Friday, June 5, 2009

MARDI raih kejayaan penyelidikan

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sekali lagi mencipta sejarah dengan meraih kejayaan semasa Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2009 (I-Tex 09) yang berlangsung di Kuala Lumpur Mei lalu.

Institut berkenaan meraih 14 kemenangan dengan tiga pingat emas, lapan perak dan tiga gangsa selain anugerah Association of Polish Inventors and Rationalizers Prize dan empat anugerah Anugerah Produk Inovatif.

Antara ciptaan yang memenangi pingat emas adalah kajian inovatif mengenai tanaman padi iaitu MADOX Assisted High Clearance Mower, PaddyView - Paddy Output Analyser dan Box-leverer for large Scale Field Levelling yang memenangi anugerah Association of Polish Inventors and Rationalizers Prize.

Hasil penyelidikan yang memenangi pingat perak adalahkit mengesan Salmonella dengan segera Immuno-Dot-Blot Test Strip: A Rapid Diagnostic Kit for Detection of Salmonella.

Kajian mengenai cili bertajuk Semerah: Heating the World, kitaran nitrat iaitu Recycling HNO3 for Nitro Humic Acids (NHA) Production, mesin menggoreng keropok, Continuous Fryer for Stackable Crackers and Chips dan mesin serbaguna bagi jus dan pengasingan biji benih Versatile Machine for Juice Extraction and Seed Separation.

Dua lagi hasil penyelidikan yang memenangi pingat perak dan Anugerah Pingat Inovatif adalah mekanisasi yang memudahkan penuaian ubi keledek iaitu Flexi Snack Forming dan Sweet Potato Haverster.

Manakala mesin menuai kenaf bersepadu iaitu Intergrated Kenaf Haversting Machine berjaya mendapat pingat emas dan dua ciptaan Pedestrian Crop Harverster dan Fertikit.

Teknologi yang dihasilkan oleh para penyelidik MARDI diharap mampu memajukan sektor pertanian negara melalui peningkatan kualiti, mengurangkan kos serta keselamatan makanan.

Kemenangan yang dicapai oleh pihak MARDI menjadi pencetus untuk terus para penyelidiknya berusaha bagi mengkomersialkan teknologi serta memastikan ia digunapakai oleh golongan sasar yang terdiri daripada petani, penternak, nelayan serta usahawan makanan.

Sehingga kini, lebih tujuh peratus teknologi MARDI telah dikomersialkan dan digunakan oleh usahawantani seluruh negara.

Ini merupakan satu usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani yang menggunakan teknologi tinggi.

Ruminan lubuk emas pelatih Skill-Tech

RUMINAN adalah penternakan haiwan seperti kambing, lembu, unta dan kerbau. Bagi penternakan haiwan berkenaan, hasil ternakan yang pelbagai dan memberi nilai komersial yang tinggi disebut sebagai nilai emas.

Emas yang diumpamakan bukanlah perhiasan wanita tetapi hasil produk ternakan iaitu apa yang disebut emas putih yang merujuk kepada susu.

Manakala emas hitam pula merujuk kepada najis yang boleh dibuat baja serta emas merah pula yang merujuk kepada daging.

Menurut Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, menyedari nilai komersial yang tinggi terhadap penternakan kambing, Skill-Tech memperkenalkan kursus baru yang dikenali sebagai kursus kemahiran ruminan.

Ternyata permintaan yang tinggi menggembirakan beliau.

''Ambilan pertama baru-baru ini membuktikan generasi muda mampu menjadi tenaga kerja dan usahawan ruminan secara terlatih dan profesional,'' kata Nordin.

Sepanjang tempoh setahun, semua pelatih ruminan, setiap pelatih akan mempelajari aspek-aspek berikut:

1. Kebersihan dan Penyelenggaraan Ternakan

2. Pengasingan dan Kekangan

3. Pemberian Makanan

4. Pemerahan Susu

5. Penjagaan Anak Ruminan

6. Pengesanan Biang

7. Penyediaan Peralatan dan Penjagaan Kesihatan

8. Pengurusan Pastur, Proses Rumput dan Makanan

9. Pemagaran dan Makhluk Perosak

10. Pengendalian Baja Organik

11. Pelupusan Bangkai

12. Penyelenggaraan Stor.

Selain syarat wajib pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)di atas, Skill-Tech menekankan aspek pemasaran dan pengeluaran ternakan makanan halal.

Bagi memastikan kemahiran yang mencukupi, semua pelatih akan ditempatkan di pusat penternakan komersial setiap semester. Peringkat pertama Latihan Industri (LI) akan menumpukan kepada proses penternakan manakala kemahiran kedua LI menumpukan kepada pemasaran dan perniagaan.

Tidak ketinggalan juga, satu bisnes baru sebagai sumber hiliran ruminan ialah pelancongan pertanian.

Memandangkan Skill-Tech adalah pusat latihan pertanian berintegrasi, sudah ramai pelancong yang berminat berkongsi pengetahuan dan pengalaman ruminan.

Oleh itu penternakan ruminan telah dijadikan sebahagian produk pelancongan di Skill-Tech.

Setelah tamat latihan, Skill-Tech merancang untuk meletakkan mereka dalam skim inkubator yang sudah dikenalpasti mentor terbabit. Antaranya, Skill-tech akan bekerjasama dengan beberapa buah syarikat yang berpengalaman terutama sebuah syarikat penternakan kambing terbesar di Marang, Terengganu.

Justeru, golongan muda yang berusia 16 hingga 35 tahun adalah dipelawa mengisi kekosongan terhad yang masih ada dengan menghubungi 06-5531416/18.

Wednesday, June 3, 2009

Tanam tebu raih pendapatan mewah

MUNGKIN tidak ramai yang tahu tanaman tebu boleh menjanjikan pendapatan lumayan kepada seorang peladang dengan keuntungan antara RM5,000 dan RM8,000 bagi keluasan tanah hanya 0.4 hektar.

Keuntungan peladang akan berlipat ganda menjelang bulan Ramadan apabila permintaan yang meningkat menyebabkan harga sebatang tebu melonjak dari RM1.20 sebatang kepada RM2.50 menjadikan keuntungan boleh mencecah sehingga RM20,000.

Seorang pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkata sebaik-baiknya pemilik ladang mempunyai sekurang-kurangnya 1.6 hektar tanah yang membolehkan sebanyak 8,000 batang tebu ditanam. Ladang tebu itu akan mengeluarkan hasil selepas lapan bulan.

Selain untuk pasaran tempatan, Fama juga membantu peladang mencari pasaran luar negara kerana tebu kini mempunyai potensi tinggi untuk dieksport ke negara Asia Barat dan juga Singapura. Air tebu dieksport

Pengarah Fama (Bijirin dan Herba) Abdul Rahman Abdul Rahim memberitahu Bernama bahawa Johor merupakan negeri yang aktif dengan aktiviti penanaman dan pemasaran produk yang berkaitan dengan tebu. "Di Batu Pahat sahaja kami ada 22.6 hektar dan Muar dengan keluasan 173 hektar ladang tebu. Peladang di sini ada yang inovatif dan berjaya menghasilkan minuman air tebu yang dibotolkan dan dieksport sehingga ke Singapura", katanya.

Jumlah eksport tebu ke Singapura mencecah antara 200 dan 400 ikat sehari malahan pada tahun 2006, eksport tebu mencapai sehingga RM5.4 juta, kemudian meningkat kepada RM5.8 juta pada tahun 2007.

Fama juga telah membina sebuah Pusat Pengumpulan Tebu (PPT) yang berharga RM4.5 juta di Semerah, Batu Pahat untuk pasaran eksport ke Singapura kerana negara itu mempunyai syarat yang ketat berhubung soal kebersihan dan kualiti produk pertanian.

PPT adalah pusat eksport bagi tebu dengan fokusnya adalah kualiti produk pertanian itu. Ia juga bertindak sebagai agen pemangkin pertumbuhan dan pembangunan tanaman itu di negara ini.

Pusat ini yang dilengkapi dua bilik sejuk mempunyai kemudahan penyelidikan untuk meningkatkan lagi kualiti tebu untuk pasaran domestik dan luar negeri.

Pusat itu, yang pertama dibina di Malaysia, merupakan usaha Fama untuk membolehkan tebu Malaysia menembusi pasaran antarabangsa dengan produk tebu yang berkualiti tinggi, kata Abdul Rahman. Tebu dipotong dan dieksport

Bernama yang mengikuti rombongan Fama ke PPT tersebut mendapati syarikat Purecane Manufacturing Sdn Bhd mengeksport batang-batang tebu yang siap dipotong pendek ke dalam kotak untuk dihantar ke Singapura. Dalam satu perjanjian dengan Fama, Purecane bersetuju memasarkan tebu dari 79 peladang yang mengerjakan ladang kontrak di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Batang tebu yang telah dipotong pendek dimasukkan ke dalam kotak sebelum dihantar ke Singapura.

Menurut Abdul Rahman, 400 kotak yang mengandungi 5,000 batang tebu di eksport ke Singapura setiap hari. Nilainya adalah RM330,000 sebulan.

Dengan adanya PPT di Semerah, ia membolehkan peladang memproses tebu mereka untuk pasaran eksport secara sistematik dengan dipantau oleh agensi tersebut.

Kualiti diutamakan

Menurut Pengarah Pengurusan Purecane Manufacturing Sdn Bhd Loo Woe San, syarikatnya sudah pun menggunakan pusat itu sejak dibuka walaupun mempunyai kilang sendiri.

"Kami bagaimanapun yakin dengan wawasan Fama bahawa untuk mengeksport tebu, produk kita kena bersih dan mendapat pengiktirafan antarabangsa dan Fama memastikan semua ini wujud di pusat ini", katanya.

Selain daripada batang tebu, pengusaha menghasilkan produk tebu seperti minuman air tebu yang dijual dalam botol berharga RM1.10.

Katanya produk ini tidak dijual di tempat lain kerana masalah kesegaran air tebu yang hanya bertahan paling lama seminggu.

Beliau sendiri mengakui syarikatnya tidak mendapat bekalan tebu yang cukup dan terpaksa mendapatkan bekalan dari ladang-ladang tebu di negeri lain.

"Permintaan antarabangsa sangat tinggi. Ini disebabkan tebu Malaysia mempunyai kualiti yang sangat baik dan airnya lebih sedap", katanya. BERNAMA

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails