|
|
JIKA diberi peluang menjengah ke kilang memproses mi dan kuetiau, anda pastinya akan teruja menyaksikan keunikan produk makanan itu disediakan.
Selama ini kita hanya melihat ia dijual di pasar secara mentah selain disediakan dalam bentuk yang telah di masak sama ada goreng atau berkuah.
Baru-baru ini, sekumpulan wartawan dan jurugambar dari beberapa organisasi media tempatan telah dibawa oleh Agrobank melawat kilang memproses makanan itu di Kampung Bendang Panjang, Perak.
Bercerita dengan pemilik kilang, Norlaile Jalaludin, 40, dia amat bersyukur kerana akhirnya berjaya membangunkan syarikat perniagaan yang diberi nama Bendang Panjang Enterprise setelah melalui pelbagai cabaran.
Bermula sebagai peniaga mi dan kuetiau goreng di pasar malam sekitar Kuala Kangsar, Perak, idea untuk menghasilkan bahan mentah sendiri timbul pada tahun 2003.
''Ketika saya berniaga di pasar malam, ramai pelanggan yang bertanya tentang dari mana saya memperoleh sumber mi dan kuetiau.
''Ini kerana, mereka ingin mendapatkan kepastian supaya makanan yang dibeli datang dari sumber yang baik dan halal.
''Bermula dari situ, saya mencadangkan kepada suami untuk cuba memproses sendiri mi dan kuetiau mentah,'' jelas ibu kepada enam anak itu.
Nasib menyebelahi Norlaile apabila abang iparnya telah memperkenalkan dia dengan seorang pengusaha kuetiau dari Kelantan.
Bagi memenuhi hasratnya, dia tidak melepaskan peluang keemasan itu dengan berkunjung sendiri ke Kelantan dan berjumpa dengan pengusaha tersebut.
Selama seminggu, dia menuntut ilmu serta mempelajari teknik yang betul dalam proses membuat mi dan kuetiau.
Lanjutan daripada itu, dengan modal RM45,000 hasil duit simpanannya, Norlaile telah membeli lima mesin memproses mi untuk memulakan perusahaan.
Pada peringkat awal, dia hanya menyewa di tapak industri kecil dan sederhana (IKS) di Lubuk Merbau, Perak selama tiga tahun.
Menjelang tahun 2004, Norlaile telah membuat pinjaman daripada Mara sebanyak RM150,000 untuk membeli beberapa peralatan tambahan termasuk mesin memproses kuetiau.
Walaupun sibuk dengan perusahaan berkenaan, namun dia dan suami Sanit Kimi, 49 masih meneruskan perniagaan di pasar malam.
Ketika itu, dia memperoleh sumber mi sebanyak 300 kilogram (kg) dan kuetiau (300 kg) dari pengusaha di Pulau Pinang yang dihantar kepadanya setiap dua hari sekali.
Tidak semudah yang disangka, selama hampir dua tahun beroperasi , dia berhadapan kesukaran dalam proses pembuatan yang tidak menjadi di samping menanggung kos yang tinggi.
''Pada peringkat awal, saya gunakan tujuh guni tepung sehari bagi menyediakan mi dan kuetiau. Bayangkan, lebih sebahagian daripadanya tidak boleh digunakan kerana adunan tidak menjadi.
''Keadaan itu memang memeritkan kerana tiada langsung untung ketika itu.
''Selain kos bahan mentah seperti tepung dan minyak, saya juga perlu menanggung kos bahan api diesel sebanyak RM250 sebulan untuk tujuan menghidupkan mesin pembakar,'' jelasnya yang ketika ini mempunyai 10 kakitangan untuk membantu proses di kilang.
Tahun demi tahun, dia semakin mahir dalam aktiviti tersebut dan hari ini, dianggarkan sebanyak 30 guni tepung bersamaan 1,500 kg diperlukan untuk membuat mee dan 1500 kg lagi untuk kuetiau.
Pada tahun 2005 pula, dia telah menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian untuk membina bangunan kilang dan stor simpanan di Kampung Bendang Panjang, Perak.
Tahun 2009 pula menyaksikan penerimaan pinjaman oleh pihak Agrobank bernilai RM50,000.
''Dana itu saya gunakan untuk membeli beberapa mesin tambahan seperti mesin pembungkus bagi melicinkan lagi operasi di kilang,'' katanya.
Melihat daripada sudut pasaran, produk mi dan kuetiau di bawah penjenamaan An-Nur itu kini diedarkan ke beberapa lokasi sekitar Perak.
Antaranya seperti Gopeng, Teluk Intan, Gerik, Bagan Serai, Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar.
''Selain dijual kepada pemborong, kami juga mengedarkan produk-produk ini ke pasar-pasar utama di sini.
''Kami turut menerima permintaan daripad a pemborong di Selangor. Di samping itu, kami juga berharap produk ini dapat dijual ke pasar raya besar suatu hari nanti,'' kata Norlaile.
Bagi tujuan penghantaran, syarikatnya mempunyai tiga orang pemandu supaya bekalan tiba tepat pada waktu yang dijanjikan.
Kesemua produk mi dan kuetiau di pek dalam bungkusan plastik dengan pilihan berat setengah kg, satu kg dan dua kg mengikut permintaan.
Berdasarkan harga pula, produk makanan itu dijual pada harga berbeza mengikut lokasi iaitu sekitar RM1 untuk setengah kg dan RM2 untuk satu kg.
Ketika ditanya mengenai cabaran lain yang dihadapinya, Norlaile memberitahu, dia perlu bersaing dengan beberapa pengusaha bukan bumiputera dari segi ruang pasaran dan juga harga.
Masalah lain yang dihadapi adalah seperti aktiviti penyelenggaraan mesin dan kelengkapan secara berkala.
''Jika mesin-mesin ini menghadapi masalah, kita terpaksa mencari jalan alternatif dengan mengambil bekalan daripada pengusaha lain bagi memenuhi permintaan sedia ada,'' jelasnya lagi.
Beliau yang menjadikan suami dan adik-beradik sebagai pendorong turut bercadang melengkapkan kilangnya dengan mesin moden dan berteknologi tinggi seperti mesin pembungkus automatik pada masa depan.
Ia bertujuan meningkatkan pengeluaran produknya di samping memenuhi kualiti seperti yang diinginkan pengguna.
Sumber:Utusan Malaysia