Thursday, April 23, 2009

Ternakan Cacing Hasilkan Baja

Kegawatan ekonomi menyebabkan kebanyakan kos input pertanian seperti baja dan racun serangga semakin meningkat.

Sudah tentu ini memberikan kesan kepada usahawan tani yang amat memerlukannya bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian masing-masing.

Justeru seorang usahawan tani, Mohd. Nasir Zainudin, 50, mencari alternatif lain bagi menghasilkan baja sendiri.

Beliau yang mempunyai ladang kelapa sawit dan pisang di Sabak Bernam dan Bagan Datoh, Perak memerlukan sekurang-kurangnya 50 tan baja semusim untuk ladangnya.

"Saya melihat ternakan cacing sesuai kerana boleh menghasilkan baja menggunakan bahan sisa pertanian," katanya semasa ditemui di rumahnya di Jalan Haji Karim, Kampung Sungai Air Tawar, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Baru memulakan ternakan cacing selama beberapa bulan, Mohd. Nasir membeli cacing daripada pembekal di tempatnya.

Bermula dengan 30 petak dengan saiz 6 kaki x 5 kaki dan belum lagi menuai hasil, Mohd. Nasir telah menambah 10 lagi petak menjadikannya 40 petak.

"Buat masa ini saya baru menggunakan baja cacing untuk ladang kelapa sawit tetapi masih belum melihat hasilnya.

"Bagaimanapun dengan menghasilkan sendiri baja saya boleh mengurangkan kos," katanya yang akan menggunakan baja untuk kegunaan sendiri. Ujarnya, satu petak ternakan memerlukan kira-kira 2,000 ekor cacing. Bagaimanapun selepas tiga hingga empat bulan setiap petak akan mempunyai antara 8,000 hingga 10,000 ekor cacing.

"Cacing ini perlu perlu dialihkan ke petak-petak lain untuk memproses baja," katanya.
Di dalam petak berkenaan, usahawan ini meletakkan tahi kambing dan sabut kelapa sebagai media.

"Menternak cacing agak mudah kerana selepas meletakkan media, kita hanya perlu menyembur air seminggu sekali.

"Ini bagi memastikan kawasan petak tidak kering dan boleh mengakibatkan cacing mati," katanya.
Beliau juga mengumpulkan air cacing yang terhasil daripada proses penghasilan baja untuk dijadikan baja. Bagi menghasilkan baja beliau membeli tahi kambing dan sabut kelapa daripada pengusaha di Perak dan Selangor.

Bagaimanapun tahi kambing yang dibeli perlu dikuarantin atau diperam dan disiram dengan air selama lebih kurang seminggu sebelum diletakkan pada petak cacing. Ini bagi mengurangkan bau dan memberikan persekitaran yang selesa bagi cacing. Mohd. Nasir berkata, jika eksperimennya berjaya, beliau tidak akan teragak-agak menggunakan baja cacing untuk semua tanaman di ladangnya.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails