Showing posts with label perikanan. Show all posts
Showing posts with label perikanan. Show all posts

Friday, September 3, 2021

Modal Bina Kolam Ikan Air Tawar Jenis Tanah


Kolam ikan air tawar terbahagi kepada empat jenis. Iaitu jenis kolam atas tanah, jenis kolam simen, jenis kolam kanvas, dan jenis kolam PVC.

Setiap jenis kolam ikan mempunyai kelebihan dan kekurangan mereka tersendiri. Sebagai contoh, kos pembinaan kolam ikan air tawar di atas tanah adalah lebih murah jika nak dibandingkan dengan kolam jenis simen.

Tapi bila dilihat dari sudut penjagaan pula, kolam ikan jenis simen lebih mudah untuk dicuci jika nak dibandingkan dengan kolam jenis atas tanah.

kolam ikan air tawar jenis kanvas
Kolam ikan jenis kanvas yang digunakan oleh penternak ikan.

Jadi untuk artikel ini, saya lebih menfokuskan kepada pembinaan kolam ikan air tawar jenis tanah sahaja. Kerana kolam jenis ini lebih sesuai digunakan untuk penternakan secara komersial.

Ciri-Ciri Kolam Ikan Air Tawar Jenis Tanah.

Kolam ikan air tawar yang bakal dibina perlulah menepati ciri-ciri kolam yang baik bagi memastikan ikan yang diternak dapat membesar dengan baik.

Antara ciri asas yang perlu diberi perhatian adalah:-

Jenis Tanah.

Tak semua jenis tanah sesuai untuk dibina kolam. Hal ini kerana, tanah yang baik adalah tanah yang boleh menakungkan air. Contohnya adalah tanah liat.

Jika anda membina kolam di atas tanah jenis berpasir, air yang anda masukkan ke dalam kolam akan sentiasa berkurangan. Tanah jenis berpasir tidak berapa sesuai untuk dibuat kolam kerana sifatnya yang menyerap air.

Bentuk Kolam.

Bentuk kolam ikan air tawar yang biasa kita lihat adalah jenis segi empat bukan? Itulah bentuk kolam yang paling sesuai untuk digunakan dalam penternakan ikan.

Ianya boleh memaksimakan penggunaan tanah seluas mungkin dan ianya juga memudahkan pengendalian, pembersihan, dan pengutipan hasil ternakan ikan.

Tebing kolam pula perlu dibina agar mempunyai kecerungan 45 darjah. Kecerungan tebing ini bertujuan untuk mengukuhkan struktur tebing bagi mengelakkan berlakunya runtuhan.

cerung tebing kolam ikan air tawar
Kecerungan tebing kolam yang disarankan adalah 45 darjah.

Kedalaman Kolam.

Kedalaman kolam ikan air tawar yang sesuai adalah 4 kaki hingga 5 kaki. Ianya bertujuan untuk mengelakkan ikan terasa tertekan dengan perubahan suhu air.

Kesan buruk bila air kolam terlalu cetek adalah ikan akan berada didalam keadaan tertekan. Suhu air kolam akan bertambah jika hari panas terik, dan suhu mudah untuk menurun jika hari dingin (ketika waktu pagi).

Perubahan suhu secara tiba-tiba ini boleh mengganggu tumbesaran ikan air tawar.

suhu kolam ikan air tawar
Perbezaan suhu di permukaan kolam dengan dasar kolam ketika matahari terik.

Keluasan Kolam.

Keluasan kolam pula bergantung kepada modal yang dimiliki oleh penternak. Lebih besar kolam lebih tinggi modal perlu dikeluarkan. Untuk memudahkan anda untuk mengira kuantiti ikan yang bakal diternak, anggarnya adalah 10 ekor ikan untuk satu meter persegi.

Kuantiti ikan ini merupakan salah satu faktor penyebab kepada kualiti ikan yang akan dihasilkan. Ikan yang terlalu padat akan menyebabkan persaingan dikalangan ikan-ikan. Persaingan yang paling ketara adalah persaingan untuk mendapatkan makanan.

Bila tiba waktu pengutipan hasil, anda akan bakal lihat ada ikan yang besar dan ada ikan yang kecil.

Artikel berkaitan: Cara Ternak Ikan Tilapia Di Rumah

Berapa Kos Pembinaan Kolam Ikan Air Tawar?

Di bawah ini merupakan kira-kira kos yang perlu dikeluarkan untuk membina 15,000 ekor ikan tilapia. Anggaran keluasan kolam yang perlu dibina adalah 70 kaki kali 200 kaki.

PerkaraHarga (RM)
JCB (1 hari)660
Hitachi (sewa)5,200
Paip200
PVC250
Kawat Duri250
Simen & Batu150
Pam Air (Elektrik)500
Injab (Connector)100
Tiang Besi150
JUMLAHRM 7,460‬

JCB ataupun jentera berat perlu digunakan dalam pembinaan kolam ikan air tawar. Ianya bertujuan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses untuk menggali tanah. Kedalaman yang disyorkan adalah untuk penternakan ikan tilapia adalah 4 kaki hingga 5 kaki.

Untuk menggunakan JCB ini, anda perlu mengeluarkan sedikit modal untuk menyewa jentera ini. Harga yang saya tunjukkan di atas merupakan rujukan sahaja.

Mungkin di tempat anda harga sewaan boleh dapat lagi rendah daripada harga saya itu. Hal itu perlulah anda dapatkan kepastian sendiri daripada pemilik jentera ini.

JCB jentera kolam ikan air tawar
JCB digunakan dalam menggali lubang kolam ikan.

Aspek Pembinaan Kolam Ikan Air Tawar.

Dalam pembinaan kolam wajarnya anda perlu mengikut tatacara pembinaan kolam yang baik. Ianya bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kerosakan alam sekitar disebabkan proses pembinaan kolam tadi.

Sekiranya tapak bakal anda membina kolam itu dipenuhi pokok-pokok, sisa yang ditebang perlulah dibersihkan dan dibuang di tempat sesuai. Ianya bagi mengelakkan sisa-sisa tadi mengganggu alam sekitar dan kawasan kejiranan yang berdekatan.

Saluran air keluar juga perlulah dialirkan ke tempat yang sepatutnya. Jangan mengambil jalan mudah dengan menyalurkan air keluar, kerana ianya akan menggundang kemarahan orang sekeliling.

Air buangan perlulah dialirkan ke tempat yang betul.

Modal Besar Tak Semestinya Untung Besar.

Mesti anda berfikir nak kaut keuntungan besar perlu keluarkan modal yang besar bukan? Tak semestinya macam tu. Sebab jika anda nak ternak 15,000 ekor anak ikan tak semestinya anda akan dapat jual 15,000 ekor ikan juga.

Hal ini disebabkan pelbagai permasalahan yang bakal ditempuh oleh seorang penternak sepanjang mereka menjalankan projek ternakan. Antaranya, penternak bakal hadapi masalah penyakit ikan, ikan dimakan oleh pemangsa seperti memerang, ikan kena curi, dan sebagainya.

Memerang merupakan pemangsa kepada ikan air tawar.

Penyakit Ikan?

Paling kerap sekali adalah ikan mati disebabkan oleh terkena serangan penyakit. Jangan pandang ringan dengan penyakit ikan kerana ianya mudah untuk berjangkit antara satu sama lain.

Risikonya boleh membawa kematian sehingga separuh daripada bilangan ikan dalam satu-satu kolam. Dalam hal ini, seorang penternak perlulah mempunyai ilmu dalam cara penternakan ikan.

Sumber:https://ternakanikan.com/kolam-ikan-air-tawar/

Menjana Arah Tuju Sendiri: Ternakan Ikan Siakap

Menjana Arah Tuju Sendiri: Ternakan Ikan Siakap: IKAN siakap putih atau nama saintifiknya Lates calcarifer dari keluarga Centropomidae merupakan spesis ikan air payau yang berupaya hidu...

Monday, July 22, 2013

Hidangan ala Thai, Cina

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Di suatu sudut kolam memancing tertera beberapa spesies ikan air tawar yang menjadi daya tarikan pengunjung Fish Valley Semenyih Sdn Bhd.
Kolam memancing di Sri Haneco Industrial Park, Jalan Kachau, Semenyih itu menempat­kan pelbagai spesies ikan seperti tilapia, kap rumput, tongsan hitam, kap kepala besar, rohu, haruan, likoh, baung dan belida.
Turut terdapat dalam kolam seluas 18 hektar itu adalah ikan jelawat, lampam jawa, pacu dan ikan hantu.

Penulis berpeluang melihat proses pembersihan ikan tilapia daripada pemilik kolam itu, Hanim Raduan, baru-baru ini.
FotoSEORANG pemancing, Teoh Pick Loong, 27, bersama ikan patin diperoleh dari kolam tangkap dan lepas.

Kaedah mematikan ikan tilapia cukup unik kerana bahagian kepala dan insang ikan dicucuk menggunakan pisau kecil.

Ini bagi menyelamatkan struktur ikan segar supaya daging ikan sedap apabila dimasak.

Hanim memberi petua punca ikan hanyir, antaranya masalah air, lumpur berlebihan, faktor makanan dan cuaca.

Tidak sampai 10 minit, ikan tilapia merah yang diternak dalam kolam itu siap dibersihkan dengan setiap seekor mempunyai berat antara 800 gram hing­ga satu kilogram.

Rombongan kami disajikan dengan 10 jenis masakan ala Thai dan Cina.

Antara hidangan pembuka selera ialah ikan goreng tiga rasa, ikan goreng ‘Pat Cha’, ikan goreng masam kacang, ikan goreng sos pekat (labu), ikan baung Keng Song, telur goreng gaya Thai dan sotong goreng telur masin.

Selain itu, kami turut dihidangkan ikan goreng serai, ikan goreng ‘Lap’ dan air sirap.

Aktiviti itu antara disediakan di kolam memancing berkonsepkan Agro Pelancongan diusahakan pemenang Anugerah Penternak Ikan Jaya Kebangsaan 2011.

Bermodalkan kira-kira RM800,000, bekas kakitangan kerajaan itu tidak menyesal berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada perniagaan baru itu.

Melihat kepada gaya berpakaian, tidak siapa menyangka pemegang lesen ‘flying fox’ itu pernah menjadi tenaga pengajar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kini usahawan berjaya.

Konsep agro pelancongan mula diperkenalkan Selangor Tourism dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor, dua tahun lalu.

Pembukaan kolam restoran juga adalah usaha jabatan berkenaan mempromosikan produk ikan air tawar kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

Ia sekali gus menjadikan Fish Valley pusat pengumpulan dan makanan air tawar merangkumi tiga kolam memancing, 16 kolam ternak dan sebuah restoran ikan air tawar.

Hanim berkata, pembabitannya dalam dua program kerajaan termasuk Biro Tata Negara (BTN) dan PLKN mencetuskan minatnya membuka kolam memancing Fish Valley berkonsep­kan agro pelancongan.

“Pada awal pembabitan, saya hanya memiliki beberapa kolam ikan. Perniagaan kemudian dikembangkan kepada skala lebih besar termasuk me­nyediakan aktiviti lasak dan berkhemah.

“Kalau dulu hanya ada aktiviti memancing ikan, kini sebuah restoran berkonsepkan masakan ‘Thailand Food dan Chinese Food’ juga sedia menerima tempahan pengunjung,” katanya.

Selain memancing, pe­ngunjung juga berpeluang menjaring ikan secara berkumpulan menerusi pakej disediakan bernilai RM400 untuk lima orang termasuk makan tengah hari.

“Pakej ini sangat istimewa kerana pengunjung dapat merasai pengalaman menjaring ikan di dalam kolam.

“Kami akan mempraktikkan cara menjaring dan menarik ikan dan ada yang bernasib baik akan melalui pengalaman dilanggar ikan,” katanya memberitahu, pakej itu sangat digemari pelancong Jepun dan Singapura.

Katanya, konsep pancing dan lepas yang dilaksanakan dalam kolam memancing itu untuk memastikan bekalan ikan mencukupi.

“Ada ikan mempunyai berat antara 10 hingga 90 kg seekor. Jika bernasib baik, mereka dapat memancing ikan arapaima atau ikan keli Mekong.

“Biasanya tempoh 40 minit memancing, barulah umpan mengena,” katanya memberitahu, pakej itu berharga RM35 bermula dari jam 7 pagi hingga 7 petang setiap hari.

Bagi yang berminat untuk membawa pulang ikan dipancing, kolam khas juga disediakan untuk pengunjung.

“Ikan ini akan ditimbang berdasarkan harga dan beratnya dan jika ada yang mahu kami masak untuk mereka, perkhidmatan itu juga disediakan,” katanya.

Menurutnya, aktiviti ‘jungle trekking’ dan tapak aktiviti keluarga ditawarkan menerusi pakej bermalam dalam hutan.

“Untuk pakej perkhemahan, bayaran dikenakan mengikut jumlah peserta, biasanya RM60 seorang.

“Harga masih boleh dirunding asalkan pe­ngunjung bersetuju. Jika ada yang mahu membuat aktiviti memanggang ikan atau kambing, semua kemudahan akan disediakan,” katanya.

Katanya, bagi mengelak pengunjung bosan, mereka menyediakan pakej dalam hutan 24 jam, jungle trekking dan pelbagai aktiviti lain.

“Jika mahu memancing pada waktu malam, Fish Valley Sdn Bhd me­nyediakan kemudahan itu,” katanya.

Untuk menunggang kenderaan ATV, acara sukan itu disediakan di sekitar kolam memancing termasuk meredah hutan.

Hanim berkata, restorannya mempunyai tukang masak berpengalaman untuk menyediakan pelbagai hidangan berkonsepkan Thai dan Cina.

“Kami mempunyai 27 menu ikan air tawar yang menyelerakan. Berbanding spesies ikan air tawar lain, ikan tilapia merah paling mendapat permintaan.

“Setiap minggu ada saja menu baru dicipta tukang masak untuk memenuhi cita rasa pelanggan,” katanya.

Perancangan masa depan, Fish Valley Sdn Bhd berhasrat membina 60 chalet di atas bukit berdekatan kolam memancing.

Menyentuh mengenai industri penternakan ikan air tawar, katanya, dia menggunakan konsep pulangkan yang lama dan gantikan yang baru jika ada ikan tilapia dijual berbau hanyir.

Bagaimanapun, keadaan itu katanya jarang berlaku kerana konsep penternakan ikan tilapia sangat istimewa. Ia menggunakan air bukit.

“Ini bagi memastikan ikan tilapia kami lebih bersih dan sihat,” katanya.

Hanim berkata, syarikatnya mengeluarkan kira-kira 11 tan ikan tilapia merah sebulan selain ikan baung dan jelawat.

“Permintaan terhadap ikan tilapia banyak diterima daripada restoran Cina.

“Untuk memastikan bekalan mencukupi, saya memperkenalkan konsep ladang kontrak ikan tilapia merah,” katanya.

Seekor ikan tilapia seberat 800 gram boleh dinikmati seramai empat orang dengan satu sajian mencecah RM60.

Dia juga membekal­kan dua tan ikan tilapia merah sebulan untuk pasaran Singa­ pura.

Tuesday, February 22, 2011

ZIA jana industri agro makanan


Antara contoh PENTERNAKAN IKAN tiLAPIA YANG BAKAL DIJALANKAN DI tASIK kENYIR.


MALAYSIA memiliki sumber kawasan tanah yang luas di samping kawasan perairan yang sangat luas. Selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air, kawasan perairan ini juga mampu menjana stok bekalan makanan.

Permintaan sumber protein negara semakin hari semakin meningkat, malah stok ikan yang didaratkan oleh nelayan juga agak menyusut berbanding 10 tahun dahulu.

Justeru, pelbagai usaha sedang dilakukan antaranya projek-projek akuakultur berbentuk komersial yang berupaya meningkatkan pengeluaran ikan negara.

Isu keselamatan bekalan makanan dan meningkatnya kos mengimport produk makanan setiap tahun menjadikan kerajaan mempunyai asas yang kukuh mengapa sektor agromakanan perlu terus diperkasa dan diberi keutamaan.

Antaranya seperti penubuhan Zon Industri Akuakultur (ZIA) termasuk Terengganu yang diperkenalkan baru-baru ini.

Pembangunan ZIA secara bersepadu oleh Kerajaan Terengganu juga merupakan antara projek-projek utama dalam Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara.

ZIA di Terengganu melibatkan kawasan seluas 3,227 hektar daripada 4,188 hektar yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Perikanan untuk dimajukan oleh kerajaan negeri.

Malah peruntukan sebanyak RM12.6 juta untuk membina kemudahan pusat pembenihan ikan turut diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kemudahan tersebut adalah Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar di Kampung Sungai Chamar di daerah Hulu Terengganu dan Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Laut Berteknologi Tinggi di Kampung Limau Nipis, Setiu.

Kedua-dua pusat tersebut dijangka siap pada pertengahan tahun ini, sekali gus dapat membekalkan benih untuk projek HIP sangkar air tawar di ZIA Sungai Como dan sangkar ikan air masin di Terengganu.

Selain itu, sebuah pusat Pembenihan Udang Laut di daerah Setiu turut dibina di bawah peruntukan yang sama.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, kerajaan negeri akan meneruskan usaha dan kerjasama bersama Jabatan Perikanan untuk mengenalpasti kawasan baru yang sesuai untuk dijadikan kawasan ZIA.

Jelas beliau lagi, projek utama NKEA tersebut akan diterajui oleh sektor swasta dan projek akuakultur akan dibangunkan berdasarkan piawaian pasaran.

''Pendekatan terbaru ini akan melibatkan jumlah pelaburan lebih daripada RM1.4 bilion bagi ZIA terpilih.

''Di mana sebahagian besar daripadanya adalah daripada pihak swasta yang dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan menaiktaraf sosio ekonomi rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Seperti juga negara di benua Asia, Malaysia juga telah mengenalpasti akuakultur sebagai sumber utama untuk meningkatkan pengeluaran ikan bagi memenuhi permintaan domestik.

Pada tahun 2009, industri akuakultur negara telah mencatatkan pengeluaran ikan berjumlah 478, 245 tan metrik bernilai RM2.4 bilion.

Malah pengeluaran akuakultur negara akan terus meningkat berikutan permintaan terhadap sumber protein tersebut sentiasa melonjak naik.

Salah sebuah kawasan ZIA yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Perikanan untuk penternakan ikan air tawar dalam sangkar secara besar-besaran adalah di Tasik Kenyir.

Malah, kementerian terbabit menyasarkan pengeluaran akuakultur negara sebanyak 727, 300 tan metrik dengan nilai tidak kurang dari RM7 bilion menjelang tahun 2015.

Dalam pada itu , menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd. Johari Baharum, biarpun kerajaan banyak menyumbangkan dana bagi membangunkan industri tersebut namun kerjasama daripada usahawan serta pihak swasta masih diperlukan.

"Kementerian hanya dapat menyediakan infrastruktur asas, khidmat sokongan teknikal dan sistem penyampaian yang diperlukan.

"Kami memerlukan para usahawan agro makanan dan syarikat swasta menerajui sektor ini," katanya.

Jelas kini, pihak kerajaan sama ada pusat mahupun negeri telah menyediakan segala-galanya untuk memastikan sosio-ekonomi rakyat bertambah baik.

Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails