Wednesday, March 3, 2010

FAMA harus lebih agresif kenal pasti pasaran

KUALA LUMPUR . - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) harus melaksanakan kajian lebih agresif dalam mengenal pasti perkembangan pasaran produk pertanian, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hari ini.

Beliau berkata maklumat seperti permintaan, potensi, halangan, dan struktur pemasaran bukan sahaja membantu kerajaan merangka strategi pemasaran yang berkesan, tetapi dapat bertindak sebagai pemacu program penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang pertanian negara.

"Maklumat pasaran adalah penting dan merupakan aset sesuatu kejayaan di dalam sektor pertanian kerana tanpanya negara akan sentiasa berada dalam tahap sebagai pengikut dan tidak mampu bersaing dan bertahan dalam pemasaran hasil pertanian dunia," katanya berucap merasmikan Persidangan Pemasaran Agri Bisnes 2010 di sini.

Langkah itu juga katanya selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 yang akan bermula tahun depan.

"Walaupun kos untuk mendapatkan maklumat memerlukan belanja yang tinggi tetapi pemilihan kaedah yang tepat dan kompetitif mampu meneruskan agenda seperti yang telah ditetapkan walaupun menggunakan perbelanjaan minimum," katanya.

Dalam ucapannya, Noh juga berkata, kementerian itu melalui FAMA akan memperkenalkan logo "1Malaysia Best" bagi produk berasaskan pertanian yang berkualiti iaitu produk daripada hasil ternakan, buah-buahan, sayur-sayuran dan minuman.

"Logo itu merupakan lambang pengiktirafan kementerian terhadap setiap pengeluaran produk usahawan tempatan secara sah bagi menjamin produk berkualiti yang boleh diterima di pasaran tempatan seterusnya mampu menembusi pasaran global," katanya.

Sebelum ini kementerian itu melalui FAMA telah melancarkan jenama Malaysia Best untuk produk pertanian yang diiktiraf berkualiti, katanya. - Bernama

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails