Showing posts with label Stevia. Show all posts
Showing posts with label Stevia. Show all posts

Sunday, July 31, 2011

Memperluas industri stevia


KELEBIHAN pemanis semulajadi stevia mempunyai pelbagai khasiat menjadikan perusahaannya semakin diperluas ke peringkat komersial.


KEHEBATAN pemanis semulajadi pengganti gula, stevia atau nama saintifiknya Stevia rebauidiana memang tidak dapat disangkal lagi.
Selain mempunyai ekstrak rasa manis pada kadar 200 hingga 300 kali ganda berbanding gula biasa, tumbuhan herba daripada keluarga Chrysanthemum itu turut menawarkan pelbagai khasiat lain seperti protein, fiber, karbohidrat, kalsium, natrium, magnesium dan juga zink.

Daripada sudut perubatan, stevia berupaya membantu mencegah penyakit kanser, kencing manis, diabetes selain mengandungi vitamin A, B dan C serta mineral penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.

Rasanya yang terlalu manis pula menjadikan produk gula alternatif itu hanya diperlukan dalam kuantiti sedikit sekali gus memberi penjimatan daripada segi perbelanjaan.

Walaupun menawarkan pelbagai kelebihan, penggunaan stevia di negara ini masih berada di peringkat rendah iaitu sekitar tiga peratus sahaja berbanding 80 peratus di Jepun.

Stevia sebenarnya berasal daripada Paraguay, Amerika Syarikat sesuai di tanam di kawasan beriklim tropika.
Di Malaysia, penanaman pokok stevia masih belum dilaksanakan secara meluas dan jika ada pun, ia hanya dijalankan dalam skala yang kecil.

Bagi tujuan pembangunan pula, beberapa organisasi penyelidikan tempatan kini sedang giat menjalankan kajian mengenai penanaman, pengekstrakan dan pengeluaran produknya.
Melihat peluang tersebut, sebuah syarikat bumiputera, Megaherbs Bioextreme (Megaherbs) telah memulakan aktiviti pertanian dan perniagaan berasaskan stevia.

Mula ditubuhkan sejak tahun 2010, syarikat itu menawarkan program kursus keusahawanan berkaitan penanaman stevia.

Menurut Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya, operasi syarikatnya bermatlamat menggalakkan ahli masyarakat menceburi perusahaan penanaman stevia.

‘‘Aktiviti penanaman stevia ini bakal menjana pendapatan ekonomi baru di samping memberi faedah kepada masyarakat kerana ia mempunyai pelbagai khasiat.

‘‘Menerusi program keusahawanan ini, kita bantu para peserta daripada segi penyediaan kemudahan, khidmat nasihat, infrastruktur asas, sokongan teknikal, panduan dan pemasaran.
‘‘Setakat ini, kita telah mempunyai seramai lebih 200 orang peserta. Selain pengeluaran daun, aktiviti penanaman mereka lebih tertumpu kepada pengeluaran anak-anak pokok untuk dijual kepada para peserta baru,’’ katanya ketika di temui pada sesi Kursus Keusahawanan Stevia Megaherbs Siri ke-6 di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Zubir memberitahu lagi, ketika mula-mula membuka kursus keusahawanan dahulu, pihaknya menerima permintaan penyertaan yang cukup menggalakkan.

Jadi, beliau terpaksa menjalankan proses temuduga untuk mencari usahawan yang benar-benar berminat dan mempunyai tanah bersesuaian untuk tanaman stevia.

‘‘Menjelang akhir tahun ini, kita menyasarkan sekurang-kurangnya Megaherbs mempunyai seramai 1,000 orang pengusaha stevia terlatih,’’ jelasnya.Ketika ini, Megaherbs sedang dalam usaha sama dengan Unit Bioteknologi, Universiti Teknikal Damansara untuk menjalankan penyelidikan mengenai penanaman stevia secara tisu kultur.
sumber:utusan malaysia 

Ajar teknik penanaman stevia

SECARA asasnya, pokok stevia boleh dibiak menggunakan pelbagai cara iaitu melalui biji benih, pembiakan hortikultur dan sistem fertigasi.

Untuk biji benih, ia hanya perlu ditanam di dalam medium penanaman yang baik sebelum dipindahkan ke kawasan lebih luas.

Bagi hortikultur, ia merupakan kaedah pengklonan pokok yang diketahui mempunyai kandungan steviol (pemanis) tinggi sebagai induk.

Cara tersebut dijalankan menerusi pemotongan dahan yang yang ingin dibiakkan sebelum direndam dengan hormon pengakar dan seterusnya ditanam.

Dengan cara itu, penghasilan steviol daripada induk akan dapat dikekalkan pada benih pokok baru.

Sementara untuk fertigasi, ia merupakan sistem penanaman moden yang mampu menjana lebih keuntungan kepada para usahawan.

Melalui kaedah itu, ia akan membekalkan nutrien lengkap kepada pokok selain dapat dikawal mengikut pertumbuhan dan meningkatkan hasil.

Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya memberitahu, untuk setiap kursus yang dijalankan, para peserta akan diajar tentang teknik asas penanaman stevia.

‘‘Mereka akan didedahkan dengan kaedah penyediaan tanah dan batas, penanaman anak benih, penjagaan, pembajaan, kawalan perosak, penuaian dan pengeringan.

‘‘Biasanya, selepas dua minggu biji benih ditanam, anak pokok akan dipindahkan ke batas sebelum mereka diajar cara membuat tunas untuk pembiakan biji benih.

‘‘Pada peringkat ini, pengusaha perlu memberi perhatian terhadap perkembangan akar untuk memastikan pokok tumbuh dengan sihat,’’ jelasnya.

Pokok stevia akan mengambil masa selama lebih kurang tiga bulan untuk dituai.

Daun-daun yang telah kumpulkan akan dijemur di bawah cahaya matahari secara berterusan selama satu hari setengah sebelum di hantar ke kilang pemproses.
Sumber:utusan malaysia 

Usahawan kontrak ladang stevia


MEGAHERBS Bioextreme (Megaherbs) menawarkan penanaman stevia secara ladang kontrak kepada usahawan yang berminat.


TIDAK perlu berbelanja besar, mudah ditanam dan tidak memerlukan kawasan luas. Itu yang ditawarkan oleh Program Keusahawan Stevia oleh syarikat pertanian Megaherbs Bioextreme (Megaherbs) kepada usahawan yang berminat.

Menerusi program itu, syarikat tersebut memperkenalkan konsep penanaman secara perladangan kontrak.

Menurut Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya, pengenalan konsep itu bermatlamat mewujudkan kerjasama antara syarikat dengan para pengusaha.

‘‘Ia akan memudahkan kedua-dua pihak dalam urusan pembekalan baja dan anak pokok serta pembelian semula hasil tanaman.

‘‘Biasanya, syarikat akan membeli daun stevia kering dengan harga RM40 hingga RM50 sekilogram mengikut gred dan harga pasaran.

‘‘Kontrak ini akan dijalankan selama dua tahun dan pengusaha boleh memperbaharuinya mengikut kesesuaian,’’ jelasnya.

Bagi usahawan yang berminat, pihak Megaherbs telah menyediakan beberapa pakej kursus bermula daripada kos serendah RM3,000 hingga RM90,000.

Selain berurusan dengan para usahawan, Megaherbs turut menjalankan kerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan bagi menjalankan aktiviti penanaman stevia dalam skala besar.Antaranya seperti usaha sama dengan Jabatan Pertanian Terengganu bagi mewujudkan Pusat Latihan Penanaman stevia untuk para petani di seluruh negeri Terengganu.

Tidak cukup dengan itu, Megaherbs juga sedang dalam proses perbincangan dengan sebuah organisasi dari Sabah untuk membuka ladang stevia di sana.

‘‘Kita juga ada menjalankan latihan penanaman di rumah ibu-ibu tunggal untuk menggalakkan mereka menceburi industri ini di samping mengisi masa lapang.

‘‘Selain itu, kita turut melatih para belia di seluruh Malaysia yang berminat menjalankan perniagaan ini di bawah program Belia 4B,’’ jelasnya.

Untuk perancangan tahun 2011, Megaherbs bercadang membuka lebih kurang 1,000 ladang Stevia baru di seluruh negara.

Para usahawan yang berminat dipelawa menyertai program ini dengan mendaftar di laman web www.plantstevia.blogspot.com.
Sumber:utusan malaysia 

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails