Saturday, June 5, 2010

Usaha terap teknologi 'Bokashi'

KUALA KANGSAR 4 Jun - Sampah yang terhasil dikatakan mampu membawa keajaiban kerana jika digunakan dengan betul, ia memberi nilai tambah kepada kehidupan manusia dan 'merawat' bumi.

Hakikatnya, usaha mengitar semula sisa terutama kulit buah-buahan dan lebihan sayur-sayuran oleh suri rumah boleh menghasilkan baja tanaman dengan menggunakan kos yang amat murah.

Lebih mengagumkan, menerusi teknologi Jepun dipanggil 'Bokashi,' bahan-bahan terbuang itu juga mampu ditukar menjadi sabun mandian, pencuci pakaian dan lain- lain.

Teknologi berkenaan melibatkan penggunaan beberapa jenis organisma mikro yang dicampurkan dalam sisa dapur sebelum dimampatkan dalam tong sampah khas untuk memperoleh hasil yang menakjubkan itu.

Bagi mewujudkan kesedaran ini, Pejabat Pertanian Daerah Kuala Kangsar dan Jabatan Pertanian Perak telah melancarkan Program Kitar Semula Sisa Dapur di sini baru-baru ini.

Orang ramai yang hadir khususnya wanita, berpeluang melihat demonstrasi cara memproses sisa buangan dari dapur itu dilakukan menerusi teknik mudah dan masa yang singkat.

Seorang warga emas, Kamariah K. Ahmad, 79, dari Kampung Bendang Ujib, Kati dekat sini yang sempat mengikuti demonstrasi tersebut jelas tertarik dengan kaedah diperkenalkan itu.

"Saya tertarik dengan cara memproses secara kitar semula sisa dapur yang selalunya di buang begitu sahaja.

"Teknologi baru ini bagus kerana bahan buangan yang diproses boleh menghasilkan macam-macam kegunaan lain seperti baja tanaman," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Nenek kepada dua orang anak dan lima cucu ini berpendapat, usaha memperkenalkan teknologi itu perlu diperluaskan oleh Jabatan Pertanian dengan menganjurkan kursus dan sebagainya.

"Orang kampung macam kami ini selalunya kurang pengetahuan. Pihak jabatan perlu masuk ke kampung-kampung untuk menyebarkan pengetahuan supaya semua orang boleh melakukan," katanya.

Pengerusi Kumpulan Pekebun Kecil Wanita (KPKW) Kampung Padang Asam, Padang Rengas, Mashitah Mohd. Talji, 64, berasa bertuah dapat melihat demonstrasi yang diadakan.

''Bagi saya, cara memproses begini memang menarik lebih-lebih lagi jika diberi latihan sepenuhnya sehingga kita mampu melihat hasilnya sendiri bukan hanya sepintas lalu sahaja," katanya.

Mashitah berkata, jika sebelum ini dia membuang sahaja sisa-sisa sampah, kini akan cuba mengitar semula sisa sampah tersebut.

"Biasalah dulu kami tak tahu kegunaannya, kalau tidak dibuang akan berulat dan berbau. Sekarang menerusi teknik-teknik tertentu kita boleh menggunakan kembali sampah ini," ujarnya.

Noorleli Mior Othman, 62, pula menyatakan, menerusi penerangan diberikan, dia tidak perlu bersusah payah membeli baja untuk tanaman tetapi boleh menghasilkannya sendiri.

"Tetapi saya perlu belajar cara-cara yang betul sebelum melakukannya. Saya harap Jabatan Pertanian dapat menyebarkan seluas-luasnya pengetahuan ini," katanya yang bercadang untuk menjadikan usaha tersebut sebagai sumber pendapatan tambahan.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Negeri, Arifin Abdul Latif memberitahu, teknik dari Jepun itu bukan sahaja mudah digunakan malah hasilnya terbukti melalui ujian-ujian yang dijalankan.

Katanya, program kitar semula sisa dapur itu mampu memberikan pulangan lumayan selain mengurangkan kerja-kerja membuang sampah.

"Kami akan mengambil inisiatif menyebarkan ilmu kitar semula sisa dapur
ini bukan di kalangan wanita sahaja tetapi juga lelaki memandangkan potensinya cukup besar sekali," katanya.
Sumber:utusan malaysia

Felcra Berhad rancang ternak lembu berskala besar

TEMERLOH 5 Jun — Felcra Berhad akan melaksanakan penternakan lembu berskala berskala besar di kawasan ladang miliknya di seluruh bermula negara tahun depan bagi menampung keperluan daging negara.

Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, Felcra sudah mengenal pasti 17 kawasan ladang yang bakal dilaksana secara berperingkat-peringkat.

“Tender bagi membina kandang berharga RM300,000 tiap sebuah telah pun dikeluarkan dan apabila siap kelak, 2,000 ekor lembu akan mula diternak pada peringkat awal di setiap ladang terbabit,” katanya kepada pemberita selepas majlis beramah mesra dengan penduduk kawasan Felcra Rumpun Makmur, dekat Kuala Krau, di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah ternakan itu akan ditambah dari semasa ke semasa.

Buat masa ini Felcra telah pun memulakan projek perintis di ladangnya di Seberang Perak, Perak, membabitkan 800 ekor lembu, kata beliau.

Tajuddin berkata, negara terpaksa mengimport lebih 700,000 ekor lembu setiap tahun untuk menampung keperluan dan membabitkan peruntukan lebih RM1.4 bilion.

"Jika kita menternak sendiri lembu itu sudah pasti ia dapat menjimatkan peruntukan tersebut. Felcra mempunyai kawasan ladang yang luas dan sesuai untuk melaksanakan projek ternakan sedemikian,” katanya. — Bernama

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails