Showing posts with label Gaharu. Show all posts
Showing posts with label Gaharu. Show all posts

Tuesday, November 3, 2009

Sabah&Sarawak: Kayu gaharu jadi buruan


KAYU gaharu bernilai tinggi jadi buruan pemburu.

Sikap tamak raih untung jual 'pokok emas' punca hutan simpan diceroboh

TUARAN: Didorong sifat tamak ingin mengejar kekayaan secara mudah, pemburu pokok gaharu di daerah ini semakin rakus mencerobohi hutan simpan, perkuburan dan tanah penduduk untuk menebang pokok diistilahkan sebagai 'pokok emas' itu.

Tanpa mempedulikan siapa pemilik tanah dan implikasi tindakan itu terhadap alam sekitar, pemburu gaharu menumbangkan sebanyak mungkin `pokok emas' di hutan simpan ratusan tahun yang tidak pernah diusik di Lama'as, Penimbawan, Rigi, Suaman, Saradan, Betutai, Topokon dan Tenghilan.


Bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa atau pemilik tanah, mereka dipercayai memasang `kaki' yang sesetengahnya di kalangan penduduk kampung sendiri yang dipercayai memperoleh upah agak lumayan.

Kayu yang dipotong pula tidak diangkut melalui jalan darat, sebaliknya dibawa menggunakan bot di celah hutan bakau bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Tidak sukar untuk mereka memasarkan `pokok emas' itu kerana dipercayai sudah ada tauke membelinya pada harga yang dipersetujui sebelum pokok ditebang.

PEMBELI kayu gaharu meneliti kayu dibekalkan pemburu.

Harga tinggi ditawarkan pembeli, dipercayai mendorong ramai pemburu pokok gaharu sanggup merosakkan hutan semata-mata untuk mendapatkannya bagi membina kekayaan.

Mengulas mengenai kegiatan tidak bertanggungjawab itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Tuaran, Mohd Faiz Azman, mendakwa apabila pokok yang ditebang itu didapati bukan pokok gaharu, mereka meninggalkannya begitu saja.

"Itu perbuatan tidak bertanggungjawab. Mereka sanggup menceroboh hutan simpan dan memusnahkan sumber alam semula jadi.

"Jika kegiatan itu tidak dibanteras segera, saya bimbang lambat laun hutan simpan, perkuburan dan tanah di daerah ini akan musnah semata-mata akibat kerakusan pemburu gaharu," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Beliau yang mendakwa menerima banyak rungutan penduduk, hutan di kampung mereka dicerobohi pemburu gaharu yang bertindak licik, mencadangkan operasi besar-besaran dijalankan Jabatan Perhutanan Sabah bagi menanganinya.

Mohd Faiz mendakwa, orang tengah yang membeli pokok gaharu dipercayai berselindung di sebalik perniagaan menjual benih gaharu untuk mengelirukan pihak berkuasa.

"Mereka dipercayai bertindak demikian apabila pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan. Keadaan itu bertambah buruk kerana tiada usaha menanam semula pokok gaharu yang ditebang sewenang-wenangnya.

"Ia menyebabkan negara kita tidak mampu mengeksport gaharu yang mendapat permintaan tinggi di Timur Tengah, Taiwan dan Jepun," katanya.

Sementara itu, pengusaha ladang benih gaharu di Kampung Betutai, di sini, Rajimit Gunong, 49, mendakwa beliau membeli pokok gaharu daripada pihak tertentu hingga kadang kala mampu mengumpulkan lebih 30 tan kayu gaharu sehari.

"Saya membeli pokok gaharu sudah dipotong kepada saiz kecil daripada penduduk Penimbawan, di daerah ini, selain Kelawat, di Kota Belud, Kota Marudu dan Paitan.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah tanya dari mana mereka mendapat kayu gaharu itu," katanya.

Beliau mendakwa, kayu berkenaan dihantar ke sebuah kilang di Pantai Timur Sabah.

Rajimit yang mengusahakan ladang gaharu sejak dua tahun lalu, mendakwa mempunyai 100,000 benih gaharu berkualiti tinggi yang diimport dari Thailand.

Antaranya, gaharu buaya, gaharu bakau, gaharu putih, gaharu berdaun bulat dan gaharu berdaun panjang yang berkualiti tinggi untuk diproses menjadi minyak wangi, ubat gosok, colok dan kemenyan manakala pokok gaharu spesis Aquilaria Malaccencis adalah yang paling bernilai.

Sehubungan itu, usaha berterusan Jabatan Perhutanan Sabah menangani masalah itu harus segera dilaksanakan bagi memastikan sumber alam semula jadi di daerah ini atau daerah lain tidak terus musnah akibat kerakusan pemburu gaharu.

Wednesday, June 10, 2009

Ekstrak minyak kayu gaharu

OSMAN Idris menunjukkan periuk untuk memasak kayu depu bagi mendapatkan ekstrak depu di kilangnya di Kampung Bukit Tok Ali, Jeli.



JELI 9 Jun - Ekstrak minyak kayu depu atau kayu gaharu mampu mencecah harga sehingga RM30,000 sekilogram dan nilainya yang sentiasa tinggi menyebabkan pokok tersebut seumpama pokok emas.

Walaupun potensi sudah diketahui sekian lama namun perusahaan bagi menghasilkan ekstrak yang menjadi 'ibu minyak wangi' dan produk-produk lain masih baru bagi masyarakat setempat dan masih dalam peringkat mencuba.

Kerajaan negeri sendiri pada tahun lalu mula meuar-uarkan bagi menjadikan Kelantan sebagai Koridor Depu namun ia belum boleh dilihat pelaksanaan yang jelas.

Hanya segelintir yang berminat untuk menceburi perusahaan ini secara komersil selepas menimba pengalaman dan kemahiran yang perlu dikuasai terlebih dahulu.

Salah seorang daripada mereka ialah Osman Idris 47, dari Kampung Bukit Tok Ali di sini yang melibatkan diri dalam perusahaan itu lebih 15 tahun lalu bermula dengan hanya membeli bahan mentah yang diperoleh di Kelantan dan negeri-negeri sebelah utara kepada pemborong.

Sehingga sampai pada satu tahap katanya, dia merasa perlu melibatkan diri secara langsung dalam perusahaan itu kerana menyedari nilai sebenar boleh diangkat berkali-kali ganda jika memproses sendiri bahan itu.

Justeru katanya, beliau melengkapkan diri dengan mendapatkan pengetahuan tersebut dari sebuah kolej di Thailand selama enam bulan.

''Selepas itu, saya kembali meneruskan perniagaan tetapi masih tidak mempunyai keyakinan untuk memproses ekstrak minyak berkenaan termasuk dari segi modal, penyediaan bahan mentah dan memenuhi keperluan pasaran," ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Hanya selepas dua tahun mendapatkan kemahiran itu katanya, beliau bersama rakan kongsinya, Osman Hanafi mengusahakannya sepenuh masa sejak lima tahun lalu.

Perusahaan itu dikendalikan dua syarikat iaitu Kayu Gaharu (M) Sdn. Bhd. serta Gaharu Industries Sdn. Bhd. dan mengusahakan di Jeli kerana kemudahan mendapatkan bekalan kayu depu itu.

''Mereka mempunyai kemahiran yang tinggi mendapatkan kayu depu tersebut dan menjual kepada kami," katanya.

Sesetengah penduduk pula katanya, menghantar kayu itu dalam keadaan belum diproses (belum dikeringkan) dan dibeli dengan harga kira-kira RM4 sekilogram.

''Saya memerlukan kira -kira 3,000 kilogram untuk mendapatkan kira -kira 1,000 mililiter seminggu," katanya.

Hasil dari proses yang dilakukan, katanya, beliau memperoleh ekstrak minyak berkenaan antara dua hingga tiga kilogram sebulan yang dieksport ke Arab Saudi dan Jordan.

Osman memberitahu, kayu depu mempunyai kelemahan yang tersendiri berbanding kayu hutan yang lain.

Ini kerana katanya, tanpa diambil dalam tempoh 10 tahun, kayu depu tetap reput dan mati berbanding kayu balak yang semakin lama semakin berharga.

Sebagai kayu balak katanya, kayu depu tidak mempunyai nilai pasaran kerana ringan dan rapuh.

''Sebagai ibu minyak wangi, ia amat berharga. Hampasnya juga adalah antara bahan yang digunakan untuk membuat ubat nyamuk manakala daunnya juga berpotensi dijadikan minuman kesihatan," ujarnya.

Daripada kajian yang dijalankan katanya, sejenis virus disuntik semasa pokok itu berusia enam hingga lapan tahun dan boleh mula ditebang kira-kira lima bulan kemudian berbanding pokok depu di hutan yang berusia 10 tahun.

Pokok depu kini boleh ditanam di pinggir rumah atau diselang seli di kebun -kebun getah dan beliau mengalu-alukan mereka yang ingin mengusahakan tanaman tersebut.

Osman kini turut membekalkan benih yang mampu mengeluarkan ekstrak bermutu tinggi dalam tempoh yang ditetapkan dan mereka yang berminat untuk menanam pokok berkenaan boleh menghubunginya di talian pejabat 03-26980272 atau 013-5234444.

Thursday, May 21, 2009

UPP rampas kayu gaharu RM400,000



BUKIT KAYU HITAM- Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam berjaya menumpaskan kes penyeludupan kayu karas (gaharu) bernilai lebih RM400,000 dalam satu serbuan hasil maklumat orang awam di sebuah rumah di Changlun, kelmarin.

Komander UPP Kedah, Mohd Noor Idris berkata, serbuan tersebut dilakukan oleh sembilan anggota UPP diketuai S M Tajudin pada 19 Mei kira-kira jam 6.10 petang.

Menurutnya, dalam serbuan itu anggota UPP turut menahan dua lelaki, seorang warga tempatan dan seorang lagi warga Thailand masing-masing berumur 38 dan 40 tahun.

“Kes ini dipercayai didalangi sindiket kerana melibatkan barangan yang bernilai tinggi. Kayu yang dirampas iaitu kayu karas atau lebih dikenali oleh warga tempatan sebagai gaharu adalah jenis kayu yang dilindungi dan mempunyai nilai di pasaran.

“Sebanyak 73.73 kilogram kayu karas dirampas dalam operasi tersebut yang dianggarkan bernilai RM5,000 hingga RM6,000 bagi gred A setiap sekilogram yang digunakan untuk membuat minyak wangi manakala gred B sekitar RM1,500 sekilogram digunakan untuk membuat gaharu,” katanya pada sidang media, semalam.

Katanya, kayu-kayu tersebut dipercayai berasal dari Malaysia dan dibawa masuk ke Thailand untuk tujuan pemprosesan sebelum dibawa masuk semula ke Malaysia untuk dieksport ke luar negara.

Mohd Noor berkata, ketika serbuan dilakukan, dua lelaki tersebut sedang memunggah kayu-kayu itu dari kereta bernombor pendaftaran Thailand ke sebuah lagi kereta bernombor pendaftaran Malaysia.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, anggota UPP menjumpai kayu tersebut di dalam kenderaan terbabit.

Sementara itu, seorang warga Thailand yang ditahan dalam operasi tersebut didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Katanya, semua kayu yang dirampas mempunyai gred-gred tertentu dan dipercayai kayu berwarna gelap mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding warna yang lebih muda malah mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada anggaran apabila dieksport ke luar negara seperti Timur Tengah.

Menurutnya, rampasan tersebut adalah kes kedua yang berjaya ditumpaskan pihak UPP Bukit Kayu Hitam membabitkan kayu.

“Berdasarkan pemeriksaan terhadap dua lelaki terbabit, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit import eksport yang dikeluarkan pihak Kastam.

“Pada masa sama ia adalah bahan terlarang dan kes boleh disiasat bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan 313 1984 pindaan 1993 kerana memindahkan barang tersebut tanpa permit.

“Jika disabitkan kesalahan mahkamah akan menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan seterusnya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails