Showing posts with label burung walet. Show all posts
Showing posts with label burung walet. Show all posts

Tuesday, November 9, 2010

Walit World bangun industri burung walit

PORT DICKSON 8 Nov. - Melihat potensi industri burung walit yang dijangka menyumbang sebanyak RM5 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2015, Walit World Sdn. Bhd. mengambil inisiatif membangunkan kawasan industri ternakan burung walit di Tanjung Agas, Teluk Kemang.

Melalui projek yang dinamakan Walit World Tanjung Agas Ecopark itu, syarikat tersebut menawarkan peluang perniagaan kepada individu yang berminat untuk membeli hartanah 'rumah burung'.

Pengurus projek, Mohd Nasir Che Fa berkata, hak milik tanah diberikan kepada pemilik rumah burung walit yang dibangunkan secara berpusat di kawasan burung walit di daerah ini.

Menurut beliau, pihaknya menawarkan tapak seluas 2,100 kaki persegi di kawasan tersebut dengan rumah burung setinggi dua setengah tingkat yang bersaiz 20 kaki lebar dan 50 kaki panjang

"Rumah burung walit ini turut dilengkapi peralatan audio terkini untuk memanggil burung tersebut. Harga yang ditawarkan bagi sebuah rumah ialah RM320,000," katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, pembangunan kawasan seluas 5.2 hektar itu telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan mendapat sokongan serta khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Lokasi ini sangat strategik iaitu dalam kawasan kampung berhampiran pertemuan muara Sungai Linggi dan Selat Melaka serta dikelilingi rimbunan pokok bakau yang sememangnya kaya dengan punca makanan yang sesuai dengan koloni burung walit," katanya.

Mohd Nasir memberitahu, khasiat sarang burung walit ini terbukti sejak dulu lagi yang mampu melancarkan fungsi paru-paru, melancarkan perjalanan darah, menambah daya ketahanan badan, meningkatkan kekuatan jantung dan banyak lagi kebaikan kepada kesihatan manusia.

"Disebabkan oleh khasiat dan nilai perubatannya yang tinggi, sarang burung walit sangat berharga dan mendapat permintaan yang tinggi di peringkat antarabangsa.

"Harga sarang burung walit di pasaran boleh mencecah RM5,000 sekilogram bagi yang belum dibersihkan mengikut gred, dan nilainya akan meningkat sekali ganda apabila memasuki pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau menambah, industri ternakan burung walit menjanjikan keuntungan sampingan yang lumayan malah menawarkan cabang perniagaan keluarga yang boleh diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

"Melabur melalui pembelian sebuah rumah burung walit beserta tapak rumah di Walit World Tanjung Agas Ecopark, pasti menjanjikan pulangan modal dan keuntungan yang lumayan," katanya.

Maklumat mengenai Walit World Tanjung Agas Ecopark boleh diperoleh menerusi http://worldofwalit.blogspot.com.
Sumber:Utsuan Malaysia

Saturday, November 6, 2010

Pusat sehenti burung walit

Selain menjadi satu industri yang menguntungkan, perniagaan sarang burung walit di Pulau Mutiara juga merupakan satu produk pelancongan.

Kemusnahan yang berleluasa pada habitat semulajadi burung itu telah memaksa ia mencari habitat baru yang lebih selamat di bangunan-bangunan konkrit yang terletak di kawasan bandar.

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan burung-burung itu telah mempunyai tempat perlindungan di kawasan bandar yang terdiri dari rumah-rumah burung konkrit yang dibina pengusaha industri sarang burung berkenaan.

Di tengah-tengah Georgetown, bandar yang diisytihar mempunyai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco, AeroBio (M) Sdn. Bhd. telah membina satu pusat sehenti di Jalan Pasar bagi mempamerkan perusahaan sarang burung walit.

Menurut N.S.Yong, Penasihat Perniagaan Strategik dan Perancangan Korporat syarikat tersebut, pusat berkenaan terletak di kawasan zon warisan di Georgetown, Pulau Pinang .

Pusat tersebut mempunyai kemudahan membersih serta memproses sarang burung selain kedai yang menjual barangan dan produk sarang burung dan kafeteria yang menawarkan minuman sarang burung.

"Di pusat ini pengunjung akan diberi maklumat, antara lain tentang penternakan burung walit serta pembersihan sarang burung," Yong memberitahu Bernama yang berkunjung ke pusat tersebut.

Di pusat AeroBio ini, burung-burung walit akan muncul dan membuat sarang burung dengan kerelaan sendiri kerana pusat itu tidak menggunakan sistem bunyi yang biasa digunakan rumah burung yang lain bagi menarik perhatian burung-burung itu.

"Kami hanya menyediakan satu suasana yang punya lebih kelembapan serta kemalapan yang sesuai bagi burung walit menyediakan sarang mereka dalam premis di pusat ini," kata beliau.

Menurut Yong, burung-burung itu telah berada di situ semenjak beberapa tahun sebelum pusat tersebut dibina dan itulah sebabnya beliau merasakan tidak perlu menggunakan sistem bunyi bagi menarik perhatian burung walit.

Menurut Yong, yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam industri ini, burung walit memerlukan 40 hingga 60 hari untuk membina sarang sebelum sarang itu boleh dikumpul.

''Kebiasaannya waktu puncak adalah pada pukul 7.00 petang hingga 7.30 petang di mana burung walit akan pulang ke sarang", kata beliau, sambil menambah proses pembersihan serta pengadunan sarang burung mengambil masa sehingga tiga bulan.

Beliau berkata, pusat tersebut boleh mengeluarkan 8.0 kg sarang burung setiap hari dan kebanyakan pelanggannya adalah dari Taiwan, China dan Hong Kong.

Di pusat tersebut pelawat mempunyai peluang melihat "terbang lalu" burung walit di atas kepala mereka kerana burung-burung tersebut bebas berterbangan dalam premis itu.

"Pengunjung akan mengalami satu situasi unik seolah-olah mereka berada di habitat burung walit dan mengetahui rahsia tentang sarang burung atau dikenali juga sebagai Kaviar dari Timur," kata beliau. Pusat tersebut juga dilengkapi makmal di mana pelawat boleh melihat proses pembersihan sarang burung.

"Produk penjagaan kesihatan kami adalah dari pusat penternakan kami, termasuk pati dari sarang burung," katanya lagi.
sumber:utusan malaysia

Friday, March 19, 2010

Burung walet jana RM5 bilion

KUCHING 15 Mac - Industri sarang burung walet di negara ini mampu menghasilkan pendapatan sehingga RM5 bilion dengan pengeluaran 500 tan metrik setahun menjelang tahun 2020.

Menteri Muda Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Talib Zulpilip berkata, untuk menghasilkan jumlah pengeluaran sebanyak itu, negara ini perlu mempunyai lebih 100,000 rumah burung itu dan Sarawak mempunyai potensi untuk tujuan berkenaan.

Ini kerana, jelasnya, negeri ini mempunyai banyak kawasan berpotensi untuk memikat burung walet khususnya di sepanjang perairan Tanjung Datu hingga ke utara Sarawak iaitu di Lawas.

''Sarang burung walet dikatakan mempunyai khasiat dalam penjagaan kesihatan malah mempunyai pasaran tinggi di peringkat antarabangsa.

''Dengan potensi pasaran tersebut, kita berharap lebih ramai penduduk di negeri ini menceburi bidang memikat burung walet yang bukan hanya mampu meningkatkan ekonomi masing-masing bahkan kepada pendapatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Kursus Pemikatan Burung Walet di Dewan Masyarakat Sematan dekat sini hari ini.

Talib berkata, pasaran utama sarang burung walet pada masa ini adalah seperti China, Jepun, Korea dan Taiwan di samping pasaran domestik dalam negara.

Katanya, keempat-empat negara tersebut mempunyai jumlah penduduk yang tinggi dan mempercayai khasiat sarang burung walet dalam penjagaan kesihatan menjadikan mereka pengimport terbesar produk berkenaan.

Tambahnya, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 250 tan metrik sarang burung walet daripada 50,000 rumah burung telah dihasilkan dengan nilai pendapatan sebanyak RM1 bilion bagi pasaran tempatan dan luar negara.

''Justeru, industri ini sememangnya memberi pulangan lumayan memandangkan harga sarang burung itu mengikut gred dengan harga tempatan RM4,500 hingga RM6,500 sekilogram manakala pasaran dunia pula menjangkau RM6,000 hingga RM12,000 sekilogram.

''Saya berharap rakyat di negeri ini mengambil peluang seumpama itu untuk mengusahakan tanah terbiar di sekitar kawasan masing-masing untuk menjalankan perniagaan sarang burung walet," katanya.

Mengenai kursus anjuran SEDC tersebut, Talib memberitahu, ia disertai seramai 250 orang peserta berdaftar dari bahagian Lundu dan Sematan selama sehari.

Menurutnya, tujuan kursus untuk memberi gambaran secara menyeluruh tentang industri burung walet kepada para peserta supaya mereka memahami peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi dalam bidang ini.

Sumber:Utusan Malaysia

Monday, January 18, 2010

KT Swiftlet labur RM2 juta bina rumah burung walit

KUALA TERENGGANU 17 Jan.- KT Swiftlet Equipment & Trading (KTS), syarikat milik penuh bumiputera akan melabur RM2 juta ringgit dalam lima tahun akan datang bagi mengembangkan lagi perusahaan burung walit yang diceburinya sejak dua tahun lepas.

Pengurus KTS Syed Husein Helmi Al-Edrus berkata, pelaburan itu bertujuan membina tujuh buah rumah burung walit yang dianggar bernilai antara RM150,000 dan RM500,000 setiap buah.

"Tahun lepas kita sudah melabur sebanyak RM1.5 juta untuk dua buah rumah burung walit iaitu di Kampung Telaga Kuala Berang dan Kampung Batu Hampir Manir," katanya kepada Bernama.

Syed Husein berkata, sebelum itu, KTS melabur lebih RM1 juta untuk membina sebuah rumah burung walit di Kampung Cabang Tiga di sini dua tahun lepas, dan dalam tempoh itu syarikatnya sudah berjaya memperoleh hasil sebanyak kira-kira 13 kilogram sarang burung walit.

Menurutnya, harga sarang burung berkenaan, yang masih belum dibersihkan dijual pada harga RM4,000 lebih bagi setiap kilogram kepada pembeli dari Kuantan.

Beliau berkata, sejak menceburi bidang tersebut, Mara telah memberikan sebanyak RM250,000 kepada syarikat itu untuk dijadikan modal pengurusan ternakan burung walit.

Katanya, untuk mengembangkan lagi perniagaan dalam bidang itu, KTS merancang membina sebuah kilang pemprosesan sarang burung sendiri di Kampung Cabang Tiga bersebelahan tapak sarang burung yang sedia ada.

Syed Husein berkata, penglibatan orang Melayu dalam industri burung walit di Terengganu setakat ini sekitar 10 peratus berbanding bangsa lain.

"Bagaimanapun, semakin ramai orang Melayu sudah mula menunjukkan minat untuk melibatkan diri dalam industri sarang burung walit dalam setahun dua ini," katanya.

Beliau berkata, Kuala Berang merupakan salah satu lokasi terbaik untuk industri burung walit di dunia kerana persekitarannya yang aman, selain mempuyai banyak makanan. - Bernama

Monday, January 4, 2010

Khasiat sarang burung walet dikomersialkan

SEJAK berzaman lagi, khasiat sarang-sarang burung walet didapati mempunyai dua nilai pemakanan tinggi yang sangat unik dan aktif iaitu faktor stimulasi mikrogenik. Kedua-dua faktor itu membantu merangsang sel dan penghasilan semula struktur sel badan, serta dikatakan menjadi punca utama penghasilan kulit yang muda, lembut, licin dan halus.

Selain membekalkan kecantikan pada kulit, sarang burung itu juga membuktikan ia sangat berkhasiat kerana mengandungi bahan yang boleh memberikan tenaga dan pemulihan dalaman, khasnya melancarkan sistem aliran darah dengan lebih lancar.

Penyelidikan saintifik moden mendapati ia mengandungi mineral kepekatan tinggi, protein aktif serta protein gelatin, sekali gus menjadikan ia produk kesihatan semula jadi yang tulen sekali gus bagus untuk semua peringkat usia.


Pengambilan sarang burung dalam jangka panjang adalah ketahanan terbaik terhadap penuaan, manakala unsur protein aktif dalam sarang burung turut merangsang pembesaran sel dalam sistem imunisasi, lantas menguatkan imuniti badan dalam melawan penyakit.

Sarang burung juga sesuai bagi wanita hamil kerana ia memberi faedah kepada ibu dan bayi. Ini amat jelas berikutan bayi yang dilahirkan akan memiliki kulit yang sangat cerah lagi halus, serta fungsi badan lebih kuat berbanding bayi lain dan ibu juga pulih lebih cepat selepas melahirkan.

Secara lazimnya, manfaat sarang burung itu boleh dinikmati melalui hidangan yang disediakan, bergantung kepada cita rasa tersendiri untuk menambahkan kenikmatan ketika menjamu. Bagaimanapun ia memerlukan kos yang tinggi untuk setiap pengambilan.

Namun kini, menyedari khasiatnya dan permintaannya semakin tinggi terutama untuk kecantikan, ia boleh didapati dalam bentuk sapuan dengan harga yang murah dan mudah dimiliki oleh semua golongan.

Buat pertama kalinya, Nutox Oxyfusion memperkenalkan rangkaian produk kecantikannya yang berasaskan kolagen sarang burung walet yang bertindak sebagai cara penyelesaian terhadap kehendak wanita yang sentiasa menginginkan wajah kekal awet muda.

Ekstrak sarang burung walet mampu membuatkan bahan-bahan aktif yang terkandung mudah menyerap jauh ke dalam lapisan kulit untuk membaikpulih struktur epidermis, menebalkan kulit dan menyamar garisan halus serta kedutan selain membekalkan keanjalan jangka masa panjang pada wajah.

Selain itu, Nutox Oxyfusion baru yang berasaskan sarang burung gred terbaik itu juga mampu mengekalkan keremajaan sekali gus membuatkan kulit tidak kelihatan kering dan cerah serta sesuai untuk semua jenis kulit.

Rangkaian produk penjagaan kulit wajah antikedutan yang terdiri daripada pencuci, krim pelembap, serum, krim penghadang sinaran matahari dan krim mata itu boleh didapati pada harga bermula RM19.90 hingga RM69.90 di seluruh penjualan runcit.

Nutox Oxyfusion turut memperkenalkan artis tempatan, Nurfazura sebagai dutanya.

INFO: Manfaat sarang burung Walet

  • Kajian perubatan Cina di Beijing mendapati sarang burung walet menjadikannya agen pemutihan kulit dan juga baik untuk kesihatan mata. Bagi penghidap asma, ia juga menjadi agen terbaik memulihkan sistem pernafasan dan memperkuatkan paru-paru. Hasil daripada eksperimen dan penelitian menunjukkan bahawa sarang burung bermanfaat sebagai:

  • Zat kolagen yang terkandung dalam setiap sarang burung walet dapat melancarkan pembuluh darah, meningkatkan nafsu makan serta memperbaiki saluran pencernaan.

  • Sarang burung walet dapat mengurangkan kahak dan menyembuhkan batuk. Ini juga adalah nutrisi yang bagus untuk paru-paru dan menguatkan saluran pernafasan.

  • Pengambilan sarang burung walet ketika kehamilan dapat mengurangi rasa sakit pada punggung, memperkuat paru-paru bayi yang dikandung. Juga dapat mempercepat proses penyembuhan setelah melahirkan.

  • Untuk wanita, pemakanan secara teratur dapat meningkatkan daya metabolisme, memperbaiki kulit serta melambatkan proses penuaan.

  • Untuk orang tua, pemakanan secara teratur dapat menguatkan urat dan tulang serta meningkatkan daya tahan tubuh terhadap penyakit.

  • Untuk kanak-kanak, sarang burung berkenaan dapat membesarkan daya serap nutrisi yang ada pada setiap makanan dan memperkuatkan paru-paru.

  • Dipilih sebagai makanan yang amat baik kepada para perokok selain dapat mengurangkan kesan yang ditimbulkan daripada nikotin dan mencegah serangan barah
  • Thursday, September 24, 2009

    Perluas industri sarang burung walet di kampung

    JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memperluaskan industri sarang burung walet ke kampung bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha Bumiputera menceburi industri itu.

    Ketua Pengarah JPV, Datuk Abd Aziz Jamaluddin, berkata pihaknya percaya industri itu boleh berkembang di kawasan kampung kerana ia mempunyai pelbagai sumber makanan untuk burung itu seperti tanaman dan dusun buah-buahan.

    “Jika boleh kami hendak melihat lebih ramai Bumiputera terbabit dalam industri burung walet ini,” katanya selepas meninjau perusahaan burung walit di Kampung Pengkalan Berangan, di Marang, Terengganu, semalam.

    Abd Aziz berkata, ketika ini, terdapat 200,000 pengusaha burung walet di seluruh negara dengan nilai pengeluaran mencecah RM1 bilion setahun.

    Beliau berkata, daripada jumlah besar itu, hanya lapan peratus mewakili pengusaha Bumiputera.

    - Bernama

    Cari Maklumat anda di sini

    Google
     
    Related Posts with Thumbnails