Showing posts with label Nenas. Show all posts
Showing posts with label Nenas. Show all posts

Wednesday, March 17, 2010

Nanas jana ekonomi keluarga

SEJAK kecil, dia telah terlibat dalam aktiviti pertanian. Minat itu bukan sekadar memenuhi masa lapang tetapi untuk menambah pendapatan.Baginya, pertanian adalah sumber ekonomi keluarga. Ia untuk meneruskan kelangsungan hidup lantaran kesempitan yang membelenggu mereka.

Didorong oleh semangat dan keazaman apabila menyaksikan kegigihan dan ketekunan orang tuanya berbudi kepada tanah dengan menanam nanas hingga menjadi punca rezeki keluarga, Johaini Sarju, 35, nekad untuk mengubah nasib keluarga yang hidup dalam kesusahan.

Baginya pertanian, satu kerja mulia berbudi kepada tanah dan memilih nanas sebagai tanaman utama kerana kesesuaian tanah dan faktor mudah mendapat pasaran di situ.

Justeru, tidak timbul rasa segan meskipun terpaksa membanting tulang empat kerat setiap hari asalkan keperluan ekonomi keluarga dipenuhi.

Seawal usia 16 tahun, Johaini sudah mula membantu ayahnya menanam nanas di kebun mereka di Kampung Semerah Darat, Semerah, Batu Pahat dan terus menjadi petani selepas tamat Tingkatan 5 tanpa rasa ragu dan malu.

Malah, dia tidak pernah terfikir untuk merantau mencari pekerjaan seperti rakan-rakan lain kerana yakin dengan bertani mampu mendatangkan pendapatan tetap dan lumayan sekiranya diusahakan bersungguh -sungguh.

Johaini bertekad untuk berjaya sebagai petani dan peraih nanas suatu hari nanti. Baginya sesuatu yang dilakukan bersungguh-sungguh pasti akan mendatangkan pulangan yang baik.

Bermula dengan menanam nanas di kebun sendiri dan sejak tiga tahun lalu dia menyewa tanah penduduk kampung yang terbiar.

Dia berjaya menanam sehingga 300,000 pokok nanas baka Moris di tanah seluas 12 hektar di sekitar kawasan Semerah.

Kini kawasan tanaman nanas miliknya melebihi 40 hektar iaitu dengan menyewa tanah-tanah terbiar di sekitar kawasan tempat tinggalnya.

Pengalaman ibu bapanya menanam nanas sejak lebih 20 tahun lalu menjadi aset penting untuk dia menjadi petani berjaya.

Tambahan pula, Johaini sentiasa mendapat sokongan padu daripada isteri, Azlina Enndi, 31.

Kini dia boleh berbangga kerana hasil kegigihan dengan dibantu 16 pekerja, Johaini merupakan pembekal tetap nanas ke Kuala Lumpur setiap hari kecuali hari Jumaat dengan membekalkan kira-kira 10,000 biji nanas setiap hari.

Menurutnya, selain nanas jenis Moris dan Josephine yang berbuah besar dan manis, dia juga menanam nanas merah yang sering digunakan masyarakat Cina untuk majlis keraian.

Johaini juga menanam nanas gajah iaitu nanas dari baka Moris yang mampu mencapai berat sehingga tiga kilogram sebiji dan mendapat sambutan yang menggalakkan di pasaran tempatan.

Johaini mengakui, hasil yang diperolehnya cukup untuk menampung kos operasi seperti membayar gaji pekerja, lori dan sewa tanah.

Kehidupan mereka sekeluarga bertambah baik serta mampu hidup selesa dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Lebih membanggakan, Johaini yang dibantu adiknya Roslinda Sarju sedang berusaha menghasilkan produk hiliran berasaskan nanas seperti jem dan jus nanas.

Kini Johaini melangkah lebih jauh apabila dilantik sebagai pembekal nanas bagi daerah Batu Pahat menerusi program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, pada satu majlis penyerahan geran pemadanan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan produk kepada usahawan Industri Asas Tani (IAT) yang terpilih oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, baru-baru ini.

Sementara itu, Noraini memberitahu kawasan seluas sehektar telah dikenal pasti dalam kawasan Parlimen Parit Sulong untuk dijadikan sebagai pusat pengumpulan produk-produk pengusaha industri asas tani.

Pusat tersebut juga berfungsi sebagai pengumpulan produk Mini Halal Hub.

Beliau berharap projek berkenaan dapat direalisasikan secepat mungkin.

''Saya berharap agar Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani), Datuk Seri Noh Omar menimbangkan perkara ini kerana di kawasan Parlimen Parit Sulong terlalu ramai petani yang mengusahakan produk berasaskan pertanian serta berpotensi untuk dimajukan ke peringkat yang lebih jauh lagi," ujarnya.

Baru-baru ini Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong dengan kerjasama kementerian terbabit telah mengadakan Bengkel Pembungkusan, Pelabelan dan Penjenamaan kepada usahawan terbabit.

Bengkel tersebut menurut Noraini, bagi memastikan kesemua usahawan industri asas tani yang berada di kawasan Parlimen Parit Sulong mengeluarkan produk yang berkualiti dan menepati piawaian yang ditetapkan untuk ke pasaran luar.

Melalui bengkel berkenaan 34 pengusaha industri berkenaan telah mengambil bahagian dan kesemua mereka telah menerima surat kelulusan geran pemadanan dan pembungkusan, pelabelan serta penjenamaan produk bernilai antara RM7,000 hingga RM12,000 seorang.

Penyerahan surat kelulusan geran pemadanan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan produk usahawan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Hashim Abdullah.

Ia melibatkan kos pembangunan yang dibiayai kementerian sebanyak RM222,032 dan merupakan 80 peratus daripada kos pembangunan untuk usahawan asas tani di Parlimen Parit Sulong.

Mengulas kesungguhan Johaini mengusahakan tanaman nanas Noraini berkata, ia patut dijadikan teladan kepada anak-anak muda masa kini yang menganggap pertanian itu tidak menguntungkan dan lebih suka bekerja makan gaji.

''Saya lihat kegigihan dan ketekunan juga kesungguhan Johaini merupakan satu kekuatan untuk kesemua usahawan juga petani bahawa pertanian itu satu perniagaan yang telah lama dipraktikkan dan seharusnya menjadi contoh kepada semua," jelasnya.

Tambahnya, kerajaan telah memberi pelbagai peluang dan bantuan untuk semua usahawan asas tani agar dapat mengeluarkan produk yang berkualiti bagi meningkatkan pengeluaran dan diterima di peringkat yang lebih tinggi dan menepati slogan, 'Rakyat Diutamakan dan Pencapaian Didahulukan'.


Sumber:utusan Malaysia

Thursday, July 2, 2009

Produk makanan, minuman berasaskan nanas


Amiruddin Osman (kiri) bersama Zainal Kassim menunjukkan produk nanas yang dihasilkan oleh Syarikat Pines.





PERSEPSI masyarakat zaman dahulu sering menganggap nanas sebagai makanan 'tajam' yang boleh mendatangkan pelbagai kesan sampingan jika dimakan dengan kuantiti yang banyak.

Antara kesan tersebut adalah seperti lidas pada lidah selain boleh mengganggu keadaan kandungan bagi wanita yang sedang mengandung.

Mungkin pendapat sedemikian menjadi faktor utama menyebabkan masyarakat kurang menggemari nanas dan akhirnya menjadikan perusahaan tanaman buah tersebut tidak dilaksanakan secara meluas.

Melihat secara mendalam dari sudut saintifik, nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan dan khasiat berguna untuk manusia.

Antara kandungannya yang berfaedah adalah seperti vitamin A dan C, kalsium, fosforus, magnesium, ferum, natrium, kalium, sukrosa, glukosa dan enzim bromelin.

Enzim bromelin mempunyai fungsi sebagai agen anti radang, membantu penghadaman dan anti kanser selain kandungan seratnya boleh melawaskan proses pembuangan air serta mengelakkan sembelit.

Menyedari kepelbagaian khasiat tersebut, buah itu kini telah digunakan secara meluas sebagai ramuan utama dalam penghasilan produk hiliran berasaskan makanan dan minuman.

Diusahakan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru, Prima Pine Food and Beverage Industries (Pines) memberi fokus kepada penghasilan produk makanan dan minuman untuk kesihatan daripada nanas.

Menurut Pengarah Pasaran Pines, Amiruddin Osman, pihaknya merasakan produk-produk berkenaan mempunyai potensi diperkembangkan ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

''Idea untuk tampil dengan produk ini sebenarnya timbul selepas membuat lawatan ke ekspo makanan antarabangsa yang di anjurkan di beberapa negara seperti Rusia, Taiwan dan Jepun.

''Justeru bermula tahun 2007, saya memulakan perniagaan ini dengan membina kilang pemprosesan dan seterusnya memberi tumpuan kepada aktiviti mempromosi kesemua produk,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti produk itu, pihaknya juga ada menjalankan kajian dan penyelidikan menerusi kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Menarik mengenai produk-produk itu, ia dihasilkan daripada nanas berkualiti tinggi jenis Josapine yang ditanam di beberapa kawasan di Sarawak dan Johor.

Produk pertama yang dihasilkan adalah Kopi Nanas Tongkat Ali serta Kopi Nanas Kacip Fatimah dan kolagen.

''Dengan campuran ekstrak nenas bersama pelbagai herba seperti Ginkgo Biloba, minuman ini boleh dijadikan sebagai minuman kesihatan untuk semua orang,'' jelasnya.

Amalan kopi tongkat ali tersebut dipercayai dapat membantu menghilangkan kelesuan, membantu merawat masalah mata, melegakan sakit kepala dan mengurangkan alahan.

Untuk kopi kacip fatimah pula, ia dikatakan dapat membantu mengekalkan wajah awet muda, membantu mencegah pembekuan darah, serta membantu mengembalikan kecantikan warna kulit

Di samping itu, produk lain yang dihasilkan adalah seperti coklat nanas kacip fatimah dan kolagen, jus nanas, kordial nanas, teh nanas, teh nanas sitrus, jem nanas, sos lada hitam dan sos masam manis.

Dari sudut proses penghasilan produk, pihaknya akan memastikan nanas yang benar-benar berkualiti digunakan selain mendapat harga bekalan yang berpatutan menerusi pemantauan oleh pihak LPNM.

Selain itu, LPNM turut memberi bantuan dalam penganjuran kursus industri asas tani bagi menggalakkan pemindahan teknologi kepada para petani dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pengeluaran hasil buah yang berkualiti.

Sambutan yang menggalakkan terhadap produk Pines telah mendorong pihaknya merancang pelbagai strategi pemasaran agar produk-produk itu sampai kepada semua peringkat pengguna.

Bagi memperluaskan pasaran, kerjasama telah dijalankan dengan beberapa pihak seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan serta Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

''Kita turut mempunyai matlamat menempatkan satu pengedar di setiap satu daerah di seluruh Malaysia,'' katanya.

Setakat ini, tumpuan diberikan kepada pengedaran di sekitar Johor dan Lembah Klang menerusi pelantikan Azyraff Global Resources sebagai pengedar tunggal produk-produk tersebut di Wilayah Persekutuan dan juga Selangor.

Menurut Pengarahnya, Zainal Kassim, pihaknya bersama Pines akan menjalankan pelbagai program promosi bagi memperkenalkan produk nanas kepada umum.

''Setakat ini, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan kerana orang sudah mula mempercayai khasiat yang ditawarkan oleh produk nanas ini,'' katanya.

Bagi tujuan sama, pihaknya juga bercadang untuk menyertai ekspo dan pameran jualan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai.

Maklumat mengenai kesemua produk Pines boleh di perolehi di laman web www.houseofpines.com.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails