Showing posts with label mi. Show all posts
Showing posts with label mi. Show all posts

Monday, August 2, 2010

Usahawan mi

Dua pekerja menggunakan mesin untuk meleperkan tepung.

USIA bukan penghalang untuk berjaya. Setiap usaha sekiranya dilakukan bersungguh-sungguh pasti mendatangkan manfaat walaupun hanya bermula secara sambilan dan kecil-kecilan.

Bersandarkan kepada keinginan untuk hidup lebih selesa dan menambah pendapatan keluarga pasangan suami isteri Tukimon Watim, 63, dan Marhamah Marhani, 59, mencuba nasib berniaga mi simpul (siput) secara kecil-kecilan kira-kira enam tahun lalu.

Mereka bermula dengan modal RM500 untuk membeli bahan-bahan bagi memproses mi simpul dan membuat mengikut kemampuan.

Tanpa sebarang mesin canggi, pasangan suami isteri itu gigih mengusahakan apa yang telah dipelajari di rumah mereka di Kampung Sungai Nibong, Semerah Batu Pahat, Johor.

Dalam keadaan serba kekurangan ketika itu, mereka hanya mampu menghasilkan 20 hingga 25 kilogram mi simpul sehari untuk dipasarkan di sekitar kawasan Semerah sahaja kerana tidak mampu untuk menghasilkan produk lebih banyak.

Bagaimanapun, semakin hari permintaan terhadap mi simpul yang mereka usahakan bertambah dan mereka kemudian membeli sebuah mesin menguli tepung berharga RM1,500 bagi meningkatkan pengeluaran.

"Dengan adanya mesin penguli itu kerja-kerja membuat mi simpul lebih mudah dan jumlah yang dihasilkan juga semakin meningkat,'' ujar Tukimon.

Mereka tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana pihak tetapi kegigihan pasangan itu mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah Batu Pahat yang telah memberi bantuan mesin pemotong berharga RM3,000 supaya mampu menghasilkan sehingga 40 kilogram mi simpul sehari.

Setelah produknya mula mendapat permintaan yang lebih tinggi, mereka mendaftarkan perniagaan atas nama Usahasama T & M Enterprise dengan label produk sebagai Mee Siput.

Kini mi simpul keluaran syarikat T & M ini semakin digemari kerana ia merupakan salah satu makanan ringan yang rangup dan popular di Batu Pahat juga Johor amnya.

Produk itu semakin mendapat permintaan yang tinggi tetapi mereka tidak mampu memenuhinya kerana tiada alatan atau mesin yang sesuai.

Bagaimanapun, kegigihan mereka sekali lagi mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah dan sekali lagi diberi bantuan membina bangunan bernilai RM28,000 untuk meneruskan perusahaan kecil dan sederhana itu dengan lebih teratur.

Sebelum itu mereka melakukan kerja-kerja tersebut di kawasan rumah sahaja.

Menurut Marhamah, mi simpul yang telah siap di proses akan disusun di atas pemidang dan dijemur di bawah cahaya matahari sehingga benar-benar kering.

Katanya, masalah timbul sekiranya musim hujan apabila mi simpul tidak cukup kering dan ia akan dijangkiti kulat serta terpaksa dibuang dan ini mendatangkan kerugian kepada perniagaan mereka.

Untuk itu mereka berusaha mendapatkan alat pengering untuk membolehkan operasi berterusan walaupun hujan.

"Sekarang apabila hujan kami tidak lagi bimbang kerana sudah mempunyai tempat pemanas untuk mengeringkan mi smpul yang dikeringkan menggunakan cahaya matahari," kata Tukimon.

Permintaan yang semakin meningkat dan pemasaran yang semakin meluas menjadikan pasangan suami isteri ini tidak menang tangan untuk menyediakan tempahan yang diterima.

Pasangan itu dibantu oleh anak mereka, Mohd. Azri Yim, 30, yang bertanggungjawab memasarkan produk itu di sekitar negeri Johor juga menguruskan segala urusan penghantaran.

Marhamah berkata, mi simpul dijual pada harga RM5 sekilogram atau RM4 bagi 700 gram yang telah siap dibungkus sekiranya dibeli terus di kilang mini mereka.

Tukimon menambah, kini mereka dibantu oleh lima orang pekerja tetap dan sedia menerima pelatih yang ingin mempelajari pembuatan makanan ringan tersebut seperti yang dilakukan Mara baru-baru ini.

Beliau juga berkata, setakat ini ramai orang perseorangan atau pelancong datang untuk melihat sendiri bagaimana mi simpul dihasilkan dan meeka juga menerima lawatan daripada pelbagai pihak yang ingin melihat sendiri kegigihan pasangan suami isteri ini.

Kini mereka boleh tersenyum bangga apabila produk yang dihasilkan secara kecil-kecilan kini menjadi produk yang mendapat permintaan menggalakkan dan kehidupan mereka kini jauh lebih baik dari dahulu.
Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails