Wednesday, October 2, 2013

Memulihkan industri berasaskan kelapa

 


Ahmad Ngalim tertarik melihat sabut kelapa yang merupakan bahan mentah industri hiliran berasaskan tanaman tersebut.
MENJELANG musim perayaan, antara masalah yang sering timbul ialah bekalan kelapa tidak cukup. Ini memaksa kerajaan mengimport kelapa dari negara jiran terutama Indonesia dan Thailand.
Masalah tersebut yang berlarutan membuktikan pengeluaran kelapa tidak dapat memenuhi keperluan tempatan.
Industri penanaman kelapa tempatan berdepan masalah tersebut sejak sekian lama sejak zaman kegemilangan industri tersebut di Bagan Datoh, Perak beberapa dekad lepas.
Persoalannya, kenapa berlaku masalah tersebut sedangkan industri tanaman n permintaan yang berterusan, industri berasaskan kelapa tidak boleh dibiarkan berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan.
Antara sebab kekurangan bekalan ialah kawasan penanaman semakin berkurangan disebabkan beberapa faktor. Antaranya persaingan dengan tanaman komoditi lain yang lebih menguntungkan seperti sawit.
Berdasarkan statisitik, kawasan penanaman kelapa pada 1969 ialah 304,300 hektar (ha) dan meningkat kepada 354,300 ha pada 1979.
Bagaimanapun apabila penanam memilih untuk menebang kelapa dan menggantikannya dengan sawit, kawasan ladang atau estet menurun pada 22,000 ha pada 1967 kepada 17,000 ha 10 tahun kemudian.
Ketika ini, 70 peratus keluasan penanaman adalah di Semenanjung, Sabah (14 peratus) dan Sarawak 16 (peratus) dan berlaku tren penurunan 2.8 peratus setahun.
Berdasarkan statistik industri tersebut yang dinyatakan dalam Dasar Agro Makanan Negara ( 2011-2020) kebanyakan milikan ladang ialah pekebun kecil (98 peratus) melibatkan 80,000 keluarga dengan purata keluasan 1.9 ha.
Berdasarkan statistik tersebut, pengeluaran kelapa dijangka meningkat daripada 530,000 tan pada 2010 kepada 1.2 juta tan metrik pada 2020.
Dalam pada itu, rekod sebelum ini menyatakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diperuntukkan RM17.9 juta di bawah Projek Pembangunan Tanaman Industri Kelapa sebagai sebahagian rancangan memajukan semula industri kelapa di negara ini.
Itu cerita dahulu. Industri kelapa ketika ini berkedudukan di tangga keempat terpenting daripada segi keluasan kawasan penanam selepas kelapa sawit, getah dan padi.
Industri kelapa ketika ini menyumbang 0.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).
Seorang penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Azmi Man berkata, kajian awal mendapati, kerajaan pernah memperkenalkan Skim Pemulihan dan Penanaman Semula Kelapa pada 1963 dan hasilnya pada 1970 dan 1980 sejumlah 8,554 ha berjaya ditanam semula manakala 35,750 ha dipulihkan.
Pada masa sama, sejumlah 8,387 ha keluasan tanah ditanam melibatkan perladangan integrasi bersama koko. manakala 1,493 ha ditanam bersama kopi.
"Dianggarkan kawasan pokok kelapa tua seluas 3,600 hektar akan ditanam semula dengan jenis Matag yang boleh menghasilkan sehingga 25,000 biji setahun," ujarnya.
Membincangkan secara lanjut mengenai tanaman kelapa di negara ini, Dr. Azmi yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri MARDI berkata, tanaman ini menghadapi era yang suram jika tidak ada usaha menanganinya.
Hari ini ladang kelapa dianggap tidak lagi menguntungkan di samping kos buruh tinggi berbanding sawit dan harga rendah. Sebab itu tidak ramai yang sanggup mengusahakannya.
''Lazimnya (ladang kelapa) tidak diurus dengan baik, potensi hasil tidak terserlah," kata beliau.
Yang turut hadir ialah Pengurus Stesen MARDI Hilir Perak yang juga Penyelidik Biak baka MARDI, Ahmad Ngalim.
Beliau berkata, pengurusan ladang yang baik harus bermula di peringkat awal melibatkan aspek bahan tanaman, pembajaan, pengawalan rumpai dan perosak

Baka ayam kampung terbaik


Azlina Azma Ismail Affendee menunjukkan seekor ayam kampung hasil penyelidikannya di Stesen MARDI Muadzam Shah, Pahang.

 


MARDI bercadang mengeluarkan 10,000 ekor ayam kampung seminggu bagi menampung permintaan.
Gallus gallus adalah nama saintifik bagi ayam hutan merah, Gallus varius untuk ayam hutan hijau, Gallus sonneratii untuk ayam hutan kelabu dan Gallus lafatetii untuk ayam hutan Ceylon atau Sri Lanka.
Namun bagi kebanyakan daripada kita semuanya ialah ayam kampung yang secara mudahnya baka ayam tempatan berwarna perang balung merah, badan tegap dan dibiar berkeliaran atau lepas bebas.
Ayam pedaging dan penelur yang diternak secara komersial serta besar-besaran kini adalah berasal daripada spesies ayam hutan merah.
Berbanding ayam pedaging dan penelur komersial, ayam kampung tidak menjalani proses pembiakbakaan yang sistematik walaupun berasal dari ayam hutan merah.
 
Proses pembiakbakaan yang tidak terkawal serta sistematik telah menghasilkan ayam kampung pada hari ini yang mempunyai pelbagai ciri fizikal yang berbeza dari seekor ke seekor walaupun dalam kelompok reban yang sama.
Industri penternakan ayam sama ada untuk pedaging atau penelur telah pun mencapai tahap sara diri (SSL), tetapi bilangan ternakan ayam kampung masih lagi dalam jumlah yang kecil iaitu kurang dari lima peratus sahaja.
Bilangan yang terhad, berserta tempoh penternakan yang lama (12 minggu minimum), ditambah dengan prestasi pertumbuhan yang kurang memuaskan menyumbang kepada harganya agak mahal di pasaran.
Ayam kampung bukan sahaja diternak sebagai sumber pendapatan penternak, tetapi juga untuk sajian-sajian istimewa selain untuk memenuhi masa lapang atau hobi.
Permintaan yang tidak pernah putus terhadap daging ayam kampung menyebabkan bekalan berkurangan.
Ini mendorong orang ramai untuk melibatkan diri dalam penternakan ayam kampung secara komersial.
Namun masalah bekalan anak ayam kampung berumur sehari menjadi penghalang kepada usaha-usaha penternak itu.
Menyedari permasalahan tersebut, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung.
Usaha menambakbaik baka ayam kampung telah dimulakan seawal tahun 2000 di Ibupejabat MARDI, Serdang, Selangor.
Ayam kampung jantan telah dikahwinkan dengan ayam Sasso betina yang dibawa masuk dari Perancis untuk menghasilkan ayam kampung terpilih MARDI.
 
Kemudahan inkubator untuk penetasan telur yang terdapat di Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI Muadzam Shah.
Ayam kampung terpilih itu mempunyai ciri-ciri seperti ayam kampung.
Tetapi dengan prestasi pertumbuhan mirip kepada ayam pedaging menyebabkan ia kurang diterima ramai sebagai ayam kampung.
Projek pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung telah diteruskan pada 2008 di bawah geran penyelidikan Sciencefund Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM200,000.
Itu untuk menghasilkan ayam kampung yang seragam daripada segi saiz badan, bulu, rupa dan pertumbuhan serta peneluran yang lebih baik berbanding ayam kampung asli.
Pegawai Penyelidik MARDI di Stesen MARDI Muadzam Shah, Pahang, Azlina Azma Ismail Affendee berkata, untuk tujuan tersebut, pasukan beliau telah mendapatkan kumpulan ayam kampung daripada beberapa kawasan iaitu di utara, selatan dan tengah tanah Semenanjung Malaysia.
Berat ayam kampung MARDI yang diternak secara teratur dengan pemberian makanan komersial yang seimbang mampu mencapai 1.5 kilogram (kg) bagi jantan dan 1.3 kg bagi ayam betina pada umur 12 minggu dan telurnya menetas selepas 21 hari.

Anggur pemangkin pelancongan Perlis

 


BERADA di ladang anggur dan memetik sendiri buahnya bagaikan berada di negara beriklim subtropika atau sederhana sejuk merupakan pengalaman yang sungguh menyeronokkan.
Anda mahukan pengalaman mengujakan itu? Taman Anggur Perlis merupakan destinasi yang tepat untuk dikunjungi bersama-sama keluarga.
Taman yang berlatar belakangkan banjaran Nakawan itu terletak di Pusat Pertanian Bukit Bintang II, iaitu kira-kira 10 kilometer dari bandar Kangar.
Taman itu merupakan lawatan sambil belajar yang sesuai untuk di kunjungi bersama ahli keluarga.
Dibangunkan pada tahun 2005 secara perladangan berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar (ha), pada mulanya dan sehingga tahun 2012 Taman Anggur Perlis telah mencapai keluasan kira-kira 10 hektar.
Pada mulanya, anggur ditanam di Pusat Pertanian Bukit Temiang sebagai plot kajian antara Jabatan Pertanian melalui Projek Pertanian Bersepadu (IADP) Negeri Perlis dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1987.
Antara jenis yang telah dikenalpasti sesuai ditanam di Perlis adalah IAC, black queen, black opal, dan new white malaga.
Di Malaysia, Perlis merupakan antara negeri yang terkehadapan dalam penanaman anggur kerana keadaan cuaca yang sesuai dengan sifat semulajadi pokok anggur iaitu memerlukan musim kemarau yang panjang antara tiga hingga empat bulan untuk menggalakkannya berbunga dan berbuah.
Taman Anggur Perlis mula di buka kepada pengunjung pada Julai 2011. Sehingga Disember tahun lalu telah menerima 35,000 pengunjung dari dalam dan luar negara seperti kedutaan Bangladesh dan Indonesia.
Taman itu telah berjaya menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Perlis yang mana Jabatan Pertanian telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menyelia dan menguruskannya.
Sebaik melangkah ke taman itu, pengunjung akan diberikan penerangan oleh pegawai bertugas mengenai kaedah penanaman anggur, penjagaan, jenis-jenis anggur yang ditanam sehingga proses penuaian dilaksanakan.
Pelbagai maklumat menarik berkenaan anggur seperti khasiat dan jenis anggur yang ditanam turut disediakan untuk rujukan pengunjung.
Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri peringkat pengeluaran buah anggur. Dari peringkat pembungaan, peringkat matang, hingga tempoh penuaian iaitu selepas 120 hari dari tempoh berbunga.
Bagi mereka yang ingin mencuba menanam sendiri anggur di laman rumah sebagai landskap kediaman, boleh mendapatkan anak pokok anggur dengan harga RM15 bagi setiap pokok.
Di samping itu, pengunjung juga dapat bergambar bersama-sama keluarga seolah-olah berada di negara Eropah tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk ke sana.
Taman Anggur Perlis merupakan destinasi pelancongan bersama keluarga yang menarik kerana berhampiran dengan pusat-pusat rekreasi lain seperti Taman Ular, Taman Herba dan kawasan reksreasi Bukit Ayer.
Taman anggur berkenaan dibuka pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali pada hari Isnin.
Pengunjung dikenakan bayaran serendah RM1 bagi kanak-kanak dan RM3 bagi orang dewasa.
Pengunjung juga boleh membeli buah anggur segar yang di jual dengan harga RM20 sekilogram.
Bagi yang berminat ke Taman Anggur Perlis ini boleh berhubung terus dengan Jabatan Pertanian Negeri Perlis menerusi talian 04-9770433.

Khasiat madu lebah kelulut

 


Norlezah Baharom menyedut madu kelulut dari sarang dengan mengunakan mesin penyedut di ladang di Lanchang, Pahang,
Ramai yang menganggap lebah kelulut tidak mampu mengeluarkan madu dengan banyak menerusi kaedah penternakan biasa.
Bagaimanapun, teknologi penternakan lebah kelulut yang diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya meningkatkan pengeluaran madu spesies lebah tersebut.
Kelulut merupakan antara spesies lebah yang tidak menyengat, menjadikan serangga tersebut mudah dikendalikan berbanding lebah madu biasa.
Hal demikian turut diakui pengusaha madu kelulut, Trigona Bee, Norlezah Baharom yang berjaya menternak lebah kelulut untuk mendapatkan madu serta propolis serangga tersebut.
Jelasnya, madu serta propolis lebah kelulut memiliki khasiat yang lebih baik berbanding lebah biasa.
"Sebelum ini saya mengusahakan ternakan lebah madu, namun setelah mendapati khasiat madu kelulut lebih baik maka saya bertukar kepada penternakan lebah jenis ini.
"Hasil daripada kerjasama, teknologi serta khidmat nasihat MARDI saya mampu memperolehi hampir dua kilogram (kg) madu daripada satu-satu koloni lebah kelulut," katanya.
Ujar Norlezah, jika menggunakan kaedah biasa adalah amat sukar untuk memperolehi madu kelulut sebanyak itu.
Norlezah mula berjinak-jinak dengan perusahaan madu kelulut hanyalah sebagai hobi. Namun setelah menerima permintaan yang tinggi dari kalangan ahli keluarga serta rakan-rakan akhirnya beliau mula mengusahakan madu lebah kelulut dengan lebih serius.
Berbekalkan pengalaman menternak lebah madu juga sebagai hobi sejak tahun 1997, akhirnya pada tahun 2005 Norlezah mendaftarkan perniagaannya menerusi bantuan serta khidmat nasihat MARDI.
Kini, permintaan madu lebah kelulut yang diternak olehnya mampu mencecah 100 botol sebulan menjadikan Norlezah tidak 'menang tangan'.
Bercerita mengenai lebah kelulut, katanya menerusi maklumat yang diperoleh daripada MARDI, sehingga kini hampir 33 spesies serangga tersebut telah dikenal pasti terdapat di Malaysia.
Lebah kelulut merupakan agen penting untuk proses pendebungaan di kawasan tropika, sub-tropika dan di bahagian-bahagian tertentu dunia.
Menurut kajian yang dijalankan di seluruh dunia, terdapat hampir 150 spesies lebah kelulut antaranya Trigona scaptotrigona, Trigona laeviceps, Trigona apicalis, Trigona thorasica, Trigona itama dan pelbagai lagi.
Antara negara yang dikenal pasti mempunyai lebah kelulut adalah Indonesia (37 spesies), Thailand (20 spesis), Myanmar (9 spesies), Vietnam (8 spesies), India (3 spesies), Taiwan (1 spesies) dan di Malaysia.
Lebah kelulut memiliki koloni yang besar dengan organisasi sosial yang sangat kompleks berbanding dengan lebah madu.
Senibina sarang lebah kelulut juga berbeza-beza mengikut spesies tertentu di mana ada sesetengahnya suka bersarang di dalam tanah, di dalam kayu sehinggalah di celah-celah belahan batu.
Sikap tersebut menunjukkan bahawa lebah kelulut memiliki perilaku yang kompleks menjadikan serangga tersebut sukar untuk diternak.
Malah, artikel ilmiah mahupun kajian mengenai lebah kelulut jarang ditemui kerana masih ramai yang tidak berminat untuk mengkajinya.
Kajian MARDI juga menunjukkan madu lebah kelulut mengandungi pelbagai jenis asid fenolik yang berguna untuk manusia.
Asid p-coumaric sebagai contoh mengandungi bahan antioksidan yang tertinggi dan dipercayai mampu mengurangkan risiko kanser perut dengan mengurangkan pembentukan bahan nitrosamin (karsinogen) diikuti asid protokatechuik dan asid vanilik.
Manakala asid fenilpropionik, sejenis bahan utama madu kelulut juga dikatakan mampu mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2) yang menyebabkan pembentukan radang semasa perkembangan kanser usus besar.
Bahan tersebut juga berkesan dalam menurunkan tahap kolestrol dalam plasma darah, hati juga mengurangkan trigliserida dalam darah.
Jelas Norlezah, kesedaran masyarakat mengenai kebaikan madu kelulut telah menyebabkan permintaan terhadapnya meningkat naik.
"Jika di peringkat awal masyarakat masih kurang tertarik kerana produk ini juga kurang di pasaran.
"Kini, permintaan madu kelulut diterima dari seluruh negara malah tidak ketinggalan pengguna dari luar negara seperti Timur Tengah," katanya.
Selain menghasilkan madu, lebah kelulut juga turut digunakan untuk meningkatkan hasil produk pertanian berasaskan buah kerana lebah kelulut merupakan agen pendebungaan utama kepada tumbuh-tumbuhan.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails