BENTUK dan rupanya cukup menggiurkan. Aromanya pula pasti menawan hati sesiapa sahaja dan akan membuka selera untuk menikmatinya.
Itulah kehebatan harumanis, sejenis mempelam dari Perlis yang kini menjadi kegilaan atau menimbulkan keghairahan ramai tidak kira di mana sahaja.
Sama ada di makan begitu sahaja atau dihidang bersama pulut, keenakan harumanis tetap memukau.
Sebab itu ia menggamit kehadiran ramai ke Perlis walaupun musimnya hanya sekali dalam setahun.
Musimnya pula cukup singkat. Hanya sebulan atau sebulan setengah dalam setahun. Sebab itu ia membuatkan ramai yang tidak sabar malah sanggup berebut-rebut untuk mendapatkan harumanis.
Walaupun musimnya kali ini baru sahaja berakhir, ramai masih bertanyakan tentang harumanis khususnya di kalangan penduduk luar negeri Perlis.
Faktor tersebut juga menyebabkan pengeluaran dan pasaran harumanis sentiasa tidak mencukupi setiap tahun sehingga membuatkan agensi terlibat memikirkan langkah tertentu untuk menampung permintaannya yang tinggi.
Bagi tahun ini, segala-galanya bermula pada penghujung April sehingga Jun apabila orang ramai ‘berpesta’ meraikan kedatangan harumanis yang sekali gus menyebabkan harganya meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri Perlis, Sabry Ahmad mempunyai jawapan mengenai keistimewaan harumanis yang kini bukan sahaja digemari di dalam negeri malah ‘menyeberangi’ lautan sehingga ke Jepun.
Beliau menjelaskan, seindah namanya, mempelam tersebut cukup manis dan enak dimakan jika ia masak cukup tempohnya atau setelah mengeluarkan aroma yang harum.
“Apabila ia mengeluarkan aroma yang harum, mempelam ini sudah boleh dimakan. Disebabkan rasanya yang manis itulah antara faktor ia digelar harumanis.
“Selain itu, keunikan harumanis ialah kerana kulitnya tetap hijau walaupun sudah masak. Ia tidak boleh dimakan sewaktu masih muda atau dibuat jeruk kerana rasanya akan menjadi masam,” jelasnya.
Pada tahun lalu, Perlis mengeluarkan kira-kira 244 tan metrik harumanis yang bernilai RM 1.17 juta meliputi tanaman di kawasan seluas 257.9 hektar.
“Musim ini pengeluaran harumanis sebanyak 400 tan metrik dengan setiap tahun dirancang pertambahan pengeluaran sebanyak 200 hektar setahun,” tambah beliau.
Walaupun pengeluarannya meningkat, namun masih belum mencukupi untuk menampung permintaan.
Bayangkan belum pun habis musim, harumanis yang dijual di Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat sudah kehabisan stok.
“Begitu juga dengan hasil tanaman pengusaha harumanis di Perlis masih gagal menampung keperluan semasa yang kian meningkat saban tahun,” tambah beliau.
Saiz negeri yang kecil, hanya berkeluasan 810 kilometer persegi atau 81,713.90 hektar, tentulah agak sukar untuk menambah kawasan penanaman harumanis.
Justeru, tenaga pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) digembleng untuk mencari kaedah mengatasi kekurangan harumanis setiap tahun.
Antara pilihan ialah mempergunakan seluas-luasnya kawasan penanaman di samping menggalakkan penduduk negeri paling kecil di Malaysia itu sekurang-kurangnya menanam sepohon harumanis.
“Ladang-ladang terbiar dipulihkan. Pokok-pokok yang tidak berhasil ditebang untuk ditanam semula dengan harumanis bagi meningkatkan pengeluaran.
“Kerajaan negeri memperuntukan RM1.8 juta setahun untuk membangunkan industri harumanis dengan sasaran tanaman seluas 1,000 hektar menjelang 2015,” kata beliau.
Begitu juga dengan penjagaan tanaman harumanis, Jabatan Pertanian memperkenalkan pembalut khas yang diimport bagi menjaga kualiti buahnya.
“Memang buah yang mula keluar dari pokok akan dibalut. Lazimnya dengan kertas suratkhabar. Tetapi ia lebih berkualiti jika dibalut dengan pembalut khas yang dipasarkan oleh Jabatan Pertanian.
“Pembalut baru ini mempunyai lapisan dalam gelap, di hujungnya pula tersedia dengan dawai bagi memudahkan petani mengikat tangkai buah selepas dibalut dan hasilnya cukup memuaskan kerana ia (harumanis) nampak bersih dan segar,” kata beliau.
Di samping itu, kata beliau, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Pertanian Negeri Perlis mendaftarkan nama harumanis Perlis sebagai harta intelek.
“Pendaftaran ini untuk mengesahkan bahawa harumanis yang berkualiti hanya mempelam dari Perlis berdasarkan kesesuaian muka bumi selain menjaga reputasinya.
“Menerusi pendaftaran harta intelek, barulah tindakan boleh diambil ke atas peniaga yang menjual mempelam jenis lain tetapi menggunakan nama harumanis,” kata beliau.
Sumber:utusan malaysia