SEPERTI kebanyakan pengusaha lain yang bermula sekadar hobi tidak
terkecuali bagi Abdul Halek yang berminat menceburi bidang pertanian dan
seterusnya memberi dorongan kepadanya untuk terus membabitkan diri
dalam sektor itu.
Oleh kerana ladang yang berada di kawasan berisiko mudah dilanda
banjir, bukan mudah bagi Abdul Halek untuk menjaga dan memastikan projek
tanaman nangka varieti CJ3 yang diusahakan di atas tanah seluas tujuh
hektar (ha) itu berjaya.
Namun, cabaran itu tidak pernah mematahkan semangatnya, malah dia
dianggap sebagai pemangkin untuknya supaya berusaha lebih gigih.
Berkat usaha yang tidak kenal putus asa, bekas kontraktor itu kini
mampu berbangga dengan pencapaian muncul pengeluar utama buah berkenaan
di TKPM Bera.
Tambahan pula, ladang yang telah berjaya mengeluarkan hasil selama
empat tahun ini turut berjaya memasarkan hasilnya ke seluruh daerah Bera
dan Pahang.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Bera, Noor Iliana Anour, 33, berkata projek TKPM ini adalah untuk membangunkan kawasan yang kekal bagi pengeluaran buah buahan dan sayur sayuran.
Jelasnya, fokus utama yang akan diberikan melalui program ini adalah
penglibatan sektor swasta yang bertindak sebagai syarikat peneraju dan
usahawan tani yang berminat dalam pengeluaran bahan makanan yang selamat
dan berkualiti untuk pasaran domestik dan eksport.
Seramai 13 peserta dipilih bagi membangunkan TKPM ini yang mendapat
tanah yang diperuntukkan daripada pihak kerajaan negeri di samping
mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan dari segi
infrastruktur.
"Pemilihan peserta yang memenuhi kriteria akan dipilih bagi
memastikan peserta yang benar-benar layak sahaja menyertai projek
tersebut.
"Kami hanya menyediakan kemudahan dan infrastruktur untuk peningkatan
kualiti projek sedia ada," katanya ketika sesi taklimat dan lawatan
Agrochallenge ke tapak projek TKPM, di Bera baru-baru ini.
Jelasnya lagi, projek yang dibangunkan sejak 2006 itu mempunyai
keluasan keseluruhan sebanyak 80 ha yang mana 50 ha diperuntukkan untuk
tanaman nangka, mangga (10 ha) manakala 12 ha untuk tanaman
sayur-sayuran.
Selain itu, setiap peserta turut dikenakan bayaran sewa sebanyak RM100 setiap satu ekar selama setahun.
Melihat kepada permintaan nangka madu yang yang meningkat secara
mendadak terutama nangka madu jenis Mastura dan CJ33, Pengerusi
Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Abu Hanipah Majid berkata pihaknya memerlukan lebih ramai lagi pengusaha untuk diketengahkan bagi menampung permintaan yang semakin tinggi.
"Nangka madu semakin mendapat permintaan yang tinggi, jadi kita perlukan lebih ramai pengusaha bagi meningkatkan pengeluaran.
Jelasnya, dengan adanya penyelidikan berkenaan teknik pembungkusan
yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (MARDI) bagi menjamin kualiti produk terpelihara, pengusaha
sepatutnya tidak perlu bimbang untuk mengeluarkan hasil dalam jumlah
yang besar.
"Eksport nangka madu sedang berkembang dan mengorak langkahnya untuk ke pasaran luar negara.
"Kami telah bersedia untuk memasarkan nangka madu ini ke Hong Kong
dan Macau," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat kepada peserta
Agrochallenge di Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Nangka madu bakal menjadi produk pertanian terbaharu negara yang berpotensi untuk menembusi pasaran luar.
Melihat potensi itu, pihaknya juga telah membantu ahli-ahli PPK
Temerloh untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan membekalkan anak
benih nangka madu untuk digantikan tanaman pokok machang, dimana tidak
mendapat pasaran.
Jelasnya, pokok yang lama akan ditebang dan digantikan dengan pokok
nangka yang mana tanaman nangka ini boleh menghasilkan pendapatan
sekurangnya RM300 sehingga RM400 sebulan.
"Saya menggalakkan lebih ramai pengusaha ladang terutamanya kawasan Temerloh untuk menanam pokok nangka.
"Kita akan bekalkan setiap ahli sebanyak lima anak pokok untuk
ditanam di samping saya ada memohon peruntukkan sebanyak RM100 ribu anak
pokok untuk diberikan kepada pengusaha yang berminat," katanya.- MASZUREEN HADZMAN