Sunday, September 11, 2011

Operasi ternak kepah dan kultur mutiara


Contoh pengkulturan mutiara di China yang dijalankan di sebuah tasik.


SELAIN menjadi perintis kepada projek mutiara air tawar di Tasik Kenyir, AkUATROP juga mengharapkan kejayaan projek tersebut dicapai bersama para peserta.

Selain itu, pusat kecemerlangan tersebut dapat berkongsi teknik dan pengetahuan dalam bidang itu bagi memastikan industri berkenaan terus berkembang pesat di Malaysia seterusnya di seluruh dunia pada masa depan.

Secara khususnya projek berkenaan adalah untuk:
* Memberikan kemahiran kepada penduduk Terengganu untuk terlibat dalam bidang ternakan kepah mutiara air tawar.
* Membimbing tentang teknik penghasilan mutiara secara komersial.
* Menggalakkan penduduk Terengganu untuk bekerja sendiri daripada menganggur atau menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
* Tasik Kenyir yang berkeluasan 260 km persegi mempunyai 340 buah pulau kecil terletak di Negeri Terengganu merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara.
* Ia juga adalah habitat hidupan spesies liar dan eksotik.
* Tasik Kenyir berpotensi dimajukan sebagai kawasan ternakan kepah, contohnya di Kuala Sungai Kiang, Sungai Mandak dan Pangkalan Gawi.
* UMT sebagai sebuah universiti yang terunggul dalam bidang akuakultur berupaya menerajui penyelidikan teknologi penghasilan mutiara di Malaysia.

Penyelidikan kepah mutiara air tawar masih belum diterokai di Malaysia. Kajian yang bakal dijalankan ini adalah yang pertama.
1. Membangunkan sosio-ekonomi penduduk setempat,
2. Melipatgandakan pendapatan penduduk setempat,
3. Menghasilkan teknik pengkulturan tiram mutiara air tawar bagi tujuan komersial,
4. Membantu KETENGAH dan kerajaan negeri meningkatkan tahap ekopelancongan setempat.

Kesan ke atas penduduk
Projek yang akan dijalankan ini akan memberi impak yang besar kepada penduduk setempat seperti berikut:
1. Membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
2. Meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
3. Meningkatkan sosio-ekonomi negeri.
4. Memajukan industri pelancongan yang menjadi salah satu sumber utama ekonomi negeri

Operasi Pengimpalan
* Pengimpalan mantel
* Pengimpalan nuclei
Operasi pengkulturan
* Kolam bersepadu (kepah diternak bersama ikan tilapia)
Kaedah kolam bersepadu ini adalah satu ternakan polikultur, di mana kepah mutiara akan diternak bersama dengan ikan.
Sistem berkenaan telah dipraktikan di Taiwan kerana mendatangkan pulangan menguntungkan. Bahan kumuhan ikan akan dikitar semula oleh kepah yang bersifat penapis dan dalam masa yang sama untuk menyuburkan plankton di dalam air sebagai makanan kepada kepah.
Kelebihan dari aspek ekonomi pada kaedah ini, memberi pulangan sampingan dalam ternakan ikan sementara menunggu pungutan hasil mutiara.

* Kolam terkawal (kepah import untuk penyelidikan dan penelitian)
Kaedah kolam terkawal ini bertujuan untuk menternak kepah mutiara dari negara luar yang diimport dari Thailand atau Indonesia dalam kadar yang sedikit sebagai kajian untuk pemantauan pembentukan mutiara yang berkualiti dan tempoh masa penghasilan mutiara.
Kaedah tersebut telah pun berjaya dipraktik di Indonesia yang mana spesies yang berasal dari Taiwan kemudiannya diternak di dalam kolam secara terkawal. Pengawalan dan pemantauan kolam terkawal akan diperketatkan.

Fasa ternakan kepah mutiara air tawar
Fasa - Fasa pengurusan ternakan
* Fasa 1: Pengumpulan kepah
Pada peringkat awal projek, sepanjang bulan September - Disember, kepah yang terdapat di Tasik Kenyir dikumpulkan di dalam kolam.
* Fasa 2: Pemilihan kepah matang
Peringkat seterusnya adalah memilih kepah yang matang dan sesuai untuk operasi pengimpalan nuclei. Ini penting dalam penghasilan mutiara yang berkualiti.
* Fasa 3: Operasi Pengimpalan nuclei
Kepah yang telah dipilih akan diasingkan dari kolam stok dan akan dipindahkan ke dalam tangki simen.
Dibiarkan dua hingga tiga hari sebelum operasi pengimpalan dijalankan. Peralatan khas untuk pengimpalan akan digunakan untuk memindahkan nuclei ke dalam kepah.
* Fasa 4: Ternakan di dalam kolam
Kepah yang telah siap di masukkan nuclei akan dibiarkan dua hingga tiga hari sebelum dipindahkan ke dalam kolam untuk diternak. kepah yang memuntahkan semula nuclei akan diasingkan dan diletakkan semula ke dalam kolam stok. Kepah yang telah sedia diletakkan ke dalam kolam ternakan hingga tempoh penuaian mutiara. Pemantauan kualiti air dan kecukupan plankton di pantau setiap bulan terutamanya kolam bersepadu.
*Fasa 5: Pemungutan hasil
Fasa terakhir adalah pemungutan hasil mutiara setelah tempoh matang dua hingga tiga tahun
 
Sumber:utusan malaysia 

Mengesan antibiotik ternakan ayam


Penggunaan antibotik yang minimum dapat mewujudkan industri ayam yang lebih sihat. -Gambar hiasan.


SELAMA ini adakah kita sebagai pengguna mengambil berat mengenai apa yang kita makan? Misalnya antibiotik yang terkumpul dalam daging ayam yang kita makan setiap hari?
Antibiotik terutama tetracycline digunakan secara meluas dalam pengeluaran ternakan bagi terapi dan peningkatan berat badan.
Bahan berkenaan dimasukkan ke dalam makanan bagi merangsang peningkatan berat selain menghalang jangkitan penyakit.
Biasanya antibiotik berkenaan diberikan bermula dalam makanan permulaan atau starter sehingga ke 'finisher' atau hingga ayam disembelih.
Biasanya antibiotik akan berkumpul dalam tisu haiwan ternakan dan memasuki rantaian makanan apabila ternakan berkenaan disembelih, dijual dan dimakan oleh manusia.
Antibiotik stabil sehingga sembilan bulan dan tidak terurai malah akan terkumpul di dalam otot, hati dan kulit.
Daging ayam merupakan makanan utama dalam diet manusia, Antibiotik yang terdapat dalam daging ayam mungkin boleh mendatangkan kesan kepada manusia seperti rentan kepada antibiotik serta memberikan kesan karsinogenik (penyebab kanser).
Disebabkan penggunaan antibiotik menjadi semakin penting dalam pengeluaran makanan, pihak berkuasa perlu mengambil langkah tertentu bagi mengukur kesan sisanya dalam makanan.
Bagi memastikan produk makanan yang selamat untuk penggunaan tempatan dan antarabangsa, keupayaan mengesan sisa antibiotik dalam ternakan ayam sangat penting.
Sistem pengesanan antibiotik yang ideal biasanya dirujuk sebagai imbasan mikrobiologi diikuti dengan ujian ELISA dan pengesahan akhir serta kuantiti menggunakan analisis HPLC atau GCMS.
Walaupun analisis berkenaan menggunakan peralatan yang sensitif tetapi ia amat mahal dan memakan masa yang lama.
Justeru gabungan jalur biosensor yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan peralatan digital mudah alih yang dibangunkan oleh Rapid Lab Sdn. Bhd. bagi pemantauan antibiotik mampu dimiliki dan sesuai bagi mendapatkan keputusan yang cepat.
Pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI, Dr. Faridah Salam berkata, teknologi yang dibangun berdasarkan kepada produk antibiotik tempatan sangat berkaitan dengan pemantauan antibiotik.
Ini kerana jalur berkenaan boleh digunakan di lapangan pada masa sebenar.
"Jalur berkenaan mempunyai potensi pasaran yang besar bagi penggunaan eksport dan tempatan bernilai sehingga RM250 juta.
"Sejak Kementerian Kesihatan meningkatkan keupayaan mengimbas kandungan antibiotik dalam produk berasaskan ayam, jalur biosensor merupakan teknik terbaik bagi imbasan antibiotik," katanya.
Biasanya paras antibiotik yang selamat adalah 100 bahagian per bilion atau 100 mikrogram bagi satu kilogram.
Dr. Faridah berkata, selalunya hanya penternak industri ayam yang besar mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Dianggarkan kos imbasan saja menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos pasaran.
Pada tahun pertama, jalur berkenaan dijangka dapat memasuki 10 peratus pasaran segmen ujian dengan pertumbuhan lima hingga 10 peratus setahun.
Berdasarkan segmen pasaran, produk berkenaan dijangka menjana pendapatan sebanyak RM2.5 juta setahun.
Sumber:utusan malaysia 

Rasa manis sebenar nangka madu


Francis Choy (kiri) bersama Adnan Lee melihat buah nangka madu yang baru dipetik dari ladangnya di Bidor, Perak.


CELUP gula? Mana ada saya celup gula, nangka ini saya petik terus dari ladang. Kalau encik tidak percaya, ambil buah ini bawa ke makmal, uji jika saya ada letak gula.

"Saya memang belajar tidak tinggi encik, namun bagi saya berniaga biar jujur," ujar Uncle Jack sambil menahan marah.

Bersungguh-sungguh beliau bertegang urat menerangkan buah nangka yang dijualnya tidak pernah dicelup dalam air gula.

Itu antara pengalaman Uncle Jack apabila berhadapan dengan beberapa pelanggan yang meragui kemanisan buah nangka yang dijualnya suatu ketika dahulu.

Pengalaman selama 15 tahun menanam dan memasarkan nangka menjadikan Uncle Jack atau nama sebenarnya Francis Choy begitu 'masak' dengan reaksi sesetengah pelanggan yang terkejut dengan kemanisan isi buah nangka yang dijualnya.

Pertemuan bersama Francis dibawa oleh Pengarah Urusan MBG (Money Back Guarantee) Fruits Sdn. Bhd. (MBG), Adnan Lee yang juga merupakan antara salah sebuah syarikat pemborong serta penghantaran buah-buahan di sekitar Lembah Klang.

Jelas Francis yang memiliki syarikat MF Fresh Fruits & Agriculture Trading itu, jika sampai musim buah yang agak lebat beliau terpaksa memasang tongkat dan sokongan bagi membantu dahan pokok nangkanya menampung berat buah yang bergayutan.

Bercerita mengenai sejarah penanaman nangka madu tersebut, Francis mengimbau kenangan 15 tahun dahulu apabila beliau dan seorang lagi rakan perniagaannya terpaksa ke Kedah untuk mencari baka nangka madu terbaik di sana.

"Kita jumpa baka nangka ini di Alor Setar dan kita bawa balik ke sini (Bidor). Kemudian kita cuba buat pengklonan dengan baka sedia ada.

"Agak lama juga saya buat ujian sendiri akhirnya kami menemui baka baru nangka madu yang dikenali sebagai J 33 dan digunakan sehingga hari ini," katanya.

Malah, Francis berkata, bapa beliau merupakan seorang pengusaha tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan. Dia sendiri hampir 30 tahun terbabit dalam bidang pertanian.
"Saya tidak memiliki pembelajaran secara formal dalam bidang pertanian. Semua yang saya pelajari adalah daripada pengalaman bapa dan pengalaman saya sendiri ketika mengusahakan pelbagai tanaman," jelasnya.

Tambah Francis, sebelum menumpukan perhatian kepada penanaman nangka beliau pernah mengusahakan tanaman betik, tembikai dan pelbagai lagi.

Setiap jenis tanaman mempunyai perbezaan dalam cara menjaga dan penanaman. Sesetengahnya ditanam berdasarkan permintaan dan musim.
Bagi beliau, nangka merupakan antara tanaman yang kurang dikomersialkan secara besar-besaran. Malah hasil tuaiannya juga sentiasa tidak mencukupi bagi pasaran tempatan.
Ia menunjukkan penanaman nangka tidak diketengahkan oleh kebanyakan petani menyebabkan bekalan buah tersebut agak berkurangan di pasaran.

Francis mengakui, terdapat juga petani menanam nangka namun untuk mencari penanam baka nangka madu sepertinya adalah sukar.

Ujarnya, menjaga pokok nangka sama seperti menjaga diri sendiri. Petani perlu mengetahui keperluan serta cara menjaga pokok dengan betul.

Mengeluarkan
Memiliki hampir 600 pokok dalam kawasan seluas 10 ekar membolehkan ladang beliau di Bidor, Perak mengeluarkan 10 hingga 15 tan buah nangka bagi setiap ekar dalam setahun.
Selain di Bidor, Francis turut memiliki ladang nangka di sekitar Rawang, Selangor.
Terdapat 70 hingga 80 biji bagi satu tan. Sebiji buah nangka seberat 10 hingga 15 kilogram (kg). Setiap pokok nangka mampu mengeluarkan buah 10 hingga 12 biji pada satu-satu masa.
Menurut Francis, buah yang terlalu banyak pada sepohon pokok akan mengurangkan kualiti rasa, berat, saiz dan ketebalan isi nangka.
"Semuanya memainkan peranan, justeru berat yang ideal bagi sebiji buah nangka adalah 10 hingga 15 kg. Kadang-kala berat buah juga mampu mencecah 42 kg sebiji," tambahnya.
Untuk mendapatkan hasil sedemikian, pemangkasan dahan serta daun perlu kerap dilakukan. Malah putik yang berlebihan juga akan dibuang.
Pokok nangka akan mengeluarkan putik yang banyak. Justeru, hanya 10 hingga 12 biji putik yang berpotensi menjadi buah yang baik akan ditinggalkan. Selebihnya akan dibuang dari pokok.

Jelas Francis, pokok yang kekurangan daun dan memiliki buah yang sedikit akan menghasilkan buah yang lebih cantik, manis, berisi tebal serta berkualiti tinggi.
Ia berikutan tumpuan pembekalan nutrisi pokok lebih kepada proses pembesaran buah tidak kepada daun semata-mata.
Francis menggunakan najis ayam sebagai baja dan sedikit racun serangga untuk melindungi kulit buah nangka daripada serangan haiwan perosak tersebut.
Namun, jelasnya, serangga bukanlah musuh utama bagi nangka. Justeru penggunaan bahan tersebut di ladangnya amat kurang di samping kos bagi penggunaan racun serangga juga amat tinggi.

Musuh utama ladang nangka milik Francis adalah terdiri daripada monyet dan babi hutan kerana keadaan pokoknya yang rendah, rendang dan kadang-kala boleh mencecah sehingga ke tanah.

Penyakit karat buah juga merupakan antara penyakit yang sering menyerang isi nangka. Namun, ia dapat diatasi dengan proses penjagaan pokok secara betul.Kini sebahagian besar buah nangka beliau diedarkan MBG yang siap dibungkus.MBG yang memiliki 16 buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk satu di Melaka turut memiliki cawangan di The Gardens, Mid Valley, Sunway Pyramid, Subang Parade dan The Curve.

Di samping membekalkan buah nangka kepada MBG, Francis turut menjual buah tersebut di restoran dan pasar buah-buahan. Namun, bekalan tidak pernah mencukupi berikutan permintaan yang tinggi.

Bagi yang berminat untuk terjun dalam bidang pertanian terutamanya penanaman nangka madu, nasihat Francis, jangan cepat berputus asa dan cari ilmu berkenaan tanaman nangka secukupnya.

''Perniagaan bukanlah suatu perkara yang boleh di bina dalam masa yang singkat. Ia memerlukan ketabahan, minat yang mendalam serta kecekalan di samping usaha yang berterusan," ujarnya.

Selain membekalkan buah nangka, Francis turut menyediakan khidmat nasihat dan rundingan dalam bidang penanaman nangka.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan tunjuk ajar atau perkhidmatan nasihat daripada beliau anda boleh menghubungi Francis di talian 016-222 3246 atau 012-223 3246.
Sumber:utusan malaysia 

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails