RAMAI penggemar ikan bilis mengetahui di mana mereka boleh mendapatkan hasilan laut itu yang sedap dan mungkin pada harga murah.Antaranya, hasilan laut itu banyak didapati di Tawau dan di Daerah
Kunak Sabah yang diusahakan penduduk di situ menerusi projek kelong atau
lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai bagang.
Satu lagi destinasi menarik ialah di Pulau Pangkor, Perak yang
menjadi pengeluar ikan bilis mata biru yang dianggap terbaik di rantau
ini.Tapi jangan lupa, Kampung Fikri di Setiu Terengganu juga menawarkan
ikan bilis kering yang tidak kurang popular di pantai Timur.Bilis Setiu meskipun masih belum dikenali sehebat Pulau Pangkor dan
Tawau, tapi hasilan laut yang yang begitu sedap dan ramai penggemarnya
boleh menjadi saingan kepada jenama sedia ada ketika ini.
Di situ, seorang pengeluar bilis begitu dikenali oleh penduduk
tempatan ialah Omar Ismail, 53, yang juga bapa kepada bekas pemain bola
sepak kebangsaan, Hairuddin.Memiliki iras wajah hampir serupa dengan anak sulungnya itu, Omar
menjadi nelayan pukat ketika usia muda dan menempuh liku-liku hidup yang
dihimpit kesusahan.
''Saya pasti tidak dapat melupai masa sukar ketika baring di
celah-celah bakul berisi ikan bilis setiap kali bapa saya balik dari
laut dan perlu merebus hasil tangkapan tersebut," kata Omar ketika
ditemui di jeti di Kampung Fiktri, Setiu Terengganu baru-baru ini.Omar ditemui pada kunjungan wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
(LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu bagi meninjau
projek-projek persatuan itu di Setiu baru-baru ini.
Sambil melepaskan pandangan jauh memerhatikan pekerjanya membuat
kerja-kerja menjemur dan menggred ikan bilis, Omar menarik nafas sebelum
menyambung bicara.Menurut Omar, minatnya yang mendalam untuk turun ke laut ketika masih
di bangku sekolah mendorongnya mengikut bapanya, Ismail Abdul Rahman
meskipun pada hari persekolahan.Malah katanya, dia sanggup keluar awal pagi mengikut bapanya yang
berasal dari Kampung Payang, ke laut untuk menangkap bilis dan hanya
balik ke darat selepas lima hari.
Omar yang berasal dari Kampung Fikri, Setiu memberitahu, minat
mendalam itu juga mendorong dia menyambung kerjaya bapanya menjadi
nelayan pukat bilis dan akhirnya tidak sempat menamatkan persekolahan
hingga tingkatan tiga.''Saya mula mula mengambil alih bot bilis bapa saya ketika berumur 30
tahun menggunakan bot kecil dan hanya bertukar kepada yang lebih besar
bersaiz 65 kaki x 20 kaki selepas 13 tahun menggunakannya," katanya.Omar dan pekerjanya menggunakan dua pendekatan untuk menangkap ikan bilis di laut.Pada bulan September Oktober, Februari hingga April, mereka keluar pada waktu siang dari hari Sabtu hingga Khamis.
Pada bulan-bulan tersebut dia keluar pada awal pagi balik semula ke darat menjelang waktu Zuhur.
Pada bulan Mei hingga Ogos, mereka ke luar ke laut pada waktu malam
iaitu bermula pukul 4 petang hingga 9 pagi dari hingga Sabtu hingga
Khamis.''Pada musim tengkujuh kira-kira dari November hingga Januari kami tidak ke laut," ujarnya.
Sebagai nelayan, ombak laut bukanlah satu cabaran yang perlu dirisau
tetapi mereka terpaksa berhati-hati bagi mengelak daripada memasuki
kawasan larangan dan kawasan utama ialah sekitar 15 batu nautika dari
pantai.Biasanya mereka akan membawa balik antara 20 dan 40 bakul atau
seberat kira-kira 45 kilogram (kg) sebakul dengan anggaran 1.8 tan bilis
basah sehari.Daripada jumlah itu, kira-kira 600 kilogram daripadanya dapat menghasilkan bilis kering.Ikan bilis perlu di rebus di atas bot sebelum dinaikkan ke darat dan dijemur dan digredkan.Ikan bilis dijemur secara terbuka di bawah terik matahari selama
sehari suntuk atau menggunakan ketuhar besar bersuhu 65 darjah Celsius
selama sembilan jam.Ikan digred kepada dua jenis itu bilis kasar dan halus.
''Biasanya ikan bilis yang dikeringkan secara semula jadi atau
menggunakan panas matahari lebih sedap," ujar Omar yang memasarkan
keluarannya ke Kuala Terengganu.Omar bukan satu-satunya nelayan ikan bilis di Setiu kerana terdapat
dua lagi pengusaha bbot bilis bersaiz besar turut beroperasi di situ
selain bot-bot kecil lain.
Bilis Setiu katanya lebih keras berbanding di pantai barat tetapi sesuai untuk semua jenis masakan terutama nasi lemak.
No comments:
Post a Comment