TEMERLOH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini memeterai perjanjian dengan peserta projek Tanaman Pengeluaran Kekal Makanan (TPKM), Lanchang di bawah program ladang kontrak bagi memasarkan hasil pertanian mereka.
Menerusi perjanjian itu, FAMA Temerloh juga akan bekerjasama dengan petani yang terlibat dengan projek tanaman nangka madu bagi memasarkan hasil keluaran mereka.
Pegawai FAMA daerah, Abdul Razak Abdul Karim berkata, kesemua pembelian hasil pertanian itu dianggarkan melebihi RM500,000 bagi tempoh sepanjang tahun ini.
''Selain nangka madu, perjanjian jual beli itu adalah pendekatan terbaru yang dilaksanakan FAMA meliputi hasil pertanian seperti nenas moris, nenas N36, pisang berangan, buah-buahan, labu manis dan jagung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian pembelian hasil pertanian tiga peserta ladang TPKM Lanchang iaitu nenas moris, nenas N36 dan pisang berangan di Dataran Kerdau dekat sini hari ini.
Menurut Abdul Razak, melalui konsep itu, FAMA akan membeli hasil pertanian peserta membabitkan kawasan seluas 60 hektar mengikut harga pasaran semasa.
FAMA jelasnya, tidak akan membeli dengan kadar lebih rendah daripada harga lantai bagi membantu petani daerah ini mendapat pendapatan lebih lumayan.
Kata Abdul Razak, petani berasa lebih terjamin kerana FAMA akan membeli semua hasil pertanian mereka dengan harga yang berdaya saing selain membantu memberi nasihat pemasaran dan teknologi pengeluaran.
Jelasnya, program sedemikian dapat memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti, mapan dan menepati kehendak pasaran menerusi Amalan Pertanian Baik (GAP).
Abdul Razak memberitahu, petani yang sebelum ini menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian juga boleh menyertai program tersebut supaya pendapatan mereka lebih terjamin jika dibandingkan menjual kepada pemborong.
Menurutnya, antara kemudahan lain yang diperoleh melalui konsep itu ialah petani akan diberi latihan dan lawatan kursus.
"Pertanian secara tradisional tidak lagi sesuai kerana ia tidak dapat menghasilkan pengeluaran berskala besar bagi keluasan tanah yang kecil.
''Hasil pengeluaran lebih berganda apabila menggunakan teknologi moden dengan keluasan tanah yang sama," katanya.
No comments:
Post a Comment