Showing posts with label Kraf. Show all posts
Showing posts with label Kraf. Show all posts

Friday, October 16, 2009

Pokok kercut dijadikan kertas


Norhayati Abdullah dengan dibantu anak tirinya Adam, gigih mengusahakan produk kraf tangan menggunakan pokok rumput air kercut yang tumbuh liar di Tasek Chini. Gambar kecil, kertas yang dihasilkan daripada pokok kercut. - BERNAMA


PEKAN - Anak Orang Asli sering dikaitkan dengan kemunduran. Wanita Orang Asli yang berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam pula sering dikaitkan dengan dua masalah iaitu kemiskinan dan keruntuhan rumah tangga.

Bagi membuktikan tanggapan itu tidak sesuai pada masa kini, anak jati Kampung Gumum, sebuah perkampungan Orang Asli suku kaum Jakun, kira-kira 75km dari bandar Diraja Pekan, dekat Tasik Chini, Pahang ini gigih berusaha mempertingkatkan ekonominya.

Norhayati Abdullah, 44, yang mesra dengan panggilan Kak Nor ini, tidak pernah mengenal erti putus asa.

Kak Nor kini gigih menghasilkan kertas daripada pokok kercut (Lepironia articulata), sejenis pokok rumput air yang banyak terdapat di Tasik Chini.

Kertas itu kemudian dijadikan kraf tangan seperti penutup lampu tidur dan bingkai gambar.

"Kak Nor tahu tentang kegunaan kercut selepas mengikuti kursus membuat kertas di Alor Setar, Kedah dengan dorongan Dr. Khatijah Husin, Ketua Projek Penyelidikan Tasik Chini di bawah Bio Sains.

"Masa itu, Kak Nor cuba buat, tetapi selesai kursus, kertas masih belum kering betul. Balik ke kampung, Kak Nor cuba lagi. Bukan sekali, dua kali Kak Nor mencuba," cerita Kak Nor.

Tidak cukup dengan ilmu yang diperoleh sewaktu berkursus, Kak Nor mendapatkan sebuah buku berbahasa Inggeris mengenai cara membuat kertas.

"Kak Nor baca buku dengan merujuk kepada kamus. Pada peringkat awal, Kak Nor rendam daun kercut yang sudah dipotong kecil selama tiga bulan. Kertas yang dihasilkan hancur dan produk yang dihasilkan tak berkualiti," jelasnya.

Daripada proses merendam, Kak Nor bertukar teknik kepada merebus. Dengan cara ini, katanya, proses menghasilkan kertas dapat disingkatkan. Jika merendam mengambil masa tiga bulan, teknik merebus hanya 12 jam.

Selepas potongan kercut direbus, ia dikisar menggunakan alat pengisar. Hasil yang dikisar akan dicuci di mana hanya serat yang liat akan diambil dan ditumbuk pula. Hasil yang ditumbuk sekali lagi dicuci sebelum disimpan.

Daripada 800 gram bahan yang melalui pelbagai proses tadi, Kak Nor dapat menghasilkan antara 20 hingga 30 helai kertas.

Menurut Kak Nor, produk yang dihasilkan pertama kali dipamer dan dijual kepada orang ramai ketika Pekan Fest pada 2008.

Tapi katanya, sambutan untuk produk kraf tangan daripada kercut tidak menggalakkan.

Pernah juga Kak Nor mempromosi produk kraf tangannya itu di Kuala Lumpur, juga tidak mendapat sambutan.

Meskipun setakat ini usahanya masih belum memberikan hasil lumayan, wanita berjiwa kental ini tidak mudah patah semangat.

"Bagi Kak Nor produk ini produk baru, bukan sahaja di Pekan tetapi juga di seluruh Malaysia. Kak Nor akan teruskan juga usaha kraf tangan ini. Walaupun orang tak beli, sekurang-kurangnya ada yang Kak Nor hasilkan," jelasnya yang mengakui Perkumpulan Wanita (WI) daerah Pekan di bawah naungan Tengku Puan Pahang, banyak membantunya.

"Kalau ada program, mereka akan menempah barangan cenderamata termasuk bekas telur yang dibuat daripada kertas kercut," kata Kak Nor yang berharap produk daripada tumbuhan kercut akan dapat menambat hati mereka yang gemar kepada produk mesra alam.

"Kercut ini tumbuhan liar di Tasik Chini dan proses pembuatan kertas ini tidak menggunakan sebarang kimia. Kak Nor menggunakan lendir tumbuhan sebagai gam, semuanya bahan asli.

"Pada Kak Nor, ini amat elok untuk penjagaan alam sekitar. Tambahan, untuk pembuatan kertas ini, hanya batang pokok yang dipotong dan batang baru akan tumbuh selepas itu. Ini tidak merosakkan alam semula jadi," kata Kak Nor.

Mereka yang ingin membuat tempahan produk kraf tangan daripada tumbuhan kercut ini boleh menghubungi Kak Nor menerusi telefon 014-8349076. - BERNAMA

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails