Thursday, March 21, 2013

Tarikan buah naga

Tarikan buah naga

Usaha tanpa mengenal jemu membuahkan kejayaan buat Nam Hock Moi dengan bantuan Jabatan Pertanian.
HASILNYA, petani berkenaan Nam Hock Moi, 50, mampu tersenyum dengan kejayaan menanam buah naga atau juga dikenali sebagai pitahaya yang asalnya telah sedia ada di situ.

‘‘Saya mengusahakannya sejak April 2011 dengan menyewa daripada tuan punya tanah di sini,"ujarnya ketika ditemui bersama rombongan Jabatan Pertanian ke kawasan tersebut baru-baru ini.

Yang turut hadir dalam rombongan tersebut ialah Pegawai Pertanian Daerah Kuala Langat, Mohd. Fadzli Mohamad Yaacob dan Penolong Pegawai Pertanian Putrajaya, Roseli Mustapha.Banyak kelebihan apabila dia memulihkan kembali projek tanaman buah naga tersebut memandangkan Hock Moi mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian sebelum ini.

Anak jati Sepang itu pernah mengusahakan projek pertanian pada 1999 di Sepang dengan tanaman terung, timun dan kacang panjang.

Ketika itu itu Hock Moi mampu mengutip hasil terung semusim penanaman sehingga 500 tan dan timun sehingga lima tan, tetapi masalah harga oleh orang tengah menjadikannya ‘mangsa’ perniagaan.
Kerjanya pun tidak lagi begitu sukar kerana tiga atau empat bulan sekali akan berehat sebelum penanaman semula dilakukan.Kerana tidak berpuas hati dengan situasi tersebut, dia meninggalkan bidang pertanian pada 2005 dan beralih kepada kerjaya lain sebagai runner memproses permit pekerja asing.

Pada 2011, setelah mencongak untuk memilih bidang yang ingin diceburi selepas meninggalkan kerjaya baru tersebut, dia bertanyakan mengenai kawasan yang diusahakannya sekarang dan mendapat persetujuan membangunkannya semula.Pengalaman sebagai penanam sayur sebelum ini nampaknya membantu dan Hock Moi tidak kekok atau canggung berjemur di bawah panas matahari.Malah, dia lebih beruntung memandangkan tidak perlu bermula daripada peringkat paling awal kerana pokok telah sedia tertanam daripada pengusaha terdahulu.

Bagaimanapun, dalam mana-mana projek pertanian, pengusaha perlu menyediakan modal untuk menjalankan projek.Untuk tujuan itu, dia menyediakan RM120,000 bagi memulihkan semula projek tersebut.‘‘Untuk kerja-kerja memotong rumput sahaja, saya habiskan RM20,000," ujarnya sambil memberitahu dia berkongsi dengan rakannya mengusahakan projek berkenaan.

Dalam pada itu, dia memberitahu masalah utama penjagaan buah naga ialah virus perosak yang menyebabkan batang pokok mereput.Katanya, dia mampu menuai hasil kira-kira tiga tan setiap waktu tuaian yang dilalukan dua kali sebulan.Ketika ini harga ladang buah naga dijual pada RM4 sekilogram.Selain di RTB, dia turut mengusahakan tanaman yang sama di LBJ , Negeri Sembilan seluas tiga ekar (1.2 hektar).

Kelebihan teknik fertigasi

MEREKA yang berminat menceburi bidang pertanian tanaman bernilai tinggi pastinya ingin mendalami ilmu mengenainya.Bagaimanapun, ramai menghadapi masalah untuk mencari sumber sesuai untuk menimba pengetahuan dalam bidang tanaman yang kini popular sebagai fertigasi.

Oleh itu, Jabatan Pertanian menerusi Pusat Pertanian Telok Datok, Pejabat Pertanian Kuala Langat Banting, Selangor menawarkan kursus kaedah penanaman kepada mereka yang berminat.

''Pusat Pertanian ini dijadikan rujukan, tempat latihan dan menyediakan plot-plot tanaman contoh dan sering menerima pelawat yang ingin melihat sendiri bagaimana pertanian bernilai tinggi dijalankan,'' kata Pembantu Pertanian Kanan Pusat tersebut, Ramli Yahaya.Beliau berkata, kawasan tersebut merangkumi keluasan enam ekar yang menempatkan enam rumah fertigasi untuk tanaman tomato dan melon.

Beliau berkata, pusat tersebut telah berjaya menerima Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) yang diusahakan pada 2011 dan dianugerahkan secara rasmi pada tahun lepas.Dengan pengiktirafan tersebut, pengurusan pusat berkenaan boleh berbangga kerana berjaya melepasi kira-kira 160 kriteria yang dinilai.
Perkara tersebut termasuklah tidak menggunakan racun dan pengurusan persekitaran yang lestari.Malah, buah yang dihasilkan daripada projek tersebut perlu dianalisis di makmal bagi mengetahui tahap sisa racun dan kandungan logam berat

Analisis tersebut dijalankan di makmal jabatan berkenaan di Jalan Galagher , Kuala Lumpur.
Menurut Ramli, projek tanaman fertigasi pada dasarnya menguntungkan dan mendapat permintaan terutama mereka yang inginkan makanan bebas racun 

Harganya mungkin tinggi sedikit mungkin kerana kos pengeluaran agak tinggi.Bagi membina satu projek asas , infrastruktur yang diperlukan termasuk struktur pelindung hujan (SPH) atau bumbung biasa sebagai pelindung, paip besar daripada tangki fertigasi, paip kecil yang disambung kepada penitis.Penitis dimasukkan ke medium tanaman biasanya daripada cocoa peat yang memang pokok.Baja adan air dicampurkan bersama dalam tangki besar dan disalurkan ke pasu yang mengandungi medium tanaman menerusi paip atau saluran kecil.

Menurut Ramli, teknik fertigasi boleh digunakan pada banyak jenis tanaman khususnya yang berbuah tetapi lebih elok jika dipilih jenis yang bernilai tinggi.Di pusat tersebut, pihaknya menanam rock melon dan tomato varieti baccarat dan sering mendapat sambutan daripada masyarakat sekitar yang datang membelinya sebaik mengetahui projek di situ tiba waktu memungut hasil.Seorang pekerja, Muhammad Ruzaini Hasnan memberitahu, apabila tiba musim pokok mengeluarkan hasil, pekerja akan sibuk memetik buah setiap dua hari sekali.

''Setiap kali memetik buah, kami dapat mengutip sehingga 80 kilogram,'' katanya yang dibantu rakan Mohamad Al-Hafiz Sarlan. 

Dalam pada itu mereka yang berminat menyertai kursus berkaitan fertigasi di pusat tersebut boleh menghubungi Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat di talian 03-31814773.

Sebanyak lapan kursus dianjurkan untuk petani setiap tahun dan lapan lagi termasuk dua sesi lawatan untuk usahawan industri asas tani turut ditawarkan.Penganjur menyediakan antara 30 hingga 40 kuota setiap kursus.

Gila' berniaga sukar dibendung

Muhamad Yusof menyusun produk makanan keluaran syarikatnya di kilang mereka di Tumpat, Kelantan.
TERDAPAT banyak faktor kenapa Muhamad Yusof, 54, menceburi bidang perniagaan pemprosesan makanan yang beroperasi di Tumpat, Kelantan.

Satu daripadanya kerana minat berniaga sudah tertanam dalam jiwanya sejak 1980-an dan juga kerap menyertai kursus bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai penyelia ketika bersama Jabatan Pertanian, lama-kelamaan membutirkan minatnya dalam perniagaan.
Menurut beliau, pembabitannya bermula pada 1986 secara kecil-kecilan di hadapan rumahnya di Tendung, Pasir Mas, Kelantan dan pada masa sama masih menyertai kursus anjuran MARDI.

''Saya pilih bidang ini kerana pernah terlibat dengan banyak jenis perniagaan secara kecil-kecilan termasuk dalam jualan langsung selama enam bulan sejak awal 1980-an dan selepas itu berniaga alat besi seperti sabit, parang di pasar malam," ujarnya mengimbau bagaimana dunia perniagaan begitu dekat padanya.
Bagaimanapun, perniagaan jenis itu berdepan risiko besar kerana pelanggannya tidak ramai dan keuntungan sedikit.

Selepas itu, beralih kepada menjual bunga di pasar malam tetapi sekali lagi, dia tidak mampu bertahan kerana keuntungannya kecil, meskipun berkemampuan mengembangkan perniagaan tersebut dengan membuka nurseri.

Akhirnya Muhamad akur bahawa dia perlu mencari perniagaan yang mempunyai produk tahan lama dan itu mendorongnya memilih bidang pemakanan yang mana usaha awalnya itu dibantu oleh isteri, Hazizah Hamat.
Menariknya, dia bermula dengan modal kecil iaitu hanya RM100 dengan memberi mesin pengisar berharga RM40 manakala bakinya untuk bahan-bahan mentah seperti cili dan bawang .
Lebih menarik dia menggunakan dapur dua penunu dan kemudiannya bertukar kepada periuk besar untuk memasak ramuan atau adunan. 

''Ini harapan saya, masa mengacau adunan dalam periuk, saya minta kawan-kawan uji rasanya.
''Ketika itu pada tahun 1986 saya sering ke pasar tani untuk mengetahui apakah maklum balas pengunjung terhadap produk yang dikeluarkan iaitu sos pencicah, sis cili dan sos tomato," ujarnya yang kemudian bertukar bekas memasak daripada periuk kepada kawah. 

Setahun kemudian, dia mengorak langkah setapak lagi apabila mampu menggunakan label sendiri dan kejayaan itu lebih terserlah dengan kepada mesin hasil sumbangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada 1990.

Dengan kejayaan itu, dia membesarkan operasinya ke Wakaf Baru Tumpat sejajar dengan peningkatan jumlah pengeluaran.

Kempen rangsangan lateks diperhebat

GOPENG 5 Mac - RISDA akan melaksanakan siri jelajah untuk memberi penerangan kepada para pekebun kecil mengenai Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Nasional yang dilancarkan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Yusoff Dohab berkata, langkah itu wajar bagi membolehkan para pekebun kecil memahami manfaat hasil penggunaan bahan tersebut dalam meningkatkan hasil keluaran mereka.

"RISDA termasuk dari segi pengurusan dan pegawai-pegawainya telah membuat beberapa dasar untuk aspek pelaksanaan dengan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

"Penggunaan bahan rangsangan lateks ini adalah salah satu daripadanya. Oleh itu, kita perlu memberi penjelasan kepada mereka bahawa bahan ini mampu memberi manfaat besar dari aspek daya pengeluaran mereka," katanya selepas menghadiri majlis pertemuan dengan warga RISDA Zon Utara di sini hari ini.

Insentif yang dilaksanakan oleh RISDA itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 pekebun kecil di seluruh negara.

Menurut Yusoff berkata, walaupun penggunaan bahan rangsangan itu terbukti mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran, bilangan pekebun kecil yang menggunakan bahan tersebut masih sedikit kerana belum yakin dengan penggunaannya.

''Saya difahamkan RISDA mengisytiharkan jihad produktiviti kepada semua warga RISDA pada tahun ini agar matlamat hasil getah sebanyak 1,600 kilogram sehektar setahun dapat dicapai.

Tanpa pendidikan tinggi mampu jadi tauke bilis

IkAN bilis yang tidak berkualiti diproses menjadi budu.
RAMAI penggemar ikan bilis mengetahui di mana mereka boleh mendapatkan hasilan laut itu yang sedap dan mungkin pada harga murah.Antaranya, hasilan laut itu banyak didapati di Tawau dan di Daerah Kunak Sabah yang diusahakan penduduk di situ menerusi projek kelong atau lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai bagang.

Satu lagi destinasi menarik ialah di Pulau Pangkor, Perak yang menjadi pengeluar ikan bilis mata biru yang dianggap terbaik di rantau ini.Tapi jangan lupa, Kampung Fikri di Setiu Terengganu juga menawarkan ikan bilis kering yang tidak kurang popular di pantai Timur.Bilis Setiu meskipun masih belum dikenali sehebat Pulau Pangkor dan Tawau, tapi hasilan laut yang yang begitu sedap dan ramai penggemarnya boleh menjadi saingan kepada jenama sedia ada ketika ini.

Di situ, seorang pengeluar bilis begitu dikenali oleh penduduk tempatan ialah Omar Ismail, 53, yang juga bapa kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin.Memiliki iras wajah hampir serupa dengan anak sulungnya itu, Omar menjadi nelayan pukat ketika usia muda dan menempuh liku-liku hidup yang dihimpit kesusahan.

''Saya pasti tidak dapat melupai masa sukar ketika baring di celah-celah bakul berisi ikan bilis setiap kali bapa saya balik dari laut dan perlu merebus hasil tangkapan tersebut," kata Omar ketika ditemui di jeti di Kampung Fiktri, Setiu Terengganu baru-baru ini.Omar ditemui pada kunjungan wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu bagi meninjau projek-projek persatuan itu di Setiu baru-baru ini.

Sambil melepaskan pandangan jauh memerhatikan pekerjanya membuat kerja-kerja menjemur dan menggred ikan bilis, Omar menarik nafas sebelum menyambung bicara.Menurut Omar, minatnya yang mendalam untuk turun ke laut ketika masih di bangku sekolah mendorongnya mengikut bapanya, Ismail Abdul Rahman meskipun pada hari persekolahan.Malah katanya, dia sanggup keluar awal pagi mengikut bapanya yang berasal dari Kampung Payang, ke laut untuk menangkap bilis dan hanya balik ke darat selepas lima hari.

Omar yang berasal dari Kampung Fikri, Setiu memberitahu, minat mendalam itu juga mendorong dia menyambung kerjaya bapanya menjadi nelayan pukat bilis dan akhirnya tidak sempat menamatkan persekolahan hingga tingkatan tiga.''Saya mula mula mengambil alih bot bilis bapa saya ketika berumur 30 tahun menggunakan bot kecil dan hanya bertukar kepada yang lebih besar bersaiz 65 kaki x 20 kaki selepas 13 tahun menggunakannya," katanya.Omar dan pekerjanya menggunakan dua pendekatan untuk menangkap ikan bilis di laut.Pada bulan September Oktober, Februari hingga April, mereka keluar pada waktu siang dari hari Sabtu hingga Khamis. 

Pada bulan-bulan tersebut dia keluar pada awal pagi balik semula ke darat menjelang waktu Zuhur.
Pada bulan Mei hingga Ogos, mereka ke luar ke laut pada waktu malam iaitu bermula pukul 4 petang hingga 9 pagi dari hingga Sabtu hingga Khamis.''Pada musim tengkujuh kira-kira dari November hingga Januari kami tidak ke laut," ujarnya.

Sebagai nelayan, ombak laut bukanlah satu cabaran yang perlu dirisau tetapi mereka terpaksa berhati-hati bagi mengelak daripada memasuki kawasan larangan dan kawasan utama ialah sekitar 15 batu nautika dari pantai.Biasanya mereka akan membawa balik antara 20 dan 40 bakul atau seberat kira-kira 45 kilogram (kg) sebakul dengan anggaran 1.8 tan bilis basah sehari.Daripada jumlah itu, kira-kira 600 kilogram daripadanya dapat menghasilkan bilis kering.Ikan bilis perlu di rebus di atas bot sebelum dinaikkan ke darat dan dijemur dan digredkan.Ikan bilis dijemur secara terbuka di bawah terik matahari selama sehari suntuk atau menggunakan ketuhar besar bersuhu 65 darjah Celsius selama sembilan jam.Ikan digred kepada dua jenis itu bilis kasar dan halus.

''Biasanya ikan bilis yang dikeringkan secara semula jadi atau menggunakan panas matahari lebih sedap," ujar Omar yang memasarkan keluarannya ke Kuala Terengganu.Omar bukan satu-satunya nelayan ikan bilis di Setiu kerana terdapat dua lagi pengusaha bbot bilis bersaiz besar turut beroperasi di situ selain bot-bot kecil lain.

Bilis Setiu katanya lebih keras berbanding di pantai barat tetapi sesuai untuk semua jenis masakan terutama nasi lemak.

Bangunkan projek guna BMO

Zainal Ayub menunjukkan penyakit batang reput pada pokok buah naga yang ditanamnya di Kampung Parit Kudus Pontian Johor. 
 
PENGGUNAAN teknologi mikroorganisma berfaedah (BMO) atau mikroorganisma baik (EM) dalam pertanian sememangnya bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah mula diperkenalkan di negara in sejak lewat 90-an.

Namun penggunaan teknologi BMO yang dihasilkan oleh seorang profesor dari Universiti Ryukyus, Okinawa Jepun, Dr. Teruo Higa secara berleluasa di negara ini hanya bermula sekitar pertengahan tahun 2000.
BMO adalah campuran mikroorganisma berfaedah terdiri daripada bakteria fotosintetik, bakteria laktik asid, yis, aktinomaiset dan fungi (kulat) penapaian yang menjanjikan kebaikan kepada tanaman berbanding ditanam secara konvensional.

Antara ciri kebaikan teknologi tersebut ialah menggalakkan pertumbuhan pembesaran, penghasilan dan kemasakan buah.Teknologi baja seumpama itu juga mampu meningkatkan kapasiti fotosintesis pokok, menambah kebolehan bahan organik sebagai baja, meningkatkan ketahanan tumbuhan terhadap penyakit, memperbaiki keadaan fizikal tanah.

Menyedari potensi serta kelebihan yang ada pada teknologi BMO itu, sebuah syarikat bumiputera, Bifa Farms di Gelang Patah, Johor mengambil langkah tepat dengan menjalankan perusahaan menghasilkan baja berasaskan teknologi BMO.

Pengarahnya, Rahmat Md. Amin berkata, dia mula menceburi bidang itu pada tahun 2007 dengan mendirikan sebuah kilang memproses BMO tersebut iaitu jenis baja cecair dan organik dengan modal sebanyak RM300,000.

"Alhamdulillah, buat masa ini, kita berjaya menghasilkan tiga jenis baja cecair dan satu jenis baja organik di atas tanah seluas 2.4 hektar dan mampu menghasilkan 1,000 tan sebulan," katanya.
Menurut beliau, jenis baja yang dihasilkan syarikatnya dikenali sebagai Baja Bio Organik, Bifa Microb Growth Solution (BMGs), Bifa Microb Growth K2O (BM Super K) dan Bifa Mikrob Protection (BMP).
Tambahnya, proses penghasilkan baja tersebut juga mudah, malah ia menggunakan bahan-bahan yang senang diperoleh.
''Sebagai contoh, terdapat lima langkah dalam menghasilkan baja bio organik iaitu bahan seperti tinja (najis) ayam dikisar secara kasar sebelum dicampur dengan baja dan diperam dan melalui proses pembungkusan serta bebas bahan kimia.

"Semua jenis baja itu dicampur dengan BMO sebelum dibungkus dalam botol dan dipaketkan. Baja tersebut sesuai digunakan ke atas pelbagai jenis tanaman kelapa sawit, getah, padi, pokok buah-buahan, landskap dan padang golf," ujar Rahmat.

Beliau berkata, setiap baja yang dihasilkan itu mempunyai fungsi yang berlainan iaitu baja bio organik mampu merawat dan membaik pulih tanah sekali gus mengekalkan tahap kesuburan dalam jangka panjang.
BMGs pula mampu menambah kapasiti fotosintesis dan kehijauan tanaman selain mempercepatkan percambahan benih dan tunas pokok BM Super K pula bertindak mempercepatkan mematangkan tanaman dan BMP merupakan pelindung serangan dan penyakit.

"Kita pernah menjalankan kajian penggunaan baja bio organik ke atas tanaman padi dan hasilnya anak pokok padi mencecah ketinggian 78.7 sentimeter pada hari ke-60 berbanding 71 sentimeter menggunakan baja kimia."Malah berat padi yang dihasilkan meningkat sebanyak 886 kilogram iaitu dari 1,624 kepada 2,510 kilogram," katanya.Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Adnan Mat Kasim berkata, pihaknya sedang giat mempromosikan penggunaan BMO kepada mereka yang terlibat sekali gus sudah menjadi satu agenda di negeri ini.

Beliau memberitahu, Johor telah mula menggunakan teknologi BMO secara meluas bermula pada 2007, malah kerajaan negeri juga menyokong usaha tersebut dengan matlamat membawa Johor ke arah pertanian unggul, lari daripada cara konvensional.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan supaya dua pusat mikrob memproses BMO ini diwujudkan di setiap dewan undangan negeri (DUN)sejajar usaha menjana pendapatan tambahan kepada golongan terlibat.
"Di Johor kini sudah mempunyai sebanyak 112 pusat mikrob dan bilangan pusat seumpama itu akan bertambah. Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2,000 bagi setiap pusat tersebut," katanya.
Ini kerana, tambahnya, penggunaan teknologi BMO yang bukan sahaja boleh digunakan ke atas tanaman, malah ternakan dan sungai itu selamat daripada bahan kimia dan jelas mampu meningkatkan hasil pertanian, ternakan dan membersihkan sungai.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails