Monday, July 22, 2013

Durian belanda rawat kanser

Foto
Durian belanda atau nama botaninya Annona muricata L daripada famili Annonaceae dipercayai berasal dari Amerika Selatan.
  • Hidup subur di atas tanah jenis lom liat berpasir, pH tanah antara lima hing­ga tujuh dan bersaliran baik.
  • Ia jenis tanaman bermusim dengan kemuncak pengeluaran pada November, Disember dan Januari.
  • Negara pengeluar utama ialah Filipina, Indonesia, Malaysia dan Vietnam.
  • Kawasan tanaman utama di Malaysia ialah Perlis, Johor, Pahang, Perak dan Sabah.
  • Durian belanda me­ngandungi fosforus, kalsium, vitamin B dan C yang baik untuk rawatan demam panas dan bengkak hati.
  • Kebiasaannya dimakan segar dan dibuat jus minuman.
  • Durian belanda mempu­nyai saiz sederhana besar, kulitnya berduri lembut, isi buah berwarna putih dan rasanya masam-masam manis.
  • Ia biasanya dimakan segar ataupun boleh diproses untuk dijadikan jus.
  • Jarak tanaman yang di­syorkan di ladang adalah 6 meter x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama.
  • Ia boleh dibiak menggunakan biji benih atau kaedah pembiakan tut atau pembiakan secara aseks.
  • Kajian Universiti Hawaii dan Universiti Purdue mendapati durian belanda yang buahnya berkulit lembut, durinya jarang dan tidak tajam, mampu merawat dan mengelakkan seseorang daripada mendapat kanser dan menyuburkan pasa­ngan inginkan zuriat.
  • Dari segi perubatan moden, kajian mendapati, bahan yang terkandung di dalam buah durian belanda ini boleh digunakan sebagai aktibakteria, antikanser, antitumor, astrigen dan penyakit saraf.
  • Durian belanda mengandungi bahan amyloid, asid sitrik, fruktosa, manganese, sukrosa, reticuline dan tannin.
  • Durian belanda perlu di­kendalikan dengan sebaik­nya bermula daripada amalan ladang, pengendalian lepas tuai hingga ke peringkat pemasaran.
  • Penuaian dilakukan apabila buah mencapai kematangan optimum yang kebiasaannya dua hingga tiga bulan selepas berbunga dan akan masak dua hingga tiga hari selepas dipetik.
  • Durian belanda yang disimpan pada suhu 15 darjah celsius dengan kadar kelembapan relatif 85 hing­ga 95 peratus boleh mengekalkan kualiti dan memanjangkan jangka hayat sehingga satu hingga dua minggu.
  • Penguatkuasaan Peraturan (Penggredan, Pembung­kusan dan Pelabelan hasil keluaran pertanian) 2008 atau GPL oleh FAMA adalah untuk memastikan semua keluaran pertanian perlu digred, dibungkus dan dilabel sebelum dipasarkan.
  • Objektif peraturan ialah untuk memastikan semua hasil berkualiti dan selamat dimakan.
  • Dikelaskan kepada tiga gred bergantung kepada spesifikasi dan kelonggaran merangkumi Premium, Gred 1 dan Gred 2.
  • Spesifikasi untuk Gred Premium adalah ia hendaklah daripada varieti yang sama, segar dan bersih, mempunyai saiz dan kematangan seragam.
  • Selain itu ia juga hendaklah bebas daripada kecacatan atau kerosakan.
  • Gred 1 pula hendaklah daripada varieti sama, segar dan bersih, mempu­nyai saiz dan kematangan seragam serta hendaklah hampir bebas daripada kecacatan atau kerosakan.
  • Gred 2, ia hendaklah daripada varieti sama, segar dan bersih, mempunyai saiz dan kematangan seragam dan agak bebas daripada kecacatan atau kerosakan. 
  • Sumber: harian metro online 23/7/13
  • Hidangan ala Thai, Cina

    Oleh Mohd Sabran Md Sani
    Di suatu sudut kolam memancing tertera beberapa spesies ikan air tawar yang menjadi daya tarikan pengunjung Fish Valley Semenyih Sdn Bhd.
    Kolam memancing di Sri Haneco Industrial Park, Jalan Kachau, Semenyih itu menempat­kan pelbagai spesies ikan seperti tilapia, kap rumput, tongsan hitam, kap kepala besar, rohu, haruan, likoh, baung dan belida.
    Turut terdapat dalam kolam seluas 18 hektar itu adalah ikan jelawat, lampam jawa, pacu dan ikan hantu.

    Penulis berpeluang melihat proses pembersihan ikan tilapia daripada pemilik kolam itu, Hanim Raduan, baru-baru ini.
    FotoSEORANG pemancing, Teoh Pick Loong, 27, bersama ikan patin diperoleh dari kolam tangkap dan lepas.

    Kaedah mematikan ikan tilapia cukup unik kerana bahagian kepala dan insang ikan dicucuk menggunakan pisau kecil.

    Ini bagi menyelamatkan struktur ikan segar supaya daging ikan sedap apabila dimasak.

    Hanim memberi petua punca ikan hanyir, antaranya masalah air, lumpur berlebihan, faktor makanan dan cuaca.

    Tidak sampai 10 minit, ikan tilapia merah yang diternak dalam kolam itu siap dibersihkan dengan setiap seekor mempunyai berat antara 800 gram hing­ga satu kilogram.

    Rombongan kami disajikan dengan 10 jenis masakan ala Thai dan Cina.

    Antara hidangan pembuka selera ialah ikan goreng tiga rasa, ikan goreng ‘Pat Cha’, ikan goreng masam kacang, ikan goreng sos pekat (labu), ikan baung Keng Song, telur goreng gaya Thai dan sotong goreng telur masin.

    Selain itu, kami turut dihidangkan ikan goreng serai, ikan goreng ‘Lap’ dan air sirap.

    Aktiviti itu antara disediakan di kolam memancing berkonsepkan Agro Pelancongan diusahakan pemenang Anugerah Penternak Ikan Jaya Kebangsaan 2011.

    Bermodalkan kira-kira RM800,000, bekas kakitangan kerajaan itu tidak menyesal berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada perniagaan baru itu.

    Melihat kepada gaya berpakaian, tidak siapa menyangka pemegang lesen ‘flying fox’ itu pernah menjadi tenaga pengajar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kini usahawan berjaya.

    Konsep agro pelancongan mula diperkenalkan Selangor Tourism dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor, dua tahun lalu.

    Pembukaan kolam restoran juga adalah usaha jabatan berkenaan mempromosikan produk ikan air tawar kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

    Ia sekali gus menjadikan Fish Valley pusat pengumpulan dan makanan air tawar merangkumi tiga kolam memancing, 16 kolam ternak dan sebuah restoran ikan air tawar.

    Hanim berkata, pembabitannya dalam dua program kerajaan termasuk Biro Tata Negara (BTN) dan PLKN mencetuskan minatnya membuka kolam memancing Fish Valley berkonsep­kan agro pelancongan.

    “Pada awal pembabitan, saya hanya memiliki beberapa kolam ikan. Perniagaan kemudian dikembangkan kepada skala lebih besar termasuk me­nyediakan aktiviti lasak dan berkhemah.

    “Kalau dulu hanya ada aktiviti memancing ikan, kini sebuah restoran berkonsepkan masakan ‘Thailand Food dan Chinese Food’ juga sedia menerima tempahan pengunjung,” katanya.

    Selain memancing, pe­ngunjung juga berpeluang menjaring ikan secara berkumpulan menerusi pakej disediakan bernilai RM400 untuk lima orang termasuk makan tengah hari.

    “Pakej ini sangat istimewa kerana pengunjung dapat merasai pengalaman menjaring ikan di dalam kolam.

    “Kami akan mempraktikkan cara menjaring dan menarik ikan dan ada yang bernasib baik akan melalui pengalaman dilanggar ikan,” katanya memberitahu, pakej itu sangat digemari pelancong Jepun dan Singapura.

    Katanya, konsep pancing dan lepas yang dilaksanakan dalam kolam memancing itu untuk memastikan bekalan ikan mencukupi.

    “Ada ikan mempunyai berat antara 10 hingga 90 kg seekor. Jika bernasib baik, mereka dapat memancing ikan arapaima atau ikan keli Mekong.

    “Biasanya tempoh 40 minit memancing, barulah umpan mengena,” katanya memberitahu, pakej itu berharga RM35 bermula dari jam 7 pagi hingga 7 petang setiap hari.

    Bagi yang berminat untuk membawa pulang ikan dipancing, kolam khas juga disediakan untuk pengunjung.

    “Ikan ini akan ditimbang berdasarkan harga dan beratnya dan jika ada yang mahu kami masak untuk mereka, perkhidmatan itu juga disediakan,” katanya.

    Menurutnya, aktiviti ‘jungle trekking’ dan tapak aktiviti keluarga ditawarkan menerusi pakej bermalam dalam hutan.

    “Untuk pakej perkhemahan, bayaran dikenakan mengikut jumlah peserta, biasanya RM60 seorang.

    “Harga masih boleh dirunding asalkan pe­ngunjung bersetuju. Jika ada yang mahu membuat aktiviti memanggang ikan atau kambing, semua kemudahan akan disediakan,” katanya.

    Katanya, bagi mengelak pengunjung bosan, mereka menyediakan pakej dalam hutan 24 jam, jungle trekking dan pelbagai aktiviti lain.

    “Jika mahu memancing pada waktu malam, Fish Valley Sdn Bhd me­nyediakan kemudahan itu,” katanya.

    Untuk menunggang kenderaan ATV, acara sukan itu disediakan di sekitar kolam memancing termasuk meredah hutan.

    Hanim berkata, restorannya mempunyai tukang masak berpengalaman untuk menyediakan pelbagai hidangan berkonsepkan Thai dan Cina.

    “Kami mempunyai 27 menu ikan air tawar yang menyelerakan. Berbanding spesies ikan air tawar lain, ikan tilapia merah paling mendapat permintaan.

    “Setiap minggu ada saja menu baru dicipta tukang masak untuk memenuhi cita rasa pelanggan,” katanya.

    Perancangan masa depan, Fish Valley Sdn Bhd berhasrat membina 60 chalet di atas bukit berdekatan kolam memancing.

    Menyentuh mengenai industri penternakan ikan air tawar, katanya, dia menggunakan konsep pulangkan yang lama dan gantikan yang baru jika ada ikan tilapia dijual berbau hanyir.

    Bagaimanapun, keadaan itu katanya jarang berlaku kerana konsep penternakan ikan tilapia sangat istimewa. Ia menggunakan air bukit.

    “Ini bagi memastikan ikan tilapia kami lebih bersih dan sihat,” katanya.

    Hanim berkata, syarikatnya mengeluarkan kira-kira 11 tan ikan tilapia merah sebulan selain ikan baung dan jelawat.

    “Permintaan terhadap ikan tilapia banyak diterima daripada restoran Cina.

    “Untuk memastikan bekalan mencukupi, saya memperkenalkan konsep ladang kontrak ikan tilapia merah,” katanya.

    Seekor ikan tilapia seberat 800 gram boleh dinikmati seramai empat orang dengan satu sajian mencecah RM60.

    Dia juga membekal­kan dua tan ikan tilapia merah sebulan untuk pasaran Singa­ pura.

    Silaj bantu penternak


    Rumput gajah (napier) perlu dihancurkan terlebih dahulu sebelum dicampurkan bersama gula merah dan dimampatkan di dalam tong.


    MUSIM kemarau akan mengeringkan rumput manakala banjir akan menyebabkan kematian kebanyakan jenis rumput. Untuk menunggu rumput kembali tumbuh pasti memakan masa.
    Bagi penternak yang memiliki ladang pastura atau padang ragut hanya sekangkang kera pastinya masalah tersebut akan bertambah parah.
    Oleh yang demikian, penggunaan silaj makanan atau penyimpanan foraj sedang giat diperkenalkan kerana menyedari penternak-penternak masa kini menghadapi masalah untuk menyediakan rumput yang bermutu dan mencukupi sepanjang tahun.
    Antara agensi kerajaan yang giat menjalankan kajian serta penyimpanan silaj tersebut adalah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Muadzam Shah, Pahang yang diterajui oleh Pegawai Penyelidik Kanannya, Mohd. Nasir Abdul.
    Menurut beliau, beberapa kajian telah dijalankan bagi menentukan teknologi yang sesuai untuk penyimpanan foraj di kalangan penternak-penternak kecil di Malaysia.
    "Silaj ditakrif sebagai hasil yang terbentuk apabila tanaman foder yang tinggi kandungan airnya seperti rumput dan jagung, diracik dan diperam dalam struktur kedap udara yang dinamakan silo (tong plastik).
    "Keperluan air di dalam bekas kedap air ini adalah antara 65 hingga 75 peratus dan saiz racikan pula adalah tiga hingga 15 sentimeter (sm)," katanya ketika ditemui di MARDI, Stesyen Muadzam, Pahang baru-baru ini.
    Tambahnya, tumbuhan jenis rerumput seperti napier, jagung, rumput gajah, purple guinea mudah diperolehi serta ditanam di negara ini.
    Untuk menghasilkan silaj, rumput terlebih dahulu diracik dan dimasukkan ke dalam silo bersama gula merah bagi mempercepatkan proses penapaian dan pemeraman.
    Bahan tersebut akan diperam selama 21 hari dan dikatakan silaj yang dihasilkan tidak akan rosak selagi silo tidak dibuka.
    Ujar Mohd. Nasir, silaj yang baik memiliki ciri-ciri pH (tahap kemasaman) kurang daripada 4.5 dan kandungan asid laktiknya pula adalah tiga hingga 13 peratus.
    Kandungan asid butiriknya pula perlu kurang daripada 0.2 peratus.
    Setelah diperam sekian lama, silaj akan bertukar warna daripada hijau kepada hijau kekuningan atau hijau keperangan serta mengeluarkan aroma yang wangi.
    Bagi tahap kelembapannya pula, silaj berada di dalam keadaan lembap sederhana dan tidak terdapat lelehan serta tidak melekit jika digenggam kuat.
    Untuk pemerhatian yang lebih mudah, silaj yang bagus adalah produk yang disukai oleh haiwan ternakan.
    Ini bermakna semakin silaj yang dihasilkan digemari haiwan ternakan anda, itu bermakna silaj yang dihasilkan berada di dalam keadaan yang baik.
    Antara perkara yang perlu dititik beratkan semasa memproses silaj adalah, pekerja perlu memastikan bahan yang diracik dimampatkan dengan padat ke dalam silo.
    Hal demikian bagi mengelakkan terdapatnya kandungan udara berlebihan yang dipercayai akan merosakkan proses pemeraman.
    Penternak boleh menggunakan pemampat silaj bagi melakukan proses pemampatan atau pun dengan hanya memijak sehingga bahan yang diracik menjadi padat.
    Semasa proses pemampatan, silaj akan dicampurkan bersama gula merah yang telah dicairkan sebanyak satu kilogram (kg) bagi sebuah silo.
    Proses dilakukan sebanyak dua hingga lapisan silaj sehingga silo dipenuhkan.
    Seterusnya, mulut silo perlu dilapik dengan plastik sebelum ditutup bagi memastikan silo benar-benar kedap udara.
    Berat sebiji tong yang berisi silaj kadang kala mampu mencecah 60 hingga 80 kilogram mengikut kepadatan serta bahan foder yang digunakan.
    Setelah 21 hari diperam, silaj sudah boleh dibuka dan diberikan kepada haiwan ternakan sebagai makanan tambahan mahupun utama.
    Semasa proses pemeraman perubahan bahan kepada produk tertentu dalam silaj akan berlaku.
    Secara amnya, karbohidrat dalam bahan yang diperam ditukarkan menjadi asid laktik atau asetik.
    Proses penukaran dilakukan oleh bakteria anaerobik dengan bantuan haba yang dihasilkan oleh sel tanaman yang masih hidup.
    Asid-asid yang dikeluarkan, terutamanya asid laktik akan merendahkan pH dan ini menyebabkan proses biokimia yang terjadi pada bahan silaj terhenti.
    Dengan itu, bahan yang diperam akan dapat disimpan dengan baik malah kualiti pemakanannya juga dikekalkan.
    Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam penghasilan silaj, Mohd. Nasir berkata, kualiti bahan perlu dititik beratkan.
    Malah, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencipta kaedah memproses serta 'ramuan' yang tepat bagi memastikan silaj yang dihasilkan mampu mengekalkan kuantiti kumpulan protein antara 14 hingga 18 peratus.
    Mengekalkan kesuburan bahan mentah juga turut dititik beratkan seperti pembajaan kawasan penanaman rumput bagi memastikan stok tumbuhan tersebut sentiasa mencukupi selain berkualiti tinggi.
    Selain penggunaan tong plastik sebagai silo, penyelidik MARDI itu juga turut mencipta silo yang dikenali sebagai silosil daripada binaan konkrit.
    Silosil konkrit yang dihasilkan dikatakan mampu menampung pengeluaran silaj sehingga 20 tan untuk setiap pengeluaran.
    Keupayaan menghasilkan silaj dalam skala yang lebih besar merupakan kejayaan yang baik namun dilihat tidak praktikal bagi penternak kecil-kecilan. - ASHRIQ FAHMY AHMAD

    Manfaat lemon

    Buah sitrus lemon bukan sahaja boleh digunakan untuk tujuan masakan malah mempunyai 1001 manfaat boleh didapati untuk menjaga kecantikan muka dan tubuh badan.

    Antara khasiat lemon ialah:

    Rawatan kulit berjerawat
    Lemon mampu merawat jerawat kerana kandungan asid sitrik dan alkalinya dapat membunuh bakteria yang menyebabkan timbulnya jerawat. Anda boleh sapukan jus lemon sebenar pada kulit berjerawat dan biarkan ia semalaman. Untuk membuat masker, anda juga boleh mencampurkan jus lemon dengan madu sebelum dilumurkan pada kulit muka. Hasilnya, wajah akan kelihatan lebih berseri.

    Tangan & kuku yang cantik
    Untuk kuku yang lebih bersinar, rendam jari di dalam jus lemon selama 10 minit sebelum memberus kuku dan rendamkan semula di dalam air suam yang bercampur sedikit cuka. Kemudian, bilaskan jari anda dengan air suam. Jangan lupa lakukannya seminggu sekali untuk hasil yang memuaskan!

    Hilangkan hitam bawah ketiak dan siku
    Lemon selalunya digunakan untuk krim pemutihan wajah. Jadi memang terbukti lemon mampu memulihkan masalah ketiak dan siku yang gelap. Caranya, potong lemon dan gosokkan pada kawasan yang terlibat. Praktikkannya secara konsisten agar anda dapat melihat sendiri perubahannya.

    Kurangkan berat badan
    Jus lemon bertindak membantu penghadaman dan merangsang hati untuk menyingkir kotoran dalam badan. Sekiranya anda mahu mengurangkan berat badan, amalkan minum segelas jus lemon suam yang dicampur madu setiap hari.

    Atasi rambut nipis dan berkelemumur
    Urutkan lemon ke atas kepala untuk melancarkan peredaran darah boleh merangsang pertumbuhan rambut. Malah, jik anda membiarkan jus lemon di atas kulit kepala selama 10 minit selepas mencucui rambut boleh mengurangkan kelemumur dan rambut akan lebih bersinar.
     

    Cari Maklumat anda di sini

    Google
     
    Related Posts with Thumbnails