Showing posts with label Tanaman Orkid Vanila. Show all posts
Showing posts with label Tanaman Orkid Vanila. Show all posts

Saturday, January 22, 2011

Vanila semakin diusahakan

TEMERLOH - Secara umumnya apabila berbicara mengenai vanila, ramai yang membayangkan kesedapan dan aroma perasa itu apabila dicampurkan ke dalam kek, ais krim, roti atau minuman karbonat.

Namun, tidak ramai yang tahu bagaimana vanila dihasilkan.

Malah, ramai juga yang tidak mengenali dari segi rupanya, bagaimana untuk mendapatkannya dan dari negara mana ia berasal.

Dari sudut sejarah, vanila ialah sejenis tumbuhan liar yang ditemui di Amerika Selatan.

Ia telah digunakan oleh kaum asli Mexico sebagai penyedap tembakau sejak berkurun yang lalu.

Pada 1721, vanila dibawa ke Eropah oleh orang Sepanyol sebelum dibawa oleh penjajah Belanda ke Bogor, Indonesia pada 1819.

Sejak 1850, vanila mula ditanam secara komersial di Indonesia apabila ia telah berjaya didebungakan.

Sejak itu, ia semakin digemari kerana keaslian aroma dan perisa aslinya.

Meskipun terdapat vanila sintetik yang dikenali sebagai vanilin, namun bahan sebatian itu dari segi kualitinya dikatakan kurang setanding dengan vanila asli.

Kini, tanaman vanila diperkenalkan di Malaysia selepas mendapati cuaca dan persekitaran negara ini sangat berpotensi untuk tanaman pokok vanila.

Potensi tanaman vanila sangat baik memandangkan sehingga kini dunia hanya menggunakan tiga peratus sahaja vanila asli manakala selebihnya masih menggunakan vanila sintetik.

Perkembangan sihat berhubung tanaman vanila turut mendapat sambutan di kalangan petani di Pahang.

Di negeri ini, terdapat beberapa petani yang mula menunjukkan minat untuk menanam vanila secara komersial.

Di daerah ini misalnya, dua rakan karib dari persatuan belia berlainan bergabung tenaga dalam mengusahakan tanaman vanila di Kampung Bangau Parit di sini.

Menurut pengusahanya, Mohd. Feisal Norawi, 29, tanaman vanila sangat mudah diusahakan kerana ia tidak terlalu cerewet.

Memandangkan harga di pasaran masa kini di sekitar RM300 sekilogram jika dijual kering dan RM40 sekilogram jika dijual basah, tanaman itu dijangka berpotensi menjadi komoditi ketiga selepas kelapa sawit dan getah.

Dia yang mengusahakan secara sambilan membantu rakan kongsinya menganggap vanila mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha walaupun hasilnya dituai sekali dalam setahun.

Mohd. Feisal yang mula menanam vanila pada awal tahun lalu memberitahu, vanila akan mula berbuah selepas tiga tahun ditanam.

''Ia memerlukan tujuh bulan untuk buah itu masak sebelum boleh dituai.

''Tanaman vanila memerlukan naungan dan ia sejenis tumbuhan memanjat. Sebelum ditanam, seelok-eloknya pokok lain turut ditanam yang bertindak sebagai pokok induk untuk dipanjat," katanya.

Mohd. Feisal mengeluarkan modal sekitar RM25,000 bagi menjayakan tanaman vanila yang diharap dapat membuka minda golongan muda supaya terlibat dengan tanaman baru dan tidak hanya tertumpu kepada getah dan kelapa sawit semata-mata.

Apa yang menarik minatnya menanam vanila jelasnya, ialah kerana ia tidak memerlukan kawasan luas, cukup kira-kira 0.2 hektar bagi 2,000 pokok.

Menurutnya, sebatang pokok vanila mampu mengeluarkan kira-kira 1.6 kilogram buah vanila basah.

Sehingga kini, dia telah menanam 800 pokok vanila yang dijangka mengeluarkan hasil pada tahun depan.

Sementara itu, rakan kongsinya, Ikmal Ab. Rahman, 31, pula berkata, setakat ini, masih ramai penduduk tempatan tidak mengetahui mengenai projek tanaman vanila yang diusahakannya.

Menurutnya, kebanyakan yang datang melawat ialah pengunjung luar yang berhasrat untuk mempelajari teknik menyemai benih dan menanam di ladang.

''Buah vanila basah yang dihasilkan nanti akan dikeringkan dengan kaedah tersendiri sebelum dijual secara kering," jelasnya.

Selain dua sahabat karib itu, tanaman vanila turut diusahakan oleh seorang bekas guru, Ishak Musa, 84, di Kampung Pamah Kulat, Raub yang dimulakan sejak 2004.

Sehingga kini, dia mempunyai kira-kira 1,000 pokok vanila dan sebahagiannya telah mengeluarkan hasil.

Ishak antara individu awal menceburkan diri dalam tanaman vanila di Pahang dan kini menjadi rujukan banyak pihak di negeri ini dalam menghasilkan tanaman vanila.

Kini, ketiga-tiga pengusaha vanila terbabit bergabung tenaga dalam mencipta kejayaan menghasilkan tanaman komoditi baru untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Apa yang lebih meyakinkan, mereka telah bertemu dan bekerjasama dengan Ketua Pegawai Operasi Syarikat Ekstrak Tulen Sdn. Bhd., Dr. Anuar Omar yang memiliki mesin untuk menghasilkan vanila ekstrak untuk dijual di pasaran global.

Menurut Ishak, dengan bantuan Anuar yang bersetuju membeli hasilnya dengan harga semasa, dia yakin potensi tanaman vanila untuk dipasarkan secara ekstrak akan lebih luas dan lebih ramai yang akan berminat untuk menceburkan diri.

Anuar ketika ditemui di pejabatnya di Bentong baru-baru ini memberitahu, teknologi terkini menghasilkan ekstrak vanila ialah dengan menggunakan kaedah Supercritical Fluid Extractor (SFE).

Menurutnya, SFE digunakan untuk pengekstrakan bahan-bahan vanila daripada buah vanila yang telah dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk.

''Teknologi SFE membabitkan penggunaan tekanan udara yang tinggi dan suhu yang rendah untuk mencapai satu tahap lampau genting, apabila pada tahap ini, pepejal dan cecair bertukar bentuk tanpa dapat dikenali bentuk asalnya.

''Cara pengekstrakan ini boleh menghasilkan ekstrak vanila yang tulen serta bebas daripada kandungan pelarut sebagaimana kaedah pengekstrakan biasa yang umumnya menggunakan bahan pelarut seperti etanol atau pelarut hidrokarbon yang lain," jelasnya.

Menurut Anuar, kaedah SFE juga dapat mengekalkan keaslian bahan yang diekstrak.

Beliau turut mengalukan-alukan petani melibatkan diri dalam projek tanaman vanila yang diyakini paling berjaya sedikit masa lagi.

''Teknologi dan kelengkapan terkini sudah ada dan hanya menunggu hasil yang banyak daripada pengusaha," katanya.

Sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam tanaman vanila boleh berhubung dengan Ishak di talian 09- 2971172 atau 019-6135072.

Wednesday, October 29, 2008

Rentak Timur sasar hasilkan 300 metrik tan vanila

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Rentak Timur Sdn. Bhd. mensasarkan penghasilan sebanyak 300 metrik tan vanila menjelang 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Isa Syed Alwi berkata, pengeluaran tersebut adalah bagi menampung kira-kira 15 peratus permintaan pasaran global.

''Bagi meningkatkan pengeluaran vanila, Rentak Timur akan bekerjasama dengan Vanilla Biomatrix Sdn. Bhd. untuk mengendalikan kontrak ladang di seluruh negara.

Kontrak ini membabitkan keluasan ladang seluas 1 hektar yang akan ditanam kira-kira lima juta pokok vanila dalam tempoh dua tahun,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kerjasama tersebut, ujar Syed Isa, akan melibatkan kira-kira 3,000 peladang di seluruh negara akan menjana pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan bagi setiap 0.2 hektar yang mengandungi 1,000 pokok vanila.

Pada masa ini, Rentak Timur menghasilkan kira-kira 1,500 kilogram ekstrak vanila setiap hari, tambahnya.

Penghasilan ekstrak tersebut menggunakan teknologi Supercritical Fluid Extraction (SFE) iaitu satu proses mengambil ekstrak yang mengawal tekanan dan suhu agar kepekatan cecair adalah terkawal, ujarnya.

Proses itu juga menjamin kualiti keaslian vanila yang dihasilkan bebas dari sebarang pencemaran bahan kimia, katanya.

Kata Syed Isa, Rentak Timur juga sedang menjalankan aktiviti penyelidikan dan penanaman vanila di sebuah ladang seluas 1.5 hektar di Singaraja, Bali, Indonesia sejak 2002.

Projek tersebut dijalankan bersama seorang peladang vanila yang sudah berkecimpung dalam industri tersebut di Indonesia sejak 30 tahun lalu, ujarnya.

''Kini, selepas beberapa tahun menjalankan penyelidikan dan percubaan, kami berjaya menghasilkan sistem integrasi penanaman, penuaian dan memproses vanila asli,'' kata beliau.

Sunday, September 7, 2008

Perladangan kontrak tanam vanila

Penglibatan masyarakat dalam bidang pertanian yang amat menggalakkan memberikan peluang kepada pengusaha untuk membuka lebih banyak peluang.

Ramai pengusaha yang menganjurkan pelbagai kursus bagi memberikan penerangan mengenai bidang pertanian tertentu bagi membantu bakal-bakal usahawan tani.

Dalam masa yang sama, bakal usahawan tani masih perlu meninjau pasaran bagi produk yang mereka hasilkan.

Sebuah syarikat yang mengusahakan tanaman vanila, Rentak Timur Sdn. Bhd. kini melalui anak syarikatnya, Vanilla Biomatrix Sdn. Bhd. menjalankan usaha perladangan kontrak bagi memudahkan usahawan memasarkan produk mereka.

Eksekutif Jualannya, Siti Salwa Salleh berkata, pihaknya memberikan perhatian khusus dalam perladangan kontrak bagi tanaman vanila.

“Vanila memang dikenal pasti mempunyai pasaran yang besar bukan saja dalam makanan tetapi juga kosmetik, perubatan dan minyak wangi," katanya semasa ditemui di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Serdang baru-baru ini.

Permintaan yang besar menyebabkan harganya melambung tinggi dan biasanya sebatang vanila basah boleh mencapai sehingga RM18 dan harga batang yang telah dikeringkan boleh mencapai harga lebih tinggi.

Siti Salwa berkata, vanila yang dikeringkan boleh diproses sehingga dalam bentuk gula, serbuk atau semula jadi (asli) dengan 100 peratus vanila.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, Vanilla Biomatrik menawarkan perladangan kontrak tanaman vanila bagi mereka yang berminat.

Pengusaha yang berminat perlu mempunyai tanah sekurang-kurangnya setengah ekar dengan modal sebanyak RM20,000.

“Kedua-dua pihak pembeli dan pengusaha perlu menandatangani perjanjian belian balik," katanya.

Sebelum itu, mereka yang berminat boleh juga menghadiri kursus yang diadakan mengikut permintaan.

Selepas itu, kata Siti Salwa, pihaknya akan memberikan penerangan mengenai penanaman di kawasan tanaman serta melakukan pemantauan berkala setiap tiga bulan.

“Memandangkan hasil akan keluar pada tahun ketiga, kontrak belian balik berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga lima kali tuaian,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perladangan kontrak bolehlah menghubungi Vanila Biomatrix di talian 03-2144014.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails