Wednesday, August 14, 2013

Tauke Musang King

Teks dan gambar Ramli Ibrahim
Kebiasaannya hanya golo­ngan lelaki mengusahakan dusun durian tetapi Tina Chong, 47, dari Kampung Pulai, dekat Gua Musang, Kelantan, membuktikan mampu mengusahakan dusun durian Musang King hingga memperoleh hasil lumayan.
Musang King atau durian Kunyit bukan saja terkenal di pasaran tempatan tetapi menembusi pasaran luar negara termasuk Singapura, Hong Kong dan China.

Ketika berusia 20 tahun, Tina mengusahakan dusun durian di kawasan seluas lapan hektar selepas gagal dalam bidang lain yang diusahakan.

Dia tekad pulang ke kampung untuk melupakan kisah pahit dan usahanya membuahkan hasil apabila dusun durian Musang King yang diusahakannya menjadi sebutan ramai.

Dia banyak menimba ilmu mengenai tanaman itu daripada rakan petani di Raub, Pahang dan Jabatan Pertanian Gua Musang sehingga muncul pengusaha wanita Kelantan pertama mengeluarkan durian Musang King.

“Pada mulanya saya hanya menanam beberapa jenis durian termasuk benih Bangkok dari Thailand selain durian kunyit. Apabila mengeluarkan jenama baru durian Musang King, saya terus melakukan pe­nyatuan benih kepada semua pokok.

“Kini, saya menanam 600 pokok durian sejak ia dimulakan pada 1987 dan mengeluarkan hasil 10 tahun kemudian,” katanya.

Menurutnya, jika 15 tahun lalu hasil duriannya sekitar 10,000 biji semusim, kini pengeluarannya bertambah kepada 30,000 biji dan berbuah dua kali setahun.

Tina terus menimba ilmu mempelajari teknik penanaman durian Musang King dan hasilnya tanaman itu berbuah dua kali setahun.

Pernah pokok duriannya tumbang dilanda ribut, mati dan diserang penyakit, namun dia tetap tabah.

“Dalam apa saja pekerjaan, pasti ada cabaran tetapi saya sudah biasa, malah menganggap durian Musang King mempunyai peminatnya tersendiri,” katanya.

Tina berkata, 300 daripada 600 pokok durian Musang King miliknya itu mula mengeluarkan hasil.

Setiap pokok durian itu berbuah antara 100 hingga 200 biji dan sejak akhir bulan lalu, dia dapat mengutip 200 biji sehari atau 1,000 biji sehari dalam tempoh sebulan lagi.

Dia mengakui terpaksa berada di dusun durian siang dan malam untuk mengawasi pokok miliknya termasuk memanjat pokok bagi mengikat buah durian.

“Ia bagi mengelak durian rosak apabila jatuh ke tanah hingga harganya jatuh akibat tidak bermutu.

“Pada saya kualiti buah perlu dijaga untuk memastikan pengguna mendapat apa yang dibayar,” katanya.

Harga durian terbabit masih kekal RM25 ­sekilogram dan lebih tinggi jika dieksport ke negara luar.

“Tidak sangka durian Musang King yang saya cipta itu terkenal hingga ke merata tempat, selain ada juga pengusaha cuba meniru apa yang saya lakukan itu,” katanya.

­Setiap musim durian, dia tidak menang tangan menerima tempahan daripada pemborong luar Kelantan.

Dia turut menerima dua anugerah wanita pertama menghasilkan durian Musang King di negara ini iaitu sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) dan MAHA 2012.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails