Thursday, September 24, 2009

Fama buka 5 pasar tani baru

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Perak akan mewujudkan lima pasar tani baru di beberapa lokasi strategik di seluruh negeri bagi memenuhi kehendak pengguna serta membantu meningkatkan taraf hidup pengusaha hasil tani tempatan, menjelang akhir tahun ini.

Lokasi baru itu di Kuala Kangsar, Kampar, Changkat Jering, Manjung dan Parit Buntar selain tiga yang baru dilancarkan baru- baru ini iaitu di Taman Perpaduan (Ipoh) selain Kampung Gajah dan Pokok Assam (Taiping).

Ahli Lembaga Pengarah Fama, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata secara keseluruhan, 17 pasar tani aktif beroperasi di negeri ini sejak 1985 sehingga Julai lalu membabitkan 723 peserta.

Beliau berkata, nilai keseluruhan jualan yang dicatatkan sejak ia mula dibuka 24 tahun lalu mencecah RM159 juta dengan tahun lalu saja ia mencapai angka jualan RM12 juta.

“Bagi Januari hingga Julai tahun ini pula, nilai jualan sudah pun mencapai RM7.3 juta dan ia adalah angka cukup memberangsangkan.

“Kami berharap penubuhan pasar tani baru itu akan membantu meningkatkan nilai jualan keseluruhan apabila semuanya dapat beroperasi sepenuhnya kelak,” katanya.

Katanya, pembukaan lebih banyak pasar tani bukan saja memberi sumber pendapatan tambahan kepada pengusaha hasil tani malah, ia juga mampu menjana ekonomi di negeri.

Selain pasar tani, Fama Perak turut mewujudkan program pembangunan usahawan lain seperti Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) membabitkan 41 unit dengan 32 peserta dan empat Kedai Rakyat (12 peserta).

Program berkenaan sehingga kini mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7 juta setiap tahun.

Katanya, semua program dirancang dan dilaksanakan oleh Fama bertujuan meningkatkan pembangunan usahawan dan menambahkan pendapatan peserta.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails