Thursday, September 24, 2009

Usahawan Cipta Makanan Tambahan Ternakan

KULIM, -- Bukan hanya manusia, haiwan ternakan juga memerlukan makanan tambahan sebagai pilihan bagi mewujudkan nilai tambah kepada nutrisi harian.

Wan Azwade Ahmad dari Kampung Batu 7, Lunas, dekat sini yang menyedari keperluan ini cuba menceburi bidang yang dianggap 'luar biasa' iaitu memproses makanan tambahan khusus untuk binatang ternakan.

Katanya idea itu timbul selepas mengikuti kursus ternakan dan bioteknologi di Institut Veterinar Malaysia (IVM), Kluang, Johor pada awal tahun ini.

Wan Azwade, 31, yang turut mengusahakan ladang kambing dan lembu berkata bidang penghasilan makanan tambahan ternakan ini menjanjikan keuntungan lumayan kerana kos pengeluarannya agak rendah.

Ia menggunakan konsep 'Waste to Wealth' (W2W) yang memanfaatkan bahan buangan atau sisa pertanian dengan menggunakan teknologi pemprosesan untuk menghasilkan produk berguna.

Penggunaan sisa buangan untuk menghasilkan bahan yang berguna seperti makanan tambahan ternakan ini kini merupakan suatu fenomena memandangkan banyak penyelidikan mengenainya telah dijalankan.

TIDAK RAMAI TEROKAI

Bagaimanapun ia belum diterokai secara meluas.

Malah di wilayah utara ini ia belum dikenali umum, katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Wan Azwade menjelaskan bahawa produk yang dihasilkan ialah mesra alam dan bahan lazim yang digunakan termasuk abu kayu, sekam padi, habuk papan lapis dan sisa pertanian.

"Bahan buangan berkenaan akan dicampurkan dengan sedikit cecair EM (mikroorganisme efektif) yang menggunakan teknologi Jepun dan diperap selama dua minggu.

"Selepas itu, makanan tambahan ternakan akan terhasil dalam bentuk serbuk kering dan sedia untuk dipasarkan," katanya.

Wan Azwade berkata setiap kilogram serbuk makanan tambahan ternakan itu akan dijual dengan harga antara RM15 hingga RM20.

AIR EMAS

Dengan dibantu oleh tiga pekerja, beliau turut mengusahakan makanan tambahan dalam bentuk cecair, yang dikenali sebagai Air Emas dan dijual dengan harga RM60 setiap liter.

"Tempahan yang diterima ketika ini amat menggalakkan khususnya daripada pengusaha ladang ternakan kambing, lembu dan ikan di lain-lain negeri seperti Pulau Pinang dan Perak," katanya.

Wan Azwade berkata makanan tambahan ternakan yang dihasilkan turut diperakui oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar selepas berjaya melepasi ujian analisis nutrisi di IVM baru-baru ini.

"Makanan tambahan ini juga boleh digunakan untuk haiwan peliharaan dan ia berupaya membantu memperbaik sistem penghadaman, sekaligus mengurangkan bau busuk pada najis ternakan," katanya.

CAMPURAN MUDAH

Penggunaan makanan ini juga mudah iaitu dengan hanya mencampurkan kira-kira 10 hingga 50 gram bahan itu bersama makanan rutin ternakan setiap hari.

"Sebagai contoh, para penternak hanya perlu memasukkan kira-kira 30 gram serbuk makanan tambahan itu bersama rumput bagi setiap ekor lembu pedaging dewasa," katanya.

Menurut Wan Azwade, dengan penghasilan makanan tambahan ini, ia bukan sahaja membantu industri ternakan berkembang malah dapat mengurangkan masalah penternak bergantung kepada makanan import.

"Ia mengurangkan kos makanan, sekali gus menjimatkan pengaliran keluar wang negara," katanya.

Penternak atau orang ramai yang berminat untuk mendapatkan produk makanan tambahan ternakan ini boleh mengunjungi ladang Wan Azwade di No. 1E, Kampung Batu Tujuh, Jalan Padang Serai, Lunas, Kulim atau menghubunginya di talian 019-5651626 atau 019-5136430.

-- BERNAMA

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails