Thursday, September 24, 2009

Dua Felda Dipilih Sebagai Gedung Makanan Negara Untuk Pisang

GUA MUSANG, (Bernama) -- Felda memilih Rancangan Tanah Ciku Satu dan Perasu sebagai pusat melaksanakan projek gedung makanan negara membabitkan tanaman pisang Jelai Berangan secara komersial, kata Pengurus Besar Felda Wilayah Gua Musang, Abd Malib Abd Rani.

Beliau berkata projek berkenaan akan dimulakan selepas Oktober depan membabitkan 210 peneroka, 140 peserta Rancangan Tanah Ciku Satu dan 70 peserta Perasu.

Beliau berkata, Felda akan melatih peneroka berkenaan untuk melahirkan usaha berjaya dalam bidang tanaman pisang itu kerana ia mampu memberi pulangan lumayan.

"Cadangan ini adalah idea Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak yang mahu peneroka ada pendapatan sampingan menerusi tanaman berkenaan," katanya pada majlis penyampaian bonus raya Peneroka Felda di Perkarangan Masjid Rancangan Tanah Felda Ciku Satu, dekat sini Rabu.

Penyerahan Bonus Raya itu dilakukan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Abd Malib berkata, kerajaan mengambil berat mengenai pundapatan peneroka dan merancang banyak kerja sampingan untuk mereka usahakan dan mampu menampung perbelanjaan.

Katanya, dua rancangan tanah itu juga sekarang ini terbabit dengan program tanam semula ladang sawit dan kesempatan itu diambll untuk memajukan 800 hektar tanah bagi tanaman pisang.

"Ia tidak akan menjejaskan program tanam semula sawit kerana tanaman pisang boleh diusahakan di lorong kawasan ladang berkenaan.

"Hanya tidak sampai enam bulan mereka akan menerima hasil pisang dan apa yang kita harapkan hasilnya lebih bermutu bagi memenuhi permintaan di pasaran," katanya.

Beliau berkata, Felda akan membimbing mereka untuk berjaya dan banyak lagi kawasan tanah rancangan Felda yang boleh dimajukan sendiri peneroka untuk menambahkan pendapatan.

-- BERNAMA

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails