TERDAPAT banyak faktor kenapa Muhamad Yusof, 54, menceburi bidang
perniagaan pemprosesan makanan yang beroperasi di Tumpat, Kelantan.
Satu daripadanya kerana minat berniaga sudah tertanam dalam jiwanya
sejak 1980-an dan juga kerap menyertai kursus bimbingan Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai penyelia
ketika bersama Jabatan Pertanian, lama-kelamaan membutirkan minatnya
dalam perniagaan.
Menurut beliau, pembabitannya bermula pada 1986 secara kecil-kecilan
di hadapan rumahnya di Tendung, Pasir Mas, Kelantan dan pada masa sama
masih menyertai kursus anjuran MARDI.
''Saya pilih bidang ini kerana pernah terlibat dengan banyak jenis
perniagaan secara kecil-kecilan termasuk dalam jualan langsung selama
enam bulan sejak awal 1980-an dan selepas itu berniaga alat besi seperti
sabit, parang di pasar malam," ujarnya mengimbau bagaimana dunia
perniagaan begitu dekat padanya.
Bagaimanapun, perniagaan jenis itu berdepan risiko besar kerana pelanggannya tidak ramai dan keuntungan sedikit.
Selepas itu, beralih kepada menjual bunga di pasar malam tetapi
sekali lagi, dia tidak mampu bertahan kerana keuntungannya kecil,
meskipun berkemampuan mengembangkan perniagaan tersebut dengan membuka
nurseri.
Akhirnya Muhamad akur bahawa dia perlu mencari perniagaan yang
mempunyai produk tahan lama dan itu mendorongnya memilih bidang
pemakanan yang mana usaha awalnya itu dibantu oleh isteri, Hazizah
Hamat.
Menariknya, dia bermula dengan modal kecil iaitu hanya RM100 dengan
memberi mesin pengisar berharga RM40 manakala bakinya untuk bahan-bahan
mentah seperti cili dan bawang .
Lebih menarik dia menggunakan dapur dua penunu dan kemudiannya bertukar kepada periuk besar untuk memasak ramuan atau adunan.
''Ini harapan saya, masa mengacau adunan dalam periuk, saya minta kawan-kawan uji rasanya.
''Ketika itu pada tahun 1986 saya sering ke pasar tani untuk
mengetahui apakah maklum balas pengunjung terhadap produk yang
dikeluarkan iaitu sos pencicah, sis cili dan sos tomato," ujarnya yang
kemudian bertukar bekas memasak daripada periuk kepada kawah.
Setahun kemudian, dia mengorak langkah setapak lagi apabila mampu
menggunakan label sendiri dan kejayaan itu lebih terserlah dengan kepada
mesin hasil sumbangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah
pada 1990.
Dengan kejayaan itu, dia membesarkan operasinya ke Wakaf Baru Tumpat sejajar dengan peningkatan jumlah pengeluaran.