Showing posts with label Dorper. Show all posts
Showing posts with label Dorper. Show all posts

Wednesday, November 23, 2011

Dorper sumber rezeki baru

PERTANIAN bagaikan sudah menjadi darah daging Mohd. Nasir Samat. Bermula dengan ladang sayur yang terletak di Astana Raja, Negeri Sembilan ia kemudian berkembang kepada ladang ternakan dan sayuran di Kota Rembau dan ladang ternakan biri-biri di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Hasil kerja keras kini ladangnya di Kota, Rembau mempunyai 200 ekor induk biri-biri, 30 ekor induk kambing, 80 ekor induk lembu, lebih 20,000 ekor ikan keli dalam enam buah kolam tanah dan 25 ekar ladang sayuran.

Apa yang menarik ladang yang diusahakan Mohd. Nasir Samat itu melaksanakan sistem integrasi sepenuhnya segala bahan yang terdapat di dalam ladang.Semua sisa pertanian digunakan semula melalui amalan kitar semula dengan sasaran sisa sifar. Misalnya, sisa ternakan diproses menjadi baja sebelum diletakkan di kebun sayur-sayuran di ladangnya.

Ini bagi mengurangkan penggunaan baja kimia selain ternakan kambing dapat mengawal rumpai dan mengurangkan penggunaan racun.

Apa yang menarik, bekas kontraktor itu kini berjaya mengisi ladangnya dengan pelbagai jenis biri-biri.Malah, dia sedang mencongak untuk mengubah ternakan biri-biri tersebut kepada baka Dorper. Amat mementingkan kepuasan pelanggan, Mohd. Nasir sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk ternakan terutama dalam makanan yang bermutu dan berkhasiat bagi mendapatkan karkas yang terbaik bagi pelanggan.

Untuk tujuan itu, dia menanam jagung sebagai makanan biri-biri selain memproses makanan sendiri sebagai satu kaedah mengurangkan kos makanan

Dia bertekad menghasilkan makanan ternakan sendiri selepas belajar daripada pengalaman awal dahulu ketika memulakan projek ternakan.

Ketika itu, terdapat ternakannya mati akibat makanan yang tercemar. Kajian ke atas bangkai ternakan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendapati palet yang digunakan telah berkulat mungkin terlalu lama disimpan. Kes tersebut mendorong Mohd. Nasir menggunakan formula sendiri bagi menghasilkan makanan ternakan menggunakan campuran palet hancur, soya, molases, bawang putih, halia, kunyit dan mas cotek.

“Ini merupakan makanan utama selain rumput Napier sebagai makanan sampingan dan rumput di sekitar kawasan ladang,” katanya.

Makanan biri-biri daripada rumusan sendiri dan rumput Napier sebanyak empat kilogram (kg) seekor sehari dapat meningkatkan berat badan biri-biri sehingga 300 gram sehari seekor.

Sementara itu bagi meningkatkan pembiakbakaan, Mohd. Nasir mendapatkan khidmat nasihat dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang mana anak biri-biri jantan berusia dua hingga empat bulan yang telah bercerai susu dihantar ke ladang penggemuk dan diberi makan palet (creep feed) 100 gram seekor sehari.

Pada mulanya, Mohd. Nasir memelihara 42 ekor biri-biri pada peringkat pertama yang hampir matang dengan formulasi makanan menghasilkan peningkatan berat badan antara 150 hingga 200 gram seekor sehari.

“Kebanyakan Dorper betina yang saya pelihara ketika itu telah bunting dan hanya menunggu masa untuk beranak.

“Kebiasaannya ibu biri-biri bunting akan dibiarkan meragut sebagai satu senaman,” katanya. Anak-anak yang dilahirkan mempunyai berat badan purata lima kg dengan peningkatan berat badan 250 gram sehari seekor.

Mohd. Nasir berkata, biri-biri Dorper menjadi pilihan kerana karkasnya meliputi 48 hingga 50 peratus berat badannya. Bagi melicinkan operasi ladangnya di tanah seluas 51 ekar dengan 80 peratus merupakan padang ragut, dia menggajikan enam orang pekerja iaitu empat pekerja asing dan dua orang rakyat tempatan yang bekerja sepenuh masa serta tiga orang separuh masa.

Di atas tanah tersebut terdapat sebuah kandang transit seluas 20 kaki x 30 kaki bagi tujuan kuarantin atau biosekuriti sebelum biri-biri yang baru sampai dilepaskan ke ladang ternakan umum. Kapasiti penuh ladang boleh memuatkan sehingga 7,000 ekor biri-biri dengan lebih 400 ekor satu kandang. Anak baru lahir akan berada dengan ibu sekurang-kurangnya selama 72 jam bagi mendapatkan susu awal atau kolostrum manakala pembiakan boleh dijalankan sebanyak tiga kali setahun.

Selepas itu anak biri-biri akan diberikan makanan khas (creep feed) dengan 20 peratus lebih protein. Biasanya biri-biri berusia enam bulan telah mula dijual untuk sembelihan kerana kandungan kolestrol dan lemak yang rendah serta tinggi kandungan protein.

Manakala harga yang berpatutan memberikan peluang kepada masyarakat kelas menengah dan tinggi menikmatinya.

Kini ladang ternakan milik Mohd.Nasir berupaya mengeluarkan sehingga 60 ekor biri-biri sembelihan sebulan.

Memandangkan sambutan terhadap biri-biri Dorper semakin menggalakkan, beliau merancang membuat pusat latihan untuk orang kampung dalam kumpulan kecil. Nasir meminati biri-biri kepada Dorper kerana saiz karkas lebih besar, peningkatan berat badan lebih tinggi boleh dijual pada usia enam bulan, pengurusan ternakan mudah dan jimat daging yang lunak dan lembut

Bagi tujuan pemasaran Nasir mempunyai kedai konsep yang menjual makanan berasaskan daging di Senawang, Negeri Sembilan dan beliau sedang merancang membina sebuah lagi kedai konsep di kawasan Damansara, Selangor.

Sumber:utusan malaysia

MARDI giat ganda dorper

SEJARAH biri-biri di negara ini bermula sejak 50 tahun lalu. Tetapi biri-biri yang biasa terdapat di negara empat musim tidak sesuai dengan persekitaran negara yang panas dan lembap. Ketika itu banyak biri-biri di negara ini yang berpenyakit malah mati akibat tidak dapat bertahan dengan cuaca di negara ini.

Pada awal tahun 1980-an, penternak menternak biri-biri baka rerambut seperti Barbados, Black Belly, Santa Ines, Bali-Bali, St. Croix dan Novada yang sesuai dengan keadaan cuaca tropika kerana tidak mempunyai bulu yang tebal. Baka rerambut (Hair sheep) seperti Barbados Black Belly dan Bali-Bali dapat bertahan tetapi sukar didapati kerana hanya terdapat di negara asalnya kepulauan Barbados dan Afrika Barat selain kos pengangkutan yang tinggi serta regulasi gen yang terkawal ketika itu.

Bagaimanapun selepas berakhirnya rejim Aparteid, baka kambing dan biri-biri Afrika Selatan telah mula dibawa keluar seperti kambing baka Boer dan biri-biri baka Dorper ke Australia dan dibiakkan dengan cepat.

Kambing dan biri-biri dibawa ke Australia dalam bentuk ternakan hidup (diawal pengimportan), embrio dan semen sejuk beku. Dorper banyak didapati di Australia tetapi di sana juga terdapat baka Merino dan kacukan Dorper Merino yang tidak sesuai diternak di negara ini kerana mempunyai bulu yang tebal dan tidak tahan ketegasan haba.

Timbalan Pengarah Pusat Pemindahan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa berkata, Dorper yang dikacukkan dengan Damara dipanggil Damper lebih sesuai dibanding dengan Dorper Merino kerana kedua-dua baka asal adalah biri-biri rerambut.

“Biri-biri Dorper mula dibawa masuk ke negara ini pada tahun 2006 dan dikacukkan dengan biri-biri tempatan bagi meningkatkan berat badan dan prestasi sehingga 30 peratus. “Pada 2008, MARDI telah membawa masuk 300 ekor biri-biri Dorper tulen dari Afrika Selatan bagi menguji kesesuaian baka terhadap persekitaran di negara ini,” katanya yang menjalankan penyelidikan kambing dan biri-biri lebih 20 tahun.

Kajian yang dijalankan selama tiga tahun mendapati Dorper sesuai diternak di negara ini memandangkan kadar kelahiran dengan kenaikan berat badan yang tinggi, kadar kematian rendah sementara ketahanan terhadap penyakit.

Pada tahun yang sama Projek Agropolitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Pekan, Pahang telah membangunkan ternakan biri-biri Dorper bertujuan menjana ekonomi Orang Asli.

Fasa pertama telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Ogos 2008 dengan kemasukan 960 ekor Dorper kacukan betina dan 40 ekor jantan tulen. Manakala fasa kedua pula pada 24 Februari melibatkan 2,800 ekor Dorper kacukan. Dianggarkan tahun ini 6,000 ekor biri-biri Dorper akan ditempatkan di sana selain pihak MARDI akan terus memperkenalkan biri-biri berkenaan kepada penternak.

Sehingga kini terdapat tiga orang penternak yang mula menternak biri-biri Dorper secara komersial sejak tahun lepas. Satu daripadanya ialah Ladang Semosa.

MARDI bercadang membangunkan ladang pengganda Dorper berasaskan teknologi bagi penternak terpilih seperti yang telah dijalankan untuk baka Boer.

Dr. Mohmad giat menjalankan penilaian baka untuk mengeluarkan baka yang tidak produktif bagi memulakan pembiakbakaan dengan pejantan Dorper tulen. Biasanya 20 peratus ternakan akan dipilih bagi dijadikan baka. Ladang Semosa akan dibangunkan bagi menghasilkan baka biri-biri Dorper dan ternakan yang tidak sesuai dijadikan baka akan dijual untuk sembelihan.

Beberapa data awal menunjukkan peningkatan berat badan yang baik antara 200 hingga 300 gram sehari seekor. Makanan dengan formula sendiri menggunakan campuran herba dan hampas soya dapat membantu meningkatkan prestasi berat badan serta mengurangkan kos makanan. Sebenarnya ramai penternak terpaksa gulung tikar kerana bergantung dengan makanan ternakan atau palet yang sangat mahal.

Sumber:utusan malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails