PENGGUNAAN teknologi mikroorganisma berfaedah (BMO) atau
mikroorganisma baik (EM) dalam pertanian sememangnya bukan sesuatu yang
baru kerana ia sudah mula diperkenalkan di negara in sejak lewat 90-an.
Namun penggunaan teknologi BMO yang dihasilkan oleh seorang profesor
dari Universiti Ryukyus, Okinawa Jepun, Dr. Teruo Higa secara berleluasa
di negara ini hanya bermula sekitar pertengahan tahun 2000.
BMO adalah campuran mikroorganisma berfaedah terdiri daripada
bakteria fotosintetik, bakteria laktik asid, yis, aktinomaiset dan fungi
(kulat) penapaian yang menjanjikan kebaikan kepada tanaman berbanding
ditanam secara konvensional.
Antara ciri kebaikan teknologi tersebut ialah menggalakkan pertumbuhan pembesaran, penghasilan dan kemasakan buah.Teknologi baja seumpama itu juga mampu meningkatkan kapasiti
fotosintesis pokok, menambah kebolehan bahan organik sebagai baja,
meningkatkan ketahanan tumbuhan terhadap penyakit, memperbaiki keadaan
fizikal tanah.
Menyedari potensi serta kelebihan yang ada pada teknologi BMO itu,
sebuah syarikat bumiputera, Bifa Farms di Gelang Patah, Johor mengambil
langkah tepat dengan menjalankan perusahaan menghasilkan baja berasaskan
teknologi BMO.
Pengarahnya, Rahmat Md. Amin berkata, dia mula menceburi
bidang itu pada tahun 2007 dengan mendirikan sebuah kilang memproses BMO
tersebut iaitu jenis baja cecair dan organik dengan modal sebanyak
RM300,000.
"Alhamdulillah, buat masa ini, kita berjaya menghasilkan tiga jenis
baja cecair dan satu jenis baja organik di atas tanah seluas 2.4 hektar
dan mampu menghasilkan 1,000 tan sebulan," katanya.
Menurut beliau, jenis baja yang dihasilkan syarikatnya dikenali sebagai Baja Bio Organik, Bifa Microb Growth Solution (BMGs), Bifa Microb Growth K2O (BM Super K) dan Bifa Mikrob Protection (BMP).
Tambahnya, proses penghasilkan baja tersebut juga mudah, malah ia menggunakan bahan-bahan yang senang diperoleh.
''Sebagai contoh, terdapat lima langkah dalam menghasilkan baja bio
organik iaitu bahan seperti tinja (najis) ayam dikisar secara kasar
sebelum dicampur dengan baja dan diperam dan melalui proses pembungkusan
serta bebas bahan kimia.
"Semua jenis baja itu dicampur dengan BMO sebelum dibungkus dalam
botol dan dipaketkan. Baja tersebut sesuai digunakan ke atas pelbagai
jenis tanaman kelapa sawit, getah, padi, pokok buah-buahan, landskap dan
padang golf," ujar Rahmat.
Beliau berkata, setiap baja yang dihasilkan itu mempunyai fungsi yang
berlainan iaitu baja bio organik mampu merawat dan membaik pulih tanah
sekali gus mengekalkan tahap kesuburan dalam jangka panjang.
BMGs pula mampu menambah kapasiti fotosintesis dan kehijauan tanaman
selain mempercepatkan percambahan benih dan tunas pokok BM Super K pula
bertindak mempercepatkan mematangkan tanaman dan BMP merupakan pelindung
serangan dan penyakit.
"Kita pernah menjalankan kajian penggunaan baja bio organik ke atas
tanaman padi dan hasilnya anak pokok padi mencecah ketinggian 78.7
sentimeter pada hari ke-60 berbanding 71 sentimeter menggunakan baja
kimia."Malah berat padi yang dihasilkan meningkat sebanyak 886 kilogram iaitu dari 1,624 kepada 2,510 kilogram," katanya.Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Adnan Mat Kasim
berkata, pihaknya sedang giat mempromosikan penggunaan BMO kepada
mereka yang terlibat sekali gus sudah menjadi satu agenda di negeri ini.
Beliau memberitahu, Johor telah mula menggunakan teknologi BMO secara
meluas bermula pada 2007, malah kerajaan negeri juga menyokong usaha
tersebut dengan matlamat membawa Johor ke arah pertanian unggul, lari
daripada cara konvensional.
"Kerajaan negeri telah mengarahkan supaya dua pusat mikrob memproses
BMO ini diwujudkan di setiap dewan undangan negeri (DUN)sejajar usaha
menjana pendapatan tambahan kepada golongan terlibat.
"Di Johor kini sudah mempunyai sebanyak 112 pusat mikrob dan bilangan
pusat seumpama itu akan bertambah. Kerajaan negeri memperuntukkan
sebanyak RM2,000 bagi setiap pusat tersebut," katanya.
Ini kerana, tambahnya, penggunaan teknologi BMO yang bukan sahaja
boleh digunakan ke atas tanaman, malah ternakan dan sungai itu selamat
daripada bahan kimia dan jelas mampu meningkatkan hasil pertanian,
ternakan dan membersihkan sungai.
No comments:
Post a Comment