Sunday, February 7, 2010

AKUATROP bangunkan teknologi biakbaka kelah

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) merupakan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA ) yang ulung dalam penyelidikan mengenai marin dan akuakultur.

Selain pembangunan projek Akuaponik satu lagi tumpuan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) ialah penyelidikan kelah yang bermula pada 2007.

Ia sejajar dengan tumpuan dan bidang kekuatan universiti terbabit dalam penyelidikan pembiakkaan ikan kelah.

Kelah dipilih kerana ia merupakan spesies yang terancam, dan merupakan spesies ikan sungai semulajadi di Tasik Kenyir.

Malah, spesies berkenaan mempunyai potensi yang sangat tinggi pada aspek pelancongan, rekreasi, ternakan, industri ikan hiasan dan juga sumber protein manusia.

Kelah juga merupakan antara spesies yang bernilai tinggi seperti ikan kelisa dan arowana yang terkenal dalam aspek ikan hiasan.

Insitut yang diberi tanggungjawab dalam penyelidikan ialah Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) yang menjadi peneraju dalam penyelidikan dalam bidang akuakultur.

Menurut seorang penyelidik AKUATROP , Prof. Madya Dr. Abol Munafi Ambok Bolong, tujuan penyelidikan kelah itu ialah untuk program pemuliharaan dan pemeliharaan spesies.

"Habitat asal spesies ini telah diancam dan dilabelkan sebagai spesies terancam selain menghasilkan satu program teknologi pembiakbakaan dan pengurusan induk ikan kelah di Tasik Kenyir,'' kata beliau.

Penyelidikan tersebut juga bertujuan menjalinkan kerjasama antara pihak tempatan dan UMT dalam menjalankan program pemuliharaan dan pemeliharaan kelah di Tasik Kenyir. Lebih penting untuk membangunkan ternakan ikan kelah dalam akuakultur di Malaysia dan juga menjadikan UMT sebagai pusat rujukan ke atas kajian ikan kelah.

Beliau yang menjalankan penyelidikan tersebut dengan dibantu oleh seorang pegawai sains dan dua penolong pegawai sains selain tiga pelajar sarjana berkata, spesies kelah yang terlibat dalam projek tersebut ialah Tor tambroides dan Tor dourenensis .

Lebih penting katanya, penyelidikan itu diharap dapat membantu penternak tempatan memelihara ikan kelah dengan menghasilkan program pengurusan ikan kelah yang betul.

Pihaknya juga mahu supaya penyelidikan seumpama itu dapat membantu pengurusan ikan kelah di santuari kelah dari pelbagai aspek seperti pengurusan induk, pengurusan makanan, dan pengurusan kesihatan ikan kelah di Tasik Kenyir.

Setakat ini penyelidikan tersebut masih belum menerima sebarang pembiayaan dan sedang memohon bantuan kewangan melalui dana e-science dan juga Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Untuk jangka panjang projek pembiakbakaan itu diharapkan dapat menghasilkan program pengurusan ikan kelah yang betul dari pelbagai aspek. Ini bermula daripada pengurusan induk, sistem ternakan, pemakanan, kesihatan ikan dan sebagainya bagi memudahkan penternak memahami dan mempelajari penternakan ikan kelah.

Menurut Abol Munafi, AKUATROP juga juga menjalankan kajian ke atas spesies lain dalam mempelbagaikan penyelidikan dan memperluaskan bidang kajian bagi memenuhi kehendak semasa.

Sebelum ini beliau terlibat dalam penyelidikan membiakbaka ikan ketutu.
sumber:Utusan malaysia

Nanas N36 ke pasaran negara Arab

PENDUDUK Kampung Tanjung Gahai, Kuala Lipis, Pahang kini boleh tersenyum lebar apabila Projek Agropolitan Gahai berjaya mengubah kampung berkenaan menjadi kota pertanian bersepadu yang berkembang positif.

Bukan itu sahaja, tahap kehidupan penduduk setempat turut bertambah baik dengan mampu menambah pendapatan antara RM400 dan RM700 sebulan jika bekerja di ladang komersial nanas selain pendapatan sebagai penoreh getah (RM1,000 dan RM2,500).

Ini membolehkan projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri sejak Ogos 2008 mencapai sasarannya untuk mengurangkan kemiskinan tegar kepada 2.9 peratus di kalangan pekebun kecil pada tahun ini.

Program pembangunan bersepadu di kawasan seluas 223 hektar ini merangkumi 203 hektar ditanam getah, 14 hektar penanaman nanas dan baki 6 hektar kawasan penempatan yang menempatkan 50 unit rumah peserta.

Seramai 80 ketua isi rumah miskin tegar bakal menerima faedah projek yang melibatkan kos sejumlah RM13.62 juta.

Projek tersebut dijangka bakal menjadi pemangkin kepada lonjakan pembangunan di kawasan Gahai dan sekitarnya.

Kampung Tanjung Gahai terletak dalam daerah Lipis, dan sejauh 148 kilometer (km) dari Kuala Lumpur.

Kejayaan tanaman nanas

Antara kejayaan yang boleh dibanggakan di bawah Projek Agropolitan Gahai ialah tanaman nanas yang mencatat jualan berjumlah RM40,000 setakat bulan Oktober 2009.

Malahan produk nanas Hibrid N36 iaitu kacukan gandul dan sarawak yang dihasilkan di kampung ini dijangka dieksport ke negara-negara Arab pada tahun hadapan.

''FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) pula dalam perbincangan dengan Iran untuk memasarkan nanas keluaran negara dan sampel juga telah dihantar bagi pemasaran," kata Pengarah RISDA Negeri Pahang, Datuk Mujahid Muhamad.

Katanya lagi, nanas yang ditanam ialah jenis Hibrid N36 iaitu benih terbaik yang istimewa dan mempunyai nilai eksport yang tinggi selain rasanya yang manis.

Sebanyak RM265,494 diperuntukkan bagi projek tanaman nanas agropolitan Gahai melibatkan 420,000 pokok nanas.

"Kejayaan ini adalah kerana usaha gigih petani menerusi perubahan sikap melaksanakan sesuatu projek pertanian kerana kerajaan telah menyediakan bantuan baja, racun dan kepakaran," kata Mujahid.

Di samping pembangunan ladang, kompleks penempatan serba moden turut disediakan dengan mengandungi 50 lot rumah, medan info desa, dewan serbaguna, masjid, bangunan kedai, industri kecil dan sederhana, setor, padang permainan dan tabika.

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, pelaksanaan projek agropolitan turut disertai dengan penyediaan infrastruktur asas, utiliti dan kemudahan sosial untuk dinikmati oleh penduduk luar bandar.

Beberapa penduduk yang ditemui menyatakan rasa selesa dengan infrastruktur yang disediakan di samping berpeluang menambah pendapatan daripada hasil ladang.

Selain pertanian, penduduk turut menghasilkan pelbagai kraftangan yang menarik daripada bahan terbuang seperti suratkhabar untuk dijadikan pasu dan bakul.

Usaha untuk memajukan industri tempatan sentiasa mendapat perhatian pihak kementerian yang mana ia mampu membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak kampung itu sendiri.

Konsep dan pelaksanaan pembangunan

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Zukri Valenteno yang turut bersama Kembara Media 2009 baru-baru ini berkata, pembangunan Projek Agropolitan Gahai adalah lambang kesungguhan kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.

Konsep agropolitan yang dilaksanakan kementerian bagi membangunkan kawasan mundur telah membuahkan hasil bagi peserta agropolitan Gahai.

"Ini menunjukkan satu petanda baik kepada projek desa bagi melangkah lebih maju ke hadapan khususnya dalam meneroka peluang perniagaan dalam dan luar negara," kata Zukri.

Melalui pendekatan serampang dua mata yang bersepadu ini, sosioekonomi peserta program dapat dipertingkatkan sekali gus merangsang pertumbuhan kawasan sekitarnya melalui lonjakan pembangunan yang dijanakan melalui pembangunan infrastruktur, kemudahan dan aktiviti ekonomi yang disediakan.

Pelaksanaan yang turut meningkatkan modal insan yang memfokuskan kepada program pembangunan minda, kecemerlangan pendidikan serta latihan kemahiran dan keusahawanan desa telah membuahkan hasil bagi peserta.

Pembangunan modal insan merupakan satu pendekatan yang sangat penting dalam pembangunan pekebun kecil.

Kementerian juga mengenal pasti beberapa lokasi baru untuk pelaksanaan projek agropolitan di Batang Sadong, Batang Lupar, Pulau Bruit, Bukit Sadok, Lingga-Stumbin di Sarawak, Telang Usan (Miri), masing-masing sebuah di Kg Gana (Sabah) dan Sedili (Johor). - BERNAMA

Bekas graduan kini tauke tempe

TEMPE merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Setiap kali majlis keraian atau kenduri, pasti tempe tidak ketinggalan dijadikan sebagai salah satu hidangan wajib yang dihidangkan bersama pelbagai juadah lain.

Tempe juga begitu sinonim dengan masyarakat Johor terutama apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan salah satu ramuan untuk memasak juadah hari raya yang dipanggil sayur lodeh di samping menu lain termasuk rendang serta ketupat.

Permintaan terhadap tempe pastinya akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan. Tanpa tempe juadah yang terhidang bagaikan tidak lengkap justeru di negeri Johor khususnya di Batu Pahat, menyebabkan pengusaha tempe sering tidak menang tangan.

Kini, zaman telah berubah. Namun tempe tetap menjadi pilihan. Selain menjadi makanan tradisi masyarakat Jawa, tempe kini telah mula dikomersialkan sebagai kerepek tempe yang mudah dan senang didapati meskipun bukan pada musim perayaan.

Menyedari tempe berpotensi besar untuk dikembangkan Norhedayah Mesiran, 34, mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi perusahaan tempe warisan keluarga turun temurun yang dahulunya diusahakan oleh ibunya Mariam Sarkam dan ayahnya Mesiran Rosman.

Sebagai seorang graduan dalam bisnes dari salah sebuah universiti swasta, Norhedayah melihat jauh ke hadapan terhadap potensi produk berasaskan tempe ini. Dengan bantuan seluruh ahli keluarga mereka kini telah selangkah ke hadapan bagi meningkatkan lagi mutu produk.

Bersama adiknya Riduan Mesiran, 29, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mereka telah menubuhkan syarikat Perniagaan D'Sinar yang bertindak sebagai pengeluar dan pengedar kerepek tempe pelbagai perisa.

Jika dahulu ibunya mengusahakan kerepek tempe dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa bantuan mesin canggih, kini mereka tidak lagi menggunakan ramai pekerja terutama untuk menggoreng tetapi mereka telah mempunyai mesin menggoreng dengan teknologi terkini.

Menurut Nurhedayah, dahulu ibunya hanya membuat tempe biasa yang dibungkus menggunakan daun. Ia sering digunakan dalam pelbagai masakan sejak turun temurun lagi yang merupakan warisan keluarga mereka serta dijual hanya sekitar tempat tinggalnya sahaja.

Bagaiamanapun, sejak lima tahun lalu beliau mula membantu ibunya menguruskan pelbagai hal bagi menjadikan tempe sebagai kerepek dengan pelbagai perisa iaitu ketumbar, kari, lada hitam dan lada serta berusaha untuk dipasarkan lebih jauh.

''Walaupun perusahaan ini sudah lama diusahakan tetapi masih belum dikomersialkan secara besar- besaran. Hanya setelah saya mengambil alih tugas daripada ibu saya barulah saya cuba membuka ruang untuk meluaskan pasaran," jelasnya.

Bermula dengan RM500 sebagai modal pusingan, beliau kini memiliki modal pusingan mencecah RM30,000 sebulan. Bermula dari situ mereka mengembangkan perusahaan tempe dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa.

Paling menarik, kerepek tempe syarikat mereka lengkap dengan sambal kicap tradisi masyarakat Johor manakala perisa tempe pedas ia dicampur kacang tanah dan ikan bilis goreng.

Dahulu, mereka terpaksa menggunakan tenaga pekerja yang ramai untuk melakukan pelbagai kerja seperti memotong dan menggoreng. Kini mereka telah mempunyai dua mesin pemecah kacang soya, satu mesin pemotong, satu mesin untuk mencampurkan adunan (mixer), satu mesin pengisar kering dan satu kuali keluli tahan karat.

Menurut Norhedayah, dia telah mengikuti kursus teknologi makanan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor Bahru untuk menimba ilmu dan meminta khidmat nasihat dalam perusahaan tempe. Ia tidak sia- sia apabila semakin hari perusahaan tempe warisan keluarga ini semakin berkembang.

Ketika memulakan perniagaan ini dahulu mereka hanya mengusahakannya di rumah sahaja dan dibantu oleh dua orang pembantu serta menggunakan tenaga kerja manusia tanpa mesin. Tetapi kini mereka mempunyai bangunan sendiri yang bernilai kira-kira RM40,000.

''Kenangan yang paling menarik ketika mula mengusahakan kerepek tempe ini ialah kami memecahkan kacang soya yang telah siap direbus untuk dibuat tempe menggunakan mesin memproses getah keping dan memotong tempe dengan menggunakan mesin khas," jelasnya.

Meskipun pada awal pembabitannya dia agak gementar, kini dia mampu tersenyum bangga kerana segala usahanya mula membuahkan hasil dan dilengkapi dengan anggota keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

Menurut Norhedayah, dia berharap dapat menepis persepsi masyarakat terhadap tempe yang dikaitkan hanya untuk masyarakat Jawa.

Justeru, dia bercita-cita

mengetengahkan makanan yang berasaskan soya ini supaya menjadi lebih komersial dan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Memandangkan tempe biasa yang bersaiz kecil, dia dan kedua orang tuanya mula membuat kajian sendiri bagaimana untuk menghasilkan tempe dalam bentuk bulat agar senang dipotong dan cantik bila digoreng.

Nurhedayah serta kedua-dua orang tuanya berjaya menemui satu teknik menghasilkan tempe berbentuk bulat iaitu seperti bentuk lemang dan ternyata idea mereka berjaya.

Alat pencetak bulat yang dibuat oleh mereka sekeluarga mampu menjadikan kerepek tempe itu nampak lebih komersial.

''Dengan kerepek tempe tiga perisa ini produk tempe warisan ini berjaya dikembangkan hingga memasuki pasaran Singapura, Brunei dan juga Iran," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, jumlah permintaan yang semakin tinggi memungkinkan beliau mengambil lebih ramai pekerja kerana pekerja yang ada sekarang tidak mencukupi untuk membuat tempahan yang lebih tinggi.

Setiap paket kerepek berisi setengah kilogram kerepek tempe dijual sekitar RM6. Kerepek itu akan dihantar kepada tujuh pemborong tetap di seluruh negeri Johor juga kepada sebuah koperasi di sekitar daerah ini secara tetap.

Tambahnya, kerepek-kerepek berkenaan boleh tahan lebih tiga bulan. Selama ini mereka tidak pernah mendapat maklum balas negatif daripada mana-mana pihak tentang produk keluarannya.

Nurhedayah yang mengusahakan perusahaan tempe ini bersama keluarganya di No. 148 Kampung Sungai Nibong Darat, Semerah, Batu Pahat berharap agar satu hari nanti kerepek tempe keluaran syarikatnya mampu dinikmati oleh semua masyarakat di dalam dan luar negara.

Untuk itu beliau bercita-cita untuk menambah baik lagi teknologi pembuatan agar ia dapat menambah lagi pengeluaran produk. Di samping itu berusaha untuk membuat pembungkusan yang terbaik serta pelabelan dan penjenamaan agar lebih menarik untuk pasaran global.

Selain kerepek tempe, beliau juga mengusahakan kerepek pisang, keledek, keladi yang mana bahan mentah tidak menjadi masalah kerana ia mudah didapati di sekitar kawasan kampungnya dan secara tidak langsung dapat membantu penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka

Kegigihan dan kesungguhan Nurhedayah serta ahli keluarga lainnya mengetengahkan produk berasaskan kayang soya dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa telah menarik minat Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad untuk meninjau perusahaan yang mereka jalankan baru-baru ini.

Dalam lawatan itu Noraini berasa kagum dengan idea anak-beranak ini menghasilkan tempe berbentuk bulat yang mana ia adalah teknologi yang mereka cipta sendiri dan belum pernah terfikir oleh orang lain

''Jika sebelum ini saya hanya lihat tempe dibungkus dengan daun dan surat khabar lama. Tetapi kini saya lihat tempe dibuat dalam bentuk bulat seperti lemang yang pertama kali saya lihat, memang menarik dan sesuai untuk dibuat kerepek secara komersial," jelasnya.

Tambah Noraini, perusahaan tempe warisan keluarga ini merupakan salah satu produk yang mampu menaikkan nama Parlimen Parit Sulong khususnya dan negeri Johor amnya dalam Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) yang merupakan satu kelainan.

Melihat kelainan dan cita-cita keluarga ini untuk memasarkan produk mereka ke seluruh negara dan luar negara, beliau yakin produk ini boleh pergi jauh kerana ia menepati ciri-ciri kebersihan dan amalan pengilangan yang baik.

''Saya yakin produk ini mampu di eksport ke luar negara kerana ia lain dari yang lain dan pihak pengusaha harus cuba untuk membuat pelabelan dan penjenamaan yang sesuai untuk pasaran antarabangsa," jelasnya.

Tambahnya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu Perniagaan D'Sinar mengetengahkan kerepek tempe pelbagai perisa untuk meningkatkan pasaran mereka.
Sumber:Utusan Malaysia online

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails