam seluas lapan hektar yang diusahakannya di sini.

Tambah beliau lagi, ketam itu sangat unit kerana tidak mempunyai kulit yang keras malah boleh dimakan keseluruhan isinya tanpa membuang kulit.

Mengulas lanjut mengenai sistem kitaran air itu, beliau berkata, air segar dipam menggunakan mesin pengepam bagi memastikan oksigen berada pada tahap optimum bagi membolehkan ketam terus hidup.

Ujar beliau, proses menternak juga dilakukan secara tradisional namun sedikit berbeza kerana ketam-ketam itu diternak dalam gelung perigi bagi memperlahankan proses kulitnya mengeras semula selepas bersalin kulit.

"Kalau mengikut kaedah tradisional, ketam diternak di dalam kolam air payau yang digali supaya sesuai dengan habitat asal. Namun, ia berbeza dalam kolam konkrit dan air tawar.

"Teknik menternak di dalam gelung perigi juga menjadi faktor ketam-ketam itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan habitat asal dalam air masin dan payau," katanya.

Jelasnya, bagaimanapun, proses cangkerang mengeras semula selepas bersalin kulit menjadi perlahan ketika ketam-ketam itu berada dalam air tawar," jelasnya.



Dr. Syed Badaruddin Syed Ali menunjukkan antara peralatan yang digunakan untuk proses ketam berkulit lembut. - utusan/Rushdi Salleh

--------------------------------------------------------------------------------



Menurutnya, kebiasaannya, cangkerang akan mengeras semula dalam tempoh 12 jam jika berada dalam air masin tetapi proses itu menjadi perlahan dan mengambil masa sehingga tiga hari jika berada dalam air tawar.

Katanya, ketam-ketam tersebut juga memerlukan penjagaan rapi dalam memastikan proses bersalin kulit berjalan dengan sempurna dan ia lebih sensitif dalam persekitaran air berbanding ikan.

Jelas Syed Badaruddin, 10 ekor ketam yang diternak dalam 1,000 gelung perigi, hanya lima akan terus hidup sebelum bersalin cangkerang kerana hidup dalam persekitaran air tawar.

"Penjagaan lebih rapi juga diperlukan ketika ketam-ketam ini melalui proses bersalin cangkerang yang biasanya antara pukul 11 malam hingga 3 pagi.

"Bagi menjamin ketam-ketam itu tidak mati ketika sebelum, semasa dan selepas proses bersalin cangkerang, para pekerja diperlukan untuk memantau pada waktu tengah malam hingga awal pagi secara lebih teliti.

"Selepas bersalin kulit, ketam-ketam juga perlu diasingkan daripada cangkerang keras yang sudah terpisah daripada badannya bagi menjaga kualiti air supaya terus hidup sebelum dikutip untuk dijual," katanya yang kini memasarkan satu tan ketam tersebut setiap bulan.

Katanya, ketam-ketam tersebut dijual RM25 setiap kilogram kepada pengusaha restoran makanan Cina, Jepun dan Korea sekitar Kuala Lumpur.

"Ketam-ketam ini digemari kerana tidak perlu mengupas cangkerang sebelum dimakan dan boleh dinikmati keseluruhan isinya kerana perutnya bersih.

"Ia juga boleh dinikmati dengan pelbagai jenis resipi seperti ketam bercangkerang yang biasa," jelas beliau.

Jelasnya, beliau kini cuba meneroka pasaran antarabangsa memandangkan ketam bercangkerang lembut semakin popular di kalangan penggemar makanan laut.

"Bagi mencapai objektif itu, skala pengeluaran harus diperbesar dan memerlukan kos lebih tinggi. Kecekapan lebih berkesan juga diperlukan untuk memaksimumkan hasil pengeluaran disebabkan kos yang tinggi.

"Tahun hadapan, kita sedang cuba untuk mendapat taraf inkubator membenih ketam di Bachok dan Pekan. Objektif untuk memasarkan ketam ini dalam pasaran antarabangsa sedang giat diusahakan," katanya.

Selain itu, Ternak Unggul Sdn. Bhd. juga terlibat dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang, Selangor baru-baru ini sebagai usaha mempopularkan ketam berkulit lembut ini di kalangan rakyat Malaysia
.
Sumber:utusan malaysia

Thursday, August 20, 2009

Teknologi baru ternak ketam


Ahamad Sabki Mahmood (kanan) tertarik melihat ternakan ketam sambil diperhatikan oleh Teo Siong Wan (tengah) dan Norazman Adnan pada majlis kerjasama penyelidikan dan projek perintis ternakan ketam di Pulau Langkawi, baru-baru ini.


Bukan mudah untuk 'mereka cipta' satu habitat haiwan khususnya ternakan dalam air. Namun teknologi boleh memungkinkan segalanya meskipun kejayaan boleh ditentukan kemudian, selepas mengharungi tempoh percubaan yang lama.

Ini yang cuba dilakukan oleh TBV Management Sdn. Bhd. (TMSB) , sebuah syarikat tempatan yang berjinak-jinak dalam teknologi akuakultur untuk ternakan ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla serrata.

Biasanya penyelidikan melibatkan organisme hidup menggunakan kaedah in situ atau pada keadaan habitat sebenar tetapi syarikat terbabit, yakin akan mencapai sesuatu yang memberangsangkan, sekali gus mampu melonjakkan pengeluaran hasil akuakultur khususnya ketam.

Bagaimanapun syarikat terbabit cuba memperkenalkan sistem tertutup yang mana air ternakan dikitar semula selepas dibersihkan secara automatik menggunakan teknologi khusus.

Teknologi yang dikenali sebagai Sistem Ketam Bersepadu (ICS) itu dianggap satu revolusi baru dalam bidang akuakultur yang mampu menjana pengeluaran ketam berlipat ganda.

Malah, syarikat terbabit bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan Jabatan Perikanan menerusi kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akuakultur Kebangsaan, Pulau Sayak Kedah.

Menurut Pengarah Urusan TMSB, Datuk Norazman Adnan, pihaknya telah melabur sehingga RM1 juta sejak beberapa bulan lepas bagi membangunkan sistem tersebut di Kelibang, Langkawi dengan kerjasama Jabatan Perikanan.

Di pusat tersebut, anak ketam dibiakkan dalam kolam tetapi menghadapi masalah untuk membesar atau lambat mencapai saiz pasaran, selain masalah pemangsaan sesama sendiri dan berebut makanan.

Justeru, pihaknya kemudian memperkenalkan ICS yang mana anak-anak ketam yang beratnya 100 gram (g) di tempatkan dalam petak khas diperbuat daripada PVC untuk menjadi habitat kepada ternakan tersebut.

''Di bawah sistem yang ada ini, setiap seekor ketam ditempatkan dalam petak kecil itu yang mana ICS ini mempunyai sama ada 288 unit petak atau 868 unit," katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan kerjasama penyelidikan dan Projek Perintis Ternakan Ketam di Pulau Langkawi baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood serta Pengarah Perikanan Kedah, Teo Siong Wan.

Norazman berkata, meskipun sistem tersebut masih di peringkat percubaan dan sedang diuji keberkesanannya, beliau melihat ia mempunyai kebaikan daripada pelbagai aspek antaranya mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi penternak ketam.

Masalah tersebut termasuk sukar memperoleh benih, ketiadaan teknologi sesuai, dan modal yang tidak mencukupi.

''Oleh kerana kita masih mengimport benih ketam dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, kami (TMSB) berazam menyebarkan teknologi ini kepada mereka yang berminat," katanya sambil memberitahu bahawa sistem yang di pasang di Langkawi itu baru beroperasi selama dua bulan.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja pengawasan kualiti air supaya sentiasa mematuhi kehendak sistem, pengumpulan data dan bacaan lain dicatat untuk tujuan rekod.

Katanya, ketam akan cepat membesar jika bersalin kulit dan ini yang mendorong pihaknya dan Jabatan Perikanan mencari jalan bagaimana proses tersebut dapat dilakukan dengan kerap.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180g dan ia menjadi cabaran utama sebelum cangkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.

Beliau menjelaskan, banyak aspek ternakan masih dalam penelitian bersama Jabatan Perikanan memandangkan ada dakwaan bahawa ketam nipah akan mati jika habitatnya tidak sesuai.

Ini kerana, ketam nipah sukakan kawasan gelap dan suka 'menyendiri' bagi mengelak menjadi habuan binatang lain.

Ketam juga dikatakan akan cepat membesar jika mencabut anggota badannya kerana ia akan tumbuh semula.

Ketam boleh dijual pada umur antara antara empat dan enam bulan atau apabila beratnya mencapai antara 350g dan 500g. Harga pasarannya boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain didorong oleh minat dan ingin membantu ramai pengusaha ternakan ketam, beliau berharap dapat membantu meningkatkan industri akuakultur itu ke tahap yang membanggakan.

Kenyataan beliau disokong oleh Ahamad Sabki yang menjelaskan bahawa kerajaan sedang giat meningkatkan pengeluaran hasil akuakultur negara dan langkah ke arah itu kini berada di landasan betul.

Kata Ahamad Sabki, pengeluaran akuakultur meningkat 20 peratus dalam tempoh 2007-2009 melibatkan ternakan seperti siput sudu, ketam, tiram.

Katanya, ketika ini jumlah pengeluaran spesies kerang-kerangan mencecah 135,00 tan metrik .

Selain itu, kerajaan juga mahu supaya pengusaha akuakultur mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pada masa sama, ia menyokong Dasar Jaminan Bekalan Makanan 2008-2010 untuk menambah pengeluaran makanan negara bagi keperluan sendiri.

Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi TBV Management Sdn. Bhd. di talian 04-9499333.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails