Monday, August 2, 2010

Kastor peluang baru pertanian


Tanaman ini boleh ditanam di atas apa jua jenis tanah dan mudah diselenggara.


DIKENALI sebagai pokok jarak di negara ini, kastor merupakan salah satu tanaman yang bakal mencetuskan fenomena pertanian baru kepada petani.

Jika harga pasaran dunia bagi minyak kelapa sawit berada di bawah nilai satu dolar Amerika Syarikat, minyak kastor pula berharga dua hingga tiga kali ganda berikutan permintaan terhadapnya semakin meningkat ketika kini.

Hal demikian kerana produk yang dapat dihasilkan daripada tanaman ini adalah pelbagai dan tidak dapat menampung permintaan yang sedang melonjak tinggi.Pokok kastor atau nama saintifiknya Ricinus communis adalah spesies pokok berbunga dari keluarga Euphorbiaceae.

Benih pokok ini dikenali sebagai biji kastor dan sebenarnya berasal daripada Mesir , India dan ia juga boleh ditemui di sekitar kawasan tropika seperti China, Brazil, serta Thailand.Biji kastor pada dasarnya amat beracun namun minyak dihasilkan kini merupakan sumber penting kepada produk seperti minyak pelincir kapal terbang.Ia juga merupakan satu produk komersial terawal dan telah dikenali sejak 4,000 tahun Sebelum Masehi apabila biji benih tersebut ditemui dalam makam-makam di Mesir.

Minyak kastor

Jika di Mesir pada zaman dahulu, minyak kastor digunakan untuk menyalakan lampu dan disapu pada badan selain digunakan untuk menyihatkan rambut.

Di India ia juga digunakan untuk menyalakan lampu manakala di China menggunakannya sebagai rawatan dalam dan luaran.

Hari ini, di Malaysia, tanaman ini sedang diusahakan oleh syarikat FarmBond Resources Sdn. Bhd. yang beroperasi sejak 2008.

Syarikat ini juga turut membekalkan benih kastor untuk pertanian ke seluruh Asia.Menurut pengurus perniagaan syarikat tersebut, Zaini Zam Keman, purata tanaman kastor hanya selama 120 hari sahaja."Selepas 120 hari pokok kastor sudah boleh dituai untuk kali pertama.

"Pokok kastor boleh bertahan sehingga lapan tahun dan hasilnya boleh dituai sepanjang tahun jika ditanam di negara ini," jelas beliau ketika ditemui di pejabatnya.FarmBond memiliki pengalaman luas dalam bidang perniagaan dan serta kepakaran dalam menghasilkan benih kastor yang bermutu tinggi.Jelas Zaini Zam, tidak semua pokok kastor yang ditanam dapat menghasilkan peratus minyak yang tinggi seperti yang dikehendaki.

Sebagai contoh, spesies tempatan memiliki biji benih yang kecil justeru ia tidak sesuai ditanam untuk tujuan komersial.

"Di sini kami menggunakan benih pokok kastor hibrid yang diimport terus dari China yang mana buahnya lebih besar dan memiliki peratusan kandungan minyak yang lebih tinggi," jelasnya.Namun dengan ladang yang dimiliki FarmBond kini, ia tidak dapat memenuhi permintaan dunia yang semakin meningkat.Justeru syarikat Farmbond mengambil inisiatif mengadakan perladangan kontrak bagi para petani yang berminat.

Jelas Zaini Zam, mereka hanya perlu menyediakan tapak (ladang) minimum hanya tiga ekar bagi memastikan mereka menerima pulangan yang berbaloi.

"Segala persiapan ladang, pinjaman bank dan penanaman pokok sehingga berusia sebulan akan diuruskan oleh syarikat sebelum diserahkan kepada petani selepas itu."Kita juga akan membeli semua hasil tuaian justeru petani tidak perlu risau memikirkan tentang pasaran biji kastor tersebut."Malah kita juga menawarkan jawatan eksekutif pemasaran sebagai agen untuk membantu petani," ujarnya.

Bagi yang berminat boleh menghubungi Zaini di talian 03 79542297 atau melayari laman web syarikat tersebut di www.farmbond.com.

Sumber:Utusan Malaysia

Usahawan mi

Dua pekerja menggunakan mesin untuk meleperkan tepung.

USIA bukan penghalang untuk berjaya. Setiap usaha sekiranya dilakukan bersungguh-sungguh pasti mendatangkan manfaat walaupun hanya bermula secara sambilan dan kecil-kecilan.

Bersandarkan kepada keinginan untuk hidup lebih selesa dan menambah pendapatan keluarga pasangan suami isteri Tukimon Watim, 63, dan Marhamah Marhani, 59, mencuba nasib berniaga mi simpul (siput) secara kecil-kecilan kira-kira enam tahun lalu.

Mereka bermula dengan modal RM500 untuk membeli bahan-bahan bagi memproses mi simpul dan membuat mengikut kemampuan.

Tanpa sebarang mesin canggi, pasangan suami isteri itu gigih mengusahakan apa yang telah dipelajari di rumah mereka di Kampung Sungai Nibong, Semerah Batu Pahat, Johor.

Dalam keadaan serba kekurangan ketika itu, mereka hanya mampu menghasilkan 20 hingga 25 kilogram mi simpul sehari untuk dipasarkan di sekitar kawasan Semerah sahaja kerana tidak mampu untuk menghasilkan produk lebih banyak.

Bagaimanapun, semakin hari permintaan terhadap mi simpul yang mereka usahakan bertambah dan mereka kemudian membeli sebuah mesin menguli tepung berharga RM1,500 bagi meningkatkan pengeluaran.

"Dengan adanya mesin penguli itu kerja-kerja membuat mi simpul lebih mudah dan jumlah yang dihasilkan juga semakin meningkat,'' ujar Tukimon.

Mereka tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana pihak tetapi kegigihan pasangan itu mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah Batu Pahat yang telah memberi bantuan mesin pemotong berharga RM3,000 supaya mampu menghasilkan sehingga 40 kilogram mi simpul sehari.

Setelah produknya mula mendapat permintaan yang lebih tinggi, mereka mendaftarkan perniagaan atas nama Usahasama T & M Enterprise dengan label produk sebagai Mee Siput.

Kini mi simpul keluaran syarikat T & M ini semakin digemari kerana ia merupakan salah satu makanan ringan yang rangup dan popular di Batu Pahat juga Johor amnya.

Produk itu semakin mendapat permintaan yang tinggi tetapi mereka tidak mampu memenuhinya kerana tiada alatan atau mesin yang sesuai.

Bagaimanapun, kegigihan mereka sekali lagi mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah dan sekali lagi diberi bantuan membina bangunan bernilai RM28,000 untuk meneruskan perusahaan kecil dan sederhana itu dengan lebih teratur.

Sebelum itu mereka melakukan kerja-kerja tersebut di kawasan rumah sahaja.

Menurut Marhamah, mi simpul yang telah siap di proses akan disusun di atas pemidang dan dijemur di bawah cahaya matahari sehingga benar-benar kering.

Katanya, masalah timbul sekiranya musim hujan apabila mi simpul tidak cukup kering dan ia akan dijangkiti kulat serta terpaksa dibuang dan ini mendatangkan kerugian kepada perniagaan mereka.

Untuk itu mereka berusaha mendapatkan alat pengering untuk membolehkan operasi berterusan walaupun hujan.

"Sekarang apabila hujan kami tidak lagi bimbang kerana sudah mempunyai tempat pemanas untuk mengeringkan mi smpul yang dikeringkan menggunakan cahaya matahari," kata Tukimon.

Permintaan yang semakin meningkat dan pemasaran yang semakin meluas menjadikan pasangan suami isteri ini tidak menang tangan untuk menyediakan tempahan yang diterima.

Pasangan itu dibantu oleh anak mereka, Mohd. Azri Yim, 30, yang bertanggungjawab memasarkan produk itu di sekitar negeri Johor juga menguruskan segala urusan penghantaran.

Marhamah berkata, mi simpul dijual pada harga RM5 sekilogram atau RM4 bagi 700 gram yang telah siap dibungkus sekiranya dibeli terus di kilang mini mereka.

Tukimon menambah, kini mereka dibantu oleh lima orang pekerja tetap dan sedia menerima pelatih yang ingin mempelajari pembuatan makanan ringan tersebut seperti yang dilakukan Mara baru-baru ini.

Beliau juga berkata, setakat ini ramai orang perseorangan atau pelancong datang untuk melihat sendiri bagaimana mi simpul dihasilkan dan meeka juga menerima lawatan daripada pelbagai pihak yang ingin melihat sendiri kegigihan pasangan suami isteri ini.

Kini mereka boleh tersenyum bangga apabila produk yang dihasilkan secara kecil-kecilan kini menjadi produk yang mendapat permintaan menggalakkan dan kehidupan mereka kini jauh lebih baik dari dahulu.
Sumber:Utusan Malaysia

LKM perkenalkan program tingkatkan pengeluaran biji koko

PENAMPANG 2 Ogos - "Program Koko untuk Rakyat" telah dilancarkan hari ini sebagai satu daripada inisiatif Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk melibatkan orang ramai dalam usaha meningkatkan pengeluaran biji koko negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata, peningkatan ini perlu kerana ketika ini pengeluaran biji koko negara belum pun mencapai 10 peratus daripada kapasiti pengisaran koko negara.

"Kapasiti pengisaran koko negara dianggarkan sebanyak 350,000 tan setahun, namun pengeluaran biji koko negara hanyalah sekitar 18,000 tan setahun.

''Kita banyak bergantung kepada biji koko diimport bagi pengisar kita, dengan aktiviti hiliran industri koko mencatatkan prestasi baik di Malaysia.

"Berikutan kekurangan koko, saya difahamkan bahawa terdapat pelabur di Malaysia yang pergi ke Indonesia untuk membuka kemudahan pengisaran mereka. Oleh kerana Indonesia menetapkan duti eksport 10 peratus bagi koko dieksport dari negara mereka, kita tidak boleh terus mengeksport dengan banyak dari mereka seperti sebelum ini," katanya selepas majlis pelancaran peringkat kebangsaan program tersebut di sini, hari ini.

Program tersebut yang melibatkan pemberian anak pokok koko yang telah dicantum secara percuma kepada rakyat, disasarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanaman ini di samping memberi pendapatan sampingan kepada rakyat.

Ia juga dijangka membantu menyumbang kepada sasaran pengeluaran biji koko tempatan kepada 40,000 tan setahun dalam tempoh lima tahun akan datang. Dompok menjelaskan Malaysia dan Sabah dahulunya pernah mengusahakan banyak tanaman koko namun apabila harga komoditi tersebut turun pada akhir 1980-an, ia dianggap tidak menguntungkan dan diganti dengan kelapa sawit berikutan nilainya yang tinggi.

Sementara itu Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Azhar Ismail berkata dengan program-program koko yang sedia ada dan Program Koko Untuk Rakyat ini, Lembaga itu menyasar pengeluaran biji koko negara dapat menampung sekurang-kurangnya 30 peratus keperluan kapasiti pengisaran negara menjelang 2020.

Menyentuh program hari ini, beliau berkata, 1,000 anak pokok koko akan diedarkan sempena majlis pelancaran, dan sasaran mereka adalah untuk mengedarkan 1 juta anak pokok dalam lima tahun (dianggar melibatkan 1,000 hektar) iaitu purata 200,000 anak pokok dalam setahun.

Program itu mengalakkan tanaman koko di kawasan seperti di sekeliling rumah, pejabat, sekolah dan taman rekreasi.

Beliau berkata, LKM juga akan membantu memasarkan buah atau biji koko tersebut.

Pada 2009, pengisaran biji koko oleh industri pengisaran koko Malaysia berjumlah 279,228 tan. Malaysia mencatatkan pendapatan sebanyak RM3.2 bilion daripada eksport koko dan produk berasaskan koko pada tahun tersebut, turun sedikit daripada RM3.4 bilion yang diraih pada 2008.

- Bernama

Terbaik dari Malaysia


Badruddin Amiruldin (tengah) tertarik dengan produk minuman jus rosel selepas merasmikan Siri Jelajah Kempen Pembangunan Jenama 1Malaysia Best di Kuala Lumpur baru-baru ini.


INDUSTRI asas tani dan sektor pengeluaran agro makanan kini semakin mendapat penyertaan meluas dari kalangan masyarakat.

Melihat potensinya yang mampu memberi pulangan lumayan, ramai usahawan dan pengusaha perniagaan telah mula mencuba nasib dalam bidang tersebut.

Tambahan pula, bumi Malaysia yang mempunyai kelebihan dikurniakan pelbagai produk tani bermutu tinggi membuka lebih banyak peluang untuk mereka melaksanakannya dalam skala lebih besar.

Perkembangan positif itu sebenarnya bukan sahaja dapat memajukan bidang pertanian, tetapi juga mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Justeru, bagi menggalakkan usaha tersebut, kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sentiasa komited menyokong sektor berkenaan melalui penyediaan khidmat nasihat dan penggalakan.

Selain bantuan teknikal, kajian dan penyelidikan (R&D) serta kewangan, fokus turut diberikan kepada mekanisme aktiviti pemasaran dan promosi.

Ini kerana, ketika ini terlalu banyak produk asas tani dan agro makanan yang dihasilkan tidak mendapat ruang pasaran meluas dan stabil.

Antara puncanya adalah, produk-produk ini dikeluarkan dalam pelbagai jenama yang menyukarkan proses pemasaran.

Mencari penyelesaian permasalahan itu, MOA baru-baru ini telah melancarkan jenama pengiktirafan produk asas tani negara yang dikenali sebagai 1Malaysia Best.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan identiti perakuan jenama bagi produk-produk pertanian selain meningkatkan profil dan aktiviti jualannya menerusi pelaksanaan serta pemantauan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurut menterinya, Datuk Seri Noh Omar, penjenamaan tersebut merupakan lambang penyatuan produk-produk asas tani yang membawa imej kualiti terbaik.

''Ia bakal menjadi jenama unggul yang berperanan sebagai ikon identiti Malaysia di pasaran global dengan jaminan penghasilan produk-produk yang halal, berkualiti dan selamat.

''Selama ini terlalu banyak jenama yang digunakan oleh pengusaha-pengusaha kita. Jadi, menerusi 1Malaysia Best, ia diharap dapat memudahkan operasi pemasaran.

''1Malaysia Best merupakan satu pengiktirafan kepada produk-produk tempatan di mana para pengusaha masih boleh menggunakan jenama asal mereka,'' katanya ketika merasmikan jenama 1Malaysia Best di Subang Jaya baru-baru ini.

Idea penjenamaan tersebut sebenarnya diambil daripada pelaksanaan gagasan 1Malaysia yang mementingkan budaya cemerlang dalam pencapaian dan kemajuan.

Menerusi medium itu, ia akan memberi gambaran kepada umum bahawa produk dengan jenama 1Malaysia Best adalah yang terbaik dan memenuhi piawaian antarabangsa terutama dalam sistem perdagangan berteraskan eksport.

''Dengan adanya keyakinan ini, ia akan memantapkan lagi produktiviti pembangunan kluster sub agro makanan sekali gus melengkapkan rantaian bekalan, mengurangkan kos pengeluaran serta meningkatkan penglibatan sektor awam.

''Justeru, kementerian berserta agensi dan jabatan di bawahnya akan sentiasa berusaha membangunkan sektor ini dari segi peningkatan keupayaan dan pengetahuan usahawan tani,'' jelasnya.

Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails