Thursday, August 20, 2009

Ternak cacing melalui koperasi


bekas plastik tempat menternak cacing.


KEADAAN ekonomi yang tidak menentu ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan kewangan kepada setiap individu terutama mereka yang bekerja makan gaji.

Kewujudan masalah tersebut telah mendorong ramai ahli masyarakat melibatkan diri dalam perniagaan secara sampingan bagi menambah pendapatan bulanan mereka.

Ini kerana, trend tersebut dilihat mampu memberi pulangan hasil yang lumayan bagi menampung keperluan kewangan sesebuah keluarga.

Salah satu saluran perniagaan yang semakin mendapat sambutan menggalakkan adalah penghasilan baja kompos daripada penternakan cacing.

Bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat menjalankan aktiviti tersebut, syarikat Kulim Worm Agrotech (KWA) bersama Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB) menyediakan beberapa saluran perniagaan.

Ia merangkumi pakej penternakan cacing, kursus dan khidmat nasihat, perladangan kontrak, penjualan baja organik dan industri hiliran.

Menurut Pengurus Pemasaran KWA, Raja Anita Kamariah Raja Hussin, kerjasama dengan KKPMB itu dilihat mampu melahirkan lebih ramai penternak cacing tempatan dalam meningkatkan pengeluaran baja organik sekaligus memenuhi keperluan Dasar Pertanian Negara.

''Ini kerana menjelang tahun 2010, kerajaan berhasrat untuk menghapuskan penggunaan baja kimia untuk memberi lebih tumpuan kepada baja organik.

''Tambahan pula, di beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina, cacing telah dijadikan sebagai produk farmaseutikal dan kosmetik selain dibuat makanan seperti jus dan coklat kerana ia mengandungi lebih 80 peratus kandungan protein serta nutrien berguna,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KWA yang ditubuhkan pada 13 Jun lalu merupakan pengusaha, pengeluar, pengedar dan pemborong baja organik vermikompos.

Selain Kuala Lumpur, syarikat tersebut juga mempunyai beberapa cawangan ladang di Kedah dan juga Pulau Pinang.

Bagi kursus penghasilan baja, syarikat tersebut menawarkan perkhidmatan penerangan secara teori dan praktikal tentang cara-cara menternak cacing, menghasilkan baja organik dan juga bagaimana mencipta peluang perniagaan.

Setelah tamat kursus, para peserta yang berminat memulakan perniagaan tersebut hanya perlu menyediakan modal serendah RM1,250 bagi bekalan cacing, peralatan dan medium makanan serta tempat tinggal.

Melihat kepada fungsi cacing sebagai agen penyubur tanah, keupayaan haiwan tersebut yang boleh menembusi tanah memberi kelebihan menghasilkan ruang pengudaraan yang baik di samping hasil kotorannya boleh membantu menyuburkan tanah.

Di seluruh dunia, terdapat lebih kurang 2,700 spesies cacing, namun terdapat hanya empat jenis yang sesuai untuk dikomersial dan diternak di Malaysia.

Ia termasuk cacing merah (Red Worm), cacing harimau (Tiger Worm), cacing malam (African Night Crawler) dan cacing biru (Blue Worm).

Kesemua jenis tersebut akan dibekalkan kepada para peserta sebagai bahan mentah untuk memulakan penternakan.

''Cacing Merah merupakan jenis yang paling sesuai dan mudah diternak kerana ia membiak secara produktif dan mudah untuk diselenggara,'' jelasnya.

Untuk makanan dan tempat tinggal cacing pula, para peserta akan dibekalkan dengan medium yang terdiri daripada adunan 70 peratus serbuk kayu, 30 peratus tahi kambing dan lima peratus sabut kelapa.

Habuk kayu berfungsi untuk mengekalkan kelembapan, tahi kambing untuk menjaga suhu kepanasan sementara sabut kelapa sebagai pelindung kepada cacing.

Mengikut formula penjagaan cacing, setiap bekas dapat memuatkan sebanyak satu kilogram cacing (kg) dengan 10 kg medium dan bakal menghasilkan 10 kg baja dalam masa 10 hari.

Ini bermakna, sebanyak 30 kg baja akan dihasilkan dalam masa sebulan untuk dijual semula kepada KWA dengan harga RM2.00 sekilogram.

Oleh kerana kos pembelian medium adalah RM1.20 sekilogram, maka para peserta akan menerima keuntungan sebanyak 80 sen untuk setiap kilogram baja.

Menarik mengenai pakej tersebut, para peserta diberi kelonggaran untuk menjual baja tersebut kepada pembeli lain dan tidak semestinya kepada KWA.

Untuk memastikan medium sentiasa berada dalam keadaan lembap, ia perlu disiram setiap dua hari sekali.

Jika penternakan dilakukan di kawasan luar pula, tempat tersebut mestilah berbumbung untuk mengelakkan serangan burung di samping perlu dilengkapkan dengan pencahayaan sepanjang masa.

Ia bertujuan supaya cacing tidak keluar daripada bekas kerana haiwan tersebut amat sensitif kepada cahaya.

Bagi mengelakkan serangan semut pula, bahagian penyokong bekas berisi cacing itu perlu dibalut dengan kain yang telah direndam bersama minyak pelincir.

Setelah cukup tempoh sepuluh hari pembiakan, medium akan diayak sama ada secara manual atau menggunakan mesin bagi mengasingkan cacing, telur cacing dan juga baja.

Cacing yang telah diasingkan tadi akan ditimbang dan dimasukkan ke dalam bekas baru bersama medium baru untuk pembiakan selama sepuluh hari berikutnya.

Pakej penternakan tersebut sebenarnya mengaplikasikan teknologi mikroorganisma efektif (EM) iaitu sejenis hidupan seni yang membantu mempercepatkan proses pereputan medium supaya senang dimakan oleh cacing dan seterusnya mempercepatkan penghasilan baja.

Teknologi berkenaan juga mempunyai kelebihan meneutralkan bau busuk dan membunuh hama pada medium.

Untuk baja organik kompos yang dihasilkan, ia mempunyai kadar nutrien yang sangat tinggi dan sesuai untuk menambah kesuburan serta memperbaiki struktur tanah dan meningkatkan kadar pengeluaran hasil tanaman.

Ia boleh digunakan pada jenis tanaman seperti sayuran, buah-buahan, kelapa sawit, getah, kopi, teh, jagung, padi dan juga tanaman di dalam pasu.

Bagi individu yang mempunyai masalah modal pula, pihak KWA ada menyediakan pinjaman daripada agensi-agensi berkaitan.

Teknologi baru ternak ketam


Ahamad Sabki Mahmood (kanan) tertarik melihat ternakan ketam sambil diperhatikan oleh Teo Siong Wan (tengah) dan Norazman Adnan pada majlis kerjasama penyelidikan dan projek perintis ternakan ketam di Pulau Langkawi, baru-baru ini.


Bukan mudah untuk 'mereka cipta' satu habitat haiwan khususnya ternakan dalam air. Namun teknologi boleh memungkinkan segalanya meskipun kejayaan boleh ditentukan kemudian, selepas mengharungi tempoh percubaan yang lama.

Ini yang cuba dilakukan oleh TBV Management Sdn. Bhd. (TMSB) , sebuah syarikat tempatan yang berjinak-jinak dalam teknologi akuakultur untuk ternakan ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla serrata.

Biasanya penyelidikan melibatkan organisme hidup menggunakan kaedah in situ atau pada keadaan habitat sebenar tetapi syarikat terbabit, yakin akan mencapai sesuatu yang memberangsangkan, sekali gus mampu melonjakkan pengeluaran hasil akuakultur khususnya ketam.

Bagaimanapun syarikat terbabit cuba memperkenalkan sistem tertutup yang mana air ternakan dikitar semula selepas dibersihkan secara automatik menggunakan teknologi khusus.

Teknologi yang dikenali sebagai Sistem Ketam Bersepadu (ICS) itu dianggap satu revolusi baru dalam bidang akuakultur yang mampu menjana pengeluaran ketam berlipat ganda.

Malah, syarikat terbabit bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan Jabatan Perikanan menerusi kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akuakultur Kebangsaan, Pulau Sayak Kedah.

Menurut Pengarah Urusan TMSB, Datuk Norazman Adnan, pihaknya telah melabur sehingga RM1 juta sejak beberapa bulan lepas bagi membangunkan sistem tersebut di Kelibang, Langkawi dengan kerjasama Jabatan Perikanan.

Di pusat tersebut, anak ketam dibiakkan dalam kolam tetapi menghadapi masalah untuk membesar atau lambat mencapai saiz pasaran, selain masalah pemangsaan sesama sendiri dan berebut makanan.

Justeru, pihaknya kemudian memperkenalkan ICS yang mana anak-anak ketam yang beratnya 100 gram (g) di tempatkan dalam petak khas diperbuat daripada PVC untuk menjadi habitat kepada ternakan tersebut.

''Di bawah sistem yang ada ini, setiap seekor ketam ditempatkan dalam petak kecil itu yang mana ICS ini mempunyai sama ada 288 unit petak atau 868 unit," katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan kerjasama penyelidikan dan Projek Perintis Ternakan Ketam di Pulau Langkawi baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood serta Pengarah Perikanan Kedah, Teo Siong Wan.

Norazman berkata, meskipun sistem tersebut masih di peringkat percubaan dan sedang diuji keberkesanannya, beliau melihat ia mempunyai kebaikan daripada pelbagai aspek antaranya mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi penternak ketam.

Masalah tersebut termasuk sukar memperoleh benih, ketiadaan teknologi sesuai, dan modal yang tidak mencukupi.

''Oleh kerana kita masih mengimport benih ketam dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, kami (TMSB) berazam menyebarkan teknologi ini kepada mereka yang berminat," katanya sambil memberitahu bahawa sistem yang di pasang di Langkawi itu baru beroperasi selama dua bulan.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja pengawasan kualiti air supaya sentiasa mematuhi kehendak sistem, pengumpulan data dan bacaan lain dicatat untuk tujuan rekod.

Katanya, ketam akan cepat membesar jika bersalin kulit dan ini yang mendorong pihaknya dan Jabatan Perikanan mencari jalan bagaimana proses tersebut dapat dilakukan dengan kerap.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180g dan ia menjadi cabaran utama sebelum cangkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.

Beliau menjelaskan, banyak aspek ternakan masih dalam penelitian bersama Jabatan Perikanan memandangkan ada dakwaan bahawa ketam nipah akan mati jika habitatnya tidak sesuai.

Ini kerana, ketam nipah sukakan kawasan gelap dan suka 'menyendiri' bagi mengelak menjadi habuan binatang lain.

Ketam juga dikatakan akan cepat membesar jika mencabut anggota badannya kerana ia akan tumbuh semula.

Ketam boleh dijual pada umur antara antara empat dan enam bulan atau apabila beratnya mencapai antara 350g dan 500g. Harga pasarannya boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain didorong oleh minat dan ingin membantu ramai pengusaha ternakan ketam, beliau berharap dapat membantu meningkatkan industri akuakultur itu ke tahap yang membanggakan.

Kenyataan beliau disokong oleh Ahamad Sabki yang menjelaskan bahawa kerajaan sedang giat meningkatkan pengeluaran hasil akuakultur negara dan langkah ke arah itu kini berada di landasan betul.

Kata Ahamad Sabki, pengeluaran akuakultur meningkat 20 peratus dalam tempoh 2007-2009 melibatkan ternakan seperti siput sudu, ketam, tiram.

Katanya, ketika ini jumlah pengeluaran spesies kerang-kerangan mencecah 135,00 tan metrik .

Selain itu, kerajaan juga mahu supaya pengusaha akuakultur mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pada masa sama, ia menyokong Dasar Jaminan Bekalan Makanan 2008-2010 untuk menambah pengeluaran makanan negara bagi keperluan sendiri.

Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi TBV Management Sdn. Bhd. di talian 04-9499333.

Aeroswift majukan pusat ternakan burung walit RM4.5 juta

KULIM 17 Ogos - Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd. (Aeroswift), syarikat perunding bumiputera, melaburkan RM4.5 juta bagi meneroka industri ternakan burung layang-layang atau walit secara komersial di Kampung Sungai Tengas, dekat sini.

Pengarah Eksekutif Aeroswift, Khairil Sani Wong Abdullah berkata, projek itu merupakan kerjasama antara syarikat berkenaan dan Persatuan Usahawan Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (Pushpiam).

"Projek itu membabitkan pembinaan sembilan unit rumah burung walit dengan pembabitan ahli-ahli Pushpiam dengan harga RM359,000.

"Apabila siap kelak, setiap rumah itu mampu memuatkan kira-kira 8,000 ekor dan menjana pulangan kepada peserta sebanyak RM120,000 sebulan," katanya selepas lawatan kerja Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukriz Mahathir di sini kelmarin.

Menurut Khairil Sani, projek ternakan berkenaan menggunakan teknologi Indonesia yang mana kesemua burung walit akan dipelihara bermula peringkat penetasan telur.

Jelasnya, burung walit yang dipelihara di tempat lain menggunakan kaedah semula jadi iaitu mendirikan rumah atau tempat perlindungan dan ditambah dengan sistem audio serta membiarkan burung membuat sarang.

"Bagaimanapun, projek di Sungai Tengas ini agak unik kerana kita akan tetas sendiri telur burung walit dan pelihara sehingga besar.

"Apabila membesar, ia akan dilepaskan ke dalam sangkar lebih besar sebelum dapat mengeluarkan sarang yang boleh dikawal selia kualitinya," katanya.

Beliau memberitahu, projek tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan daripada 108 ahli Pushpiam yang rata-ratanya terdiri daripada kaum bumiputera.

"Projek itu berpotensi besar kerana hasilnya begitu lumayan iaitu sekitar RM5,000 hingga RM7,000 bagi setiap kilogram sarang Gred Super A," katanya.

Tambah Khairil Sani, kesemua hasil sarang burung tersebut akan dieksport ke China menerusi rakan kongsinya, Forevery Swallow Health Ltd.

Sementara itu, Mukhriz berkata, industri ternakan burung walit berpotensi untuk dibangunkan memandangkan ia mempunyai nilai dagangan besar iaitu sekitar RM500 juta setahun.

"Permintaan kepada sarang burung ini juga didapati meningkat sejak kebelakangan ini khususnya bagi pasaran Eropah dan China," katanya.

Sehubungan itu, katanya para usahawan perlu merebut peluang keemasan itu dan kerajaan khususnya MITI bersedia membantu dengan menyediakan modal serta kemudahan meluaskan pasaran.

Wednesday, August 19, 2009

Margenta ganti tembakau


Rohani Abdul Karim (dua dari kanan) menuai kacang margenta sebagai tanda perasmian pelancaran jenis baru kacang tanah di Stesen Penyelidikan MARDI, Telong, Bachok, kelmarin.


BACHOK - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan kacang tanah jenis baru kepada masyarakat tani yang dinamakan sebagai Margenta di Stesen Penyelidikan MARDI Telong di sini semalam.

Margenta yang dibawa masuk ke negara ini dari Malawi telah melalui rantaian kajian pengesahan kesesuaian sejak 2004 dan terbukti berpotensi untuk dijana sebagai industri kelak.

Dengan tempoh matang yang lebih pendek, daya ketahanan penyakit lebih tinggi, saiz lebih besar, hasil dan kualiti lebih baik berbanding jenis tempatan, ia bersesuaian dengan cita rasa pelanggan dan kehendak pengilang.

Tumpuan penyelidikan oleh MARDI diterajui dua penyelidik utamanya, Zaharah Ariffin dan Yahaya Hussain bermula daripada tekanan untuk mendapatkan tanaman alternatif bagi menggantikan tembakau di tanah beris terutama di negeri ini.

Pelancaran jenis baru itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Kadir. Turut hadir Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman.

Pada majlis itu, Rohani turut meninjau penggunaan mesin bagi menyemai, menuai dan menanggalkan kacang bagi memudahkan penanaman secara ladang.

Sempena pelancaran itu juga, MARDI mengatur seminar pemindahan teknologi tanaman itu kepada 100 peserta yang mewakili pertubuhan dan kumpulan masyarakat tani di negeri ini di samping membekalkan benih kepada mereka.

Berucap pada majlis itu Rohani berkata, kacang tanah masih merupakan tanaman kontan yang diusahakan secara kecil-kecilan di negara ini dengan keluasan merosot kepada 260 hektar pada tahun lalu.

"Namun permintaan terhadap kacang tanah adalah tinggi sebagai contoh pada tahun 2002, pengeluaran dalam negara cuma 1,637 tan metrik manakala permintaan pula sebanyak 31,933 tan metrik.

"Bagi memenuhi keperluan, negara terpaksa mengimportnya dengan nilai lebih RM48 juta," ujarnya.

Katanya, hasil kajian menunjukkan tanaman di tanah beris menghasilkan purata lebih tinggi iaitu 3.87 tan metrik sehektar berbanding tanah lanar sungai iaitu 2.62 tan metrik.

Beliau mengambil contoh, di jajahan ini lebih 6,000 daripada 13,037 hektar sudah tidak lagi ditanam tembakau dan dengan prasarana ladang sedia ada, ia boleh dijadikan ladang kacang tanah terbesar.

Katanya, dengan jangkaan impak positif yang tinggi disandarkan kepada jenis baru ini, kemungkinan kedudukan tanaman ini yang tidak layak menerima insentif akan dikaji semula oleh kementerian.

"Keluasan tanaman dan bilangan petani yang terlibat kini adalah kecil, jadi ia tidak tersenarai sebagai tanaman singkat masa yang layak menerima insentif," ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan MARDI supaya tidak bertindak sebagai penjana teknologi pertanian sahaja tetapi perlu membantu meningkatkan pengetahuan petani agar menggunakan teknologi berkenaan.

"Pencapaian MARDI bukan sahaja diukur dengan bilangan teknologi yang dihasilkan.

"Kejayaan wajar diukur melalui berapa banyak teknologi itu diterima pakai dan menyumbang kepada perkembangan industri pertanian negara," ujarnya.

Utara: Premis kedai jadi pusat ternak burung

HUTAN MELINTANG: Burung layang-layang yang lendirnya dikatakan berkhasiat untuk mengembalikan tenaga batin, kini menjadi industri eksport yang besar, namun bagi penduduk Taman Desa Aman dan Taman Muhibah di sini, ia menjadi masalah besar kepada ketenteraman mereka.

Kira-kira 2,500 penduduk dua taman itu mendakwa tidak dapat tidur nyenyak waktu malam kerana sering diganggu bunyi bising burung berkenaan.

Burung layang-layang berbulu putih dan hitam yang dikenali sebagai burung walid atau nama saintifiknya Aerodranus Fuchipaga ‘diternak’ di sekitar kawasan perumahan itu kerana permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa.

Apa yang menjadi tanda tanya penduduk ialah keseluruhan 88 unit premis kedai di tiga blok bangunan tiga tingkat berdekatan tidak ada perniagaan dijalankan sebaliknya dibina khusus untuk burung itu bersarang serta beroperasi sejak setahun lalu.

Penduduk yang ditemui Berita Harian menyatakan kesal dan kecewa bagaimana bangunan itu boleh dibenarkan dijadikan tempat pemeliharaan habitat burung dikelilingi taman perumahan penduduk.

Pihak Rukun Tetangga (RT) taman perumahan itu ada menghantar bantahan kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang meminta operasi menternak burung itu segera dipindahkan ke tempat lain, tetapi sehingga ini kegiatan itu masih berterusan.

Pengerusi Penyelaras Keselamatan RT taman itu, Mat Termizin Jedal, 50, berkata pihaknya turut membuat aduan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi memantau perkara itu.

"Seluruh penduduk membabitkan lebih 400 unit rumah di dua taman perumahan ini mengalami tekanan kerana gangguan bunyi bising burung itu sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata, bunyi kicauan ribuan ekor burung itu lebih ketara pada waktu malam bermula dari jam 10 malam hingga 6 pagi.

"Kami tidak boleh tidur malam kerana bunyi burung itu terlalu kuat dan menerusi peralatan suara burung yang dipasang menyebabkan kami sering terkejut dari tidur," kata penduduk, S Murallia, 48 dari Taman Desa Aman.

Suri rumah P Angele, 48, berkata anaknya tidak dapat mengulang kaji pelajaran terutama pada waktu malam kerana gangguan bunyi burung berkenaan.

Syarikat swasta perluas pasaran kerepek PWPK



NORDIN dan isterinya, Zaini Hassan menjual pelbagai produk kerepek di kedai mereka.

Risda peruntuk RM50,000 bina bangunan kumpul hasil

TANGKAK: Pengeluaran pelbagai produk kerepek yang diusahakan Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) Daerah Ledang kini melangkah jauh apabila produk itu turut dipasarkan oleh sebuah syarikat swasta sehingga ke luar negeri ini melalui Pusat Pengumpulan Pengeluaran Hasil Pekebun Kecil (PPPK) di Sungai Mati, yang ditubuhkan Disember lalu.

Jika sebelum ini produk kerepek keluaran PWPK daerah itu hanya dipasarkan di sekitar kampung berhampiran, kini ia berjaya memperluaskan produk sehingga ke Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Selaras dengan usaha itu satu majlis perasmian PPPK Sungai Mati dan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bekalan Pengeluaran Industri Kecil Sederhana (IKS) antara PWPK Daerah Ledang dengan NBA Enterprise.

Setakat ini, enam daripada 10 PWPK Daerah Ledang iaitu Serom Tiga, Serom Lima, Kampung Durian Condong, Parit Bunga Raya Hujung, Kampung Hujung Tambak dan Kampung Sri Tanjung yang disertai oleh kira-kira 90 keluarga, menandatangani MoU dengan syarikat berkenaan.

Pengarah Risda Johor, Ka`ab Alias, berkata melalui kerjasama itu pihaknya berharap dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kira-kira RM2,000 sebulan menjelang akhir tahun ini.

AHLI Parlimen Ledang, Hamim Samsuri menarik tirai perasmian Pusat Pengumpulan Pengeluaran Hasil Pekebun Kecil Sungai Mati, baru-baru ini.

Katanya, selain tugas utama Risda membantu pekebun melalui tanam semula, pihaknya mengadakan program memasarkan produk yang dihasilkan oleh keluarga pekebun bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“ Jika semua isteri pekebun yang menyertai PWPK itu membuat kerepek, pasaran mereka biasanya terhad di kawasan sekitar kampung saja tetapi melalui MoU dengan syarikat swasta itu mereka dapat memasarkan produk ke kawasan lebih jauh, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan, ” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap program itu dapat dijalankan secara berterusan dan semua ahli PWPK komited bagi menghasilkan produk kerepek yang berkualiti untuk mendapat pasaran.

Pengarah Urusan NBA Enterprise, Nordin Ashari, berkata PPPK mendapat peruntukan Risda sebanyak RM50,000 untuk membina bangunan tambahan yang dijadikan sebagai pusat pengumpulan hasil.

Katanya, sejak pusat itu dibuka hujung tahun lalu, setiap PWPK membekalkan antara 30 kilogram hingga 40 kilogram kerepek sebulan yang kemudian dipasarkan ke pelbagai lokasi lain sehingga ke Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan Perlis.

“Usaha sama itu membantu meningkatkan jumlah hasil jualan peserta dan pada masa yang sama membantu saya menambahkan produk untuk memenuhi pelanggan syarikat yang juga pelanggan tetap di kalangan peniaga kecil, peniaga pasar malam dan orang awam, ” katanya.

Nordin berkata, pihaknya turut menentukan kualiti setiap produk bagi memastikan ia mendapat pasaran yang baik dan semua ahli PWPK turut memahami peranan mereka untuk menghasilkan pengeluaran produk kerepek bermutu dan memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan.

Pengerusi PWPK Durian Condong, Rohainah Sulaiman, 35, berkata kewujudan PPPK berjaya menambah pendapatannya kira-kira RM500 sebulan melalui penjualan kuih siput dan kuih jintan manis yang dihasilkan kira-kira 15 ahli perkumpulan itu.

Katanya, sejak awal tahun, pihaknya memasarkan kira-kira 60 kilogram kerepek ke PPPK, sebagai tambahan kerepek yang dipasarkan di sekitar daerah ini.

Swasta diminta aktif pacu sektor tani

MELAKA: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta syarikat swasta yang menceburi bidang pertanian, penternakan dan nelayan sama ada bersaiz kecil, sederhana atau besar di negara ini supaya memainkan peranan lebih aktif dalam membantu memacu transformasi sektor berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sektor pertanian dan industri asas tani adalah tunggak dalam menjana ekonomi negara dan jika diterokai secara meluas serta sistematik, ia akan mendatangkan peluang yang melimpah ruah.

"Saya sebenarnya meletakkan harapan amat tinggi kepada sektor swasta untuk memacukan pembangunan sektor pertanian supaya dapat mempercepatkan transformasi sektor itu dari kaedah pertanian tradisional yang diamalkan sekarang kepada moden, dinamik, komersial dan berteknologi tinggi.

"Pengeluaran produk mempunyai nilai tambah yang tinggi ini adalah selaras dengan saranan Perdana Menteri, kerana ia mampu melonjakkan sektor pertanian dengan lebih berjaya," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), dekat sini, semalam.

Program yang bertemakan Pertanian Menjana Ekonomi Negara itu berlangsung selama seminggu, bermula Isnin lalu. Sempena sambutan itu, pelbagai acara menarik diadakan, termasuk jualan dan pameran produk berkaitan perladangan, penternakan dan nelayan.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar; Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mohamad Dolmat dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman.Muhyiddin berkata, bagi menyokong usaha petani, penternak, nelayan serta sektor swasta, sistem penyampaian kerajaan perlu sentiasa diperkemas dan diselaraskan supaya lebih mesra pelanggan, manakala fungsi serta peranan beberapa kementerian, jabatan dan agensi berkaitan diselaras dan disusun semula.

Sumber:Berita Harian

Ramuan madu dukung anak dipasarkan


Abdul Razak Walad menunjukkan produk kombinasi madu asli dengan herba dukung anak di Napuh, Jitra, Kedah.


JITRA 14 Ogos - Sejak zaman dahulu, madu digunakan sebagai agen penyembuh penyakit dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Pelbagai petua kesihatan yang menggunakan madu diturunkan melalui lisan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Namun, ramuan madu dicampur dengan pokok dukung anak atau nama saintifiknya Phyllanthus jarang kita dengar dan ramuan tersebut digunakan oleh Abdul Razak Walad, 55, untuk dijadikan produk utama keluaran syarikatnya, Perfect Instinct Sdn. Bhd.

Jelas Razak yang merupakan bekas pengarah di sebuah agensi kerajaan, dia mendapat tahu mengenai khasiat madu yang dicampur dengan pokok dukung anak ketika berada di Patani, Selatan Thailand pada tahun 1999.

"Di sana saya bertemu dengan seorang lelaki berusia 100 tahun namun orang itu masih sihat dan tidak mempunyai apa-apa penyakit.

"Jadi, saya pun cungkil rahsia lelaki ini dan dia terus memberitahu tiap-tiap hari dia amalkan minum madu bersama campuran pokok dukung anak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selepas itu katanya, beliau sendiri mula mengamalkan meminum madu yang dicampur dengan pokok dukung anak dan mendapati tubuhnya menjadi lebih bertenaga dan segar.

"Saya mula menjual produk madu dukung anak ini kepada ahli keluarga dan mendapat maklum balas yang positif daripada mereka.

"Selepas itu barulah saya memberanikan diri untuk menubuhkan syarikat sendiri pada 2005 untuk memasarkan produk ini," katanya.

Buat permulaan jelasnya, produk itu dipasarkan melalui rakan-rakan dan saudara mara terdekat yang berminat untuk menjualnya.

Kini katanya, dalam daerah Kubang Pasu sahaja, sebanyak 3,000 botol diperlukan setiap bulan untuk memenuhi kehendak para pelanggan yang mula percaya akan keberkesanan produk itu.

"Saya memang berhajat untuk memasarkan produk ini ke luar Kedah, namun modal masih belum mencukupi.

"Saya menggunakan modal simpanan serta mendapat bantuan kewangan daripada saudara-mara yang yakin dengan produk madu dukung anak ini," ujarnya.

Abdul Razak memberitahu, selain daripada produk madu dukung anak, syarikatnya mengorak langkah untuk menjual produk-produk herba seperti Zestico Mix, Propolis Premium dan sebagainya.

"Saya memang mahu mengembangkan syarikat ini dan membawa produk-produk herba dari negara ini menembusi pasaran luar negara.

"Sambutan yang diterima daripada orang ramai yang mementingkan kesihatan kini amat menggalakkan dan peluang juga telah terbuka luas bagi pengusaha produk-produk herba di negara ini," katanya.

Produk itu dijual dengan harga RM52 sebotol untuk 450 mililiter (ml) dan mereka yang ingin mendapatkannya boleh berhubung dengan Pegawai Pemasaran syarikat itu, Marzita Muhammad Ismail di talian 019-5053299.

Sesenduk klon baru


Mohd. Noor Mahat MENUNJUKKAN KAYU DAN PRODUK KAYU DARIPADA SESENDUK DI PEJABATNYA DI kEPONG, Selangor.


PENGELUARAN kayu dari hutan asli terus berkurangan jika dibandingkan dengan keperluan negara.Dengan pergantungan berterusan kepada hutan asli sebagai sumber, lama-kelamaan ia akan kehabisan.

Justeru, satu langkah alternatif perlu diambil bagi mengurangkan pergantungan tersebut bagi mengekalkan kelestarian pengeluaran kayu hutan pada masa akan datang.

Ini kerana lama-kelamaan industri perkayuan menghadapi masalah kekurangan sumber dan satu daripada caranya ialah menubuhkan ladang hutan komersial.

Justeru, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah melaksanakan Program Ladang Hutan Komersial bagi menangani masalah kekurangan kayu kayan untuk pelbagai industri berkaitan seperti kayu gergaji, perabut dan industri hiliran lain.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan baka pokok-pokok hutan yang terpilih untuk kegunaan industri perkayuan.

Menerusi program perladangan tersebut, klon pokok dihasilkan dari baka pokok induk terpilih untuk ditawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur dalam bidang ini.

Ia bertujuan untuk meneruskan perkembangan dan sumbangan sektor ini dalam industri negara.

Penyelidikan selama beberapa tahun yang dijalankan sejak 1989 akhirnya berjaya menghasilkan klon balak FRIMsrp 001 dari spesies Endorspermum malaccense atau nama tempatannya sesenduk.

Ia merupakan satu klon baru yang dihasilkan untuk menampung keperluan kepada kayu getah dalam industri perabot yang juga kian merosot bekalannya.

Klon ini dijangkakan mampu menjadi sumber alternatif memandangkan kualiti kayunya yang baik dan pertumbuhannya yang cepat dan boleh ditebang pada usia 10 tahun selepas ditanam selain dari warnanya yang sesuai dan berkualiti untuk industri perabot.

Ia juga boleh ditanam dalam keadaan yang terbuka.

Selain itu, spesies ini juga sesuai untuk dijadikan papan lukisan, dulang, papan lapis, terompah kayu dan juga penyepit pakai buang.

Menurut Pegawai Penyelidik Cawangan Membaikbiak Pokok FRIM, Dr. Mohd. Noor Mahat, klon tersebut dihasilkan daripada pemilihan dari anak pokok induk terpilih.

‘‘Ini bukan kajian pada masa ini (baru) tetapi telah dimulakan sejak tahun 1989 oleh penyelidik awal di FRIM iaitu Dr. Ab. Rasip Ab. Ghani.

‘‘Saya hanya meneruskan usaha awal beliau dan orang akan datang juga akan menyambung tanggungjawab ini untuk negara” katanya ketika di temui baru-baru ini.

Pokok tersebut kata beliau, biasanya terdapat di kawasan hutan sekunder tanah rendah sehingga pada paras ketinggian 1,000 meter di Semenanjung Malaysia.

Spesies pokok tersebut diklasifikasikan sebagai kayu keras ringan dengan julat ketumpatan dari 300 kilogram (kg) meter padu hingga 600 kg meter padu.

Klon pokok ini dihasilkan daripada baka yang diambil dari Hutan Simpan Ulu Tranum Bentong, Pahang. Benihnya dibiakkan di nurseri FRIM dan anak yang dihasilkan dinilai bagi melalui proses pemilihan.

Anak tunggal dipilih dan ditanam dan biakkan di FRIM untuk kajian pengklonan menggunakan teknik pembiakan (propagation) mikro dan makro. Pucuk yang muncul daripada anak progeni ini dikultur di makmal menggunakan kaedah kultur tisu untuk menggandakan bilangannya.

Anak klon itu dibiakkan di beberapa jenis tanah berasingan dengan keadaan yang berbeza.

Berdasarkan kepada hasil ujian, menunjukkan bahawa klon berkenaan tumbuh dengan pantas dan mampu mencapai diameter sekurang-kurangnya 30 sm dan ketinggian 24 meter dalam tempoh 10 tahun sekiranya diurus dengan baik.

Selepas kajian, selama beberapa tahun itu, FRM telah menebang pokok untuk ujian sama ada ia merupakan kayu yang berkualiti.

Kayu yang dihasilkan kekuningan dan beberapa ciri lain hampir menyamai sumber balak di hutan asli.

Malah, kerusi untuk set meja makan telah pun dihasilkan dari kayu sesenduk klon ini.

Kini terbukti, bahawa hasil tungkus lumus FRIM menunjukkan bahawa kajian sejak 12 tahun itu mampu menghasilkan klon balak yang berpotensi untuk perladangan hutan.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki dan dinilai semua untuk meningkatkan mutu kayu.

Klon-klon baru juga perlu dihasilkan lagi bagi bagi menambahkan variasi dan bilangan baka yang digunakan.

Apa yang pasti, ia membuktikan bahawa klon tersebut berpotensi untuk dimajukan dalam program perladangan hutan untuk industri kayu bagi menampung kekurangan kayu getah dalam industri perabot.

Rezeki baulu Mahanum


mahanum berjaya menyekolahkan anaknya sehingga ke peringkat tinggi dengan rezeki baulu.


SEBUAH motosikal berhenti di bengkel menghasilkan baulu dan mengambil beberapa bungkus baulu dan wang beralih tangan.Penulis terpegun seketika melihat kaedah pemasaran tanpa perlu menjaja di gerai atau menghantar produk ke kedai.

"Biasanya lebih ramai yang suka datang sendiri untuk membeli baulu di sini.

"Cara ini lebih mudah dan saya tidak perlu mengeluarkan belanja menyewa tapak jualan," kata Mahanum Mhd Shah, 48, semasa ditemui di bengkel baulu di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor.

Segalanya bermula kerana pendapatan suami yang tidak seberapa menyebabkan beliau tidak hanya leka dengan tujuh orang anaknya yang mula meningkat remaja tetapi mula terfikir untuk membantu bagi meringankan beban suami.

Memikirkan keluarga yang memerlukan perbelanjaan tambahan, Mahanum terfikir untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau mula dengan menjual nasi lemak dan burger di depan rumah kerana Mahanum masih boleh menjaga ibu yang sakit dan beliau kemudian beralih membuat baulu semasa musim perayaan.

Bermodalkan RM200 hingga RM300, Mahanum membeli peralatan asas seperti acuan baulu dan dapur serta bahan mentah seperti tepung, gula dan telur.

"Pada mulanya saya usahakan membuat baulu menggunakan dapur arang dan secara kecil-kecilan untuk di jual pada jiran-jiran sekitar sini," katanya.

Ibu kepada tujuh orang anak yang gigih mengusahakan baulu di dapur rumah di kemudiannya beralih ke beranda rumahnya apabila permintaan terhadap baulunya semakin menggalakkan.

Tidak pernah mengenal erti putus asa, Mahanum meneruskan usahanya tanpa bantuan sesiapa sehinggalah seorang rakannya Zainon Ariffin membawanya ke Jabatan Pertanian bagi mendapatkan khidmat nasihat.

"Di sana saya mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian di Kalumpang selama empat hari mengenai baulu dan kek secara moden," katanya.

Semasa kursus di Jabatan Pertanian, beliau mempelajari cara mempelbagai produk baulunya seperti baulu ikan emas emas bersaiz besar dan sederhana.

Selain itu, Mahanum juga menghasilkan baulu dengan menambah perisa seperti kapucino, pandan, coklat rice, oren dan strawberi serta muffin, kek gula hangus dan baulu kemboja

Melihatkan usaha dan semangatnya menghasilkan pelbagai produk serta pasaran yang amat menggalakkan semasa musim perayaan Jabatan Pertanian memberikan bantuan dalam bentuk ketuhar dan pembinaan bengkelnya.

Buat masa ini dengan bantuan Jabatan Pertanian, Mahanum dapat menghasilkan 4,000 biji baulu biasa sehari.

Apa yang uniknya Mahanum tidak perlu mencari pasaran sebaliknya pelanggan yang datang mencarinya, malah baulunya telah dibawa hingga Jepun dan Jordan oleh anak jiran yang belajar dan bekerja di sana.

Baulu yang dihasilkan memang menarik kerana lebih garing daripada biasa dan tahan lebih lama.

Sebagai perniagaan keluarga, Mahanum dibantu oleh anak-anaknya terutama semasa cuti sekolah.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, Mahanum tidak mengabaikan pelajaran anak-anak memandangkan tiga orang anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi manakala empat lagi masih bersekolah.

Mereka yang berminat mendapatkan baulu hasil tangan Mahanum boleh datang sendiri ke premisnya di Lot A Bakery Enterprise di Kampung Sungai Masin atau hubungi beliau di 013-2263423 atau e-mel: anum6212@yahoo.com

Sumber:utusan online

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails