Saturday, June 25, 2011

Kontraktor ternak udang harimau

BERMULA hanya sebagai kontraktor binaan, Lim Ah Cham, 50-an, kini bangga bergelar usahawan ternakan udang harimau yang berjaya di Sabah.

Anak kelahiran Perak itu tidak segan silu berkongsi maklumat dan pengalamannya mengusahakan ternakan udang harimau yang semakin memberangsangkan.

Jika di Semenanjung, jumlah penternak udang harimau kini dilihat semakin berkurangan ekoran pelbagai masalah yang dihadapi berkaitan kawasan yang sesuai.

Malah, boleh dikatakan hampir tiada pengusaha yang menternak udang harimau kini berikutan mereka telah beralih kepada ternakan lain yang rata-rata lebih mudah untuk diternak.

Menurut Ah Cham, minat yang mendalam menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad terjun ke bidang akuakultur biar pun tidak memiliki pengalaman yang mendalam sebagai seorang penternak udang.

''Pekerjaan asal saya adalah kontraktor, jadi saya banyak melakukan kerja-kerja di lapangan sebelum saya temui kawasan ternakan sekarang ini.

"Di Sabah, airnya lebih cantik berbanding kawasan di Semenanjung sekali gus menjadikannya kawasan yang amat sesuai untuk ternakan udang harimau," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan media Jabatan Perikanan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar ke Tawau, Sabah baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Shabki Mahmood

Ah Chan yang mengusahakan ternakan akuakultur tersebut menerusi syarikat Pegagau Food Products Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 2000 dan secara rasminya pada 21 Jun 2002 dan kini memiliki kilang pemproses udang terbesar di Sabah.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan syariat terbabit hanya memiliki 10 buah kolam sahaja semasa awal penglibatan dalam bidang penternakan udang harimau tersebut.

Kini ladang ternakan udangnya berkembang kepada 500 buah kolam di sekitar Semporna, Sabah yang membolehkan hasil dituai saban hari.

Namun, menurutnya, permintaan yang diterima ketika ini melebihi pengeluaran menyebabkannya terpaksa menolak banyak tempahan daripada pembeli dari luar negara.

"Sehingga kini kita hanya mampu membekalkan udang ke Korea Selatan, Jepun, Taiwan, China dan Vietnam dengan jumlah eksport antara 20 dan 40 kontena sebulan.

"Permintaan amat tinggi, terutamanya dari luar negara. Apa yang memeningkan saya adalah untuk memenuhi permintaan tersebut," jelas beliau.

Biar pun memiliki kawasan ternakan udang seluas 365,153 ekar yang jalankan oleh anak syarikatnya iaitu Pegagau Aquaculture Sdn. Bhd. namun ia masih tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Ujarnya, bagi memastikan bekalan sentiasa ada, udang perlu dituai setiap hari. Justeru pihaknya perlu menyusun jadual pelepasan anak benih bagi setiap kolam agar ia menepati masa tuaian dan tempahan yang telah dibuat.

"Kita ada banyak kolam, jadi jika mahu setiap hari ada udang yang dituai, kita perlu masukan benih udang berturutan.

"Jika tidak, udang tidak dapat dituai pada masa yang ditetapkan," kata beliau.

Selain menternak udang harimau, Lim juga melakukan pembenihan udang agar memudahkan pihaknya memperolehi benih.

Jelasnya, benih udang harimau amat sukar untuk diperolehi justeru terpaksa membina sebuah pusat pembenihan sendiri bagi memastikan bekalan anak udang tidak terputus.

Kini, setiap hari antara 16 dan 18 tan udang harimau dituai dan terus dihantar ke kilang pemprosesan sebelum dieksport ke luar negara.

Tambahnya lagi, terdapat sesetengah negara seperti Jepun menempah udang tanpa kepala dan kulit mendorongnya membuka kilang pemprosesan lain untuk tujuan tersebut.

Sisa kulit dan kepala udang boleh diproses untuk dijadikan baja. Namun beliau masih belum memiliki kelengkapan untuk tujuan itu.

Buat masa kini, sisa udang yang tidak digunakan terpaksa dilupuskan begitu sahaja. Tetapi beliau sedang berusaha untuk menyediakan peralatan memproses sisa buangan udang tersebut agar dapat dimanfaatkan.

Produk udang beliau kebanyakannya akan dibekukan sebelum dieksport keluar negara.

Ketika ditanya apakah cabaran terbesar dalam perusahaan menternak udang harimau, beliau menjelaskan, bahawa di dalam perniagaan sentiasa ada untung dan rugi.

Pada tahun lepas beliau telah mengalami kerugian namun pada tahun 2011 perniagaan kembali pulih seperti sedia kala.

Selain itu, cabaran penyakit dan haiwan perosak juga turut mengancam ternakan udang harimau.

Malah cerita Lim lagi, jika udang dijangkiti virus ataupun penyakit, ia akan mati dengan pantas.

Ternakan beliau pernah mati hanya dalam masa satu malam yang menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Namun, atas sikap tidak berputus asa, beliau terus berusaha untuk bangkit dan kembali berjaya sehingga kini.

Bagi sesiapa yang mahu menceburkan diri dalam bidang ternakan udang harimau, nasihat Ah Chan agar mereka banyak belajar dan jangan meninggi diri.

Katanya, tanpa pengetahuan yang luas berkenaan udang, pasti penternakan serta perniagaan berkenaan udang harimau tersebut tidak akan berjaya.

Beliau sendiri turut melakukan pelbagai rujukan dan banyak mencari maklumat malah sering menerima nasihat sebelum mula menceburkan diri dalam sektor penternakan udang harimau

Tips penjagaan udang galah

UDANG galah atau nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii, berada dalam keluarga palaemonidae bersifat omnivora, cenderung aktif pada waktu malam.

Ia hidup di air tawar dan air payau seperti di sungai, paya, saliran, tasik dan perairan lain yang biasanya mempunyai hubungan air dengan laut.

Udang galah boleh diternak secara sejenis atau monokultur mahu pun polikultur dengan ikan atau secara ternakan bersepadu bersama itik, lembu dan haiwan lain.

Pengurusan ternakannya mudah dan jarang diserang penyakit serta jangka masa ternakan yang agak singkat.

Bagaimanapun kini, taburannya agak terbatas di kawasan perairan yang tidak tercemar dan di kolam-kolam ternakan.

Udang galah sesuai diternak kerana mempunyai permintaan yang baik di samping harga pasarannya yang agak tinggi.

Penyediaan kolam

Di Malaysia saiz biasa kolam udang adalah antara 0.25 ekar hingga 1.5 ekar dengan kedalaman sekitar satu hingga dua meter (m).

Kolam yang terlalu cetek menyebabkan rumput dan lumut tumbuh dan menyukarkan penjaringan, manakala kolam yang terlalu dalam akan menyukarkan pengurusan.

Pengeringan

Dedahan kepada cahaya matahari terik perlu untuk membunuh pemangsa (ikan, belut, serangga) dan patogen (bakteria, kulat, parasit).

Pendedahan dasar kolam kepada udara dan cahaya matahari pula mempercepatkan proses pereputan bahan organik (najis, makanan lebih, daun, rumput dan sebagainya) yang akan menambahkan kesuburan kolam.

Jangka masa pengeringan antara satu dan dua minggu biasa dibuat, bagaimanapun ada ketikanya kolam perlu dikeringkan untuk jangka masa lebih panjang, misalnya di musim hujan atau bila kolam telah terlalu lama digunakan.

Meracun

Kolam yang tidak boleh dikeringkan perlu diracun untuk membunuh ikan liar (pemangsa). Racun organik seperti akar tuba, hampas biji teh (tea seed cake), dan daun tembakau.

Untuk membunuh ikan seperti lampam adalah sekitar 10 miligram setiap liter (mg/l) manakala bagi ikan haruan kadar sekitar 30 mg/l adalah diperlukan.

Mengapur

Kolam dikapur dengan tujuan untuk menstabilkan pH, membunuh ikan liar, menggalakkan proses salin kulit udang, meninggikan kadar pereputan bahan organik seterusnya menyuburkan kolam.

Antara jenis-jenis kapur yang terdapat di pasaran adalah kapur abu panas (quicklime - CaO) berkesan dengan cepat, jangkamasa keberkesanannya pendek.

Kapur batu putih (lime stone - Ca(CO3)), berkesan secara perlahan-lahan tetapi jangkamasa keberkesanannya panjang.

Kapur abu sejuk (slake/hydrated lime) bertindakbalas cepat dan kesannya juga cepat hilang. Cara mengapur kolam yang biasa diamalkan adalah dengan menabur rata serbuk kapur abu sejuk (hydrated) di permukaan dalam kolam kering dengan sukatan sekitar satu kilogram bagi setiap 10 meter (kg/10m).

Membaja

Kolam perlu dibaja bagi menggalakkan pertumbuhan makanan semulajadi yang berbentuk cacing, siput, lumut dan tumbuhan air.

Dua jenis baja yang biasa digunakan adalah baja organik dan baja kimia.

Najis haiwan (ayam, itik, lembu, kambing) adalah jenis baja organik yang biasa digunakan. Bagi baja kimia pula, triple super phosphate (TSP) boleh digunakan dengan kadar 3.5kg/1000m/minggu.

Pengairan

Air memasuki kolam melalui penapis halus bagi menghindari kemasukan haiwan pemangsa.

Sebaiknya udang dilepas seminggu selepas air masuk.

Kadar tukaran air terbaik untuk kolam ternakan udang adalah sekali untuk seminggu hingga dua minggu.

Kadar ini mampu menampung kepadatan ternakan sebanyak 10/m tanpa perlukan alat pengudaraan. Kadar alir air yang lebih perlahan akan menyebabkan air kolam kurang bermutu dan memerlukan alat pengudaraan.

Kadar aliran air yang sangat cepat sebaliknya membawa baja keluar kolam tanpa dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan makanan semulajadi udang.

Kolam udang yang tidak melakukan penukaran air memerlukan alat pengudaraan seperti kincir air (paddle wheel), penyembur angin (air blower), pemampat angin (air compressor) dan pam air bagi membantu menambah kandungan oksigen terutama waktu malam.

Pemakanan

Makanan rumusan udang galah (pellet) sesuai kerana mengandungi protein yang tinggi (30 hingga 40 peratus), mengandungi zat-zat lain yang diperlukan dan stabil dalam air.

Bagaimanapun didapati udang masih memerlukan bekalan makanan semula jadi dari kolam. Pemberian makanan adalah dua atau tiga kali sehari.

Makanan awalan (starter) diberikan untuk bulan pertama hingga kedua, diikuti dengan makanan tumbesaran (grower) bagi bulan kedua hingga keempat dan dua bulan berikutnya dengan makanan Penamat (finisher) sehingga udang dipasarkan.

Hasilkan makanan sendiri

Makanan boleh dihasilkan sendiri untuk mengurangkan kos. Bahan-bahan asas yang biasa diguna untuk membuat makanan adalah seperti tepung ikan, kulit udang, kacang soya, kacang tanah, tepung gandum, beras, ubi kayu, minyak kelapa, sawit dan minyak ikan.

Makanan sampingan seperti kopra kelapa, jagung, daging ayam atau itik, perut ayam dan hampas kacang soya juga boleh diberikan.

Bagaimanapun mutu air kolam hendaklah sentiasa dalam kawalan agar tidak terlalu subur yang memungkinkan kematian udang ternakan.

Pungutan hasil

Kadar tumbesaran individu udang berbeza bergantung kepada jantina, baka, mutu dan jumlah makanan, mutu air dan kadar pelepasan.

Penjaringan boleh dimulakan pada bulan ke empat dan diulangi tiga hingga empat minggu sekali sehingga semua udang dikeluarkan dari kolam.

Kolam kemudian dikeringkan dan rawatan kolam dilakukan. Udang yang terlalu kecil dari beberapa kolam boleh di asing dan di pindah ke satu kolam lain untuk dibesarkan.

Penyakit dan kawalan

Penyakit merupakan faktor yang membatas penghasilan udang galah.

Penyakit yang banyak menyerang udang galah adalah bintik hitam (black spot) iaitu penyakit yang disebabkan oleh bakteria sering menyerang peringkat larva tahap 4 dan 5.

Penyakit tersebut boleh dicegah melalui pengurusan air dan elakkan dari kecederaan fizikal udang, stok melebihi kadar muatan atau kekurangan makanan.

Rawatan

Rendam dalam 10 ppm asid oxolinic untuk selama sejam atau dua ppm nifurpirinol untuk 96 jam. Penyakit yang disebabkan oleh bakterial berasal dari air laut iaitu Vibro sp mempunyai simptom stres. Rawatan : Rendam dalam 11 - 13 ppm Furozolidone selama tiga hari.

Sumber:utusan malaysia

Tip penjagaan kuda


PERKEMBANGAN dunia Islam di bawah pemerintahan Khalifah Omar telah membuka era baru dalam dunia kuda atau equestrian, yang mana banyak taktik baru dipelajari dalam peperangan berkuda.

Kuda atau Equus caballus ialah spesies daripada famili Equidae dan berada dalam kelas mamalia.

Manusia mula menjinakkan kuda dan menjadikannya sebagai aset yang amat penting baik dalam peperangan, pertunjukan, sarkas, sukan, pertandingan dan sebagainya.

Perkembangan sukan berkuda di Malaysia semakin meningkat dalam banyak disiplin antaranya dressage, showjumping dan endurance.

Menunggang kuda juga boleh dijadikan sebagai terapi kepada penyakit artritis, sindrom down, autisme, sakit tulang belakang dan membantu mencerahkan penglihatan mata melalui rangsangan terhadap saraf cranium (tengkorak) semasa gerakan 'galloping' kuda serta bermacam lagi.

Terdapat beberapa baka kuda seperti Arab, Thoroughbred, Quarter Horse, Appaloosa dan Hunter. Sistem pengurusan kuda yang baik boleh menentukan status kesihatan kuda, keselesaan dan keupayaan kuda melakukan kerja.

Dalam memelihara kuda beberapa aspek penting mengenai pengurusan perlu diberi perhatian seperti stable, sarap, penjagaan kaki, latihan, peralatan kuda dan sebagainya.

Stable

Merupakan kandang kuda yang dibina dengan ciri-ciri keselamatan seperti permukaan lantai yang kasar, dinding dan pintu stabel yang kukuh, dan pengudaraan yang baik.

Saiz stabel yang sesuai adalah 3.0 m x 3.0 m (10' x 10') untuk kuda poni, 3.6 m x 3.0 m (12' x 10') untuk kuda sederhana besar dan 3.6 m x 3.6 m (12' x 12') untuk kuda besar dan stabel dibersihkan setiap hari.

Sarap (bedding)

Sarap (ketaman papan/jerami) perlu disediakan dalam stable dalam ketebalan enam inci untuk keselesaan, menyerap kelembapan dan urin, di samping mengelak kecederaan apabila duduk atau baring di dalam stabel. Sarap mesti dibersihkan, digemburkan setiap hari dan perlu diganti sekali atau dua kali seminggu bergantung kepada keadaan sarap.

Merapi Kuda (grooming)

Perapian kuda sangat penting dalam menentukan tahap kesihatan serta kualiti kuda dan perlu dilakukan sekurang - kurangnya sekali sehari. Perapian bertujuan untuk membersihkan badan dari kekotoran, mengelakkan jangkitan penyakit kulit, mengesan sebarang luka, bertindak sebagai urutan (massage) untuk melancarkan peredaran darah serta pergerakan otot.

Malah yang lebih penting ia mengeratkan hubungan antara manusia dengan kuda dan akan kelihatan lebih menarik dengan bulu yang berkilat apabila didandan setiap hari.

Memandikan kuda

Kuda perlu dimandikan apabila setiap kali selepas latihan atau ketika cuaca yang panas dan jika keadaan kuda yang kotor.

Penjagaan kaki dan kuku

Kaki kuda memainkan peranan penting kerana kekuatan seekor kuda bergantung pada kakinya justeru sebarang kecederaan perlu dielakkan.

Tapak kaki hendaklah dibersihkan dengan hoof pick manakala kuku kuda perlu disapu minyak kuku (hoof oil) setiap hari iaitu sebelum menunggang dan selepas atau setiap kali selepas kuda dimandikan bagi mengelakkan kuku kering dan merekah.

Ladam pula perlu ditukar setiap enam minggu atau sebulan sekali untuk memastikan kedudukan kuku kuda itu betul dan menghindar dari tumbuh panjang dan tidak seimbang sekali gus menjejaskan pergerakan kuda.

Latihan

Kuda perlu dilatih seperti lungeing, gallop dan canter sekurang - kurang enam hari dalam seminggu. Latihan perlu bagi memastikan kuda berada dalam keadaan bersedia bagi tugas tertentu dan tidak terkejut untuk melakukan sesuatu tugas selain melancarkan darah serta mengurangkan risiko penyakit.

Teknik latihan kuda adalah berbeza mengikut fungsi atau kegunaan kuda seperti latihan asas menunggang, show jumping, dressage, endurance, lumba, polo dan sebagainya.

Peralatan kuda

Peralatan kuda seperti saddle, bridle, stirrups, girths, numnah, topi dan peralatan menunggang yang lain perlu disimpan di tempat yang sejuk dan kering juga dibersihkan setiap kali selepas digunakan dan seminggu sekali di sapu leather oil bagi mengelakkan kekeringan.

Makanan Kuda

Makanan asas kuda terdiri dari chaff, bran, Pelet kuda(horse cube), hay dan PKE (palm kernel extract) bagi kuda yang tidak menjalankan latihan. Manakala makanan tambahan terdiri dari elektrolit dan blok garam mineral.

Rumput segar yang sesuai ialah rumput kerbau dan rumput gajah. Makanan diperlukan sebanyak 2.5 peratus daripada berat badan kuda sehari.

Pembiakan

Dalam membiakkan kuda, pemilihan baka adalah sangat penting bagi mendapatkan progeni yang berprestasi tinggi dari segi konformasi yang baik, kekuatan fizikal dan daya ketahanan pada penyakit.

Pembiakan kuda tidak bermusim dan tempoh bunting adalah antara 300 hingga 365 hari.

Pembiakan boleh dijalankan secara pengawanan semulajadi atau pemanian beradas.

Keselamatan pengendalian kuda

Kuda adalah haiwan yang mempunyai kebolehan merasai dan akan memberi respons terhadap perasaan takut penunggang.

Jika penunggang takut atau tertekan, kuda akan lebih rasa takut yang menyebabkan kuda tertekan dan mengambil peluang berkelakuan tidak baik. Sehubungan itu, penunggang perlu tenang.

Dalam hal ini, penunggang bukan semata-mata mendominasi kuda tetapi ia lebih kepada perkongsian dan saling mempercayai. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diambil kira semasa mendekati, menangkap dan menambat kuda :

n Perlu berkeyakinan dan dalam keadaan yang tenang (tanpa rasa takut)

n Mendekati kuda secara perlahan-lahan dan beransur-ansur bermula dari bahagian hadapan kuda (muka dan kemudian sisi kiri di bahagian bahu kuda)

n Berinteraksi dengan kuda dengan memanggil namanya atau sama ada boy (jantan) atau girl (betina)

n Usap dan gosok bahagian leher kuda sambil berinteraksi dengannya

n Gunakan kolar kepala (headcollar) untuk menangkap kuda dan pengendali harus berada sebelah kiri kuda semasa pemasangan dilakukan.

Kesihatan dan penyakit

Kuda merupakan haiwan yang mahal, justeru itu kematian kuda akan mengakibatkan kerugian berpuluh ribu ringgit.

Antara masalah kesihatan dan penyakit yang perlu dikawal adalah kolik iaitu kegagalan membuang air besar yang boleh menyebabkan kematian.

Simptom masalah ini adalah kuda tiada selera makan, mengais, menendang, menggigit perut, berpeluh dan restless.

Rawatan : peringkat awal memimpin kuda supaya sentiasa berjalan dan menggalakkan kuda meragut rumput segar bagi merangsang pengeluaran tinja.

Jika tidak beri suntikan Flunixin atau Cobaphos, Stress Vit, dan memasukkan Liquid parafin dan Fluids ke dalam badan kuda.

Tempang juga merupakan masalah kesihatan di bahagian kaki kuda, pergerakan kuda yang tidak selesa kesan daripada rasa sakit boleh dirawat dengan memberi Butalone granules, suntikan Flunixin dan rehatkan kuda sehingga sihat. Kurap boleh dikesan apabila kuda menggigit kulit dan menggaru pada dinding stabel. Rawatan : Mandikan kuda menggunakan campuran hibiscrub dan povidone iodine, sapukan krim topikal seperti beavate dan beri antihistamine.

Sumber:utsuan malaysia



Taman Sabah pergiat penyelidikan rusa

Oleh HASLIN GAFFOR



TAMAN-TAMAN Sabah (TTS) mengorak langkah dalam aktiviti penyelidikan pengurusan hidupan liar di dalam kawasan Taman Kinabalu melalui pembukaan Kebun Rusa di Substesen Serinsim di Kota Marudu, Sabah.

Kebun seluas dua hektar itu dipagar, dilengkapi dengan kemudahan Rumah Gelap, alat penimbang, ruang pengasingan dan kelong.

Rumah Gelap itu digunakan bagi menenangkan rusa ketika para penyelidik melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas ternakan berkenaan.

Ia membolehkan kebun rusa ini berpotensi dijadikan model sebagai pusat kajian bagi rusa merangkumi kajian pembiakan, pemakanan, penyakit, kelakuan, pemilihan habitat, kadar tumbesar dan jangka hayat haiwan.

Kebun itu dibangunkan sejak 2005 tetapi hanya beroperasi dengan siapnya rumah gelap itu yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS, Dr. Joachim Gunsalam baru-baru ini.

Kebun Tropika di stesen Poring adalah ladang rusa pertama TTS yang dibuka pada 1988 bermula dengan dua ekor rusa yang diperoleh daripada penduduk berhampiran Taman Kinabalu dan sumbangan daripada Jabatan Hidupan Liar.

Dari tahun ke tahun, bilangan rusa yang ada meningkat kepada 24 ekor hasil kejayaan pembiakan spesies berkenaan.

Bagaimanapun keluasan kebun itu gagal menampung jumlah rusa yang ada kerana seekor rusa memerlukan kawasan mengikut nisbah 1 ekor: 0.4 hektar (seekar).

TTS mengambil inisiatif dengan membuka Kebun Rusa Serinsim dengan keluasan yang lebih lebas dan mampu menampung keperluan rusa sepenuhnya untuk mengembang biak.

Dr Joachim menyifatkan usaha yang diambil untuk membuka Kebun Rusa Serinsim akan menjadi model penting yang berfungsi sebagai pusat kajian dan organisasi yang turut serta dalam program pemuliharaan hidupan liar yang aktif di negeri ini.

''Ia sekali gus akan dapat menjana pendapatan TTS dan akan memberi peluang sosio ekonomi kepada penduduk tempatan Serinsim," katanya yang ditemui selepas merasmikan kemudahan Rumah Gelap itu.

Selain menjalankan fungsi sebagai pusat penyelidikan dan penyelamatan rusa dan haiwan mamalia lain, pembukaan ladang rusa Serinsim akan menjadikannya sebagai sebuah pusat pelancongan sesuai dengan lokasinya dalam kawasan Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia.

Dalam pada itu, usaha translokasi rusa dari kebun tropika di Poring ke kebun rusa Serinsim di sini dilakukan selama tiga hari bermula 21 Mac lalu.

Rusa berkenaan dipindahkan dalam dua kumpulan.

Kumpulan pertama melibatkan 11 ekor rusa, yang dikurung dalam kandang khas dan dibawa menggunakan lori pada pukul 4 petang untuk mengelak tekanan kepada rusa serta cuaca panas dan tiba di Serinsim di sini pada pukul 11 malam.

Sepanjang perjalanan, petugas TTS yang mengendalikan translokasi itu memantau rapi keadaan rusa berkenaan dan usaha mereka berjaya dengan kesemua rusa yang dipindahkan itu berada dalam keadaan sihat sebelum dilepaskan di kebun rusa Serinsim.

Kumpulan kedua melibatkan sembilan ekor rusa dan lima ekor akan dibiarkan di kebun tropika Poring untuk mengembangbiak spesies berkenaan.

Pegawai Penyelidik Zoologi TTS Fred Tuh Yit Yu berkata, program translokasi rusa itu adalah sebahagian daripada aktiviti penyelidikan dalam pengurusan hidupan liar di kawasan taman di bawah jagaan TTS.

Katanya, program translokasi tidak terhad kepada aktiviti memindahkan haiwan yang mempunyai konflik dengan manusia seperti kera tetapi aktiviti ini juga merangkumi pemindahan spesies yang mempunyai populasi dan kepadatan yang tinggi di sesuatu lokasi taman.

''Program translokasi ini akan dijadikan sebagai pelantar latihan dalam kalangan petugas yang terlibat mengendalikan hidupan liar terutama haiwan besar seperti rusa," katanya.

Beliau berkata, translokasi rusa ini untuk memudahkan penjagaan kesihatan haiwan itu terutama mengawal kutu dan cacing.

Pembukaan kebun rusa dan rumah gelap, di substesen Serinsim, bakal menjadikan ia sebagai satu lagi produk pelancongan bagi TTS terutama di daerah ini.

Substesen itu terletak di Kampung Serinsim, kira-kira 38 kilometer dari Kota Marudu dan berada pada ketinggian 192 meter dari paras laut menjadikannya sebuah kawasan hutan hujan tropika tanah pamah.

Uniknya substesen ini, ia berhampiran dengan pertemuan dua batang sungai iaitu sungai Serinsim dan sungai Kanarom yang mengalir dari dalam kawasan Taman Kinabalu dan mengalir keluar ke Teluk Marudu.

Pada masa ini, terdapat beberapa kemudahan penginapan disediakan untuk pengunjung seperti asrama yang boleh memuatkan 21 orang pada satu-satu masa, tiga buah calet masing-masing untuk enam orang dan tapak perkhemahan.

Di sekitar kawasan Serinsim terdapat enam tempat menarik yang boleh dikunjungi iaitu puncak gunung Nambuyukong yang mempunyai ketinggian 1,681 meter (5,515 kaki) dari paras laut, Batu Lebah yang bersaiz seperti sebuah rumah, Gua Kelawar, Air Terjun Misumpak, Makam Sigunting sebuah kubur lama milik pahlawan tempatan dan Makam Orang Tinggi (Gambaliu).

Sub tesen Serinsim adalah antara enam substesen TTS di dalam Taman Kinabalu, lima lagi terletak di Mata Air Panas Poring dan Monggis (Ranau), Mesilau (Kundasang), Nalapak (Kota Marudu) dan Sayap (Kota Belud).


Sumber:utusan malaysia



Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails