Pengalaman menyertai kumpulan nelayan
menangkap udang kara menggunakan bubu berdekatan Sungai Musoh,
Pengerang, Johor, begitu terkesan kepada penulis.
Betapa tabahnya mereka mencari rezeki menangkap udang bernilai tinggi
di persekitaran perairan Johor. Inilah pengalaman penulis ketika
menyertai Kembara Media 2013 anjuran Jabatan Perikanan, baru-baru ini.Perjalanan dari Hotel JA Resident, Johor Bahru, ke Jeti Sungai Rengit mengambil masa kira-kira sejam sebelum disambut pegawai dan kakitangan Pejabat Perikanan Daerah Pengerang.
BUBU yang digunakan untuk menangkap udang kara.
Berbekalkan sebotol air mineral, roti sandwich dan sebuah topi, kami menaiki bot kecil sebelum dipindahkan ke bot nelayan lebih besar.
Ketika kami tiba, air surut dan bot yang memuatkan 10 penumpang bergerak perlahan-lahan ke lokasi penangkapan udang kara di tengah laut.
Aktiviti mencari udang kara bukan tugas mudah kerana nelayan perlu mencari lokasi strategik, lubuk hidupan laut itu.
Udang kara gemar ikan, justeru, umpan ikan segar akan disangkutkan pada mata kail dalam bubu.
Jika ada udang kara tersangkut, maka pendapatan nelayan pasti lumayan.
Ada masa-masa tertentu setiap nelayan mampu mendaratkan kira-kira tiga hingga empat kilogram udang kara yang boleh dijual kepada orang tengah sekitar RM80 sekilogram.
Tidak hairan jika pendapatan nelayan udang kara mencecah ribuan ringgit jika tangkapan mereka banyak.
Udang kara atau lobster atau nama saintifiknya, panulirus versicolor mendapat permintaan tinggi terutama dalam kalangan pengusaha hotel dan restoran makanan laut.
Setiap set hidangan udang kara boleh mencecah antara RM250 hingga RM300 berikutan permintaan yang tinggi berbanding penawarannya yang rendah.
Nelayan akan meninggalkan bubu untuk tempoh masa tertentu sebelum ditenggelamkan ke dasar laut. Ia ditandakan dengan pelampung mengikut warna.
Projek membina bubu ini dimulakan pada 2003 sebelum peralatan itu diperbaharui untuk memudahkan penangkapan udang kara dengan lebih efektif, selektif dan mesra sumber.
Hasil percubaan dilaksanakan di Kampung Sungai Musoh mendapati bubu dapat menangkap udang dengan kuantiti lebih tinggi berbanding penggunaan peralatan tradisional dikenali bintoh.
Dengan kos pembuatannya sekitar RM80 hingga RM90 seunit, bubu udang kara dapat memberikan pulangan tinggi, selain menjimatkan masa operasi, kawasan operasi lebih luas dan nelayan boleh mengusahakan perkakas perikanan lain.
Secara purata, nelayan boleh memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.
Pengenalan inovasi ini menarik minat 50 bot yang membabitkan 100 nelayan berpangkalan di jeti nelayan Sungai Musoh menggunakan teknik ini.
Terdapat dua teknik penggunaan bubu iaitu teknik hanyut dengan bubu diletak tanpa menggunakan sauh dan diangkat apabila air laut pasang penuh.
Teknik kedua menggunakan sauh iaitu bubu diperam dan diangkat setiap kali air laut pasang penuh.
Kedua-dua teknik itu menggunakan umpan dan setiap bot mempunyai sehingga 30 unit bubu dengan kawasan penangkapan sekitar lima batu nautika.
Harga udang kara dijual mengikut kualiti. Gred A membabitkan 200 gram ke atas berharga RM80 hingga RM100 sekilogram, Gred B pula 190 gram hingga 100 gram (RM60 hingga RM80 sekilogram) dan Gred C dengan 100 gram ke bawah (RM30 hingga RM50).
Setiap bot nelayan boleh mendaratkan tiga hingga 20 udang kara sehari.
Di Malaysia, nelayan masih bergantung kepada benih daripada sumber liar berbanding pembiakan di pusat penternakan.
Namun, Taiwan, Singapura, India dan Vietnam sudah lama mengamalkan kaedah pembangunan akuakultur.
Sumber:Harian Metro
No comments:
Post a Comment