Namun perusahaan pembuatan keropok kini sudah mula ada di negeri pantai barat khususnya negeri ini, tetapi keaslian dan rasanya berbeza, bak kata pepatah 'sama tapi tak serupa' menyebabkan masih ramai pelanggan enggan membeli keropok keluaran pengusaha negeri ini.
Bagi mengekalkan rasa dan keaslian yang menepati mutu pengeluaran hasil keropok dari sesebuah negeri, peniaga keropok Izanuddin Ibrahim, 35, menjual keropok yang dibekalkan terus dari negeri Pantai Timur khususnya Terengganu.
Anak kelahiran Pontian ini, memulakan perniagaan hampir dua tahun di Kampung Parit Panjang, Air Baloi bersama isterinya, yang berasal dari Cendering Terengganu.
Izanuddin berkata, bekalan keropok basah dan kering dan pelbagai barangan berkaitan semuanya dibekalkan dengan cara tempahan berjadual yang dibawa terus dari Terengganu oleh ahli keluarga isterinya yang juga pengusaha keropok di sana.
Ditanya mengapa beliau tidak memproses sendiri keropok, Izanudin berkata, sepandai mana pun pembuat keropok jika diproses di negeri ini, tidak akan sama daripada segi rasa dan kualitinya.
Beliau berkata, keserasian dan keenakan keropok terletak pada tangan pengusaha yang membuatnya dan pekerjaan berkenaan dilakukan sejak turun temurun.
"Saya memulakan perniagaan ini dengan modal permulaan RM30,000 untuk membeli beberapa kelengkapan terutama penyediaan dua buah peti sejuk beku bagi menyimpan keropok basah 'keropok lekor' dan ia memberi pendapatan bersih RM2,000 sebulan.
“Sambutan amat menggalakkan terutama daripada masyarakat tempatan, selain dipasarkan ke kantin sekolah serta menerima pembelian daripada pemborong yang kebanyakan adalah peniaga pasar malam," katanya.
Sumber: Berita Harian