Projek ini disertai 25 penduduk miskin yang diramal dapat menikmati hasil tuaian pertama Jun ini dan memperolehi pendapatan bersih kira-kira RM7,300 setiap seorang.
"Projek ini diilhamkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, mahu Baitulmal melaksanakan projek ini bagi membantu meningkatkan pendapat golongan miskin yang menyertainya," kata Pengerusi Baitulmal Perlis, Datuk Abu Bakar Ahmad.
Beliau berkata Baitulmal telah membelanjakan sebanyak RM230,000 sebagai modal asas bagi memulakan projek tersebut pada 17 Nov 2008 dengan syarikat ByNet Marketing Sdn Bhd bersedia membeli serai-serai itu melalui kontrak perladangan.
Raja Muda yang melawat projek itu hari ini menasihati para peserta supaya bersungguh-sungguh melaksanakan projek itu bagi meningkatkan pendapatan mereka.
Titah baginda, projek berkenaan adalah sebagai kail yang telah diberikan kepada mereka untuk terus memancing dan mendapat ikan dan berharap ia menjadi projek yang menguntungkan secara berpanjangan.
Ketua projek, Md Nor Dar, 54, yakin tanaman serai wangi tersebut akan meningkatkan pendapatan para peserta.
Pengarah Urusan ByNet Marketing, Ahmad Fauzi Osman berkata, serai paha ayam mendapat permintaan tinggi di negara ini.
Katanya syarikat itu kini membeli serai yang dikeluarkan di negeri ini dan Kedah untuk diproses dijadikan benih, minyak dan serbuk.
-- BERNAMA