Showing posts with label Pasr tani. Show all posts
Showing posts with label Pasr tani. Show all posts

Monday, January 25, 2010

Berniaga di pasar tani lumayan


SEBUAH pasar tani menerima kunjungan pelanggan yang menggalakkan di Kangar.


KANGAR 21 Jan. – Berniaga di pasar tani nampak seperti suatu perniagaan yang kecil, namun siapa sangka bahawa pulangan yang dinikmati oleh peniaganya adalah lumayan sehingga mampu meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

Contohnya, jika dahulu Wan Nasruddin Wan Nidzamuddin, 29, berpendapatan hanya RM800 sebulan dengan bekerja sebagai pelayan di restoran makanan segera, kini dia meraih RM3,500 sebulan dengan berniaga makanan di pasar tani.

“Tujuh tahun saya bekerja di restoran dan sering terfikir sampai bila harus bekerja dengan gaji ‘cukup makan’ untuk sara hidup yang semakin tinggi. Justeru saya melakukan penghijrahan dan bertekad untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya.

Wan Nasruddin merupakan salah seorang penjual nasi lemak, ayam goreng dan minuman di Pasar Tani Taman Sena di sini sebanyak dua kali seminggu.

Apa yang menggembirakan ialah apabila sambutan orang ramai terhadap nasi lemaknya begitu menggalakkan.

Apa tidaknya, jika dahulu dia hanya menggunakan motosikal untuk berniaga, kini dia sudah mampu memiliki sebuah van dan mempunyai lima pekerja.

Seorang lagi peserta pasar tani, Ramli Omar, 66, adalah antara golongan peniaga veteran yang berniaga di pasar tani dengan menjual ayam yang telah diproses.

Pendapatannya walaupun tidak menentu, namun amat lumayan iaitu pendapatan bersih RM4,000 sebulan dengan berniaga sebanyak enam kali seminggu.

Menurut Ramli, walaupun berniaga ayam yang merupakan produk harga kawalan, namun ia tetap memberi keuntungan kepada para peniaga.

“Di pasar tani, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana ia telah ditetapkan dan sentiasa dipantau, namun itu tidak bermakna ia tidak boleh membawa keuntungan,” katanya.

Namun begitu, dengan faktor usianya yang semakin meningkat, dia berhasrat mewariskan perniagaan itu kepada anak-anaknya kerana percaya perniagaan membawa rezeki yang besar.

Dalam pada itu Sharifah Rohim, 45, yang dahulunya menanam sayur-sayuran kampung berhampiran rumahnya dan terpaksa menolak hasil ladang ke pasar borong dengan pendapatan RM800 sebulan, juga telah beralih ke pasar tani.

Apabila diberi peluang menjual sendiri hasil tanaman di pasar tani, Sharifah berjaya mendapat keuntungan yang berlipat ganda iaitu kira-kira RM650 seminggu.

“Saya menjual sayur enam kali seminggu di pasar tani. Jika dahulu saya cuma menjual hasil tanaman sendiri, kini saya membeli sayur-sayuran daripada orang kampung, sekali gus saya dapat membantu mereka walaupun tanaman yang dihasilkan tidak banyak,” katanya.

Ku Hasrin Ku Abd. Rahman, 28, pula mula berkecimpung dalam aktiviti perniagaan di pasar tani sejak 2007 di Pasar Tani Desa Raya di sini.

Bekas pekerja kilang pembungkusan di Pulau Pinang itu tidak pernah berasa bosan walaupun pada peringkat awal pendapatannya tidak seberapa.

Ku Hasrin kini berniaga produk makanan seperti rempah ratus dan minyak kelapa dara (VOC).

“Keuntungan berniaga lebih lumayan berbanding makan gaji kerana dengan menjual rempah ratus, saya mampu meraih keuntungan RM600 sebulan manakala VOC pula RM3,000 sebulan,” katanya.

Muhamad Irsyad Abdul Razak, 22, pula adalah antara remaja yang gigih berniaga di pasar tani dengan menjual baja organik.

Anak muda ini yang berkecimpung dalam perniagaan di pasar tani sejak tiga tahun lalu berniaga dua kali seminggu dan memperoleh pendapatan bersih RM6,000 sebulan.

“Saya mula berniaga produk ini sebaik sahaja tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan apabila mendapati hasil jualan yang menguntungkan, saya tidak terfikir untuk berhenti berniaga,” katanya.

Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar dan keinginan yang kuat untuk meningkatkan perniagaannya, ia membuatkan Muhamad Irsyad berusaha untuk memantapkan diri dengan mengambil kursus persijilan dalam bidang pertanian.

Saturday, July 18, 2009

Pasar tani sumber produk segar


Gerai-gerai tersusun rapi diterangi lampu terang-benderang memudahkan pembeli mencari barangan yang diperlukan.


WALAUPUN ramai yang selesa membeli barangan makanan basah seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan sebagainya di pasar raya besar, namun masih terdapat mereka yang mahu mendapatkan barangan keperluan harian di pasar basah atau pasar tani.

Biasanya mereka yang ke pasar raya besar kerana mahu membeli dalam jumlah yang banyak dan untuk simpanan selama satu atau dua minggu.

Selain membeli makanan basah, mereka akan turut membeli barangan keperluan lain untuk seisi keluarga.

Mereka yang ingin mendapatkan keperluan harian yang segar seperti ikan dan sayur-sayuran dan tidak suka dengan bahan makanan yang disimpan lama di dalam peti sejuk lebih suka membeli di pasar basah atau pasar tani.

Jika tidak sempat ke pasar basah pada waktu pagi kerana perlu bergegas ke pejabat, ramai yang akan singgah di pasar tani yang mula berniaga pada waktu petang hingga ke malam.

Pengalaman pertama ke Pasar Tani Mega Taman Batu Muda, Batu Caves menyaksikan kemeriahan membeli-belah pelbagai barangan keperluan daripada makanan mentah, makanan yang telah dimasak, biji kopi yang diproses segar, pakaian, buah-buahan, pokok bunga, anak pokok buah-buahan dan bermacam lagi.

Deretan gerai yang tersusun rapi diterangi lampu terang-benderang memudahkan pembeli mencari barangan keperluan yang dikehendaki.

Pengerusi Pasar Tani Mega Taman Batu Muda, Batu Caves, Bujang Mohd. Nasir berkata, pasar tani yang dibuka pada bulan November tahun lalu ini asalnya hanya mempunyai seramai 60 orang peniaga dan 80 tapak gerai peniaga sahaja.

Bagaimanapun, setelah enam bulan dibuka, jumlah peniaga telah bertambah ke 80 orang dengan pertambahan kepada 120 tapak gerai peniaga.

''Para peniaga di sini adalah peniaga tempatan yang terdiri daripada penternak, peladang dan nelayan tempatan. Mereka memasarkan produk sendiri dan dijamin segar.

''Pembeli mempunyai banyak pilihan di sini seperti ikan sungai yang segar, ayam kampung, daging tempatan, keledek dan ubi kayu, pelbagai jenis kerepek dan banyak lagi,'' katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Katanya, objektif pasar tani dibuka adalah untuk memberi pendedahan kepada para pengusaha memasarkan produk masing-masing terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

Selain itu, ia sebagai pendedahan kepada pengusaha akan proses pemasaran dan meluaskan pasaran pada pelbagai peringkat.

Menurut Bujang, mereka yang pernah ke pasar tani ini pasti seronok kerana dapat membeli-belah hasil kampung yang biasanya hanya boleh diperoleh di pasar Chow Kit.

''Jika di Chow Kit, anda perlu membeli berebut-rebut dalam cuaca panas dan mengharungi kesesakan orang ramai. Namun di pasar tani ini anda boleh memilih dan membeli-belah dalam suasana tenang.

''Jika dibandingkan harga pula, harga barangan di sini murah sedikit daripada di pasar basah biasa,'' jelasnya yang juga berniaga daging lembu tempatan.

Tambahnya, selain barangan makanan mentah, pembeli boleh 'membasuh' selera dengan bermacam-macam juadah yang telah siap dimasak.

Antaranya ialah gulai kawah, kambing panggang, nasi ambeng, nasi ayam berempah, laksa, kuih akok, kuih bakar dan sebagainya.

Bujang berkata, Pasar Tani Mega Taman Batu Muda, Batu Caves yang dibuka pada setiap hari Rabu bermula pukul tiga petang hingga 10 malam ini menjadi tumpuan penduduk yang tinggal di sekitar Batu Caves.

''Masih ramai yang tidak mengetahui adanya pasar tani ini. Kami berharap lebih ramai yang akan berkunjung menjelang bulan Ramadan ini bagi mendapatkan keperluan harian kerana semua keperluan boleh diperoleh di sini.

''Kami juga akan mengadakan pasar tani khas menjelang Ramadan di lokasi ini. Setiap hari Rabu bermula sekarang sehingga Ramadan, cabutan bertuah akan diadakan untuk pengunjung di mana pengunjung yang bertuah akan mendapat hadiah berbentuk produk pertanian.

"Syaratnya, beli barang dan pembeli layak mendapat cabutan bertuah. Ini sebagai tanda terima kasih pengusaha kepada pengunjung pasar tani.

''Selain itu, sepanjang bulan Julai hingga Ogos, pengunjung boleh menyaksikan demo membuat kek dan biskut yang akan ditunjukkan oleh pakar kek dan biskut, Fieza Abdul Rahman yang turut menjual produk tepung kek dan biskut yang mudah disediakan,'' kata Bujang yang turut diiringi Pengerusi Pasar Tani Peringkat Wilayah, Abdul Rahman Dollah.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails