Showing posts with label lintah. Show all posts
Showing posts with label lintah. Show all posts

Monday, August 31, 2009

Perhebatkan penyelidikan khasiat lintah




KETIKA penternak lintah berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan, ramai juga yang ragu-ragu dengan bidang penternakan haiwan eksotik yang semakin popular itu.

Ada yang mendakwa sukar untuk dipasarkan dan tidak mempunyai kilang untuk memproses lintah sebagai produk hiliran.

Semua ini tidak mematikan semangat sekumpulan penternak lintah untuk mewujudkan Persatuan Usahawan Industri Lintah Malaysia (Pelintah) bagi memajukan industri lintah negara.

Pelintah yang ditubuhkan pada November tahun lalu telah mengadakan mesyuarat agungnya yang pertama pada Mac tahun ini.

Yang Dipertuanya, Mahadzir Md Zin berkata, buat masa ini Pelintah mempunyai lebih 350 orang ahli yang terdiri daripada penternak, pemborong, pengusaha dan peruncit.

"Buat masa ini, Pelintah menyasarkan mempunyai ahli sehingga 10,000 penternak.

"Pelintah juga merupakan persatuan yang diiktiraf di bawah Jabatan Perikanan Malaysia," katanya.

Beliau menerangkan terdapat lebih 600 spesies lintah di seluruh dunia tetapi antara tiga yang terbaik terdapat di negara ini.

Terdapat dua spesies lintah tempatan yang mendapat pasaran dunia iaitu lintah hijau dan lintah perang. Bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan lintah, Pelintah sedang cuba mendapatkan dana bagi tujuan penyelidikan.

Ini bagi memastikan produk yang dihasilkan menepati dan diiktiraf oleh semua masyarakat tempatan dan secara global.

Sehingga kini lintah banyak digunakan dalam perkhidmatan terapi, produk kecantikan, bahan anti-penuaan dan rawatan alternatif seperti bekam.

Mahadzir berkata, bekam dan terapi lintah telah lama digunakan di luar negara dan buat masa ini Pelintah telah mula membuat penghantaran lintah ke luar negara bagi tujuan terapi.

Buat masa ini, Pelintah dalam perancangan menjalankan kajian dengan institut pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi terapi perubatan serta klinikal.

Misalnya kajian mengenai lintah untuk menyembuhkan luka selepas pembedahan kecil, kosmetik serta dalam bidang pertanian.

"Kajian menunjukkan lintah mempunyai banyak hormon berguna serta 16 jenis enzim yang berguna," katanya.

Bagi penternak persendirian yang berminat mendapatkan maklumat mengenai Pelintah, boleh melayari laman web www.pelintah.ws atau e-mel kepada admin@pelintah.ws

Sumber:Utusan Malaysia

Saturday, May 16, 2009

Siswazah ternak lintah


BANGSAL panjang yang menempatkan kolam ternakan lintah yang diusahakan oleh Muhammad Shahrul Ikmar Mustapha dan rakannya, Sulaiman Syah Ab. Rahman di Padang Temu, Melaka.


MELAKA Mei - Bidang pertanian bukanlah satu kerjaya yang glamor namun ia tetap menjadi pilihan dua mahasiswa yang melihatnya sebagai satu cabang pendapatan lumayan sekiranya dikomersialkan.

Bagi mereka, bidang ternakan lintah yang dianggap baru di Malaysia dilihat mempunyai prospek yang cukup besar sebagai satu rawatan alternatif yang mula mendapat permintaan ramai.

Atas kesedaran peluang itu, dua sahabat lulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Multimedia, Bukit Beruang di sini, Sulaiman Shah Ab. Rahman, 25, dan Muhammad Shahrul Ikmar Mustapha, 24, mula menceburi bidang itu sejak awal tahun lalu.

Sulaiman yang memegang ijazah Kejuruteraan Komputer dan Shahrul, ijazah Pengurusan Teknologi Maklumat, kelulusan yang digenggam itu bukanlah bermakna mereka harus melupakan terus bidang pertanian.

Dengan sedikit pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki, dua sahabat ini nekad membuat pelaburan sebanyak RM80,000 menubuhkan syarikat MNS Marketing and Management pada awal tahun lalu.

Sulaiman yang merupakan Ketua Eksekutif syarikat tersebut berkata, mereka memilih untuk menceburkan diri dalam penternakan lintah kerana melihat bidang itu masih baru di negara dan berpotensi untuk pergi lebih jauh.

''Alhamdulillah, setelah kira-kira empat bulan menjalankan perniagaan ini, kami mempunyai 23 kolam lintah yang diusahakan di Taman Padang Temu Indah, Padang Temu, Melaka.

''Hasilnya, kami mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM5,000 hingga RM6,000 sebulan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, hasil kerja kerasnya itu juga, mereka telah berjaya membuka sebuah pusat rawatan kesihatan yang dikenali D'Winz Healthcare di Taman Senggarang, Batu Pahat, Johor.

Jelasnya lagi, syarikat juga telah berjaya membekalkan produk-produk berasaskan lintah keluarannya ke seluruh pasaran tempatan termasuk Brunei.

''Kami juga membekalkan lintah untuk tujuan rawatan bekam termasuk menganjurkan kursus lintah seperti ternakan, produk lintah dan juga rawatan bekam," katanya.

Sulaiman berkata, masa depan ternakan lintah amat cerah kerana ia sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan.

''Lintah mendapat permintaan yang tinggi kerana ia boleh merawat penyakit kronik seperi sakit jantung melalui enzim yang dinamakan hirudin yang dikeluarkan oleh haiwan ini,'' katanya.

Tambahnya, di pasaran tempatan, lintah menerima permintaan yang tinggi dengan harganya dikatakan antara RM1.50 hingga RM3 seekor.

''Berbanding di luar negara seperti di United Kingdom contohnya, harga seekor lintah mencapai sehingga RM53.

''Ia mungkin kerana permintaannya yang tinggi untuk kegunaan dalam bidang perubatan mereka," katanya.

Atas kesedaran nilai pasaran yang tinggi itu, menurut Sulaiman, syarikatnya juga telah mengadakan usahasama dengan sebuah syarikat lain untuk mengembangkan lagi perniagaanya.

Melalui usahasama itu, syarikatnya juga merupakan pemilik bersama 210 lagi kolam lintah di seluruh negara termasuk 50 buah kolam di Pontian, Johor, Batu Pahat (50) Seremban (30), Bukit Merah, Perak (40) dan Terengganu sebanyak 40 buah kolam.

''Jika dikira secara keseluruhannya, kami mempunyai stok lintah melebihi 100 juta ekor di 233 kolam ternakan lintah,'' katanya.

Menurut Sulaiman, dengan keupayaan yang ada, mereka merancang untuk mengeksport lintah ke luar negara memandangkan pasarannya yang lebih tinggi di sana.

Orang ramai yang berminat dan ingin mendapatkan keterangan lanjut, boleh hubungi mereka di nombor 019-7775242 (Sulaiman) dan 013-2060057(Shahrul). katanya.

Monday, July 28, 2008

Ternak cacing, belut dan lintah serentak


mustafa Abdul Wahab dan Azlinda Ros Abdul Aziz melihat baja cacing yang telah siap untuk dipasarkan.


Bermula dengan menternak cacing secara suka-suka di belakang rumah selama dua tahun, seorang kontraktor, Mustafa Abdul Wahab mengambil keputusan berhenti kerja dan menjalankan aktiviti secara sepenuh masa pada Julai tahun lepas.

Mustafa berkata, ramai yang tidak mengetahui mengenai kepentingan dan kegunaan cacing yang memang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.

Malah pada peringkat awal, ramai yang mencemuh apabila beliau memulakan penternakan cacing.

“Cacing telah lama digunakan sebagai baja vermicast dan kaya dengan sumber protein utama dengan 20 jenis enzim dan asid amino yang berguna untuk kosmetik (kolagen) dan perubatan.

“Penternakan cacing bukanlah sesuatu yang baru kerana organisma ini banyak digunakan dalam bidang pertanian," katanya semasa ditemui di premis perniagaanya AZR Agro Centre di Bandar Sungai Mas, Banting, Selangor.

China misalnya, memerlukan lebih 500 tan cacing tanah sebulan bagi tujuan perubatan dan kosmetik manakala Jepun pula memerlukan satu tan seminggu.

Mustafa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AZR Agro Centre menambah, cacing berpotensi dalam negara sebagai alternatif dalam makanan ternakan bagi menggantikan jagung dan soya memandangkan ia mempunyai protein haiwan yang amat diperlukan.

Kajian yang dijalankan menunjukkan lebih 30 jenis nutrien terdapat dalam cacing, malah tanaman yang menggunakannya baja vermicast tidak memerlukan racun serangga.

Menjalankan penternakan tiga serangkai - cacing, belut dan lintah, Mustafa menyifatkan ketiga-tiga haiwan berkenaan berkaitan antara satu sama lain.

“Malah pihak kami mendapat permintaan yang besar dari negara Jepun yang sehingga kini masih belum dapat dipenuhi,” kata rakan kongsinya Azlinda Ros Abdul Aziz.

Bercerita mengenai ternakan belut sawah atau nama saintifiknya Monopterus albus, Mustafa berkata, pihaknya mendapatkan induk belut yang diambil dari sawah untuk dibiakkan sendiri untuk tujuan pengeluaran.

Mustafa berkata belut mudah dipelihara kerana makanannya mudah diperoleh seperti daun-daun reput, jerami padi atau batang pisang.

“Bagaimanapun penternakan belut menghadapi masalah dengan pembiakan kerana jantinanya ditentukan oleh saiz.

“Biasanya belut yang berusia enam hingga sembilan bulan adalah betina dan lebih sembilan bulan adalah jantan,” katanya.

Pembiakan belut dijalankan secara semula jadi dengar kadar yang tidak konsisten kira-kira 800 hingga 3,000 biji telur dan hanya satu perempat saja akan menetas dan menghasilkan anak.

Berbeza dengan belut, lintah atau Hirudo medicinalis adalah haiwan dua jantina iaitu mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina dan menghasilkan telur dalam bentuk kokon.

“Kami mendapat bekalan lintah yang diambil dari kawasan sawah, sungai dan hutan hujan tropika di dalam negeri untuk dibiakkan,” katanya.

Lintah biasanya digunakan dalam perubatan dan kosmetik dan dipelihara dalam kolam tanah, kanvas atau akuarium kerana haiwan ini memakan belut, siput sudu atau larva nyamuk.

Cacing atau Lumbricus rubellus, biasa dipanggil cacing merah pula boleh hidup sehingga enam tahun.

Haiwan berkenaan biasanya digunakan dalam perubatan, pertanian, kosmetik.

Cacing senang dipelihara menggunakan kotak bertingkat-tingkat menggunakan najis kambing atau lembu yang dicampur dengan habuk kayu dalam nisbah 70:30 serta sedikit air bagi melembapkan media.

Mempunyai ladang ternakan cacing, lintah dan belut di Sekinchan, Selangor, sebanyak 20 buah kolam yang memuatkan cacing lintah dan belut.

Di Sungai Mas, Mustafa menjadikan ladang transit yang boleh memuatkan satu tan cacing, satu tan belut dan 10,000 ekor lintah.

AZR Agro Centre juga menjalankan beberapa siri latihan bagi mendapatkan penternak baru, jabatan kerajaan dan menghasilkan produk.

Misalnya, cacing amat berguna untuk dijadikan baja semasa negara menuju ke arah pertanian selain dapat menghasilkan kolagen yang amat sesuai untuk kulit.

Lintah pula untuk dijadikan minyak lintah menerusi kaedah bioteknologi memandangkan protein akan terurai pada suhu yang tinggi.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai cacing, lintah atau belut boleh menghubungi AZR Agro Centre di 03-31803994 atau 03-31803996 atau faks 03-31803995 atau layari laman web www.azragrocentre.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails