JERANTUT 1 April - Penanaman limau madu atau nama saintifiknya Citrus Sinensis banyak diusahakan petani di Hulu Tembeling, Jerantut berasaskan permintaan yang meningkat di pasaran tempatan.
Bertolak hakikat itulah, seorang petani Kampung Tempan, dekat sini,
Adenan Nipah, 55, memajukan tanah seluas lapan hektar untuk tanaman
limau madu dan sayur-sayuran.
Katanya, projek tanaman itu bermula pada 1994 sebagai percubaan awal
walaupun harus bersaing dengan pasaran buah-buahan tempatan lain.
"Benih limau ini saya peroleh daripada Jabatan Pertanian yang turut
memberi bimbingan dari aspek pengurusan tanaman dan ladang pada
peringkat awal," katanya di Kampung Tempan, dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya, sebanyak 700 anak benih limau itu disulam di kawasan
tanah pinggir kampung tersebut yang sudah diteroka untuk dimajukan
dengan projek berkenaan.
"Setelah tiga tahun bersusah payah menjaga tanaman ini, akhirnya
membuahkan hasil pertama pada 1997 sehingga kini dan mendapat pasaran
yang baik di pasar tani dan pusat pelancongan Taman Negara," ujarnya.
Tanaman itu, katanya, dijaga dengan rapi untuk mengelak pokok limau
tersebut mati akibat serangan ulat, penyakit tanaman dan musuh lain
iaitu babi hutan.
"Kini cuma sebanyak 600 batang pokok mengeluarkan buah antara 400 hingga 700 biji," katanya.
Katanya, sekilogram buah limau itu dijual dengan harga RM4 kepada
pelawat di Taman Negara Kuala Tahan, Kampung Pagi dan kawasan
berdekatan.
Beliau berkata, pendapatan harian jualan buah limau mencecah antara
RM80 hingga RM100 digunakan untuk belanja dapur, persekolahan, membeli
baja dan racun serangga.
"Limau yang baru dipetik boleh dimakan begitu sahaja atau dapat
bertahan beberapa hari untuk diperah menjadi jus yang manis," katanya.
Tambahnya, usaha itu akan diteruskan dengan memajukan tanah terbiar
berdekatan rumah dengan tanaman limau dan buah naga yang boleh mengecapi
pulangan lumayan sesuai dengan kudrat dalam usia emasnya.