LANGKAWI - Walaupun meniti usia emas menjangkau 69 tahun, Osman Saad dari Kampung Ewa, Ayer Hangat di sini masih sanggup lagi meredah Bukit Sawak untuk mencari daun kertam untuk dijadikan atap rumah atau chalet yang banyak terdapat di pulau ini.
"Atap dari daun kertam masih mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
''Mereka gemar atap jenis ini kerana ia menjadikan suasana dalam rumah lebih nyaman dan sejuk berbanding atap nipah atau daun kelapa, apatah lagi atap zink lebih panas," katanya.
Pokok kertam yang banyak tumbuh meliar dalam hutan itu berkeadaan seakan-akan pokok rotan.
Osman berkata, antara para pelanggannya terdiri daripada pengusaha chalet dan padang golf yang mahu chalet atau tempat mereka mempunyai atap daun kertam.
"Setiap satu kaki atap kertam saya kenakan harga RM10 dan setiap hari saya boleh menyiapkan kira-kira 10 kaki (lebih 3 meter) atap kertam," kata warga emas itu ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Osman berkata, sebelum dijadikan atap, daun kertam akan dijemur dan dibersih terlebih dahulu sebelum diikat mengunakan tali rotan mengikut saiz yang ditempah.
"Namun kerja-kerja buat atap ini bukan ada setiap hari sebab bergantung tempahan dari pelanggan," katanya yang turut dibantu seorang rakannya, Ishak Osman, 57. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment