Showing posts with label Tanaman Jarak. Show all posts
Showing posts with label Tanaman Jarak. Show all posts

Friday, June 12, 2009

Johor: Tapak semaian jarak 4 beradik jadi tumpuan

Projek di Simpang Renggam antara usaha atasi tanah terbiar

SIMPANG RENGGAM: Tanah terbiar jika diusahakan dengan tanaman jangka pendek dan panjang mampu menjana pendapatan sampingan dan berupaya meningkatkan taraf sosio ekonomi keluarga.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda Umno bahagian Simpang Renggam menganjurkan majlis penerangan dan perasmian Tapak Semaian Pokok Jarak di Kompleks Penghulu Mukim Renggam di sini, baru-baru ini. Tapak semaian yang menempatkan 80,000 anak pokok jarak yang sedia diedarkan itu adalah usaha titik peluh empat beradik pemuda tempatan yang diketuai Abdul Halim Surif, 37; Abdul Khalil, 34; Abdul Rauf, 35 dan Abdul Rashid, 38.

Halim adalah antara 275 pengusaha nurseri benih pokok jarak seluruh negara yang berdaftar dengan Bionas Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat di Malaysia yang terbabit secara langsung dengan penanaman pokok jarak pagar atau nama saintifiknya Jatropha Curcas untuk menghasilkan biodiesel.

Halim berkata, nurserinya adalah antara 15 nurseri di Johor yang dilantik untuk mengendalikan Pusat Pungutan Hasil Bionas bagi memudahkan peserta yang berdaftar menjual hasil tanaman mereka.

Beliau berkata, biodiesel atau minyak yang dihasilkan dari biji pokok jarak adalah bahan bakar alternatif dari tumbuh-tumbuhan sesuai dan bersifat mesra alam untuk kegunaan enjin dan jentera dengan tentera Jepun pernah menggunakan minyak biji jarak sebagai campuran bahan api pesawat semasa Perang Dunia Kedua.

Katanya, negara maju sudah lama mengenal pasti pokok jarak sebagai satu daripada sumber biodiesel tetapi mereka tidak mempunyai sumber tanaman sendiri.

"Di negara luar, penggunaan biodiesel dan biofuel sudah biasa digunakan dan kebanyakan negara maju mengaplikasikan polisi B5 iaitu mewajibkan lima peratus biofuel dicampur dengan diesel," katanya.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bionas, Zurina Amnan turut hadir memberi penerangan skim penanaman pokok jarak bagi penduduk luar bandar.

Zurina berkata, pokok jarak boleh hidup melebihi 45 tahun, tumbuh dengan cepat, amat sesuai ditanam di iklim tropika seperti Malaysia kerana dalam tempoh enam bulan sudah mulai berbuah dan mengeluarkan hasil serta akan berganda selepas dua tahun.

Beliau berkata, seluas 0.4 hektar tanah boleh ditanam dengan 800 pokok jarak dan hasil pengeluaran dalam masa dua tahun pertama kira-kira 3.6 tan buah bagi setiap 0.4 hektar setahun.

Katanya, sebiji buah jarak mengandungi dua hingga empat biji benih yang akan diproses menjadi biodiesel dan bijinya menghasilkan perolehan minyak lebih kurang 33%.

"Penjagaannya mudah, tidak dirosak oleh kebanyakan serangga, ulat atau binatang ternakan, saiz pokok yang rendah dan rendang akan memudahkan proses memetik.

"Bionas secara berperingkat sudah membina kilang perahan bagi mengeluarkan minyak mentah Jarak dan kilang penapis bagi memproses minyak mentah Jarak menjadi biodiesel di beberapa lokasi strategik seluruh negara," katanya.

Zurina berkata, dengan kemudahan itu, Bionas berkemampuan mengeluarkan minyak mentah Jarak sebanyak 730,000 tan dan minyak biodiesel Jarak sebanyak 340,000 tan pada pertengahan tahun ini.

“Untuk rekod, Bionas akan membeli balik biji buah Jarak (kering) ialah RM0.85 sekilogram bersamaan RM850 setan selama 30 tahun," katanya dalam majlis penerangan itu.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web www.bionas.com.my, www.biofuelbionas.com dan www.bionasmalaysia.com

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Simpang Renggam, Ismail Md Nor, berkata skim penanaman pokok jarak di Simpang Renggam adalah salah satu usaha yang dikenal pasti bagi mengatasi tanah terbiar atau kosong dan sumber ekonomi penduduk setempat.

Beliau berkata, penduduk diberi penerangan potensi tanaman dan jaminan pembelian balik hasil dan terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan sendiri.

Kata Ismail, ia juga bukan bermakna bahawa Pemuda Umno berpeluk tubuh setakat di situ saja tetapi akan meneruskan program lain menjana pendapatan khususnya ekonomi penduduk melalui pelbagai kegiatan pusat pengumpulan hasil pertanian.

Sumber:Berita Harian


Monday, May 25, 2009

Pokok Jarak Mampu jana ekonomi penduduk

LAYANG-LAYANG KANAN -: Tanaman pokok jarak yang diperkenalkan oleh Syarikat Bionas Sdn Bhd dapat menambahkan pendapatan penduduk terutama mereka yang mempunyai tanah sendiri.
Seorang penduduk yang ditemui semasa taklimat tanaman pokok jarak, Ismail Ibrahim berkata, dia mendapat maklumat berkenaan pokok jarak itu daripada pihak peladang dan berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan pokok jarak itu melalui taklimat yang diadakan. “Saya lihat tanaman ini amat bagus terutama kepada mereka yang mempunyai tanah kosong sebagai menambahkan pendapatan sampingan. “Seperti yang diterangkan oleh pihak syarikat Bionas, pokok jarak ini mudah ditanam dan senang dijaga,” katanya.
Ismail berkata, pokok jarak itu tidak sama seperti pokok lain yang memerlukan penjagaan rapi serta penjagaan teliti. “Saya mempunyai sedikit tanah dan akan mencuba tanaman ini. Lagipun penerangan yang diberikan tentang pokok ini tidak seperti kelapa sawit yang memerlukan penjagaan rapi serta mudah diserang serangga perosak,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang ditemui, Zahadi Yeop Ahmad, 73, berkata, tanaman ini boleh membantu dalam memajukan taraf ekonomi penduduk di mana hasilnya juga lumayan. “Pulangan untuk tanaman ini juga agak cepat kerana dalam masa enam bulan sahaja kita sudah boleh mendapat hasilnya,” katanya. Zahadi berkata, pokok jarak juga tidak mempunyai musuh yang boleh merosakkannya. “Melalui penerangan daripada pihak Bionas, pokok ini jarang diserang serangga perosak kerana ia mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. “Ia berbeza dengan tanaman lain yang mudah diserang serangga perosak dan agak susah untuk dijaga berbanding pokok ini yang kos penanamannya juga murah,” katanya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails