Monday, January 5, 2009

Jambu manis dari Muar


Tan Jui Seng menunjukkan buah jambu yang terdapat di ladangnya di Muar.


MUNGKIN menyedari masa depannya dalam dua pekerjaan bergaji tetap tidak sebaik mana kerana bersekolah setakat umur 13 tahun sahaja, maka keputusan yang diambil menceburi bidang pertanian sebagai jalan terakhir.

Namun, faktor sampingan lain juga tidak boleh diketepikan kerana keputusan memilih tanaman jambu air sebenarnya bermula sebagai hobi.

Chua Yap Keng dan Tan Jui Seng sebenarnya rakan kongsi yang mengusahakan tanaman jambu air dan mengabadikan nama mereka pada ladang yang diberi nama Keng Seng Nursery sebagai tanda keakraban dan perkongsian harapan dalam bidang pertanian.

Yap Keng berkata, dia pada mulanya dipertemukan dengan seorang rakan dari Taiwan ketika berurusan dalam perniagaan perabot yang memperkenalkannya baka jambu air dari Taiwan.

Dia mengambil baka tersebut yang hanya disebut sebagai baka warna hijau, merah dan loceng lalu cuba menanamnya di kawasan rumah di Muar.

Namun akhirnya dia menggunakan baka warna merah memandangkan jambu air hijau itu susah hendak ditanam manakala baka loceng mudah gugur.

Meskipun mereka mengetahui kos untuk membiayai projek satu ekar sahaja mencecah RM10,000, namun bertekad untuk mencuba sesuatu yang baru.

Yap Keng berkata, dia tidak mahu masalah tersebut merencatkan minatnya untuk menceburkan diri dalam penanaman buah-buahan, memandangkan itulah minatnya sejak kecil.

''Sebab itu saya banyak kali mencuba menanam benih jambu, (sebab) mahu tengok yang mana sesuai,'' katanya.

Katanya, rakan tersebut memperkenalkan benih jambu itu dan dia membawa pulang kira-kira 10 pokok untuk ditanam di kawasan rumahnya di Jalan Ismail, Muar.

Benih pokok tersebut kemudiannya ditanam di ladang mereka di Batu 23, Lenga, Pagoh di Muar Johor bermula 2003 membabitkan 70 pokok jambu.

Yap Keng, 43 dan Jui Seng, 38, kemudian memulakan penanaman di kawasan tersebut yang berkeluasan dua hektar di Bukit Pasir Muar,

Menurutnya, jambu tersebut yang dikenali sebagai jambu Johor, mudah untuk dijaga kerana tidak banyak masalah.

Mereka hanya perlu memastikan baja diberi mengikut kadar yang ditetapkan iaitu kira-kira 40 pokok bagi satu beg.

Harga baja tersebut pada mulanya RM200 satu beg kini turun kira-kira 20 peratus.

Pada masa sama, dia juga beruntung kerana Jui Seng pakar dalam menyediakan benih jambu tersebut, menjadikannya mereka gandingan yang baik untuk memajukan projek tersebut,

Ketika ini, tiga ladang mereka yang keseluruhannya berkeluasan lapan hektar (20 ekar) ditanam dengan 1,000 pokok jambu.

Menurutnya, jambu tersebut matang dan boleh dipetik selepas 18 bulan ditanam.

Ladang mereka kini mampu mengeluarkan antara 10 dan 15 tan buah sebulan dan dipasarkan di kawasan sekitar pada harga RM4.50 sekilogram.

Untuk memastikan jambu telah mencapai saiz pasaran, setiap kilogram mengandungi antara lima dan tujuh biji.

Jambu tersebut menurut Yap Keng, amat menarik kerana bukan sahaja rasanya yang manis tetapi warnanya yang merah pekat dan senang untuk dijaga.

Bagaimanapun untuk mengekalkan rasa manis, jambu perlu dipetik pada waktu cuaca panas.

Untuk menjaga kesegaran dan memastikan jambu selamat dimakan, dia tidak menggunakan racun untuk mengawal serangga sebaliknya membungkus buah jambu pada pokok.

Pokok jambu tersebut dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga 33 tahun.

Katanya, terdapat rakannya yang dikatakan mengeksport buah tersebut ke negara Arab tetapi setakat ini dia hanya menjual untuk pasaran tempatan.

Selain itu, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membeli hasil tanaman tersebut.

Ketika ini, selain tanaman jambu, ladang mereka juga ditanam dengan ciku, durian dan dokong secara kecil-kecilan.

Usaha mereka walaupun bermula dengan kepayahan dan terpaksa melalui proses mencuba tanpa asas pertanian yang kuat, kini sudah mula menampakkan hasil.

Jumlah pekerja seramai 10 orang tidak menjadikan mereka malas, sebaliknya selalu 'turun padang' memeriksa tanaman kerana minat yang mendalam tersemat di dalam jiwa.

Belimbing berkalsium tinggi


Buah belimbing kalsium tinggi yang disimpan selama empat minggu dalam perjalanan ke Eropah lebih rangup berbanding yang tidak dirawat dengan kalsium.


BELIMBING atau Averrhoa carambola adalah buah yang kaya dengan Vitamin C dan dipercayai jika dimakan berterusan boleh mengurangkan penyakit darah tinggi.

Manakala kaum Cina pula percaya belimbing boleh merendahkan paras gula dalam darah.

Di negara ini belimbing ditanam secara komersial bagi pasaran tempatan dan eksport kerana kualitinya yang tinggi.

Nilai eksport belimbing segar adalah kira-kira RM32 juta setahun di kawasan kurang 900 hektar di mana 60 peratus adalah untuk pasaran luar negara.

Bagaimanapun buah belimbing yang dieksport ke negara-negara seperti Eropah, Hong Kong dan Singapura biasanya masih hijau atau belum matang kerana buah ini mudah rosak semasa proses pengendalian lepas tuai.

Kebanyakan buah belimbing yang dieksport ke Eropah dimakan sebagai salad dan jarang dimakan secara segar.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjalankan kajian bagi mengatasi masalah berkenaan.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, MARDI, Dr. Zabedah Mahmod berkata, pihaknya telah menjalankan kajian merawat buah belimbing dengan kalsium bagi mengurangkan kerosakan buah.

"Rawatan semburan kalsium didapati menghasilkan sel yang lebih kuat dan pejal memandangkan kalsium penting bagi mengekalkan kesegaran dan ketahanan buah," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau yang menjalankan kajian pengurusan lepas tuai pada buah belimbing yang diaplikasi dengan semburan kalsium mendapati kerosakan pada segi buah belimbing dapat dikurangkan.

Dr. Zabedah berkata, semburan kalsium yang menggunakan formulasi yang dihasilkan oleh MARDI diaplikasi pada kadar yang amat rendah.

"Buah belimbing akan disembur sebanyak tiga kali iaitu sekali semasa berbunga dan dua kali selepas berputik dan sebelum dituai," katanya.

Menyentuh mengenai semburan, Dr. Zabedah berkata, petani hanya perlu menyembur terus ke arah bunga dan buah.

Kaedah berkenaan, menurut beliau, dicadangkan kepada petani yang menanam belimbing untuk tujuan eksport bagi mengurangkan kerosakan pengendalian lepas tuai.

Beliau menambah, kajian yang dijalankan mendapati buah belimbing mudah menyerap kalsium berbanding buah-buahan lain

Selain itu pengurusan tanaman buah belimbing lebih mudah kerana buahan ini tahan lasak terhadap penyakit bakteria dan virus kecuali serangan lalat buah.

"Buah belimbing adalah buah tanpa musim dan boleh diaturkan dengan teknik cantasan bagi menyeragamkan pembungaan dan pembuahan.

"Ini biasa dilakukan dengan memotong dahan yang mati dan bersilang serta selepas dicantas tanaman akan dibaja dengan formulasi yang mengandungi potasium tinggi," katanya.

Dua minggu selepas dahan dicantas, bunga akan muncul dan pada masa bunga berkembang, lebah akan melakukan proses.

Belimbing yang dirawat dengan kalsium mempunyai sel yang lebih kecil dengan dinding sel lebih tebal dan padat, menunjukkan kalsium memainkan peranan penting dalam pembentukan sel yang teguh bagi buah dan lebih rangup.

Dr. Zabedah berkata, kepekatan kalsium di dalam buah meningkat sehingga 25 peratus manakala buah segar lebih rangup dengan 0.44 Newton (N) dibandingkan dengan 0.35 N bagi yang tidak dirawat.

Buah belimbing kalsium tinggi yang telah disimpan selama empat minggu dalam perjalanan ke Eropah lebih rangup berbanding yang tidak dirawat dengan kalsium.

Selain itu, belimbing juga kurang mengalami kerosakan seperti berwarna keperangan semasa pengendalian lepas tuai.

Kos tambahan yang diperlukan adalah RM190 atau dua peratus bagi setiap hektar ladang belimbing dan kos ini adalah menjimatkan kerana boleh mengurangkan kerosakan dan meningkatkan pasaran.

"Buah belimbing yang dirawat dengan kalsium juga tahan lebih lama dan jika kajian mendalam dilakukan, belimbing boleh dieksport dalam keadaan ranum untuk dimakan segar.

"Ini akan dapat meningkatkan lagi pasaran belimbing di negara pengeksport kerana setakat ini pasaran belimbing adalah statik dan sukar berkembang," katanya.

Petikan dari Utusan Online...



Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails