Wednesday, September 23, 2009

Varieti Kacang Tanah Baru Margenta


Satu lagi tanaman alternatif bagi petani kawasan tanah bris

Dalam usaha untuk mencari tanaman alternatif kepada tembakau bagi kawasan tanah bris, MARDI telah mengenal pasti satu varieti baru kacang tanah yang diberi nama Margenta. Varieti ini telah bangunkan melalui penilaian setempat dan telah terbukti mempunyai potensi hasil yang tinggi di tanah bris dan sesuai dijadikan salah satu tanaman singkat masa yang dapat ditanam secara giliran dengan jagung manis dan keledek bagi menggantikan tembakau. Varieti ini telah dibawa masuk dari ICRISAT (International Crop Research Institute for the Semi Arid Tropics), India. Penilaian prestasi dan pembangunan amalan agronomi bagi varieti ini telah dijalankan semenjak tahun 2002 oleh pegawai penyelidik Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri, Stesen MARDI Telong, Puan Zaharah Ariffin dan En. Yahaya Hussain dengan bantuan penyelidik-penyelidik dari Pusat Mekanisasi & Automasi dan Pusat Teknologi Makanan MARDI.


Ladang kacang tanah Margenta di MARDI Telong

Sifat lenggai & biji kacang tanah Margenta

Kelebihan utama varieti Margenta ini berbanding dengan varieti kacang tanah yang ditanam pada masa ini ialah hasil yang lebih tinggi, tahan kepada penyakit karat dan bintik daun dan kualiti lenggai dan biji yang lebih baik. Potensi hasil lenggai kering adalah melebihi 3.5 t/ha. Lenggai yang dihasilkan adalah lebih besar dan seragam dengan peratus lenggai berbiji dua adalah melebihi 80%. Ciri ini sangat diperlukan oleh pengilang dalam penghasilan produk makanan snek seperti kacang panggang dan Menglembu.

Kacang tanah boleh digunakan sebagai ramuan dalam pelbagai masakan dan kuih muih. Selain daripada direbus atau digoreng, kacang tanah Margenta sesuai untuk diproses menjadikan produk snek seperti kacang rebus kering ala Menglembu, coklat berkacang, bepang kacang, kacang goreng bersalut, rempeyek dan juga kuah sate dalam uncang sebagai sajian makan bersama sate, nasi himpit dan gado-gado. Produk-produk ini sesuai dimakan oleh semua lapisan masyarakat dan digemari oleh masyarakat Malaysia dan berpotensi untuk dieksport ke luarnegara.

Varieti Margenta ini telah sempurna dilancarkan oleh Y.B. Datuk Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, di Stesen Penyelidikan MARDI Telong, Bachok, Kelantan pada 16 Ogos 2009. Dalam ucapan pelancaran tersebut Y.B. Datuk Rohani menyarankan supaya lebih ramai petani menanam varieti ini kerana varieti ini sangat sesuai untuk tanah bris. Selain daripada itu, kacang tanah juga boleh dijadikan tanaman pilihan yang baik bagi sistem tanaman integrasi atau perladangan campur kerana sisa baki tanaman (batang dan daun) sesuai dijadikan sumber makanan ternakan yang berkhasiat sama ada dalam bentuk segar atau setelah diproses menjadi silaj.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails