SETIAP pagi Pak Mat bangun seawal pukul 4 pagi untuk menoreh getah. Kenapa seawal pukul 4 pagi? Sebabnya ketika itu tekanan tinggi dan susu getah mengalir lebih banyak.
Biasanya Pak Mat menoreh selang sehari dan kadang kala terpaksa menanggung risiko susu getah hilang atau tercemar dengan benda asing semasa pengumpulan.
Ada ketikanya apabila musim tengkujuh Pak Mat tidak dapat keluar melakukan kerja-kerja menoreh.
Beginilah senario kehidupan pekebun kecil getah yang terpaksa mengerah kudrat bangun seawal pagi untuk menoreh.Selain itu para penoreh diibaratkan terpaksa 'menyembah' dari satu pokok lain untuk menoreh. Masa yang diambil untuk selesaikan kerja tersebut bergantung kepada keluasa kebun yang dimiliki.
Keadaan itu bagaimanapun bakal berubah tidak lama lagi. Penoreh tidak perlu lagi bangun awal pagi untuk menoreh. Ini ekoran kejayaan inovasi dalam penghasilan alat menoreh getah secara automatik. Ia tidak lagi memerlukan penoreh menyembah dari satu pokok ke pokok yang lain. Alat ini boleh diibaratkan seperti robot yang bertenggek di pokok getah. Dengan hanya menekan satu butang, ia melaksanakan semua tugas termasuk menoreh dan mengumpulkan susu.
Hasil penyelidikan dan pembangunan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bersama syarikat inovasi terkemuka Zull Design Autotronic (ZDA) maka terhasil Sistem Menoreh Getah Automatik atau dalam bahasa Inggerisnya Automatic Rubber Tapping System dan ringkasnya ARTS.
Tidak sama seperti mesin toreh getah lain yang pernah dihasilkan sebelum ini, penyelenggaraan ARTS cukup minimum.
Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr. Salmiah Ahmad berkata, alat itu terhasil daripada pemerhatian terhadap susah payah pekebun kecil getah.
"Biasanya ladang getah diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil yang rata-ratanya warga emas yang tidak larat lagi bangun awal pagi untuk menoreh. Jika mereka tidak menoreh ia akan menyebabkan bekalan susu getah tidak menentu di pasaran," katanya semasa ditemui di Pameran dan Persidangan Antarabangsa Komoditi Malaysia (MICCOS) 2011 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor baru-baru ini.
Justeru ARTS adalah penyelesaiaannya. Pekebun kecil boleh mengatur masa untuk menoreh dan susu getah akan terus mengalir ke pusat pengumpulan sebelum dibawa ke kilang.Apa yang lebih menarik, ARTS akan menoreh secara serentak. Pekebun hanya perlu menentukan masanya sahaja. Dalam masa lima jam segalanya selesai dan susu getah sudah berada di kilang untuk diproses.
Dengan teknologi itu juga, pokok getah boleh ditoreh walaupun pada musim hujan.
"Sistem ARTS yang tertutup memberikan kelebihan kepada pengilang mendapatkan susu getah tulen tanpa benda asing selain bekalan yang berterusan," katanya.
Beliau menambah, dengan ARTS juga pekebun kecil tidak perlu ke ladang untuk menoreh tetapi hanya untuk meracun rumpai.
"Jadi penggantungan kepada tenaga buruh asing dapat dikurangkan sehingga lebih 50 peratus. Bagi pekebun kecil, mereka boleh menggunakan masa terluang untuk menjana pendapatan sampingan lain," katanya.
ARTS hanya perlu diselenggarakan setiap enam bulan sekali bagi menukar pisau toreh dan menukar atau mengecas bateri. Ia boleh digunakan oleh sesiapa saja dan tidak memerlukan kemahiran.
"Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos," kata Dr. Salmiah. Biasanya menoreh perlu kemahiran kerana jika pokok ditoreh terlalu dalam akan menyebabkan kecederaan pada pokok dan produktiviti berkurangan. ARTS akan hanya menoreh pada kedalaman yang ditetapkan dan tidak merosakkan lapisan dalam, memelihara pokok dan secara tidak langsung dapat memanjangkan lagi hayat pokok sehingga 20 tahun. Dari segi ekonomi, Dr. Salmiah berkata, pengumpulan getah secara sistematik dan berterusan akan menjamin industri berasaskan getah di negara ini.
Pengilang akan lebih yakin dengan bekalan bahan mentah yang berterusan.
"Malahan industri kecil dan sederhana (IKS) akan tumbuh bagi mengeluarkan komponen bagi menghasilkan ARTS. "Ini secara tidak langsung dapat menjana ekonomi IKS dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kebun kecil getah," kata Dr. Salmiah.
Menyentuh mengenai harga bagi satu unit ARTS, Dr. Salmiah berkata, pihaknya yakin dengan pengeluaran secara besar-besaran, kosnya boleh dikurangkan.
"Pihak kami percaya jika harga ARTS rendah kurang daripada RM150, ramai pekebun kecil berminat menggunakannya. "Pengilang juga boleh mengambil bahagian dengan memberikan subsidi kerana susu getah yang dihasilkan bersih tanpa pencemaran," katanya.
Selain itu katanya, ARTS boleh dipecahkan kepada tiga komponen yang boleh dipilih oleh para pekebun.
Katanya, mereka boleh memilih bahagian toreh saja, bahagian toreh dan mangkuk atau kesemua pakej lengkap sehingga pengumpulan di bagi seluruh ladang. Setakat ini hanya Malaysia satu-satu negara yang menghasilkan alat torehan automatik itu dan ia mempunyai potensi untuk di eksport ke negara-negara pengeluar getah lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, India, China, Vietnam dan Cameroon.
Sumber:utusan Malaysia