Tuesday, April 30, 2013

Bantu petani selesaikan masalah

pix_topright
Sebuah bas berwarna merah yang diletakkan di depan Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor menarik perhatian ramai. Sekali pandang pada luarannya tiada pula ciri istimewa pada bas berkenaan.
Namun, selepas didekati dan melangkah ke dalam, bas yang biasanya digunakan untuk membawa mahasiswa pergi dan balik sekitar kampus itu nyata berbeza dari yang lain, kerana fungsinya diubah suai menjadi Klinik Pengembangan Putra UPM.
Inisiatif itu satu usaha UPM untuk mendekati golongan sasar bagi menyebarkan maklumat mengenai dunia pertanian. Melalui klinik itu juga sekurang-kurangnya 10 hingga 15 pakar pertanian ditempatkan mengikut program disediakan.

Bilangan pakar pertanian dalam memberikan nasihat dan rundingan bergantung kepada program disediakan seperti Klinik Pengembangan Veterinar, Klinik Pengembangan Kesihatan, Klinik Pengembangan Kejuruteraan dan Klinik Pengembangan Sains Sosial.
Foto

Dalam melaksanakan program turun padang itu, Unit Pengembangan UPM akan bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perikanan untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat.

Bas itu juga akan digunakan mengikut giliran aktiviti pengembangan supaya rakyat pelbagai lapisan berpeluang mendapat ilmu dan teknologi bagi membantu meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

Perkhidmatan bas bergerak itu dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Laman Rekreasi Sungai Buluh, Pasir Gudang, Johor pada 17 Mac lalu.

Ia sebahagian daripada intipati perutusan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan sempena Perutusan 100 Hari perkhidmatannya.

Sempena perutusan itu juga dilancarkan Pertanian Bandar yang bertujuan menggalakkan warga bandar bercucuk tanam dalam ruang kediaman terhad.

Dalam perutusan itu, Dr Mohd Fauzi berkata, pelancaran pertanian bandar untuk menggalakkan penduduk bandar menjalankan aktiviti pertanian moden di ruang kediaman mereka.

“Fokus baru UPM ini menyumbang transformasi negara sebagai pengeluar makanan yang mandiri,” katanya.

Projek berkenaan secara tidak langsung menjadikan UPM sebagai peneraju dan Pusat Kecemerlangan Jaminan Makanan dalam tempoh terdekat.

Dekan Fakulti Pertanian universiti berkenaan, Prof Dr Abdul Shukor Juraimi berkata, usaha memperkenalkan Klinik Pengembangan Putra itu bagi mendekati masyarakat secara langsung di lapangan.

“Bas ini dipanggil Klinik Pengembangan Putra bertujuan untuk memudahkan pergerakan pakar pertanian dalam bidang tertentu untuk bertemu golongan sasar, membabitkan penduduk kampung, petani dan peladang.

“Ia terbahagi kepada tiga bahagian utama seperti makmal ujian, pusat perbincangan dan ruang pameran,” katanya.

Penukaran wajah baru bas berusia sepuluh tahun itu kepada klinik pertanian bergerak membabitkan kos kira-kira RM100,000. Kos yang tinggi itu merangkumi pengosongan bahagian tempat duduk penumpang, merendahkan struktur lantai, pembinaan makmal ujian, ruang pameran dan peti penyejuk bagi menyimpan sampel.

Meskipun kos penyediaan peti sejuk tinggi, alat itu begitu penting untuk menyimpan sampel yang memerlukan tempoh simpanan lama.

Jarak perjalanan yang jauh dari satu destinasi ke destinasi lain menyebabkan perlunya sampel disimpan lebih lama sebelum dibawa pulang ke UPM untuk dianalisis di makmal sebenar.

Mengenai makmal ujian sementara yang terletak di bahagian belakang bas itu, Dr Abdul Shukor berkata, ia digunakan untuk melakukan ujian analisis terhadap sampel tanah, penyakit tumbuhan dan haiwan di lapangan.

“Ia sangat berguna kepada pakar yang terbabit dalam program itu dan seandainya terdapat penyakit tanaman atau sebagainya dikesan, ujian akan dilakukan di situ.
“Sekurang-kurangnya kita dapat mengenal pasti jenis penyakit atau masalah dihadapi petani,” katanya.

Beliau berkata, antara ujian yang boleh dilakukan dan diketahui hasilnya serta-merta ialah mengenai tahap kesuburan tanah, ujian keasidan tanah (pH) dan ujian kandungan nitrat.

Katanya, ruang pameran di bahagian depan pula menyediakan pelbagai maklumat berguna bagi kumpulan sasar.

“Di situ nanti, petani boleh melihat produk yang dipamerkan dan juga boleh mengetahui banyak informasi terkini berkaitan pertanian, selain hasil kajian dilakukan UPM yang boleh dikongsi bersama.

“Ruang pameran yang disediakan akan berubah mengikut kesesuaian golongan sasar. Sebagai contoh, jika sasaran kepada penanam padi, semua bahan berkaitan padi, makhluk perosak dan ancaman penyakit disediakan,” katanya.

Antara bahan pameran disediakan seperti kaedah kawalan tikus, ancaman penyakit daripada jangkitan tikus bandar, serangga perosak tanaman, virus perosak patogen tumbuhan dan penyakit kulat.

Produk keluaran fakulti juga dipamerkan seperti baja Zappa Plus, Vita-Grow Plus, N-Bite dan Bacto-10.

Pelawat juga berpeluang melihat pelbagai serangga perosak tanaman seperti tikus, kumbang dan rama-rama, selain melihat tisu kultur bunga kantan dan orkid.
Untuk tidak menghampakan pengunjung, pakar juga memberi peluang kepada petani melihat sendiri pelbagai mikroorganisma menggunakan mikroskop.

Dr Abdul Shukor berkata, petani yang mempunyai sebarang masalah boleh duduk berbincang dan mengutarakan masalah terbabit bersama pakar.

“Sebagai contoh, jika berlaku serangan penyakit padi, pakar dalam bidang berkenaan akan turun padang melakukan analisis dan kajian di kawasan lapangan.

“Langkah itu dilihat dapat membantu petani menyelesaikan masalah mereka secara terus, selain ‘sudut perbincangan’ membuka ruang kepada golongan itu mengemukakan kemusykilan,” katanya.

Katanya, adalah perlu bagi bas berkenaan bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk mengenal pasti masalah dihadapi golongan sasar, sekali gus cuba menyelesaikan masalah dibangkitkan.

“Jadi dengan cara itu (bergerak ke lokasi baru) kita dapat memberikan impak terhadap hasil kajian dan kepakaran, selain membantu petani menyelesaikan masalah.

“Tujuannya ialah agar petani dapat meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian, seterusnya dapat menghasilkan produk makanan atau mungkin dapat membantu meningkatkan produktiviti negara,” katanya.

Beliau berkata, ilham untuk mewujudkan bas bergerak itu dicetuskan sendiri oleh Dr Mohd Fauzi.

“Berdasarkan persetujuan, UPM mengetengahkan bas itu dan buat seperti mana diperlukan. Lagipun sudah lama kita berusaha untuk mendapatkannya dan kehadiran Naib Canselor baru membolehkan ia menjadi kenyataan.

“Kami mengubah suai bas lama ini dengan mengambil masa kira-kira dua minggu dan ia dilaksanakan selepas mendapat peruntukan,” katanya.
Sumber:harian metro

Rahsia Puyuh Golek Kak Mah

Dilihat secara luaran, perniagaan gerai tepi jalan diusahakan pasangan suami isteri, Mamat Zain, 58, dan Rahimah Ramlan, 51, tidak banyak bezanya dengan penjaja lain di kawasan Machap-Simpang Renggam, Johor.
Namun, di sebalik kegigihan pasangan itu tersaji hidangan istimewa yang mampu membangkitkan selera sesiapa saja untuk mencuba menu rahsia dikenali ‘Puyuh Golek Kak Mah’.
Kedudukannya berhadapan Sekolah Kebangsaan Seri Machap, Kampung Seri Machap, Simpang Renggam itu, menjadikan lokasi gerai jualan burung puyuh golek berkenaan sentiasa dihampiri peminat setianya.

Puyuh Golek Kak Mah sangat istimewa kerana diperap menggunakan rempah asli yang digabungkan antara cita rasa tempatan dan Thailand, selain ia dijual pada harga berpatutan RM4 seekor.

Bagi melengkapkan rasa burung puyuh golek itu, Rahimah turut membekalkan sos pedas manis ciptaannya dengan menggunakan beberapa bahan penting seperti sos tiram, cili padi dan cuka.

Rahimah berkata, dia bersama suaminya memulakan perniagaan puyuh golek semenjak setahun lalu selepas melihat potensi pasaran haiwan berkenaan yang mudah diperoleh daripada penternak di sekitar Machap.

“Sebelum ini, saya dan suami mengusahakan ayam golek. Modal yang besar untuk mengusahakan perniagaan itu menyebabkan kami mencari idea baru untuk memperkenalkan puyuh golek.

“Nampaknya hidangan yang dijual pada Ramadan tahun lalu diterima pengguna sebelum kami berdua mengambil peluang untuk menjaja puyuh golek setiap hari di tepi Jalan Machap-Simpang Renggam,” katanya.

Menurutnya, pasaran puyuh golek mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat dan setiap hari sekurang-kurangnya 40 ekor puyuh golek terjual.

“Operasi perniagaan bermula dari jam 9 pagi dan ditutup pada jam 7 malam, namun ada kalanya terpaksa ditutup lebih awal kerana sudah kehabisan stok puyuh.
“Lagipun mereka yang berniaga puyuh golek masih kurang, berbanding ayam golek yang diusahakan banyak pihak ketika ini,” katanya.

Berkongsi rahsia perniagaan katanya, burung puyuh golek diusahakan bersama suami dapat menambahkan pendapatan keluarganya.

“Rasa puyuh golek ini sangat berbeza dengan ayam golek yang terdapat di pasaran. Tekstur dagingnya yang lembut menyebabkan hidangan berkenaan sesuai disajikan untuk hidangan seisi keluarga.

“Ramuan rempah puyuh golek ini diperoleh dari Thailand, manakala kuahnya pula hasil ciptaan sendiri tanpa menggunakan tomato,” katanya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails